SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XV) - Mu'TaH II

>> Tuesday, August 10, 2010



Selepas menziarahi Makam Nabi Nuh a.s, aku, Taufiq, Rozaili, Ideris, Fawwaz, Luqman & Hilmi menuju pulang ke Bayt Dimasyq di Mu’tah. Setibanya kami di Bayt Dimasyq, kami berehat-rehat buat seketika. Beberapa minit kemudian, kami bertujuh menaiki kereta semula untuk ke pekan Mu’tah. Rozaili, Ideris, Fawwaz, Luqman & Hilmi hendak membeli bahan-bahan untuk aktiviti barbeku mereka di Aqabah nanti. Aku & Taufiq sekadar menemani mereka berlima sebelum kami ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Selepas selesai membeli bahan-bahan yang diperlukan, mereka berlima pun pulang ke Bayt Dimasyq untuk bersiap-siap untuk ke Aqabah. Sementara aku & Taufiq pula terus berjalan kaki menuju ke rumah Zaid untuk mengajaknya bersama-sama ke masjid.

Setibanya kami berdua di rumah Zaid, dia pun turun untuk ke masjid bersama-sama dengan kami. Ini adalah kali pertama aku bertemu dengan Zaid. Sebelum ini, kami cuma berbual di alam maya sahaja. Hahaha. Zaid adalah siswazah kelulusan University of Mu’tah. Pada waktu itu, dia sedang menetap di Mu’tah untuk menguruskan syarikat pelancongannya yang dikongsi bersama dengan rakannya, Hazimin yang menetap di Malaysia. Nama syarikat mereka ialah HZ Travel & Tour. Syarikat mereka ini menawarkan banyak pakej pelancongan, bukan sahaja di sekitar rantau Timur Tengah, malah di rantau-rantau lain di seluruh dunia. Zaid ini juga adalah anak sulung kepada Makcik Ina, yang juga merupakan rakan alam maya aku. Aku telah mengenali Makcik Ina ini lebih dahulu sebelum aku mengenali anaknya, Zaid. Akan tetapi, aku dapat berjumpa dengan anaknya dahulu sebelum aku dapat berjumpa dengannya. Hehehe. InsyaAllah, satu hari nanti aku pasti akan dapat juga berjumpa dengan Ummu Zaid. Zaid kini sudah pun beristeri & beranak satu. Isterinya masih lagi belajar di University of Mu'tah pada waktu itu. Anak lelakinya, Umair pula baru berusia beberapa bulan.

Kami bertiga menunaikan solat fardhu Jumaat di masjid utama di Mu’tah. Selepas selesai solat, aku menunggu di luar. Tidak lama kemudian, muncullah Zaid & Taufiq. Mereka kemudiannya memperkenalkan aku kepada warga-warga Malaysia yang lain di Mu’tah di kawasan luar masjid itu. Ramai juga sebenarnya pelajar-pelajar Malaysia di Mu’tah ini. Aku juga sempat berkenalan dengan Syaheed, anak bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin. Syaheed juga adalah penuntut di University of Mu’tah.

Aku & Taufiq kemudiannya dipelawa oleh Zaid untuk ke rumahnya. Isterinya sedang menyediakan makan tengah hari untuk kami. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, aku & Taufiq terus menerima sahaja pelawaannya. Sewaktu di rumah Zaid, kami berdua berbincang mengenai perancangan kami untuk ke Petra. Taufiq hanya mendengar sahaja. Menurut Zaid, jika tiada apa-apa halangan, dia akan membawa aku ke Petra esok. Waah. Tidak sabar rasanya aku hendak menjejakkan kaki aku di Petra, salah satu daripada 7 Keajaiban Dunia.

Selesai sahaja makan tengah hari di rumah Zaid, aku & Taufiq kembali semula ke Bayt Dimasyq dengan berjalan kaki. Aku pada mulanya merancang untuk menumpang di rumah Zaid. Tetapi, apabila memikirkan yang dia sudah berkeluarga, aku terus menukar perancangan aku untuk menumpang sahaja di Bayt Dimasyq bersama jejaka-jejaka bujang yang lain. Lebih selesa. Mujurlah aku dibawa oleh Dziya & rakan-rakannya ke rumah tersebut. Aku sebenarnya memang tidak pernah merancang langsung untuk menumpang di Bayt Dimasyq. Aku tidak pernah tahu akan kewujudan rumah tersebut & penghuni-penghuninya sebelum aku tiba di Mu'tah. Segala-galanya telah ditentukan Allah SWT yang telah memudahkan perjalanan aku. Syukur Alhamdulillah. Setibanya aku & Taufiq di Bayt Dimasyq, kami diberitahu bahawa Dziya, Muhamad, Rozaili, Ideris, Fazli, Fawwaz, Luqman & Hilmi sudah pun bertolak ke Aqabah. Aku doakan mereka lapan orang akan tiba di Aqabah dengan selamat.


Kedudukan Mu'tah dalam peta Jordan

Taufiq mempelawa aku menumpang di biliknya. Aku pun lalu membawa masuk kesemua barang-barang aku ke dalam biliknya. Dia menyediakan tilam untuk aku beradu. Pada petang tersebut, aku tidak melakukan apa-apa aktiviti. Sekadar berehat-rehat sahaja sambil membaca sedikit tentang Petra yang terdapat dalam buku panduan ‘Middle East’ terbitan Lonely Planet yang aku bawa. Kemudian, aku menunaikan solat Asar & selepas itu, aku menyambung kembali membaca.

Apabila malam sudah menjelma, aku dipelawa oleh seisi rumah tersebut untuk makan malam bersama mereka. Makan bertalam. Meriah sungguh suasana rumah yang dihuni oleh 12 orang itu. Masing-masing mempunyai ragam yang tersendiri. Selain Taufiq & Hazmi, penghuni-penghuni Bayt Dimasyq yang lain ialah Amer, Muzamir, Fadhli, Adi, Uwais, Arif, Syaheed, Said, Afiq & Hamzah. Bahagia sangat rasanya hidup dalam keadaan seperti itu. Ukhwah antara mereka semua benar-benar teguh. Setiap kali makan malam, beginilah suasana rumah mereka. Tidak pernah pula aku merasa semua itu sewaktu aku tinggal di Dublin bersama rakan-rakan serumah. Masing-masing makan di dalam bilik sendiri.

Sambil makan, mereka semua menujukan bermacam-macam pertanyaan kepada aku. Kebanyakannya berkenaan dengan Ireland & pengalaman aku di sana. Penat aku menjawab setiap satu soalan. Tetapi, aku rasa seronok. Kalau boleh, aku tidak mahu berhenti menjawab soalan-soalan mereka itu. Berminat betul mereka hendak mengetahui tentang bumi Ireland. Hehehe.

Selesai sahaja makan, aku pun menunaikan solat. Seketika kemudian, Zaid menelefon aku. Dia mengatakan bahawa dia tidak boleh membawa aku ke Petra esok kerana dia perlu ke Irbid untuk menguruskan sesuatu. Dia akan membawa aku ke Irbid bersama-samanya dengannya. Mungkin kami akan dapat melawat beberapa buah tempat yang terdapat di sepanjang perjalanan nanti. Menurutnya lagi, dia akan membawa aku ke Petra pada hari Ahad nanti. Aku bersetuju sahaja dengan rancangannya itu. Selepas itu, aku pun terus melelapkan mata.

Bersambung...

SELAMAT BERPUASA & MENGHAYATI KEBERKATAN BULAN RAMADHAN 1431H... MOGA BULAN RAMADHAN TAHUN NI DPT DIISIKAN DGN LEBIH BYK IBADAH BERBANDING THN LEPAS.. INSYAALLAH... Teruskan membaca TRAVELOG SYAM: BUMI ANBIYA'.. :)




SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


2 buah komen:

rozailiaswan Wednesday, August 11, 2010 at 12:12:00 AM GMT+8  
This comment has been removed by the author.
rozailiaswan Wednesday, August 11, 2010 at 12:16:00 AM GMT+8  

Mantap la jhaz..
teknik penceritaan yang rapi dan teliti.. hehe..
tp sorry dan maaf byk2.. x sempat nk jumpa last time nk bertolak ker Aqabah tu.. tp ap2 alhamdulillah semuanya selamat..

satu lgi, Ust. Zaid sekarang ni dah 2 anak la.. bru jer dpt ank ke dua.. hehe .
x miss setiap hari bace travel log Bumi Syam ni... hehe..

"selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak"

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP