SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XIII) - iNTeRMiSSioN I

>> Sunday, August 08, 2010



Setelah puas bergambar di sekeliling kawasan Mount Nebo, aku, Hariz, Dziya, Rozaili & Muhamad pun menuju ke destinasi kami yang seterusnya, iaitu Madaba. Tujuan kami ke sana adalah untuk makan tengah hari, kerana itu sahajalah bandar yang terdekat dengan Mount Nebo. Pada kali ini, Rozaili pula yang memandu, menggantikan Dziya yang sudah penat. Perjalanan ke Madaba tidak memakan masa yang lama.

Setibanya kami di Madaba, kami terus mencari restoran yang menepati citarasa kami. Kami cuma membeli kebab sahaja untuk dimakan di dalam kereta. Pada waktu itu, kami sedang risau akan kereta yang kami sewa. Kami perlu memulangkannya sebelum pukul 4.00 petang, sebelum kedai syarikat sewa kereta itu ditutup. Masalahnya, pada waktu itu, jam sudah pun menunjukkan pukul 2.30 petang. Perjalanan dari Madaba ke Irbid memakan masa lebih daripada 1½ jam. Semestinya kami tidak sempat untuk tiba di Irbid sebelum pukul 4.00 petang. Esok pula adalah hari Jumaat & semua kedai perniagaan di Jordan ditutup pada setiap hari Jumaat, termasuklah kedai syarikat sewa kereta itu. Jikalau kami tidak sempat untuk memulangkan kereta itu pada hari ini, kami cuma boleh memulangkannya pada hari Sabtu. Maka sudah pastinya kami akan dicaj menyewa selama 3 hari. Jika sempat untuk dipulangkan hari ini, kami cuma akan dicaj untuk sehari sahaja. Kami benar-benar bingung.

Muhamad kemudiannya menelefon syarikat kereta sewa itu, merayu supaya kami dapat memulangkan kereta sebelum pukul 5.00 petang & bukannya pukul 4.00 petang. Rayuan kami ditolak mentah-mentah. Malah dimarahinya pula. Beginilah perangai orang Arab. Pemikiran kami menjadi buntu. Kami akhirnya mendapat satu idea. Sudah alang-alang menyewa kereta selama 3 hari, apa kata kami menghabiskan waktu hujung minggu itu dengan ‘road trip’ ke pantai Aqabah yang terletak nun jauh di selatan negara Jordan. Setelah difikir masak-masak, akhirnya semua bersetuju. Cuma masalahnya, aku mungkin tidak dapat mengikut mereka ke Aqaba kerana aku akan ke Mu’tah pula esoknya untuk berjumpa dengan Zaid.

Aku kemudiannya memberi cadangan yang agak bernas. Aku mencadangkan supaya kami mula bertolak ke Aqabah dengan menaiki kereta itu tengah malam ini & singgah di Mu’tah untuk berehat-rehat, sebelum tiba di Aqabah. Dan setelah hilang penat, mereka boleh meninggalkan aku di Mu'tah & meneruskan perjalanan mereka ke Aqabah. Tanpa berfikir panjang, mereka terus bersetuju. Lagipun, Mu’tah memang terletak di tengah-tengah perjalanan di antara Irbid & Aqabah. Mereka juga mempunyai ramai kenalan di Mu’tah yang boleh mereka hubungi. Memandangkan 4 orang terlampau sedikit, Dziya kemudiannya menelefon seorang rakan mereka yang lain di Irbid untuk menyewa sebuah lagi kereta & mengajak 4 lagi orang untuk mengikut trip ke Aqabah itu. Lebih ramai lebih meriah.

Selepas berjaya menyelesaikan masalah itu, kami berlima pun meneruskan perjalanan pulang ke Irbid. Rozaili masih lagi memandu. Sebelum pulang ke Irbid, kami singgah dahulu di Amman, memandangkan hari masih panjang. Kami berhajat untuk singgah ke kompleks membeli-belah yang bernama City Mall. Untuk mencari bangunan City Mall, kami telah menghabiskan masa lebih daripada sejam kerana keempat-empat mereka ini tidak mahir lagi akan selok-belok jalan raya di Amman. Hahaha. Berbelas-belas orang di jalan raya yang kami tegur untuk bertanyakan arah jalan untuk ke City Mall. Ada juga beberapa orang yang berhati mulia yang sanggup menyuruh kami mengekori kereta mereka dari belakang untuk menunjukkan arah ke City Mall. Namun, City Mall yang kami cari masih belum ditemui juga. Hahaha.

Kami berasa seperti hendak berputus asa & pulang terus ke Irbid sahaja. Namun, entah bagaimana, akhirnya kami terserempak dengan satu papan tanda yang menunjukkan arah ke King Hussein Park. Dengan serta merta mereka teringat bahawa City Mall terletak berhampiran dengan King Hussein Park. Lantas, kami terus mengikut papan-papan tanda yang menunjukkan arah ke King Hussein Park. Dan akhirnya, kami tiba di taman tersebut. Dari situ, mereka berempat sudah tahu akan cara hendak ke City Mall yang terletak tidak jauh dari situ. Lega rasanya.

Di kawasan King Hussein Park itu terdapat sebuah masjid yang bercirikan senibina moden yang teramatlah cantik. Saiznya juga besar. Bangunan masjid berbentuk segiempat sama & terdapat 4 buah menara azan di setiap bucunya. Nama masjid itu adalah King Hussein Mosque, yang dibina bercirikan senibina Bani Umayyah. Masjid seluas 2,000 meter persegi itu boleh memuatkan seramai 2,500 orang jemaah dalam suatu masa. Di kawasan masjid ini juga terdapat sebuah muzium yang bernama Hashemite History Museum yang mempamerkan beberapa buah harta-harta peribadi Rasulullah SAW. Antaranya ialah surat yang dihantar oleh baginda kepada Maharaja Byzantine yang bernama Heraclius untuk menerima ajaran Islam. Memandangkan waktu Asar sudah pun masuk, kami berlima pun menunaikan solat jamak di King Hussein Mosque. Selesai sahaja solat, kami pun terus menaiki kereta & menuju ke City Mall.


King Hussein Mosque, Amman, Jordan

Sesampainya kami di City Mall, kami berasa teramat lega. Setelah lebih daripada sejam mencarinya, akhirnya kami berjaya juga menjumpai kompleks membeli belah yang merupakan antara yang terbesar di bumi Jordan itu. Tempat meletak keretanya sahaja boleh memuatkan sebanyak 2,400 buah kereta & merupakan tempat meletak kereta yang terbesar di negara itu. City Mall sememangnya syurga membeli-belah bagi penduduk Amman khususnya & penduduk Jordan amnya. Kami sebenarnya tidak tahu hendak membeli apa. Oleh itu, kami terus sahaja ke pawagam untuk melihat filem apa yang sedang dimainkan. Ada beberapa filem yang menarik. Namun, hati mereka berempat cuma tertarik untuk menonton filem X-Men Origins: Wolverine. Aku sebenarnya sudah pun menonton filem itu sewaktu di Dublin. Tetapi, memandangkan mereka berempat benar-benar berminat hendak menonton filem itu, aku ikut sahaja.


Ruang dalam City Mall, Amman, Jordan

Kami kemudiannya pun membeli tiket. Kami mempunyai masa 40 minit sebelum filem itu dimainkan. Oleh itu, kami mengisi masa lapang yang ada dengan singgah di ‘food hall’ untuk membasahkan tekak kami dengan meminum air yang dijual di situ. Kami tidak makan kerana masih belum lapar. 30 minit kemudian, kami pun kembali semula ke pawagam tadi. Kami mengambil tempat duduk masing-masing & menonton filem X-Men Origins: Wolverine yang dimainkan selama hampir 1½ jam itu. Seperti tidak percaya pula yang aku pada waktu itu sedang menonton filem di pawagam di Amman, Jordan. Hehehe.

Selesai sahaja menonton filem tadi yang sememangnya amat menarik, kami kembali semula ke ‘food hall’ tadi untuk makan malam. Agak banyak yang kami makan. Sampai terlebih kenyang dibuatnya. Sambil makan, kami berbincang mengenai trip ke Mu’tah & Aqabah. Rakan mereka yang telah dihubungi oleh Dziya sewaktu di Madaba tadi telah pun menyewa sebuah lagi kereta untuk mengikut trip ke Mu’tah & Aqabah. Akan tetapi, mereka kini perlu mencari lagi 4 orang untuk mengikut trip tersebut. Hariz tidak ikut sekali kerana dia perlu mengulangkaji pelajaran. Lagipun dia telah banyak menghabiskan masa melayan aku. Kasihan pula dia. Hahaha. Maka, yang akan ke Aqabah nanti cuma Dziya, Rozaili, Muhamad, rakan mereka yang telah menyewa kereta itu & 4 lagi orang yang sedang dicari. Aku akan mengikut mereka sampai ke Mu’tah sahaja. Mereka akan meneruskan perjalanan ke Aqabah kemudiannya. Kami bercadang untuk bertolak pada pukul 1.00 pagi nanti, supaya kami tiba awal di Mu’tah.

Selesai sahaja makan, kami kembali semula ke kereta untuk pulang terus ke Irbid. Perjalanan ke Irbid dari Amman memakan masa tidak sampai sejam. Setibanya kami di Irbid, kami bersolat & berehat di bilik masing-masing sebelum bertolak ke Mu’tah. Kami pada mulanya bercadang untuk bertolak pada pukul 1.00 pagi. Namun, trip kami terpaksa ditunda ke pukul 2.00 pagi kerana 4 orang lagi yang dicari itu hanya berjaya dijumpai selepas pukul 1.00 pagi. Maka, lebih kurang pukul 2.00 pagi, kami sembilan orang pun memulakan perjalanan kami ke Mu’tah. Aku, Dziya, Rozaili & Muhamad menaiki kereta yang kami sewa, sementara yang lagi 5 orang itu menaiki kereta yang mereka sewa. Kereta yang kami berempat naiki dipandu oleh Dziya. Muhamad pula adalah selaku pembaca peta. Sementara kereta yang satu lagi dipandu oleh Ideris. 4 orang rakan mereka yang menaiki kereta yang satu lagi itu ialah Hilmi, Luqman, Fazli & Fawwaz. Fazlilah orangnya yang dihubungi oleh Dziya sewaktu di Madaba petang tadi.

Aku membawa sekali beg galas aku bersama beberapa helai baju. Beg tarik aku yang besar aku tinggalkan di bilik Hariz buat sementara waktu. Aku mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Hariz kerana sudi menghabiskan masa bersama aku selama 4 hari aku di bumi Jordan. Aku akan meninggalkannya selama beberapa hari untuk ke Mu'tah, Syria & Lubnan. Aku akan kembali semula menemuinya sehari sebelum aku pulang ke Dublin. Perjalanan ke Mu’tah dari Irbid memakan masa lebih kurang 4-5 jam lamanya. Sewaktu dalam perjalanan, kami singgah di sebuah stesen minyak untuk solat Subuh. Kemudian, kami meneruskan perjalanan sehingga kami tiba di Mu'tah.


Peta perjalanan Irbid-Mu'tah-Aqabah

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


1 buah komen:

zulkbo Sunday, August 8, 2010 at 8:02:00 PM GMT+8  

salam saudara..
seronoknya dan bertuah
dapat merasa bertandang negeri
orang..

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP