SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XIX) - Mu'TaH III

>> Saturday, August 14, 2010



Hari 9: 25 MEI 2009

Pada waktu pagi hari ini, aku tidak ke mana-mana memandangkan kepenatan berjalan-jalan di Petra semalam masih belum lagi hilang. Zaid bercadang untuk membawa aku berjalan-jalan di sekitar Mu’tah pada waktu petang ini. Akan tetapi, dia terpaksa menunggu kepulangan isterinya dari kuliah terlebih dahulu untuk menjaga Umair di rumah. Hazmi yang kebetulannya tidak mempunyai apa-apa hal pada hari ini menawarkan diri untuk membawa aku berjalan-jalan di sekitar Mu’tah. Aku rasa lebih baik aku mengikut Hazmi sahaja. Zaid mungkin sudah penat membawa aku jalan-jalan di Petra semalam. Lagipun, dia mempunyai tanggungjawab lain. Aku tidak mahu menyusahkannya.

Selepas solat Zohor, aku & Hazmi pun keluar berjalan-jalan. Lokasi pertama yang dibawanya ialah University of Mu’tah, universiti di mana dia & penghuni-penghuni Bayt Dimasyq yang lain menuntut ilmu. Kami ke sana dengan menaiki bas mini. Besar & cantik juga kawasan universiti ini. University of Mu’tah yang mula dibuka pada tahun 1981 pada masa kini mempunyai 12 buah fakulti & seramai 17,000 orang mahasiswa. Dua buah fakulti yang menjadi tumpuan utama pelajar-pelajar Malaysia di sini ialah Fakulti Syari’ah & Fakulti Kesenian. Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil, penceramah bebas yang juga penulis blog terkenal adalah bekas pelajar Fakulti Syari’ah di sini. Blognya, Saifulislam.Com pada masa kini adalah antara blog-blog berunsur keagamaan yang termasyhur di kalangan warganegara Malaysia di seluruh dunia. Aku sempat bersua muka dengannya beberapa kali sewaktu dia menetap di Ireland dahulu.

Fakulti perubatan di University of Mu’tah baru sahaja dibuka pada tahun 2001. Menurut Hazmi, kerajaan Malaysia sedang dalam proses perbincangan untuk menghantar pelajar-pelajar Malaysia yang berminat untuk belajar ilmu perubatan ke universiti ini. Kos pengajiannya jauh lebih murah berbanding kos pengajian di JUST, Irbid.


Pintu masuk University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Fakulti Syari'ah University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Fakulti Syari'ah University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Dewan kuliah Fakulti Syari'ah University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Fakulti Kesenian University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Fakulti Kesenian University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Bersama Hazmi di Fakulti Perubatan University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Bersama seorang pelajar Malaysia di Fakulti Perubatan University of Mu'tah, Mu'tah, Jordan

Sedang aku & Hazmi berjalan-jalan di dalam University of Mu’tah, kami bertemu dengan seorang pelajar Malaysia yang baru sahaja selesai kuliahnya. Memandangkan dia tidak mempunyai apa-apa hal, maka dia turut mengikut kami berdua ke destinasi yang seterusnya, iaitu Medan Perang Mu’tah yang terletak tidak jauh dari universiti tersebut. Perang Mu’tah berlaku pada tahun 629 yang melibatkan kerajaan Islam pimpinan Rasulullah SAW & Empayar Byzantine pimpinan Maharajanya, iaitu Heraclius. Jumlah tentera Islam dalam perang tersebut adalah seramai 3,000 orang, sementara jumlah tentera Empayar Byzantine pula adalah seramai 20,000 orang, 6 kali ganda lebih besar berbanding jumlah tentera Islam. Punca peperangan ini adalah disebabkan pembunuhan seorang utusan Rasulullah SAW ke wilayah Ghassan ketika baginda ingin menyebarkan dakwah Islam ke wilayah jajahan Empayar Byzantine itu.

Rasulullah SAW melantik anak angkatnya, Zaid bin Harithah sebagai ketua panglima Perang Mu'tah. Sekiranya dia syahid, Ja’far bin Abu Talib bakal menggantikannya. Dan jikalau dia juga syahid, Abdullah bin Rawahah pula yang bakal menjadi pengganti. Walau bagaimanapun, dalam perang tersebut, ketiga-tiga mereka terkorban. Dan akhirnya, ketika tentera Islam berada di saat yang genting itu, kesemua mereka bersepakat melantik Khalid al-Walid sebagai ketua panglima tentera. Dengan menggunakan taktik pengunduran yang bijak, Khalid al-Walid berjaya menyelamatkan sejumlah besar tentera Islam dalam perang tersebut.


Medan Perang Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Medan Perang Mu'tah, Mu'tah, Jordan


Bersama seorang pelajar Malaysia di Medan Perang Mu'tah, Mu'tah, Jordan

Selepas melawat Medan Perang Mu’tah, kami bertiga menaiki teksi untuk ke pekan Mu’tah. Dari situ, aku & Hazmi ke destinasi kami yang seterusnya, iaitu kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib dengan menaiki teksi lain. Sementara pelajar Malaysia yang bersama dengan kami tadi terus pulang ke rumahnya di pekan Mu'tah. Tidak berapa lama kemudian, kami berdua pun tiba di kompleks makam tersebut. Di situ, aku agak terkejut apabila terpandang papan-papan tanda yang ditulis dalam Bahasa Indonesia, Bahasa Arab & Bahasa Inggeris. Hahaha. Menurut Hazmi, terdapat ramai warga Indonesia yang menetap di sekeliling kompleks makam tersebut. Kompleks makam ini dibina bagi menempatkan makam 2 orang panglima Islam yang terkorban dalam Perang Mu’tah, iaitu Zaid bin Harithah & Ja’afar bin Abu Talib.

Zaid bin Harithah pada mulanya adalah hamba yang dihadiahkan kepada isteri pertama Rasulullah SAW, iaitu Khadijah binti Khuwailid. Rasulullah SAW kemudian mengambilnya sebagai anak angkat. Sewaktu ayah kandungnya hendak menuntutnya semula, dia berkata kepada ayahnya itu yang dia ingin tinggal terus bersama Rasulullah SAW. Kemudian, apabila baginda Rasulullah SAW mendapat wahyu pertama, Zaid bin Harithah adalah antara golongan pertama yang memeluk ajaran Islam. Namanya juga ada disebut di dalam Al-Quran, dalam surah Al-Ahzab, ayat 37. Ini menjadikan Zaid bin Harithah sebagai satu-satunya sahabat Rasulullah SAW yang disebut namanya oleh Allah SWT di dalam kitab suci tersebut:

وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَاهُ فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ مَفْعُولًا

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya) dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. (Surah Al-Ahzab: Ayat 37)

Ja’afar bin Abu Talib pula adalah sepupu Rasulullah SAW. Dia adalah anak kepada bapa saudara baginda, iaitu Abu Talib. Dia dikatakan mempunyai wajah & perwatakan seperti Rasulullah SAW. Dia juga adalah antara golongan pertama yang memeluk Islam & dia adalah antara beberapa orang yang berhijrah ke Habsyah untuk berlindung di bawah pemerintahan Raja Najasyi yang terkenal dengan keadilannya. Raja tersebut kemudiannya memeluk Islam setelah mendengar hujah-hujah tentang Islam yang disampaikan olehnya. Dia tinggal selama 10 tahun di Habsyah sebelum berpindah ke Madinah.


Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Makam Ja’far bin Abu Talib di Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Makam Ja’far bin Abu Talib di Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan


Makam Zaid bin Harithah di Kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’far bin Abu Talib, Mu'tah, Jordan

Selepas melawat kompleks makam Zaid bin Harithah & Ja’afar bin Abu Talib, Hazmi membawa aku melawat sebuah lagi makam panglima Perang Mu’tah yang syahid dalam perang tersebut, iaitu makam Abdullah bin Rawahah. Beliau adalah pemuda golongan Ansar dari suku kaum Khazraj & merupakan salah seorang daripada 12 orang penduduk Madinah yang mula-mula sekali memeluk Islam sebelum berlakunya peristiwa penghijrahan umat Islam ke Madinah. Atas jasanya, Islam tersebar dengan begitu cepat di Madinah.


Makam Abdullah bin Rawahah, Mu'tah, Jordan


Makam Abdullah bin Rawahah, Mu'tah, Jordan

Selepas melawat ketiga-tiga makam syahidin Perang Mu’tah itu, aku & Hazmi kembali semula ke pekan Mu’tah dengan menaiki teksi. Hazmi kemudiannya membawa aku menziarahi beberapa rumah pelajar-pelajar Malaysia di Mu’tah. Antaranya ialah sebuah rumah bekas-bekas pelajar Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA). Mereka semua tersangatlah ramah. Seronok aku berbual dengan mereka. Lama juga aku menghabiskan masa di situ. Apabila sudah hampir senja, aku & Hazmi pun meminta diri untuk pulang ke Bayt Dimasyq.

Bayt Dimasyq pada waktu itu sebenarnya sedang mengalami masalah ketiadaan air kerana bekalan air tangki untuk tempoh seminggu mereka sudah pun habis. Ianya mungkin habis cepat kerana aktiviti memasak untuk majlis perpisahan Sa'id malam semalam. Disebabkan kehabisan bekalan air, mereka terpaksa menghubungi syarikat lori air untuk membeli air. Di negara Jordan, air adalah antara masalah utama mereka kerana ketiadaan sumber air seperti sungai. Yang ada cuma mata air atau wadi. Bekalan air selalunya akan dihantar dari rumah ke rumah seminggu sekali oleh lori-lori air.

Selepas solat Maghrib, Zaid datang ke Bayt Dimasyq untuk bertanyakan tentang Interrail, tiket pass keretapi tanpa had yang digunakan oleh pelancong-pelancong di benua Eropah. Aku telah dua kali menggunakan tiket pass itu. Menurut Zaid, dia hendak melihat-lihat benua Eropah supaya suatu hari nanti dia dapat mengembangkan sayap syarikat pelancongannya ke sana. Hahaha. Mudah-mudahan tercapailah hasratnya itu. Selepas hampir sejam menerangkan kepadanya tentang Interrail, dia pun meminta diri untuk pulang ke rumahnya. Secara kebetulan, Amer, salah seorang penghuni Bayt Dimasyq mengajak aku untuk menziarahi rumah rakan-rakannya yang tidak jauh dari situ. Hamzah pun berhajat untuk turut ikut sekali. Oleh itu, kami berempat pun bergerak keluar bersama-sama.

Di suatu simpang, kami terserempak dengan Taufiq. Kami mengajaknya sekali ke rumah yang hendak kami tujui. Di simpang itu jugalah Zaid meminta diri untuk pulang ke rumahnya. Aku mengucapkan jutaan terima kasih kepadanya kerana telah membantu sedikit sebanyak dalam pengembaraan aku di bumi Jordan ini. Aku mungkin tidak akan berjumpa dengannya lagi selepas ini kerana aku akan terus ke Damsyik, Syria esok pagi. Selepas bersalaman dengan Zaid, aku, Amer, Hamzah & Taufiq pun terus menuju ke rumah yang menjadi tujuan kami.

Sesampainya kami berempat di rumah yang dimaksudkan, kami pun dijemput masuk oleh penghuni-penghuni rumah tersebut yang berjumlah 4 orang kesemuanya. Kami dijamu makan malam & sambil-sambil itu, kami berbual panjang. Aku seolah-olah seperti tidak percaya yang pada waktu itu aku sedang berada di bumi Jordan di samping orang-orang yang baru sahaja aku kenali yang belum pernah aku jumpa sebelum ini. Layanan yang mereka beri tersangatlah mengharukan. Benarlah kata sesetengah orang. Adakalanya, orang yang kita baru kenal melayan kita dengan lebih baik daripada orang yang kita telah lama kenal.

Apabila sudah selesai makan, kami berempat pun meminta diri untuk pulang ke Bayt Dimasyq. Kami mengucapkan terima kasih kepada penghuni-penghuni rumah tersebut yang sudi menjamu kami dengan makanan-makanan yang enak. Setibanya di Bayt Dimasyq, aku pun masuk ke dalam bilik Taufiq untuk menunaikan solat. Kemudian, aku pun terus melelapkan mata.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


1 buah komen:

anyss Sunday, August 15, 2010 at 2:21:00 AM GMT+8  

Assalamualaikum dan selamat menunaikan ibadah puasa.
Kagum betul bila ada tulisan berbahasa melayu kat negara nan sejauh itu dari tanah melayu...padahal, ramai orang melayu malu nak berbahasa melayu

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP