SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG VIII) - aJLuN

>> Monday, August 02, 2010



Setelah menghabiskan masa lebih kurang 2 jam di dalam runtuhan kota Jerash yang panas lagi kering itu, aku, Hadi & Dziya pun akhirnya berlalu keluar dari kota itu. Kami seterusnya mencari-cari kalau ada masjid di sekitar kawasan itu supaya kami dapat menunaikan solat Zohor. Akan tetapi, pencarian kami menemui kegagalan. Tiada satu masjid pun yang ada di situ. Surau yang terdekat pun terletak di stesen bas Jerash. Kami lantas terus ke sana dengan menaiki teksi. Sesampainya kami di stesen bas yang dimaksudkan, kami pun menunaikan solat Zohor di surau yang ada di situ.

Selesai sahaja bersolat, kami meneruskan perjalanan kami ke destinasi kedua kami pada hari ini, iaiti Ajlun. Kami bertanya kepada orang-orang di kawasan stesen bas Jerash jikalau ada perkhidmatan bas ke Ajlun dari situ. Menurut kata mereka, tiada perkhidmatan bas ke Ajlun dari Jerash. Yang ada cuma perkhidmatan teksi. Disebabkan tiada pilihan, kami pun menaiki teksi ke sana. Kami terpaksa berunding-runding dengan pemandu teksi yang kami naiki untuk mendapatkan harga tambang yang agak berpatutan. Beginilah yang selalu dilakukan oleh orang-orang tempatan & pelajar-pelajar Malaysia yang menaiki teksi di Jordan. Seringkali terpaksa berunding-runding dengan pemandu teksi untuk mendapatkan harga tambang yang semurah mungkin kerana ada antara teksi-teksi di sini tidak menggunakan meter. Mujurlah ada Hadi & Dziya yang fasih berbahasa Arab.

Perjalanan dari Jerash ke Ajlun memakan masa agak lama. Hampir sejam lamanya. Setibanya kami di Ajlun, kami pun terus dibawa ke lokasi tarikan utama yang terdapat di sini, iaitu Ajlun Castle. Kami membeli tiket terlebih dahulu. Kemudian, barulah kami masuk untuk melihat istana lama tersebut. Pemandu teksi itu menunggu kami di tempat letak kereta sehingga kami puas melihat-lihat istana tersebut. Dia akan membawa kami pulang ke Irbid semula seperti yang telah dirundingkan sewaktu di Jerash tadi.


Kedudukan Ajlun dalam peta Jordan

Ajlun Castle adalah sebuah istana lama yang terletak di atas sebuah bukit yang bernama Jabal Auf. Istana yang juga berfungsi sebagai kubu pertahanan ini dibina oleh Izzuddin Usama, anak saudara Salahuddin al-Ayyubi yang juga merupakan anggota tenteranya. Ia dibina sekitar tahun 1185. Ajlun Castle adalah antara beberapa buah kubu pertahanan yang dibina untuk melindungi kerajaan Ayyubiah daripada serangan tentera Salib dari Karak di bahagian selatan & dari Bisan di bahagian barat. Kubu pertahanan ini mulai hilang kepentingannya selepas Karak berjaya dirampas oleh tentera Salahuddin al-Ayyubi daripada tentera Salib pada tahun 1187. Selepas kematian Izzuddin Usama, Ajlun Castle diperbesarkan lagi oleh gabenor Mamluk yang bernama Aibak bin Abdullah antara tahun 1214 hingga 1215.

Ajlun Castle ini kemudiannya diserang oleh tentera Mongol pada tahun 1260 & sebahagian besar daripadanya termusnah. Namun, selepas kerajaan Mamluk berjaya menewaskan tentera Mongol dalam Perang Ain Jalut, kubu tersebut diperbaiki semula. Ianya terus digunakan sehingga era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Dua kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 1837 & 1927 telah merosakkan binaan kubu ini. Baru-baru ini, kerajaan Jordan telah mula melakukan kerja-kerja membaiki semula istana & kubu lama yang bersejarah ini.

Kami bertiga sebenarnya agak kebosanan di Ajlun Castle ini kerana senibinanya tidaklah begitu menarik perhatian kami & ianya tidaklah segah mana. Pemandangan yang dapat dilihat dari bahagian atasnya pun biasa-biasa sahaja bagi kami. Oleh itu, kami cuma menghabiskan masa beberapa minit sahaja di sini. Selepas itu, kami pun kembali semula ke teksi yang sedang menunggu kami di bawah. Setelah mendapatkan teksi itu, kami bertiga pun dibawa pulang ke Irbid.


Ajlun Castle di puncak Jabal Auf, Jordan


Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Bersama Dziya di Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Ruang dalam Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Bersama Dziya di bahagian atas Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Di bahagian atas Ajlun Castle, Ajlun, Jordan

Apabila sudah tiba di Irbid, kami pun membayar tambang kepada pemandu teksi itu. Kami rupa-rupanya telah tersalah faham sewaktu perbincangan berkenaan tentang harga tambang ketika di Jerash tadi. Kami sendiri tidak pasti sama ada kami yang tersalah dengar, atau pemandu teksi itu yang tersalah cakap. Kami diminta membayar harga tambang yang lebih mahal pula dari harga yang telah dibincangkan. Disebabkan malas untuk bergaduh-gaduh, kami pun membayar sahaja harga tambang seperti yang dimintanya. Pandai benar dia memutar belit. Wallahu 'alam.

Selepas itu, kami bertiga singgah di sebuah gerai makan yang terletak tidak jauh dari flat mereka untuk makan tengah hari. Kami makan sambil berbual mengenai pelbagai perkara. Selesai sahaja makan, kami pun kembali ke flat. Aku & Hadi kembali ke apartmen kami. Dziya pula kembali ke apartmennya. Sesampainya di apartmen, aku pun terus masuk ke dalam bilik Hariz yang pada waktu sedang mengulangkaji pelajarannya. Peperiksaan mereka tidak lama lagi. Aku terasa seperti menyusahkan mereka pula. Hariz kemudiannya memberikan aku kad SIM Jordan seperti yang telah aku pesan kepadanya pada awal pagi tadi. Aku lalu mengucapkan terima kasih kepadanya. Kemudian, aku pun memasukkan kad SIM itu ke dalam telefon bimbit aku.

Selepas solat Asar, aku melelapkan mata buat seketika sementara menunggu masuknya waktu Maghrib. Beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib, Hariz mengajak aku ke masjid untuk solat berjemaah. Dia juga berkata yang Munir, seorang lagi rakan cyber aku di Jordan yang merupakan pelajar Perubatan Tahun Keempat di JUST ingin berjumpa dengan aku di masjid untuk membincangkan tentang hal menyewa kereta untuk ke destinasi-destinasi lain di Jordan. Masjid yang dimaksudkan ialah masjid kepunyaan Yarmouk University yang terletak bersebelahan Syari’ Jami’ah.

Selepas selesai solat Maghrib, sementara menunggu Munir yang belum muncul-muncul lagi, aku sempat berkenalan dengan beberapa orang pelajar Malaysia di Irbid. Ada yang belajar di JUST. Ada juga yang belajar di Yarmouk University. Ramai kenalan baru yang aku perolehi. Mereka semua ternyata peramah-peramah belaka. Beberapa ketika kemudian, muncul juga Munir. Dia & Hariz lalu mengajak aku makan malam di sebuah restoran berdekatan. Di restoran itulah kami membincangkan tentang hal menyewa kereta. Menurutnya, dia akan ke syarikat sewa kereta itu pada petang esok untuk menyewa sebuah kereta bagi pihak aku. Kereta itu akan disewa untuk jangka masa 24 jam seperti yang telah dirancang oleh kami sewaktu ber’chatting’ di Yahoo Messenger beberapa minggu lalu. Dan menurutnya juga, dia akan membawa aku ke Umm Qays pada petang esok dengan menaiki kereta itu.

Selepas selesai makan & perbincangan, kami pun pulang ke flat masing-masing. Aku mengikut Hariz pulang ke flatnya. Selepas solat Isyak, aku pun berehat-rehat di dalam bilik Hariz sambil dikunjungi oleh beberapa orang rakannya. Ramai juga kenalan baru yang aku dapat di Irbid ini. Hendak mengingati nama-nama mereka sememangnya agak susah kerana aku tidak begitu mudah untuk mengingati nama-nama orang yang baru dikenali. Hehehe. Dziya juga turut singgah di bilik Hariz untuk mengambil gambar-gambar di Jerash & Ajlun daripada kamera aku. Apabila malam sudah larut, aku pun melelapkan mata, membiarkan Hariz mengulangkaji pelajaran bersendirian.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


6 buah komen:

mama ju, Monday, August 2, 2010 at 7:00:00 PM GMT+8  

terimakasih kerana dapat menghayati senibina lama yg menakjudkan mcm Forum dll.
Dari blog ni juga mama ingat kembali pemerintah lama Umaiyyah,Abbasiah, Ayyubiah, Mamluk,Othmaniah dll.

Ternyata Dr memang hebat, meminati sejarah dan memanglah kaki ronda dunia!

hariz Monday, August 2, 2010 at 8:25:00 PM GMT+8  

hahaha tetibe terasa cam rajin gile pulak ade orang tulis pasal aku study. hehe btw, langsung tak menyusahkan aku kot. rileks2 sudah hehe

btw, asal asyik gamba ngan dziya je ni? hehehe

Aragorn Monday, August 2, 2010 at 8:52:00 PM GMT+8  

sbb aku low profle je hairz woii..hehe

btw,,nice post!

p/s: broo jhaz,,sedap sgt ke aku masak??kah kah

Muhamad Hazimin Sulaiman Monday, August 2, 2010 at 11:00:00 PM GMT+8  

baguih2..menunggu episod seterusnya.
puji2 sikit munir dlm blog hang.. heh2

shami2 Tuesday, August 3, 2010 at 9:02:00 AM GMT+8  

Salam dekk jhaz..

Salam ukhwah..
n3 yg cukup menarik...jauh perjalanan luas pengetahuan...
Semuanya mengingatkan dan mendekatkan kita pada Tuhan....

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP