iCeLaND: BuMi ViKiNG (BHG II) - ReYKJaViK I

>> Thursday, March 04, 2010



Hari 1: 28 OGOS 2008

Penerbangan Ryanair ke London dijadualkan akan berlepas pada pukul 12.55 tengah hari nanti. Untuk mengelakkan daripada ditinggalkan pesawat, aku & Muaz bertolak ke Lapangan Terbang Dublin dari rumah seawal pukul 10.00 pagi dengan menaiki bas. Kami tiba di lapangan terbang tersebut sejam kemudiannya. Sesampainya sahaja kami di situ, kami terus mendaftar masuk & kemudiannya melalui zon pemeriksaan sekuriti. Apabila semuanya sudah beres, kami pun menunggu di pintu perlepasan. Setelah beberapa lama menunggu, akhirnya para penumpang dipelawa masuk ke dalam pesawat. Pesawat tersebut kemudiannya berlepas meninggalkan Dublin, menuju ke London. Penerbangan memakan masa lebih kurang 1¼ jam.

Lebih kurang pukul 2.10 petang, kami berdua pun tiba di Lapangan Terbang Stansted, London. Sesampainya kami di lapangan terbang tersebut, kami menaiki pula bas National Express untuk ke Lapangan Terbang Heathrow, London kerana penerbangan kami ke Reykjavik, Iceland akan berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow. Perjalanan dengan menaiki bas dari Lapangan Terbang Stansted ke Lapangan Terbang Heathrow mengambil masa lebih kurang 1½ jam.

Kami tiba di Lapangan Terbang Heathrow lebih kurang pada pukul 4.15 petang. Kami kemudiannya mendapatkan pas perlepasan dengan menggunakan mesin layan diri yang disediakan. Kemudian, kami mendaftar masuk beg-beg kami. Sesudah itu, kami ke surau yang terdapat di lapangan terbang itu untuk bersolat. Selesai sahaja bersolat, kami ke sebuah restoran pula untuk makan malam.

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam, kami pun memasuki zon pemeriksaan sekuriti. Selepas semuanya sudah beres, kami menunggu ketibaan pesawat di pintu perlepasan. Pesawat Icelandair yang kami nantikan akhirnya tiba & kami bersama-sama dengan penumpang-penumpang yang lain dijemput masuk ke dalamnya. Lebih kurang pukul 9.10 malam, pesawat itu pun berlepas meninggalkan London menuju ke Reykjavik. Perjalanan memakan masa hampir 3 jam.

Lebih kurang pukul 11.10 malam waktu tempatan Iceland, aku & Muaz pun tiba di Lapangan Terbang Keflavik. Selepas segala urusan imigresen selesai & beg-beg pun telah diambil, kami beristirehat di tempat menunggu di dalam lapangan terbang itu sementara menunggu waktu pagi. Perkhidmatan bas ke pusat bandar Reykjavik hanya akan bermula pada lebih kurang pukul 5.30 pagi nanti. Pengangkutan awam yang ada pada lewat malam hanyalah teksi, dengan harga tambang yang agak mahal. Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di dalam bangunan lapangan terbang tersebut.

Hari 2: 29 OGOS 2008

Lebih kurang pukul 5.30 pagi, bas pertama yang dinanti-nantikan pun sudah mula dihidupkan enjinnya. Aku & Muaz lalu terus masuk ke dalam bas tersebut & tidak berapa lama kemudian, ia pun bergerak menuju ke pusat bandar Reykjavik. Pada waktu itu, hujan sedang turun dengan agak lebat. Aku berasa sedikit kecewa dengan keadaan cuaca sebegitu. Aku benar-benar berharap agar cuaca di bumi Iceland akan sentiasa cerah sepanjang aku berada di bumi Viking ini. Namun, itu semua adalah kuasa Allah SWT. Siapalah aku yang hendak melawan kekuasaan-Nya. Walau bagaimanapun, aku tetap berdoa semoga hujan akan berhenti sebaik sahaja kami berdua memulakan ekspedisi kami menjelajah kota Reykjavik nanti.

Setelah hampir 30 minit berada di dalam bas tersebut, kami akhirnya tiba di pusat bandar Reykjavik. Bas tersebut berhenti di sebuah stesen bas. Hujan masih lagi belum reda pada waktu itu. Aku & Muaz tidak mahu membuang masa. Lalu, kami meredah sahaja hujan yang lebat itu untuk tiba di hostel yang telah pun kami tempah.

Setelah lebih kurang 20 minit berjalan meredah hujan, kami akhirnya tiba hostel yang dimaksudkan. Agak jauh juga lokasinya dari stesen bas tadi. Sesampainya di hostel itu, kami berdua pun terus mendaftar masuk. Aku sudah tidak sabar-sabar lagi untuk membersihkan diri & menukar pakaian. Pakaian yang aku pakai sudah basah kuyup. Akan tetapi, pemilik hostel itu mengatakan bahawa kami hanya akan dibenarkan masuk ke dalam bilik kami pada pukul 11.00 pagi nanti. Ini kerana, bilik tersebut masih lagi berpenghuni & penghuninya hanya akan mengosongkan bilik itu pada pukul 10.00 pagi nanti. Bilik itu pula kemudiannya perlu dikemas dengan rapi sebelum kami masuk ke dalamnya. Aku & Muaz agak kecewa. Namun, kami faham akan situasi itu. Kami bagaimanapun meminta izin untuk menggunakan bilik air di luar untuk membersihkan diri. Mujurlah pemilik hostel ini membenarkan kami menggunakannya.

Selepas selesai sahaja membersihkan diri, kami berdua pun mengambil keputusan untuk menjelajahi dahulu kota Reykjavik. Kami akan pulang semula ke hostel pada waktu petang nanti. Aku sempat bertanya kepada pemilik hostel itu tentang iklim di Iceland. Dia memberitahu aku bahawa hujan adalah perkara yang biasa di sini. Adakalanya hujan tidak akan berhenti selama berhari-hari. Hmmm. Sama seperti iklim di Ireland.

Reykjavik adalah sebuah bandar yang terletak di pinggiran Lautan Atlantik. Ia merupakan ibu negara & bandar yang terbesar di Iceland. Bandar ini terletak di Garisan Latitud 64.1 darjah & amat hampir dengan Garisan Artik (66.33 darjah). Ini menjadikannya sebagai ibu kota yang paling ke utara antara kesemua ibu-ibu kota negara-negara berdaulat di seluruh dunia. Sewaktu kemuncak Musim Sejuk pada bulan Disember setiap tahun, kota ini hanya menerima cahaya matahari selama 4 jam sahaja. Sewaktu kemuncak Musim Panas pada bulan Jun pula, ia menerima sinaran cahaya matahari hampir 20 jam lamanya. Menarik bukan? Hahah. Aku ke sini pada bulan Ogos. Oleh itu, aku tidak dapat merasai perbezaan masa siang & malam yang begitu ketara. Jumlah penduduk yang menetap di Reykjavik sedikit sahaja, iaitu seramai 120,000 orang. Walau bagaimanapun, penduduk di sini hidup dalam keadaan yang penuh selesa kerana kebajikan mereka amat dijaga. Kemudahan infrastruktur pula adalah antara yang terbaik di dunia.


Peta kedudukan Reykjavik di dalam Iceland

Penempatan pertama di Iceland adalah di bumi Reykjavik, iaitu sewaktu ketibaan Ingólfur Arnarson pada tahun 874. Reykjavik kemudiannya mula menjadi pusat penghijrahan orang-orang Scandinavia yang lain di bumi Iceland. Mereka semua tertumpu di kota ini. Disebabkan itulah segala peristiwa yang berlaku di Iceland hampir kesemuanya bertumpu di Reykjavik. Apabila Iceland diisytiharkan sebagai Republik pada tahun 1944, Reykjavik dijadikan ibu kotanya.

Bersambung...

7 buah komen:

rezeki Thursday, March 4, 2010 at 8:20:00 AM GMT+8  

salam jhaz

tentunya segala perancangan yang rapi dan tersusun perlu dibuat sebelum penjelajahan , namun segalanya akan ditentukan oleh Allah

jauh perjalanan, luas pengalaman

tk atas perkongsian itu

Unknown Thursday, March 4, 2010 at 9:56:00 AM GMT+8  

salam sahabat
bagus infonya,sangat bermanfaat dan memberikan insormasi yang legkap,oh iya ada WITH LOVE BSET WISHES semoga berkenen dan mau menerimana
ya thnxs n good luck

Chit Ana Thursday, March 4, 2010 at 11:00:00 AM GMT+8  

salam

bumi viking?rasanya org2 viking ni terkenal dgn org kuat2 ala tentera kan.diorg pun byk mkn daging kan?..kalu salah memperbetulkan ya.kes terpengaruh dgn cite kat tv

bahazain Thursday, March 4, 2010 at 9:24:00 PM GMT+8  

Assalamualaikum,

Jauh perjalanan luas pemandangan,
Banyak pengalaman kaya perasaan,
Aneka pengetahuan mematangkan kebijaksanaan. TAHNIAH BZ

Wawan Saini Friday, March 5, 2010 at 7:38:00 AM GMT+8  

Salam Sahabat...
Bumi Dublin bgaimana??
semua teratur pada pundak indah??
setelah membaca semua entri ini..
rasanya saya mahu menulis cerita berkaitan sahabat.
mohon maklumat dan keizinan.
sila mail ke inbox saya.
doc_wansaini@yahoo.com

JHaZ KiTaRo Friday, March 5, 2010 at 9:49:00 AM GMT+8  

rezeki:
wsalam.. betul sekali.. sama2.. :)

Dhana:
wsalam.. thanx.. good luck to u too

Chit Ana:
wsalam.. makan daging? haha.. semua org suka makan daging.. anyway, diaorg dulu ganas laa.. skarang dah baik.. :)

immabastard:
no wonder.. coz u're a bastard.. :)

bahazain:
thanx.. :)

wawan saini:
i've chatted with u on YM.. nice to know u.. :)

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP