SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XVII) - PeTRa I

>> Thursday, August 12, 2010



Hari 8: 24 MEI 2009

Tepat pukul 8.00 pagi hari ini, van sewa yang aku naiki semalam pun tiba di hadapan Bayt Dimasyq. Pemandu Arab itu menepati waktu pula pada hari ini. Hehehe. Zaid keluar dari van itu untuk menjemput aku. Pada mulanya, Arif, salah seorang penghuni Bayt Dimasyq berhajat untuk mengikut sekali kami ke Petra. Akan tetapi, dia membatalkan hajatnya beberapa minit sebelum bertolak. Aduh. Maka, tinggal aku & Zaid sahajalah yang akan ke Petra pada hari ini. Kami berdua lalu masuk ke dalam van tersebut. Aku memberi salam kepada pemandu Arab itu. Kami kemudiannya terus bertolak ke destinasi kami, Petra. Perjalanan dari Mu’tah ke Petra memakan masa lebih daripada sejam.

Setibanya kami di Petra, aku & Zaid pun terus membeli tiket. Aku menunjukkan kad pelajar Taufiq yang dipinjamkan olehnya untuk mendapatkan harga tiket yang murah. Warganegara Jordan termasuk pelajar-pelajar asing yang belajar di negara itu layak untuk mendapatkan harga tiket murah yang cuma berharga 1.00 Dinar. Pelancong-pelancong asing pula perlu membayar sebanyak 21.00 Dinar untuk tiket yang sama. Terlampau banyak bezanya. Mujurlah Taufiq sudi meminjamkan kad pelajarnya kepada aku. Dan mujurlah penjual tiket di kaunter tiket itu tidak mengecam perbezaan wajah aku & wajah Taufiq yang terdapat pada kad pelajar itu. Hehehe. Zaid pula terlupa membawa kad pelajarnya. Walau bagaimanapun, setelah dia berjaya meyakinkan penjual tiket itu bahawa dia adalah pelajar di Jordan, akhirnya, penjual tiket itu berlembut hati & meminta 1.00 Dinar sahaja daripadanya. Hebat betul. Hahaha.

Kami berdua pun kemudiannya menyusuri laluan ke dalam kawasan Petra yang luas itu. Petra terletak di kawasan pergunungan di Arabah. Ia amat terkenal di seluruh dunia kerana binaan-binaan yang terdapat di situ cukup mengagumkan. Begitu hebat sekali kemahiran umat manusia yang membina tamadun di situ pada zaman dahulu. Mereka mampu mengukir batu-batu gunung yang keras untuk membentuk sebuah kota yang besar di situ. Sehingga kini, ahli-ahli arkeologi masih belum ketemu teknologi apa yang digunakan oleh mereka. MasyaAllah. Disebabkan keajaiban inilah, Petra telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 'UNESCO World Heritage Sites' pada tahun 1985 & kemudiannya diangkat menjadi salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia yang baru pada tahun 2007, setaraf dengan Tembok Besar di China, Taj Mahal di India, Colosseum di Itali, Chichen Itza di Mexico, Machu Picchu di Peru & Patung Christ the Redeemer di Brazil. Pada masa kini Petra adalah tempat tumpuan pelancong yang paling utama di bumi Jordan.


Kedudukan Petra dalam peta Jordan

Menurut sumber rujukan Barat, kota Petra ini dibina oleh orang-orang Nabatean sekitar tahun 100 SM. Kota ini kemudian dijadikan ibu kota kerajaan mereka & menjadi persimpangan jalan perdagangan sutera, rempah-ratus & pelbagai lagi yang menghubungkan China, India & Arab dengan Mesir, Syria, Greece & Rom. Petra akhirnya jatuh ke bawah pemerintahan Empayar Rom pada tahun 106 M. Mulai dari saat itu, Empayar Rom telah menambah beberapa buah lagi monumen di Petra untuk meninggalkan kesan jejak pemerintahannya. Apabila Empayar Rom menjadikan Kristian sebagai agama rasmi mereka, segala kuil-kuil Paganisma yang terdapat di Petra telah ditukar menjadi gereja. Petra kemudiannya jatuh pula ke tangan pemerintahan Islam mulai tahun 661. Sejak itu, Petra telah hilang kepentingannya & terus luput ditelan zaman beberapa lama selepas itu. Ia akhirnya dijumpai semula oleh seorang peneroka dari Switzerland yang bernama Johann Ludwig Burckhardt pada tahun 1812.

Menurut sumber rujukan Islam, kota Petra ini berkemungkinan merupakan kota kaum Tsamud, iaitu kaum di mana Nabi Saleh a.s diutuskan oleh Allah SWT. Kaum Tsamud amat terkenal dengan kemahiran mereka memahat gunung-ganang untuk dijadikan kota & penempatan mereka. Walau bagaimanapun, mereka kufur kepada Allah SWT. Nabi Saleh a.s diutuskan oleh Allah SWT untuk membawa mereka kembali ke jalan kebenaran. Namun, mereka tetap berdegil. Suatu hari, Nabi Saleh a.s telah menunjukkan mukjizatnya di hadapan kaum Tsamud dengan izin Allah SWT, iaitu dengan keluarnya seekor unta betina putih dari seketul batu. Dan mereka dilarang sama sekali untuk mengganggu unta tersebut, sebaliknya harus membiarkan unta itu bebas mencari makanan & minuman tanpa gangguan. Mereka walau bagaimanapun ingkar atas arahan yang diberi dengan menyembelih unta itu. Akhirnya, tibalah bala bencana daripada Allah SWT yang merupakan gempa bumi yang maha dahsyat yang melenyapkan sama sekali kaum itu dari muka bumi. Wallahu 'alam. Kisah tentang kaum Tsamud & kemahiran mereka memahat gunung-ganang ada diceritakan di dalam Al-Quran:

وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُواْ اللّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءتْكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ هَذِهِ نَاقَةُ اللّهِ لَكُمْ آيَةً فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللّهِ وَلاَ تَمَسُّوهَا بِسُوَءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٧٣﴾ وَاذْكُرُواْ إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاء مِن بَعْدِ عَادٍ وَبَوَّأَكُمْ فِي الأَرْضِ تَتَّخِذُونَ مِن سُهُولِهَا قُصُورًا وَتَنْحِتُونَ الْجِبَالَ بُيُوتًا فَاذْكُرُواْ آلاء اللّهِ وَلاَ تَعْثَوْا فِي الأَرْضِ مُفْسِدِينَ ﴿٧٤﴾ قَالَ الْمَلأُ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُواْ مِن قَوْمِهِ لِلَّذِينَ اسْتُضْعِفُواْ لِمَنْ آمَنَ مِنْهُمْ أَتَعْلَمُونَ أَنَّ صَالِحًا مُّرْسَلٌ مِّن رَّبِّهِ قَالُواْ إِنَّا بِمَا أُرْسِلَ بِهِ مُؤْمِنُونَ ﴿٧٥﴾ قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُواْ إِنَّا بِالَّذِيَ آمَنتُمْ بِهِ كَافِرُونَ ﴿٧٦﴾ فَعَقَرُواْ النَّاقَةَ وَعَتَوْاْ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِمْ وَقَالُواْ يَا صَالِحُ ائْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا إِن كُنتَ مِنَ الْمُرْسَلِينَ ﴿٧٧﴾ فَأَخَذَتْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُواْ فِي دَارِهِمْ جَاثِمِينَ ﴿٧٨﴾ فَتَوَلَّى عَنْهُمْ وَقَالَ يَا قَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَالَةَ رَبِّي وَنَصَحْتُ لَكُمْ وَلَكِن لاَّ تُحِبُّونَ النَّاصِحِينَ ﴿٧٩﴾ وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّن الْعَالَمِينَ ﴿٨٠

Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka, Nabi Saleh; Dia berkata, "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya; Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; Ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (Kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya". Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah; Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi. Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka, "Tahukah kamu bahawa Saleh itu diutus dari Tuhannya?" Mereka menjawab, "Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang dia diutus untuk menyampaikannya." Orang-orang yang sombong takbur itu berkata, "Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya". Maka mereka pun menyembelih unta itu dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata, "Hai Saleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)". Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. Maka Nabi Saleh pun meninggalkan mereka sambil berkata, "Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat". Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. (Surah Al-A'raf: Ayat 73-80)

Dari pintu masuk tadi untuk ke Treasury, iaitu binaan yang paling terkenal di Petra, kami perlu berjalan sejauh 1 km melalui sebatang jalan yang diberi nama Al-Siq. Kami sebenarnya mempunyai pilihan untuk menunggang kuda-kuda sewaan bermula dari pintu masuk hingga ke Treasury. Akan tetapi, kami memilih untuk berjalan kaki untuk menjimatkan wang. Sewaktu melalui Al-Siq, kami melintasi sebuah binaan yang bernama Obelisk Tomb yang merupakan salah sebuah makam kepunyaan orang-orang Nabatean yang terdapat di situ. Beberapa meter sebelum tiba di Treasury, kami melalui sebuah lorong kecil yang dihimpit oleh tebing-tebing batu yang tinggi di kiri & kanannya. Menakjubkan sungguh.


Pintu masuk Petra, Jordan


Jalan Al-Siq, Petra, Jordan


Jalan Al-Siq, Petra, Jordan


Kuda-kuda sewaan di Jalan Al-Siq, Petra, Jordan


Jalan Al-Siq, Petra, Jordan


Obelisk Tomb di Jalan Al-Siq, Petra, Jordan


Lorong kecil sebelum tiba di Treasury, Petra, Jordan


Lorong kecil sebelum tiba di Treasury, Petra, Jordan


Lorong kecil sebelum tiba di Treasury, Petra, Jordan

Setelah hampir 30 minit kami berjalan di sepanjang Al-Siq & lorong kecil itu, barulah kami berdua tiba di Treasury, binaan yang paling termasyhur yang menjadi mercu utama Petra. Tercapai juga hajat aku untuk melihat sendiri binaan itu dengan mata kepala aku sendiri. Sebelum ini, aku hanya dapat melihatnya di kaca televiyen & di dalam buku-buku sahaja. Kehalusan senibinanya betul-betul membuat aku kagum. Entah bagaimanalah orang-orang zaman dahulu boleh mengukir gunung dengan sebegini cantik sekali. Teknologi apa yang digunakan oleh mereka? Wallahu ‘alam. Yang penting sekarang, aku sudah berjaya menjejakkan kaki aku di situ.

Cuaca pagi dengan cahaya matahari yang memancar ke arah Treasury menyebabkannya kelihatan kekuning-kuningan, menambahkan lagi kecantikannya. Aku tidak melepaskan peluang yang ada untuk bergambar di situ. Binaan Treasury itu mempunyai pengaruh senibina Greek Purba. Menurut kajian yang dibuat, ada yang berpendapat bahawa binaan itu digunakan sebagai tempat menyimpan harta. Ada juga yang mengatakan ianya adalah sebuah makam raja-raja terdahulu. Dan ada juga yang merasakan ianya adalah tempat beribadat.


Treasury di Petra, Jordan


Treasury di Petra, Jordan


Treasury di Petra, Jordan


Bersama Zaid di Treasury di Petra, Jordan


Treasury di Petra, Jordan


Treasury di Petra, Jordan


Ruang dalam Treasury di Petra, Jordan


Ruang dalam Treasury di Petra, Jordan

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


2 buah komen:

Rozali Thursday, August 12, 2010 at 3:37:00 PM GMT+8  

Assalamualaikum Doc


selamat berpuasa

salam ziarah

Wassalam

Anonymous Friday, August 13, 2010 at 9:14:00 AM GMT+8  

Salam Jhaz
Salam Ziarah
Salam Ramadhan

Paparan blok cukup menarik....
Nak pergi suatu hari nanti, InsyaAllah.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP