SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XI) - LauT MaTi

>> Thursday, August 05, 2010



Hari 5: 21 MEI 2009

Pada hari ini, aku dibawa ke Laut Mati & Mount Nebo. Selesai sahaja mandi & bersiap-siap, aku & Hariz pun terus keluar menuju ke kereta sewa kami yang diletakkan di luar flat. Trip pada hari ini disertai oleh 3 orang lagi, iaitu Dziya, Rozaili & seorang lagi kenalan baru aku, iaitu Muhamad. Apabila semua orang sudah sedia, kami berlima pun mula bergerak menuju ke Laut Mati. Dziya bertugas sebagai pemandu, sementara Hariz pula selaku pembaca peta. Ini sebenarnya adalah kali pertama mereka berempat mengembara sendiri dengan kereta tanpa bantuan senior. Ini juga adalah kali pertama Dziya memandu kereta di bumi Jordan & kali pertama Hariz menjadi pembaca peta. Hahaha. Harapan aku agar tiada apa-apa masalah besar yang akan timbul sepanjang trip kami ini.

Walau bagaimanapun, kami menghadapi beberapa halangan sewaktu dalam perjalanan ke Laut Mati. Antaranya ialah kereta yang kami naiki ditahan oleh polis sewaktu dipandu di lebuh raya kerana dikatakan telah melebihi had kelajuan yang ditetapkan, iaitu 120 km/jam. Menurut Dziya selaku pemandu, kelajuan yang paling tinggi dipandunya pun cuma 125 km/jam. Terlebih 5 unit sahaja. Begitu teliti sekali polis-polis di sini menjalankan tugas. Selepas mereka berempat puas memujuk pegawai-pegawai polis tersebut, akhirnya kami dilepaskan tanpa perlu membayar denda. Mereka melepaskan kami dengan alasan kami ini masih belajar & belum bekerja.

Tidak berapa lama selepas itu, kami ditahan lagi atas kesalahan yang sama. Hahaha. Inilah mata pencarian yang mudah & yang utama bagi polis-polis di Jordan, iaitu melalui denda yang dikenakan ke atas pemandu-pemandu yang memandu melebihi had kelajuan. Sekali lagi, mereka berempat terpaksa memujuk pegawai polis yang menahan kereta kami itu. Dan sekali lagi, mereka telah berjaya. Kami dilepaskan tanpa perlu membayar apa-apa denda.

Aku betul-betul kagum dengan mereka berempat ini. Baru tahun pertama di bumi Jordan sudah pandai memujuk-mujuk polis. Hebat sekali penguasaan Bahasa Arab mereka. Yang paling aku kagum sekali adalah dengan Dziya. Sebelum datang ke bumi Jordan, dia memang tidak ada asas Bahasa Arab langsung. Dia tidak pernah belajar Bahasa Arab di sekolah & dia tidak mengikuti kursus persediaan ke Jordan di INTEC seperti rakan-rakannya yang lain kerana dia adalah pelajar di bawah tajaan ibu-bapanya sendiri. Bahasa Arab yang dikuasainya kini pun semuanya hasil daripada apa yang dipelajarinya melalui perbualan & pengalamannya dengan orang-orang tempatan & juga melalui rakan-rakan Malaysia yang lain dalam masa setahun di sini. Hebat sungguh.

Halangan seterusnya yang kami hadapi ialah terlepas jauh dari tempat tujuan kami. Hampir 20 kilometer jauhnya kami terlepas. Ini menyebabkan kami terpaksa berpatah balik sejauh 20 kilometer. Mujurlah hanya 20 kilometer sahaja. Tidak berapa lama kemudian, barulah kami akhirnya tiba di persisiran pantai Laut Mati dengan selamatnya. Syukur kepada Allah SWT. Aku sememangnya sudah lama menyimpan keinginan untuk ke Laut Mati, salah satu ciptaan-Nya yang menakjubkan di bumi ini.

Laut Mati yang menjadi sempadan antara Jordan & Palestin (Tebing Barat) ini sebenarnya adalah sebuah tasik & bukannya laut. Ia dipanggil laut kerana kemasinan airnya. Sungai Jordan adalah satu-satunya sungai yang menjadi sumber airnya. Paras permukaan airnya adalah serendah 422 meter, menjadikannya permukaan air yang terendah sekali di muka bumi ini.


Kedudukan Laut Mati dalam peta Jordan

Laut Mati mempunyai kedalaman sedalam 378 meter. Peratus kandungan garamnya yang setinggi 31.5% menjadikannya 8.5 kali ganda lebih masin daripada air laut biasa. Kemasinannya yang melampau itu menyebabkan tiada hidupan laut yang boleh hidup di dalamnya. Dan sebab itulah ia digelar Laut Mati. Ketinggian peratusan kandungan garam dalam airnya juga menyebabkan air tasik ini mempunyai ketumpatan setinggi 1.24 kg/l. Inilah yang menyebabkan sesiapa sahaja boleh terapung di atas permukaan airnya tanpa perlu berenang. Subhanallah. Garam & mineral yang terkandung dalam airnya beserta selut-selut yang terdapat pinggir & dasarnya dikatakan bagus untuk kecantikan & kesihatan kulit. Ia dikatakan boleh menyembuh penyakit psoriasis. Pada masa kini, terdapat industri yang mengusahakan pengeluaran sabun & bahan-bahan kosmetik yang berasaskan air & selut Laut Mati.

Menurut Islam, Laut Mati ini dikatakan terbentuk hasil daripada kemurkaan Allah SWT terhadap kemungkaran kaum Nabi Lut a.s, iaitu kaum Sadum. Kaum Sadum dikatakan telah menghuni kawasan Laut Mati yang pada waktu itu merupakan sebuah dataran yang luas yang menjadi penempatan mereka. Kemungkaran terbesar yang dilakukan oleh mereka ialah amalan homoseksual, iaitu hubungan seks sejenis sesama lelaki & sesama perempuan. Nabi Lut a.s telah diutuskan oleh Allah SWT untuk berdakwah kepada mereka supaya kembali menyembah Allah SWT & meninggalkan amalan mereka yang terkutuk itu. Namun, setelah bertahun-tahun berdakwah, yang menjadi pengikutnya cuma beberapa orang sahaja.

Sebelum berlakunya bencana yang menimpa mereka, Allah SWT telah mengutuskan dua malaikat yang menjelma sebagai 2 orang lelaki kacak untuk bertemu dengan Nabi Lut a.s. Kedatangan kedua-dua malaikat yang menjelma sebagai lelaki-lelaki kacak itu akhirnya menjadi tumpuan lelaki-lelaki kaum Sadum & mereka memaksa Nabi Lut a.s untuk menyerahkan kedua-dua lelaki kacak itu kepada mereka. Itu sebenarnya adalah ujian terakhir yang Allah SWT berikan kepada kaum itu. Disebabkan kedegilan mereka, akhirnya Allah SWT memerintahkan Nabi Lut a.s & pengikutnya meninggalkan bumi Sadum. Selepas itu, Allah SWT pun mengangkat bumi Sadum, menerbalikkannya & kemudian meletakkannya semula ke atas permukaan bumi. Inilah yang menyebabkan terbentuknya permukaan tanah yang paling rendah sekali di muka bumi. Tidak lama selepas itu, mengalirlah air dari Sungai Jordan membentuk Laut Mati seperti yang kita lihat pada hari ini. Kemasinan airnya mungkin disebabkan oleh laknat Allah SWT ke atas bumi tersebut. MasyaAllah. Kisah tentang Nabi Lut a.s & kaum Sadum ada diceritakan di dalam Al-Quran:

فَلَمَّا جَاء آلَ لُوطٍ الْمُرْسَلُونَ ﴿٦١﴾ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ ﴿٦٢﴾ قَالُواْ بَلْ جِئْنَاكَ بِمَا كَانُواْ فِيهِ يَمْتَرُونَ ﴿٦٣﴾ وَأَتَيْنَاكَ بَالْحَقِّ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ ﴿٦٤﴾ فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍ مِّنَ اللَّيْلِ وَاتَّبِعْ أَدْبَارَهُمْ وَلاَ يَلْتَفِتْ مِنكُمْ أَحَدٌ وَامْضُواْ حَيْثُ تُؤْمَرُونَ ﴿٦٥﴾ وَقَضَيْنَا إِلَيْهِ ذَلِكَ الأَمْرَ أَنَّ دَابِرَ هَؤُلاء مَقْطُوعٌ مُّصْبِحِينَ ﴿٦٦﴾ وَجَاء أَهْلُ الْمَدِينَةِ يَسْتَبْشِرُونَ ﴿٦٧﴾ قَالَ إِنَّ هَؤُلاء ضَيْفِي فَلاَ تَفْضَحُونِ ﴿٦٨﴾ وَاتَّقُوا اللّهَ وَلاَ تُخْزُونِ ﴿٦٩﴾ قَالُوا أَوَلَمْ نَنْهَكَ عَنِ الْعَالَمِينَ ﴿٧٠﴾ قَالَ هَؤُلاء بَنَاتِي إِن كُنتُمْ فَاعِلِينَ ﴿٧١﴾ لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ ﴿٧٢﴾ فَأَخَذَتْهُمُ الصَّيْحَةُ مُشْرِقِينَ ﴿٧٣﴾ فَجَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ ﴿٧٤﴾ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِّلْمُتَوَسِّمِينَ ﴿٧٥

Maka apabila (malaikat-malaikat) utusan itu datang kepada kaum Nabi Lut. Nabi Lut berkata, "Sesungguhnya kamu suatu kaum yang tidak dikenali (serta tidak diketahui baiknya kedatangan kamu)." Mereka menjawab, "(Kedatangan kami bukan untuk mendukacitakanmu) bahkan kami datang kepadamu untuk membawa azab yang mereka ragu-ragukan kebenarannya. Juga membawa kepadamu perkara yang benar (tentang kebinasaan mereka); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar. Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada waktu malam serta ikutlah di belakang mereka; dan janganlah seseorang pun di antara kamu berpaling (ke belakang); serta pergilah terus ke arah yang diperintahkan kamu menujunya." Dan Kami wahyukan kepadanya tentang kesudahan perkara itu; iaitu mereka akan dibinasakan pada waktu pagi, sehingga mereka punah ranah dan terputus keturunannya. Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar itu dengan gembira. Nabi Lut berkata, "Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku. Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu menghinakan daku." Mereka menjawab, "Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka)?" Nabi Lut berkata, "Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal). Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka. Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya. (Surah Al-Hijr: Ayat 61-75)

Setibanya aku, Hariz, Dziya, Rozaili & Muhamad di persisiran Laut Mati, kami pun menyalin pakaian. Kemudian, aku, Hariz & Rozaili berjalan mendekati air Laut Mati itu. Aku & Hariz lalu masuk ke dalamnya & mengapungkan diri kami. Hahaha. Tercapai juga cita-cita aku untuk mengapungkan diri aku di atas permukaan Laut Mati. Rozaili tidak mandi sekali. Dia cuma bermain-main air sambil menyapu mukanya dengan selut yang terdapat di persisiran pantai itu. Sementara Dziya & Muhamad pula hanya duduk di tepi pantai. Mereka tidak mandi sekali. Mungkin kerana sinaran matahari yang terlampau terik. Lagipun, ini bukanlah kali pertama mereka datang ke sini. Di seberang Laut Mati ini, aku dapat melihat bumi Palestin (Tebing Barat) dengan jelas. Untuk berenang ke sana, tidaklah sejauh mana. Namun, aku perlu lebih mengutamakan keselamatan aku.


Bersama Dziya, Hariz & Muhamad di Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Bersama Muhamad, Rozaili & Dziya di Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan


Laut Mati, Jordan

Agak lama juga aku mengapungkan diri aku. Apabila sudah puas, aku pun kembali ke darat. Kemudian, aku meminta pertolongan Rozaili untuk menyapukan selut-selut pada muka aku. Mungkin ianya boleh menghilangkan jerawat-jerawat pada muka aku. Di pinggir Laut Mati itu juga aku terjumpa beberapa buah batu yang diselaputi oleh kristal-kristal putih yang terbentuk daripada garam air laut. Cantik betul rupanya. Apabila selut-selut di muka sudah kering, aku & Hariz berjalan kaki ke bilik air untuk membersihkan badan dengan air paip. Selesai sahaja mandi, aku mengikut mereka berempat ke kedai cenderahati yang terdapat di situ. Kami membeli beberapa buku sabun berserta bahan-bahan kosmetik yang lain untuk dibawa pulang. Selepas membeli-belah, kami pun kembali ke kereta untuk meneruskan perjalanan kami ke destinasi yang seterusnya, iaitu Mount Nebo.


Menyapu selut di muka di Laut Mati, Jordan


Menyapu selut di muka di Laut Mati, Jordan


Kristal garam di Laut Mati, Jordan


Kristal garam di Laut Mati, Jordan

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


3 buah komen:

Ayah Zain Friday, August 6, 2010 at 7:32:00 AM GMT+8  

salam Jhaz

salam ziarah. satu info yang seolah-olah az sendiri berada ikut rombongan kamu. hehhe

nadz Friday, August 6, 2010 at 9:42:00 AM GMT+8  

Assallamualaikum Jhaz,

Mama sentiasa membaca N3 Jhaz. mama mengambil kesempatan mengucapkan "Selamat hari lahir:
semuga sentiasa dirahmati Allah .

Ku Din Friday, August 6, 2010 at 10:11:00 AM GMT+8  

Salam Dr Jhaz,

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Ulang Tahun, Moga ceria dan sihat selalu.

Salam ramadan

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP