SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG VII) - JeRaSH

>> Sunday, August 01, 2010



Hari 3: 19 MEI 2009

Pada hari ini, Hadi pula ditugaskan untuk membawa aku jalan-jalan kerana di dalam jadualnya, dia tidak perlu menghadiri apa-apa kuliah pada hari ini, sementara Hariz pula awal-awal pagi lagi sudah ke universiti untuk menghadirkan diri dalam kuliah-kuliahnya. Sebelum Hariz keluar dari apartmennya, aku meminta pertolongannya untuk membelikan aku kad SIM Jordan untuk aku gunakan sepanjang berkelana di bumi Syam ini. Tanpa perhubungan melalui telefon, susah untuk aku 'survive' di sini.

Hadi membawa aku ke 2 buah lokasi tarikan pelancong yang terletak di bahagian utara negara Jordan, tidak jauh dari Irbid, iaitu Jerash & Ajlun. Sewaktu sedang bersiap-siap untuk keluar, Hadi memberitahu aku yang ada seorang lagi rakannya yang hendak mengikut kami bersama. Dia tinggal di apartmen yang sama dengan Poey & Ibrahim, iaitu di apartmen bawah yang aku & Hariz singgah malam semalam. Apabila kami berdua sudah siap untuk bertolak, Hadi pun turun ke apartmen tersebut untuk memanggil rakannya itu keluar. Sementara aku pula tunggu di bahagian luar flat. Seketika kemudian, Hadi datang kepada aku & berkata yang rakannya itu belum habis bersiap. Menurutnya, dia akan jumpa kami di sebuah restoran di Syari’ Jami’ah nanti. Aku & Hadi kemudiannya pun berjalan menuju ke restoran yang dimaksudkan itu.

Sedang kami berdua menikmati sarapan pagi kami di restoran itu, datanglah orang yang hendak mengikut kami berdua ke Jerash & Ajlun itu. Dia memperkenalkan dirinya kepada aku sebagai Dziya. Dia juga adalah pelajar Perubatan Tahun Pertama di JUST, sama seperti Hadi, Hariz & yang lain-lain. Selepas memperkenalkan diri masing-masing, kami pun duduk makan bersama sambil berbual-bual. Selesai sahaja makan, kami bertiga menaiki teksi menuju ke stesen bas Irbid. Dari stesen bas tersebut, kami menaiki bas ke Jerash. Perjalanan ke sana memakan masa lebih kurang 45 minit. Agak lama juga.

Setelah 45 minit berada di dalam bas, kami akhirnya tiba di pintu masuk Jerash. Kami lalu turun dari bas tersebut & melangkah kaki ke pintu masuknya itu untuk membeli tiket. Setelah membeli tiket, kami bertiga pun memulakan penjelajahan kami di kota lama Jerash itu. Hadi menjadi penunjuk arah dengan menggunakan peta kota Jerash yang terdapat dalam buku panduan 'Middle East' terbitan Lonely Planet kepunyaan aku.

Kawasan Jerash sebenarnya telah menjadi penempatan manusia sejak 6,500 tahun dahulu lagi. Ia kemudiannya menjadi sebahagian daripada kerajaan Greek. Kota ini hanya mula membangun sewaktu kerajaan Greek berada di bawah pimpinan Alexander the Great. Seorang ahli matematik berbangsa Greek yang bernama Nicomachus dikatakan pernah tinggal di kota ini. Beliau amat masyhur di seluruh dunia kerana telah mencipta konsep Arithmatik. Beberapa lama kemudian, iaitu pada tahun 63 Masihi, Empayar Rom telah berjaya menawan Jerash.


Kedudukan kota Jerash dalam peta Jordan

Di bawah pemerintahan Empayar Rom, kota Jerash mencapai zaman kegemilangannya & dijadikan salah satu daripada 10 buah Dekopolis yang terletak di bumi Syam ini. Namun, pada tahun 614M, kota ini ditawan oleh Empayar Parsi & popularitinya kian menurun selepas itu. Walau bagaimanapun, zaman kegemilangannya berjaya dikembalikan semula apabila ia berada di bawah kerajaan Bani Umayyah mulai tahun 636M. Kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 749M telah merosotkan kembali popularitinya akibat robohnya banyak binaan & terkorbannya ramai nyawa. Ini telah menyebabkan penduduk di Jerash semakin berkurangan dari sehari ke sehari kerana ramai yang telah berhijrah ke kota lain. Selepas hancurnya kerajaan Bani Umayyah pada tahun 750M, kerajaan Bani Abbasiyah pula mengambil alih pemerintahan Jerash. Seterusnya, kota ini ditakluk pula oleh kuasa-kuasa lain seperti tentera Salib, Ayyubiah, Mamluk & Turki Uthmaniyah.

Selepas ramai yang telah berhijrah keluar, kota Jerash ini akhirnya ditinggalkan begitu sahaja & seterusnya ditimbuni oleh pasir tiupan angin sehinggalah ianya dijumpai semula secara tidak sengaja oleh seorang pelancong Jerman pada tahun 1806. Kerja-kerja membaik pulih kawasan ini hanya dimulakan pada tahun 1920. Jerash kini merupakan runtuhan kota binaan Rom di luar Itali yang paling elok sekali keadaannya walaupun setelah beratus-ratus tahun lamanya masa berlalu. MasyaAllah. Aku berasa bangga kerana dapat memijakkan kaki di sini. Menurut statistik, Jerash adalah tempat kedua yang paling kerap dikunjungi pelancong di bumi Jordan, selepas Petra.

Antara binaan-binaan penting yang terdapat di dalam kota Jerash ialah Hippodrome, South Gate, Temple of Zeus, Oval Plaza (Forum), Cardo Maximus, Colonnaded Street, Nymphaeum, Temple of Artemis, North Theatre, Church of Bishop Isaiah, Umayyad Houses, South Decumanus, South Theatre, Hadrian’s Arch & North Gate. Hippodrome adalah gelanggang perlumbaan kereta berkuda atau 'chariot' yang boleh memuatkan seramai 16,000 penonton dalam suatu masa. Hadrian’s Arch dibina pada tahun 129M sebagai memberi penghormatan atas kunjungan Maharaja Hadrian ke sini. Temple of Zeus adalah kuil lama yang dibina pada tahun 162M. Oval Plaza (Forum) adalah tarikan yang paling utama di kota Jerash ini. Ianya adalah sebuah dataran berbentuk bujur di mana terdirinya 56 batang tiang yang mengelilinginya.


Peta runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Hippodrome, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di South Gate, runtuhan kota Jerash, Jordan


Temple of Zeus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Oval Plaza (Forum), runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Oval Plaza (Forum), runtuhan kota Jerash, Jordan

Cardo Maximus & Colonnaded Street pula adalah 2 batang jalan sambung-menyambung yang terbentang sejauh 800 meter dari Forum ke North Gate di mana terdirinya tiang-tiang di kiri & kanannya. Panorama yang disaksikan di sepanjang jalan ini tersangatlah mengagumkan. Seolah-olah seperti berada di zaman Rom dahulu kala. North Theatre adalah sebuah bangunan berbentuk stadium yang dibina pada tahun 165M & sedang dalam proses pembaikan. South Theare juga dibina pada kurun yang sama dengan pembinaan North Theatre. Ia boleh memuatkan seramai 5,000 orang penonton dalam suatu masa. Dari sini, aku dapat melihat pemandangan keseluruhan Oval Plaza (Forum) dengan jelas.


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Colonnaded Street, runtuhan kota Jerash, Jordan


Colonnaded Street, runtuhan kota Jerash, Jordan


Colonnaded Street, runtuhan kota Jerash, Jordan


Temple of Artemis, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Nymphaeum, runtuhan kota Jerash, Jordan


North Theare, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Hadi di Church of Bishop Isaiah, runtuhan kota Jerash, Jordan


Church of Bishop Isaiah, runtuhan kota Jerash, Jordan


Lukisan mozek pada lantai Church of Bishop Isaiah, runtuhan kota Jerash, Jordan


Di runtuhan kota Jerash, Jordan


Di runtuhan kota Jerash, Jordan


South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan


South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan


Panorama Oval Plaza (Forum) dari South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan


Panorama Oval Plaza (Forum) dari South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


1 buah komen:

Rozali Sunday, August 1, 2010 at 10:43:00 PM GMT+8  

Assalamualaikum Doc

terpesona dgn kuasa Allah

terima kasih
penuh dgn maklumat

Wassalam

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP