SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XVIII) - PeTRa II

>> Friday, August 13, 2010



Setelah puas bergambar di Treasury, aku & Zaid meneruskan perjalanan kami melihat binaan-binaan lain yang terdapat di dalam kawasan Petra ini. Kami melalui sebatang jalan yang bernama Street of Facades, yang menjadi penyambung kepada Al-Siq. Di sepanjang Street of Facades, terdapat banyak ukiran-ukiran yang menarik yang dipahat pada batu-batu gunung di sebelah kiri & kanannya. Di penghujung jalan tersebut pula terletak Theatre, sebuah binaan yang berbentuk seperti stadium. Ia dikatakan dibina oleh orang-orang Nabatean pada awal kurun pertama Masihi. Binaan ini kemudiannya diperbesarkan lagi sewaktu Petra berada di bawah kekusasaan Empayar Rom. Theatre ini boleh memuatkan seramai 3,000 orang penonton dalam suatu masa.


Street of Facades di Petra, Jordan


Street of Facades di Petra, Jordan


Theatre di Petra, Jordan


Bersama Zaid di Theatre di Petra, Jordan

Seterusnya, kami melalui beberapa makam diraja yang terletak di sebelah kanan laluan kami. Menakjubkan sungguh melihat bagaimana gunung di sebelah kanan kami yang diberi nama Jabal Al-Khubtha dipahat sedemikian rupa untuk dijadikan tempat pengebumian raja-raja pada zaman dahulu. Antara nama makam-makam tersebut ialah Aneisho Tomb, Urn Tomb, Silk Tomb, Corinthian Tomb, Palace Tomb & Sextus Florentinus Tomb.


Makam-makam Diraja di Petra, Jordan


Makam-makam Diraja di Petra, Jordan

Selepas melalui kawasan makam-makam diraja tersebut, kami tiba di sebuah kawasan yang dikatakan merupakan pusat kepada kota Petra ini. Di bahagian kiri kami terdapat tiang-tiang batu tinggalan Empayar Rom yang dahulunya merupakan sebahagian daripada Colonnaded Street. Kami meneruskan perjalanan kami untuk ke Monastery, yang terletak di kawasan yang agak tinggi di kota ini. Kami perlu mendaki untuk ke situ. Pendakian kami memakan masa lebih kurang 30 minit lamanya. Penat sungguh. Di suatu tahap, aku berasa seperti mahu berputus asa sahaja & turun semula. Tidak sanggup untuk terus menyambung pendakian yang teramat memenatkan & mencabar kesabaran. Hahaha. Mujurlah aku dapat menguatkan semangat aku.


Colonnaded Street di Petra, Jordan


Colonnaded Street di Petra, Jordan


Colonnaded Street di Petra, Jordan

Akhirnya, setelah berhempas pulas mendaki sambil beberapa kali berhenti rehat untuk mengambil nafas, kami berdua akhirnya tiba juga di Monastery yang kami hendak tujui itu. Memang tidak sia-sia aku menghabiskan tenaga aku untuk ke situ. Binaannya tersangatlah menakjubkan. Rupanya seakan-akan Treasury yang kami jejaki tadi. Akan tetapi, Monastery ini lebih besar saiznya. Aku benar-benar kagum dengan kehebatan teknologi orang-orang zaman dahulu yang mampu menghasilkan objek yang sebegini indah. Binaan ini dikatakan dibina oleh orang-orang Nabatean yang kemudiannya digunakan oleh Empayar Kristian Byzantine sebagai tempat beribadat mereka.


Monastery di Petra, Jordan


Monastery di Petra, Jordan


Bersama Zaid di Monastery di Petra, Jordan


Monastery di Petra, Jordan


Monastery di Petra, Jordan

Selepas menghabiskan masa yang agak lama di sekitar Monastery, kami pun turun semula ke bahagian bawah. Panorama yang kami nikmati sewaktu berjalan turun ke bahagian bawah kota Petra ini amatlah memukau hati kami & hati sesiapa sahaja yang melihatnya. Walaupun kawasan di sekeliling kering kontang, tidak berpokok & hanya dipenuhi dengan batu-batu gunung, namun ianya tetap mampu menambat hati aku. Hebat sungguh alam ciptaan Allah SWT. Subhanallah.


Panorama kawasan kota Petra, Jordan


Panorama kawasan kota Petra, Jordan


Panorama kawasan kota Petra, Jordan


Panorama kawasan kota Petra, Jordan

Apabila sudah tiba di bahagian bawah, kami mengambil lagi beberapa keping gambar di sekitar kawasan itu. Setelah puas bergambar di situ, kami berdua pun berjalan keluar dari kota Petra. Tamatlah sudah ekspedisi aku & Zaid mengelilingi kota Petra. Kami menghabiskan masa lebih kurang 4 jam untuk berjalan di seluruh kawasan kota itu. Begitu lama sekali. Itu pun masih ada beberapa tempat lagi yang tidak kami jejaki kerana terlampau penat.

Apabila kami sudah tiba di pintu keluar kota Petra, Zaid terus menelefon pemandu van sewa tadi. Seketika kemudian, van sewa tersebut pun tiba & kami lantas masuk ke dalamnya. Kami kemudian singgah di sebuah restoran berdekatan untuk makan tengah hari. Selesai sahaja makan, kami pun meneruskan perjalanan pulang ke Mu’tah. Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di sebuah masjid untuk solat. Di masjid tersebut terdapat makam seorang sahabat yang bernama Harith bin Umair. Selesai solat, kami pun meneruskan perjalanan pulang.


Masjid Harith bin Umair, Jordan


Makam Harith bin Umair, Jordan


Makam Harith bin Umair, Jordan

Tidak berapa lama kemudian, kami pun tiba di Bayt Dimasyq di Mu’tah. Aku mengucapkan terima kasih kepada Zaid kerana menemani aku ke Petra. Seketika kemudian, Hazmi & Taufiq datang menghampiri van sewa yang kami naiki. Mereka menjemput Zaid hadir ke jamuan yang akan mereka adakan waktu malam nanti di rumah mereka. Zaid berjanji akan hadir jika tiada halangan. Setelah Zaid pulang ke rumahnya dengan van sewa tadi, aku pun terus masuk ke dalam Bayt Dimasyq untuk membersihkan diri daripada debu-debu Petra yang melekat pada badan. Seterusnya, aku berehat-rehat di dalam bilik Taufiq sambil melayari internet dengan menggunakan laptop Taufiq. Pada waktu itu, semua penghuni Bayt Dimasyq sedang bertungkus-lumus membersihkan rumah & memasak makanan untuk jamuan yang akan diadakan pada waktu malam nanti. Jamuan tersebut adalah majlis jamuan perpisahan untuk salah seorang penghuni rumah mereka, iaitu Sa’id yang akan pulang terus ke Malaysia beberapa hari lagi. Aku menawarkan diri untuk membantu, namun mereka menyuruh aku berehat-rehat sahaja di dalam bilik. Hahaha. Terasa bersalah pula aku kerana tidak membantu mereka, sedangkan aku menumpang secara percuma.

Selepas solat Maghrib, majlis pun bermula. Pada waktu itu, Bayt Dimasyq dipenuhi dengan warga-warga Malaysia di Mu’tah termasuklah Zaid. Zaid turut membawa anaknya yang comel, iaitu Umair yang baru berusia beberapa bulan. Majlis itu sebenarnya adalah majlis ‘surprise’. Orang yang diraikan, iaitu Sa’id memang tidak tahu-menahu langsung yang majlis itu sebenarnya adalah majlis perpisahan yang diadakan untuknya. Pada fikirannya, ianya adalah majlis jamuan biasa sahaja. Hahaha. Terkejut benar dia apabila mendapat tahu perkara sebenar. Beberapa ‘slide’ gambar-gambarnya yang dahulu & terkini kemudiannya dimainkan dengan menggunakan ‘projector’. Selepas itu, Sa’id diminta untuk memberi ucapan. Terharu pula aku mendengar ucapan perpisahannya.

Aku seperti tidak percaya yang aku pada waktu itu sedang berada di dalam kelompok warga Malaysia di Mu'tah yang amat rapat hubungan ukhwah mereka. Walaupun aku baru 3 hari berkenalan dengan mereka, terasa seperti sudah bertahun-tahun menjalinkan hubungan persahabatan. Aku diberi layanan yang istimewa oleh mereka semua. Terharu rasanya. Selepas Sa'id selesai berucap, barulah kami semua dijamu dengan makanan-makanan yang sememangnya teramatlah banyak. Kenyang benar aku pada malam itu. Selesai sahaja majlis itu, aku & beberapa orang penghuni rumah itu menonton sebuah filem yang dimainkan dengan menggunakan ‘projector’ yang sama. Aku kemudiannya berasa mengantuk kerana terlalu banyak makan. Selepas menunaikan solat Isyak, aku pun terus melelapkan mata.


Sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Zaid & Umair sebelum bermula majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Slide gambar-gambar Sa'id dimainkan sewaktu majlis perpisahannya di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Sa'id memberi ucapan sewaktu majlis perpisahannya di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Kek-kek di majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Kek-kek di majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Menikmati makanan-makanan di majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Makanan-makanan di majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Bersama warga-warga Malaysia di Mu'tah sewaktu majlis perpisahan Sa'id di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP