WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG IX)

>> Saturday, June 27, 2009



Hari 4: 27 NOVEMBER 2007

Selepas membersihkan diri & berkemas-kemas, aku pun terus menuju ke stesen bas untuk kembali semula ke Riga, Latvia. Bas Eurolines yang telah aku tempah melalui internet akan mula bertolak pada pukul 10.00 pagi. Selepas beberapa minit menunggu, bas yang dinanti pun tiba & aku pun terus masuk ke dalamnya. Beberapa minit kemudian, ianya pun bergerak meninggalkan kota Vilnius menuju ke Riga. Perjalanan mengambil masa selama 4½ jam.

Lebih kurang pukul 2.30 petang, aku pun tiba di stesen bas Riga. Sesampainya aku di situ, aku terus ke hostel yang telah pun aku tempah melalui internet. Hostel itu tidak jauh dari stesen bas. Sesampainya aku di hostel, aku berehat-rehat dahulu sebelum keluar menikmati suasana malam. Setelah lebih kurang sejam berehat-rehat, aku pun keluar. Keadaan di luar agak sejuk. Salji mulai turun, namun tidak begitu lebat. Ini memaksa aku supaya memakai sweater bersama-sama jaket untuk memanaskan badan. Kota Riga di waktu malam tersangatlah cantik terutamanya di kawasan pinggir Sungai Daugava. Aku mengambil masa lebih daripada 3 jam bersiar-siar di sekeliling kota ini di bawah sinaran bulan. Setelah penat berjalan, aku pun kembali semula ke hostel.


Waktu malam di Riga, Latvia


Waktu malam di Riga, Latvia


Waktu malam di Riga, Latvia


Waktu malam di Riga, Latvia


Waktu malam di Riga, Latvia

Hari 5: 28 NOVEMBER 2007

Hari ini adalah hari terakhir aku di rantau Baltik sebelum aku pulang semula ke Dublin pada waktu malam nanti. Selepas menyiapkan diri, aku pun keluar untuk mencari pengalaman baru di kota Riga, Latvia ini. Latvia atau nama tempatannya Latvija adalah negara terakhir di rantau Baltik yang aku jejaki. Negara ini bersempadan dengan Estonia di bahagian utara, Lithuania di bahagian selatan, Russia di bahagian timur & Belarus di bahagian tenggara. Bahagian baratnya pula adalah persisiran pantai yang menghadap Laut Baltik.

Latvia adalah anggota NATO & Kesatuan Eropah. Keluasan negara ini adalah 64,589 km persegi & jumlah penduduknya pula adalah 2,200,000 orang. Matawang yang digunakan di Latvia ialah Lats. 1.00 Euro bersamaan dengan 0.70 Lats. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 0.15 Lats. Sistem pemerintahan yang diamalkan di sini adalah sistem Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Bahasa Latvia ialah bahasa rasmi negara ini. Penggunaan Bahasa Inggeris di Latvia tidak begitu meluas. Negara ini dibahagian kepada 36 buah wilayah. Iklim negara ini sama seperti 2 buah lagi negara di rantau Baltik iaitu beriklimkan kebenuaan & kelautan.

Menurut sejarah, manusia sudah mulai bertapak di bumi Latvia sejak tahun 9,000 SM lagi. Terdapat juga bukti yang menunjukkan terdapatnya hubungan perdagangan antara penduduk di sini dengan Empayar Rom & Byzantine. Usaha Kristianisasi di bumi Latvia telah bermula sejak tahun 1180. Namun, penerimaannya tidak begitu besar kerana ramai yang masih berpegang teguh dengan ajaran Paganisma. Tentera Salib Jerman yang dihantar ke sini kemudiannya telah berjaya mengkristiankan ramai penduduk di sini dengan cara paksaan. Orang-orang Jerman telah mula berhijrah & berkuasa di sini pada kurun ke-13. Negara yang bernama Livonia telah dibentuk kemudiannya. Walau bagaimanapun, kekalahannya dalam Perang Livonia pada tahun 1583 menyebabkan tanah Latvia ditakluki oleh kerajaan Polish-Lithuanian Commonwealth.

Dalam Perang Polish-Swedish antara tahun 1600-1611, kekalahan Polish-Lithuanian Commonwealth dalam perang tersebut menyebabkan kawasan utara Latvia ditakluki oleh Sweden. Di bawah pemerintahan orang-orang Sweden & Jerman, fahaman ajaran Lutheran telah meresap masuk ke dalam kehidupan seharian penduduk Latvia & akhirnya ianya menjadi agama utama di sini. Walau bagaimanapun, ajaran Kristian Katholik masih kukuh di dalam jiwa sesetengah penduduk terutamanya di bahagian yang mendapat pengaruh yang kuat dari Poland.

Latvia kemudiannya secara rasmi jatuh ke bawah pemerintahan Empayar Russia pada tahun 1795. Setelah berakhirnya Perang Dunia Pertama iaitu pada tahun 1918, Latvia telah mengisytiharkan kemerdekaannya. Walau bagaimanapun, pengaruh Soviet Union & Jerman masih lagi wujud dalam pemerintahannya. Kemudian, sewaktu permulaan Perang Dunia Kedua, iaitu pada tahun 1939, Latvia ditakluk oleh Soviet Union melalui pakatan rahsia yang dibuat antara Soviet Union & Jerman, iaitu Pakatan Molotov-Ribbentrop yang membahagi-bahagikan Eropah Utara & Timur di antara kedua-dua kuasa tersebut. Penduduk Latvia ramai yang menentang penjajahan Soviet Union ini. Namun, mereka yang menentang ini akhirnya ditangkap & dibunuh. Tidak berapa lama kemudian, Jerman pula menceroboh & menguasai Latvia, di mana beribu-ribu orang berbangsa Yahudi di sini dibunuh dalam peristiwa Holocaust. Selepas kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua, Soviet Union kembali berkuasa di bumi Latvia.

Latvia, sama seperti negara-negara rantau Baltik yang lain mengalami penderitaan sewaktu berada di bawah pemerintahan Soviet Union. Kemerdekaan sepenuhnya hanya berjaya dicapai pada tahun 1990.


Peta Latvia & kedudukan Riga di dalam Latvia


Bendera negara Latvia

Riga adalah ibu negara Latvia. Ia terletak di muara Sungai Daugava yang mengalir ke Laut Baltik & merupakan bandar yang terbesar di rantau Baltik. Bandar ini telah diisytiharkan sebagai salah satu daripada ‘UNESCO World Heritage Sites’ kerana senibina bangunan-bangunannya yang unik & tidak dijumpai di tempat lain di dunia. Jumlah penduduk yang menetap di sini ialah 700,000 orang. Suhu puratanya pada Musim Panas ialah 18 darjah celcius, sementara purata suhu Musim Sejuk pula ialah -6 darjah celcius.

Pengasasan bandar Riga yang moden bermula pada kurun ke-12 sewaktu kedatangan pedagang-pedagang & juga mubaligh-mubaligh Kristian dari Jerman ke sini. Pada tahun 1282, Riga menganggotai Hanseatic League, zon perdagangan di perairan Laut Baltik & Laut Utara. Ianya menjanjikan kestabilan ekonomi & politik Riga. Riga kemudiannya berada di bawah naungan Polish-Lithuanian Commonwealth mulai tahun 1581. Pada tahun 1621, Riga ditakluki pula oleh Sweden hinggalah ke tahun 1710 apabila ianya jatuh ke tangan Empayar Russia selepas kekalahan Sweden dalam Great Northern War. Di bawah Empayar Russia, Riga merupakan bandar ke-3 terbesar di dalam empayar ini selepas Moscow & St Petersburg. Perang Dunia Pertama & Kedua memberi impak yang besar terhadap Riga. Ianya mengalami kemusnahan yang agak teruk. Selepas berpuluh tahun berada di bawah pemerintahan Soviet Union, Riga akhirnya bebas setelah Latvia mencapai kemerdekaannya pada tahun 1990. Riga dijadikan ibu kota Latvia.

Bersambung...

p/s:

Di sini, aku ingin meluahkan rasa sedih aku atas pemergian Michael Jackson, yang meninggalkan kita semua pada waktu pagi semalam waktu Malaysia. Walaupun aku bukanlah 'big fan' dia, namun aku tak nafikan aku juga meminati beberapa buah lagu beliau seperti 'You Are Not Alone', 'Black Or White', 'We Are The World', etc. Walaupun hidupnya sejak kebelakangan ini penuh dengan kontroversi seperti isu pembedahan plastik, paedophile, dadah dan sebagainya, tapi kita jangan lupa jasa2 yg telah diberikannya sewaktu zaman mudanya. Tak perlulah aku menyebutkan satu demi satu jasa2 beliau. Kita semue sudah sedia maklum & boleh search di Wikipedia & sebagainya.

Aku sebenarnya berasa kesian jugak dgn beliau kerana sering dikutuk & dihina sejak kebelakangan ini. Seolah2 kite semue telah lupa jasa2 yg telah beliau berikan. Bila beliau dah meninggal, baru la semue orang nak bersedih2. Dah jadi lumrah manusia kan. Bila seseorang tu dah takde, baru laa kite nak hargainya. Ape2 pun, semoga Michael Jackson rest in peace. Aku sendiri pun tidak pasti tentang keislaman beliau. Ape2 pun, itu semue kerja Allah. Kita sbg hamba-Nya takde hak langsung nak mengadili keimanan seseorang. Wallahu 'alam...


Mendiang/Allahyarham Michael Jackson


Various Artists - We Are The World (lagu untuk charity ciptaan Michael Jackson & Lionel Richie)


Read more...

WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG VIII)

>> Thursday, June 25, 2009



Suhu di Vilnius pada hari ini agak sejuk. Oleh itu, aku mengenakan pakaian yang agak tebal. Aku mengelilingi kota ini dengan berjalan kaki sahaja kerana jarak antara satu tempat dengan tempat yang lain tidaklah sejauh mana. Lokasi pertama di Vilnius yang aku kunjungi ialah Gates of Dawn (Ausros Vartai) yang merupakan satu-satunya pintu masuk kubu lama kota Vilnius yang masih kukuh. Monumen ini adalah salah satu daripada simbol utama kota ini & merupakan tempat yang suci bagi penganut agama Kristian Katolik kerana terdapatnya gambar Mary yang dilapisi oleh emas di sini. Gambar tersebut telah berada di sini sejak kurun ke-17 lagi. Berhampiran dengan Gates of Dawn, terdapat 2 buah gereja yang bernama Holy Spirit Church (Šv. Dvasios Bažnyčia) & St Teresa’s Church (Šv. Tereses Bažnyčia). Holy Spirit Church adalah sebuah gereja Russian Orthodox.


Gates of Dawn, Vilnius, Lithuania


Gates of Dawn, Vilnius, Lithuania


Gambar Mary di dalam Gates of Dawn, Vilnius, Lithuania


St Teresa’s Church, Vilnius, Lithuania


Holy Spirit Church, Vilnius, Lithuania

Seterusnya, aku meneruskan perjalanan aku ke National Philharmonic Concert Hall (Lietuvos Nacionaline Filharmonija). Senibina bangunan ini agak cantik & unik. Kemudian, aku berjalan pula ke Vilnius Town Hall (Vilniaus Rotušė), yang siap dibina pada tahun 1799. Bangunan ini sering digunakan dalam upacara rasmi kerajaan. Di hadapannya terdapat sebuah dataran kecil yang sesuai untuk dijadikan kawasan rekreasi. Aku kemudiannya meneruskan langkah kaki ke sebuah lagi gereja yang terpenting di kota Vilnius. Nama gereja ini ialah St Anne’s Church (Šv. Onos Bažnyčia). Ia siap dibina antara tahun 1495-1500. Gereja yang dibina daripada 33 jenis bata yang berwarna merah ini merupakan antara gereja yang tercantik di kota ini. Kecantikannya pernah memukau hati Napoleon Bonaparte sewaktu kali pertama dia melihat gereja ini.


National Philharmonic Concert Hall, Vilnius, Lithuania


Vilnius Town Hall, Vilnius, Lithuania


Dataran di hadapan Vilnius Town Hall, Vilnius, Lithuania


St Anne's Church, Vilnius, Lithuania


St Anne's Church, Vilnius, Lithuania

Destinasi seterusnya ialah Cathedral Square (Katedros aikštė), sebuah dataran kecil di tengah-tengah kota Vilnius. Ianya adalah antara lokasi yang terpenting di sini. Di lokasi inilah pelbagai aktiviti seringkali diadakan seperti perarakan, konsert, sambutan tahun baru dan sebagainya. Dataran ini mulai dibuka kepada umum sejak akhir kurun ke-19. Di dataran ini terdapat beberapa monumen penting iaitu Vilnius Cathedral, Gediminas Tower, Hill Of Three Crosses, Monument to Grand Duke Gediminas & Royal Palace. Aku hanya sempat ke Vilnius Cathedral & Monument to Grand Duke Gediminas sahaja.

Vilnius Cathedral (Šv. Vladislovo Arkikatedra Bazilika) merupakan gereja Roman Katolik yang terpenting di kota Vilnius. Di sinilah upacara rasmi perlantikan Grand Duke of Lithuania diadakan. Di dalamnya juga terdapat makam-makam bangsawan-bangsawan Lithuania yang penting seperti Vytautas, Sigismund & Alexander Jagiellon. Menurut sejarah, sebelum gereja ini dibina, tempat ini merupakan tapak kuil Paganisma. Gereja hanya dibina di sini pada tahun 1251 selepas Raja Lithuania yang bernama Mindaugas memeluk agama Kristian. Namun, selepas kematiannya pada tahun 1263, tempat ini kembali menjadi kuil Paganisma. Tempat ini kemudiannya sekali lagi berfungsi sebagai gereja pada tahun 1387 selepas agama Kristian menjadi agama rasmi Lithuania. Gereja ini telah mengalami beberapa insiden kebakaran & pemulihan semula sehinggalah ke tahun 1801, di mana senibinanya kekal sebegitu rupa sehingga ke hari ini. Berhampiran dengan gereja tersebut, terletak Monument to Grand Duke Gediminas, sebuah monumen yang didedikasikan kepada Gediminas yang merupakan Grand Duchy of Lithuania mulai tahun 1316–1341. Beliau adalah penganut Paganisma yang kuat & sepanjang hidupnya, beliau menentang habis-habisan usaha Kristianisasi di Lithiuania.


Cathedral Square, Vilnius, Lithuania


Vilnius Cathedral, Vilnius, Lithuania


Vilnius Cathedral, Vilnius, Lithuania


Monument to Grand Duke Gediminas, Vilnius, Lithuania

Aku seterusnya menikmati makan tengah hari di McDonald’s sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Fillet O’Fish menjadi hidangan tengah hari. Setelah kenyang, aku pun terus mengatur langkah ke Seimas Palace (Seimo Rūmai). Bangunan ini berfungsi sebagai bangunan parlimen Lithuania. Ianya mulai dibina pada tahun 1976 & hanya siap sepenuhnya pada tahun 1980. Ianya berfungsi sebagai parlimen selepas kemerdekaan Lithuania pada tahun 1990.


Seimas Palace, Vilnius, Lithuania


Perkarangan Seimas Palace, Vilnius, Lithuania


Seimas Palace, Vilnius, Lithuania

Seimas Palace adalah destinasi terakhir aku di kota Vilnius sebelum aku kembali semula ke hostel untuk berehat-rehat. Aku keluar semula pada waktu malam untuk menikmati keindahan kota ini di bawah cahaya bulan. Selepas bergambar dengan beberapa monumen penting di kota ini, aku pun kembali semula ke hostel.


St Teresa's Church di waktu malam, Vilnius, Lithuania


Vilnius Town Hall di waktu malam, Vilnius, Lithuania


Vilnius Town Hall di waktu malam, Vilnius, Lithuania

Bersambung...

p/s: Di sini, aku ingin berkongsi dgn korang semua luahan perasaan ibu Ammar Zulkifli (Student Perubatan Malaysia di Mesir yg terkorban dalam kemalangan jalan raya di Mesir 2 minggu lepas) selepas pemergian anaknya itu di dalam blog anaknya itu sendiri:

http://kalam-puncak.blogspot.com/

Walaupun aku tidak pernah bersua muka dengan arwah, namun perjuangan beliau menegakkan agama Allah & penulisannya di dalam blognya itu benar2 menarik perhatian aku. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT & semoga keluarganya tabah menerima kehilangan Ammar. Kehilangan yg mereka rasakan sama seperti kehilangan yg kita rasakan juga. Kehilangan seorang bakal doktor & bakal pendakwah. Selamat membaca blog tersebut & semoga kita semua akan mendapat iktibar daripadanya..


Al-Fatihah buat Allahyarham Ammar bin Zulkifli


Read more...

WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG VII)

>> Tuesday, June 23, 2009



Seperti yang telah dijanjikan, aku telah pun menyambung semula penulisan travelogues aku yang dah lebih setahun tertangguh. Dalam entry ini aku telah menyambung semula travelogue 'Winter In The Baltic States' yang telah tertangguh setelah sekian lama. Bagi mereka yg tidak berpeluang membaca Bahagian I-VI, sila klik di atas hyperlink2 yg aku selitkan di bawah. InsyaAllah, dalam masa 20 hari ini, aku akan cuba menghabiskan kesemua travelogue aku yg belum lagi ditulis iaitu travelogue mengenai pengembaraan aku di Newcastle, Nottingham, Morocco, French Riviera, Croatia, Bosnia & Herzegovina, Slovenia, Romania, Bulgaria, Macedonia, Istanbul, Iceland, Liverpool, Malta, Cyprus, Jordan, Syria & Lebanon. Perrghh. Banyak tu. Harap2nya, aku dapatlah menghabiskan kesemuanya dalam masa yg singkat ni.. Hehe.. :) Ape2 pun, selamat membaca...

WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG I)
WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG II)
WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG III)
WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG IV)
WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG V)
WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG VI)

Hari 3: 26 NOVEMBER 2007

Lebih kurang pukul 6.15 pagi, aku pun tiba di stesen bas Vilnius. Sesampainya aku di situ, aku terus mengatur langkah mencari hostel yang sudah pun aku tempah melalui internet. Lokasi hostel tersebut agak mudah untuk dicari. Dengan berpandukan peta Vilnius yang terdapat di dalam buku panduan ‘Europe On A Shoestring’ terbitan Lonely Planet, aku hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk mencari hostel itu. Setibanya aku di hostel tersebut, aku terus mendaftar masuk. Pemilik hostel itu kemudiannya membawa aku ke bilik dorm & menunjukkan katil aku yang kebetulan pada waktu itu kosong. Aku lantas meletakkan barang-barang aku di sebelah katil & melelapkan mata buat seketika sebelum menunaikan solat Subuh.

Selepas mandi & bersiap-siap, aku pun memulakan pengembaraan aku di kota Vilnius, Lithuania. Lithuania atau nama tempatannya Lietuvos adalah negara yang paling selatan dalam rantau Baltik. Ianya disempadani oleh Latvia di bahagian utara, Belarus di bahagian tenggara & Poland di bahagian barat daya. Bahagian barat negara ini pula adalah persisiran pantai yang menghadap Laut Baltik. Lithuania adalah anggota NATO & Kesatuan Eropah. Keluasan negara ini adalah 65,200 km persegi & mempunyai jumlah penduduk seramai 3,500,000 orang. Bahasa Lithuania adalah bahasa rasmi negara ini. Penggunaan Bahasa Inggeris tidak begitu meluas. Matawang yang digunakan di negara ini adalah Litas. 1.00 Euro bersamaan dengan 3.45 Litas. Sementara 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 0.70 Litas. Lithuania mengamalkan sistem pemerintahan Republik. Ketua negaranya adalah Presiden, dengan dibantu oleh Perdana Menteri. Negara ini terbahagi dibahagikan kepada 10 wilayah di mana setiap wilayah ditadbir oleh seorang gabenor. Iklim negara ini pula terletak di antara iklim kelautan & kebenuaan. Purata suhu pada Musim Sejuk adalah -5 darjah celcius, sementara purata suhu pada Musim Panas pula adalah 16 darjah celcius.

Menurut sejarah, kerajaan Lithuania telah ditubuhkan pada tahun 1253 sejajar dengan perlantikan Mindaugas sebagai Raja kerajaan tersebut. Zaman kegemilangan kerajaan Lithuania dikecapi sewaktu era pemerintahan Raja yg bernama Vytautas yang memerintah dari tahun 1392 – 1430. Pada akhir kurun ke-14, kerajaan Lithuania yang turut merangkumi Ukraine, Belarus & sebahagian Russia & Poland menjadi negara yang terluas di benua Eropah. Ianya juga merupakan satu-satunya negara yang masih mengamalkan ajaran Paganisma di benua tersebut pada waktu itu. Agama Kristian hanya diterima di sini pada tahun 1386.

Pada tahun 1569, Poland & Lithuania bersatu membentuk kerajaan Polish-Lithuanian Commonwealth. Kesatuan ini akhirnya dibubarkan pada tahun 1795 & ini menyebabkan 90% daripada tanah Lithuania telah ditakluki oleh Empayar Russia, sementara yang selebihnya pula ditakluki oleh kerajaan Prussia. Selepas lebih daripada satu abad dijajah, Lithuania akhirnya mencapai kemerdekaan pada tahun 1918. Walau bagaimanapun, pada bulan Jun 1940, iaitu sewaktu Perang Dunia Kedua, negara ini telah ditakluki oleh Soviet Union. Setahun kemudiannya, Jerman pula mengambil alih. Selepas Jerman mengundur diri pada tahun 1944, Soviet Union kembali menakluki Lithuania. Dari tahun 1944 hingga 1952, dianggarkan seramai 100,000 orang penduduk Lithuania telah berjuang untuk menentang penaklukan Soviet Union ke atas tanah air mereka. Lebih daripada 20,000 orang pejuang telah terkorban dalam perjuangan mereka & tidak kurang juga bilangannya yang ditangkap & dibuang negeri ke Siberia. Setelah hampir 50 tahun terseksa di bawah penaklukan Soviet Union, Lithuania akhirnya berjaya mengisytiharkan kemerdekaannya pada tahun 1990.


Peta negara Lithuania & kedudukan Vilnius di dalamnya


Bendera negara Lithuania

Kota Vilnius adalah ibu negara Lithuania & juga merupakan bandar terbesar di negara ini. Penduduknya berjumlah 550,000 orang. Kota ini terletak di bahagian tenggara negara Lithuania, di titik pertemuan Sungai Vilnia & Sungai Neris. Purata suhu pada Musim Panas di sini adalah 17 darjah celcius, sementara purata suhu pada Musim Sejuknya pula adalah -4.9 darjah celcius.

Vilnius telah memainkan peranan yang penting sejak penubuhan kerajaan Lithuania pada tahun 1253. Ia mencapai zaman kegemilangannya sewaktu di bawah kerajaan Polish-Lithuanian Commonwealth. Kota ini menjadi pusat ilmu pengetahuan & pelbagai jenis bahasa dipertuturkan di sini pada waktu tersebut. Kota Vilnius kemudiannya ditakluki oleh Empayar Russia selepas perpecahan kerajaan Polish-Lithuanian Commonwealth. Pada tahun 1812, kota ini ditakluki pula oleh Napoleon Bonaparte dalam usahanya untuk memperluaskan empayarnya di benua Eropah. Penaklukan Napoleon ini hanya sementara sahaja. Kota Vilnius ini kemudiannya jatuh semula ke tangan Empayar Russia. Sewaktu Perang Dunia Pertama, kota ini berada di bawah taklukan Empayar Jerman, iaitu dari tahun 1915 hingga 1918. Mulai tahun 1918, Vinius berada di bawah kerajaan Poland, bukannya Lithuania. Kaunas menjadi ibu negara sementara Lithuania. Pada tahun 1939, iaitu sewaktu permulaan Perang Dunia Kedua, Soviet Union telah berjaya mengambil alih pemerintahan Vilnius. Kemudiannya, pada tahun 1941, Jerman pula mengambil alih pemerintahan kota ini. Seramai 265,000 penduduk berbangsa Yahudi di kota ini telah dibunuh sewaktu Holocaust. Selepas kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua, kota Vilnius ini diambil alih semula oleh Soviet Union. Ianya terus berada di bawah pentadbiran Soviet Union sehinggalah negara Lithuania mencapai kemerdekaannya pada tahun 1990 & ia kemudiannya dijadikan ibu kota negara tersebut.

Bersambung...

Read more...

PeNGaLaMaN 2 MiNGGu Di BuMi SYaM...

>> Saturday, June 06, 2009



Bumi Syam atau nama Englishnya ‘Levant’ merangkumi negara2 Jordan, Syria, Lebanon, Palestin & Israel. Aku hanya menjejakkan kaki di negara Jordan, Syria & Lebanon sahaja. Sudah lama sebenarnya aku teringin untuk menjejakkan kaki di bumi Syam ini. Ini kerana keistimewaan bumi tersebut yg kaya dgn nilai sejarahnya yg tersendiri. Bumi Syam menjadi pusat pertemuan pelbagai tamadun & empayar. Antara yg termasyhur & terpenting adalah Empayar Parsi, Greek, Rome, Umayyah, Abbasiyah & Uthmaniyah. Kesan peninggalan para Nabi & Rasul terdahulu juga banyak boleh dijumpai di sini. Di bumi tersebut jugalah terletaknya tempat ke-3 tersuci bagi penganut Islam, iaitu Baitul Maqdis di Jerusalem.

Aku bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memberi aku kesempatan utk menjejakkan kaki di bumi Syam pd bulan May yg lepas. Terlalu byk pengalaman yg telah aku kutip sepanjang 2 minggu aku di sana. Pengalaman2 tersebut tersangatlah berharga bagi diri aku. Terus terang aku katakan, trip aku di bumi Syam ini adalah antara trip yg paling bermakna sepanjang 7 tahun aku menjadi pengembara di bumi asing.

Dgn bantuan drp beberapa org sahabat yg aku kenali melalui internet, aku berjaya ‘survive’ di bumi Syam walaupun aku tidak fasih berbahasa Arab. Heheh. Oleh itu, dalam entri ini, aku akan menyebut nama2 mereka yg telah membantu aku sepanjang 2 minggu aku berkelana di sana.

IRBID, JORDAN:

Orang yang menjadi tunjang utama dalam trip aku ini adalah Hariz, pelajar Perubatan Tahun Pertama di Jordan University of Science & Technology (JUST) di Irbid, Jordan. Aku sendiri tak ingat macam mana aku boleh berkenalan dgn dia. Yang pastinya, dia yang add aku di Yahoo Messenger dulu. Haha. Kiteorg jadi rapat disebabkan minat yang sama iaitu melancong. So, apabila aku tiba2 tergerak hati utk ke Jordan, Syria & Lebanon, dia adalah org pertama yg aku contact. Di Irbid, aku menumpang di biliknya & dia telah menemani aku mengelilingi bandar Amman & beberapa lagi tempat di utara Jordan & juga di Laut Mati. Thanx banyak2 Hariz. Kalau tak disebabkan ko, entah bila laa aku nak sampai bumi Syam.


Bersama Hariz di Umm Qays, Jordan

Org seterusnya adalah Hady, housemate si Hariz ni. Sekelas dgn Hariz di JUST. Thanx banyak2 Hady sbb sudi bawak aku jalan2 sekitar Jerash & Ajlun walaupun ko sedang mengalami masalah mata. Heheh. Ko mmg ada bakat nak jadi pemandu pelancong. Tak ketinggalan, Dziya yg juga merupakan rakan sekelas Hariz & Hady di JUST. Thanx banyak2 Dziya sbb sudi menemani aku & Hady ke Jerash & Ajlun & jugak sanggup drive kereta ke Laut Mati, Mount Nebo, Mu’tah, etc walaupun ko tak cukup tidur. Ko mmg driver yg hebat walaupun 2 kali kena tahan dgn polis sbb over speed limit. Nasib baik la korang berjaya pujuk polis2 tu. Hahah. Hebat2.


Bersama Hady di Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Ajlun, Jordan

Terima kasih juga diucapkan kpd Rozaili (juga rakan sekelas mereka di atas) yg sudi membawa aku jalan2 di bandar Irbid & JUST & juga selaku pengganti Dziya sbg driver di ketika dia kepenatan. Hehe. Tidak dilupakan, saudara Muneer, pelajar Perubatan Tahun Keempat di JUST. Terima kasih diucapkan kerana sudi membawa hamba ke Umm Qays. Walaupun kita berjumpa hanya seketika, akan tetapi, jasamu tetap dikenang. Hehe.


Bersama Dziya, Rozaili, Muhammad & Hariz di Mount Nebo, Jordan


Bersama Muneer & Hariz di Umm Qays, Jordan

Selain itu, aku juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pelajar2 Perubatan Tahun Pertama JUST yg lain yg turut menemani penjelajahan aku di bumi Jordan spt Idris, Muhammad, Lokman, Fawwaz, Fazli & Hilmi. Juga kepada mereka2 yg lain di Irbid spt Mursyid, Hidayat, Azam, Ibrahim, Azri & nama2 lain yg aku tak berapa ingat. Maklumlah, aku ni susah sikit nak ingat nama2 org bila dah terlalu ramai. Hehe. Jutaan terima kasih diucapkan. Walaupun korang semue tgh sibuk dgn exam, korang still sudi melayan aku. Layanan yg korang beri sgt2 aku hargai.


Bersama Dziya, Hariz & Muhammad di Laut Mati, Jordan


Bersama Rozaili, Lokman, Hilmi & Fawwaz di Karak Castle, Karak, Jordan


Bersama Fawwaz, Rozaili, Taufiq & Idris di Karak Castle, Karak, Jordan


Bersama Hariz, Hidayat & Mursyid di Irbid, Jordan

MU’TAH, JORDAN:

Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kpd bebudak Bayt Dimasyq (Rumah Dimasyq) yg berjumlah 12 org kesemuanya, iaitu Amer, Muzamir, Fadhli, Adi, Uwais, Arif, Syaheed, Said, Afiq, Hamzah, Hazmi & Taufiq. Mereka ni semuanya bakal2 ustaz ni. Belajar kat University Mu’tah. Org2 yg paling aku terhutang budi adalah Ustaz Taufiq, kerana sudi menumpangkan aku dalam biliknya selama 4 hari, Ustaz Hazmi, kerana sudi membawa aku jalan2 sekitar Mu’tah & Ustaz Said kerana sudi menumpangkan aku ke Amman & memberi tunjuk ajar bagaimana nak masuk ke Syria. Semangat ukhwah yg korang 12 org tunjukkan di rumah benar2 menyentuh hati aku kerana aku pernah tinggal di rumah yg ramai penghuninya (15 org). Kekuatan ukhwah kami tidaklah sehebat kekuatan ukhwah korang. Seriously, aku rasa aman & tenteram sepanjang 4 hari aku menumpang di rumah korang. Rasa sayang nak tinggalkan korang semua walaupun kita baru saja berkenalan. :)


Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Bersama bebudak rumah Bayt Dimasyq & bebudak Mu'tah yg lain


Bersama Ustaz Said & Ustaz Taufiq di Bayt Dimasyq, Mu'tah, Jordan


Bersama Ustaz Hazmi di University Mu'tah, Mu'tah, Jordan

Selain bebudak Bayt Dimasyq, aku juga sempat berkenalan dgn beberapa lagi pelajar2 Malaysia yg lain di Mu’tah. Akan tetapi, aku tak berapa ingat nama2 dieorg. Apa2 pun, aku ingin ucapkan terima kasih banyak2 atas layanan yg diberi. Seriously, aku sangat2 terharu.

Selain Hariz di Irbid, org lain yg turut boleh dikatakan menjadi tunjang utama kpd trip aku di bumi Syam ini adalah Ustaz Zaid, pelajar kelulusan University Mu’tah yg kini sedang menjalankan bisnes tour Timur Tengah & Asia Timur bersama rakannya, Ustaz Hazimin. Nama syarikat tour dieorg adalah HZ Tours. Ustaz Zaid ini adalah anak sulung kepada Makcik Ina, salah seorang pembaca setia blog Aku Sebutir Pasir. Aku juga selalu berkunjung ke blognya. Aku dah kenal Makcik Ina agak lama sebenarnya. Lebih drp 2 tahun. Dia & 2 org anaknya yg lain pernah tinggal di Amman, Jordan dahulu. Tapi kini dieorg dah ada di Malaysia dah. Sewaktu dieorg di Amman, pernah juga Makcik Ina mengajak aku ke Jordan. Akan tetapi, pada waktu itu masa & kewangan aku kurang mengizinkan. Heheh. So, pada kali ini, aku menghubungi anaknya, Ustaz Zaid yg menetap di Mu’tah utk meminta pertolongannya. Kesudiannya membawa aku ke Petra benar2 aku hargai. Terima kasih juga diucapkan kpdnya kerana memperkenalkan aku dgn sahabatnya di Damascus, Syria. Oh ya. Terlupa pulak nak beritahu. Ustaz Zaid ni sebenarnya dah berkahwin & beranak satu. Heheh.


Bersama Ustaz Zaid di Petra, Jordan


Ustaz Zaid & anaknya, Umair

DAMASCUS, SYRIA:

Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat Ikhwan, kenalan Ustaz Zaid yg sudi menumpangkan aku di rumahnya selama seminggu lamanya. Dia jugak sudi membawa aku mengelilingi kota Damascus & juga memberi panduan yg berguna kpd aku utk memasuki & menjelajah kota Beirut, Lebanon seorang diri. Dia adalah pelajar Syari’ah di salah sebuah university di Damascus. Selain Ikhwan, aku turut ingin mengucapkan terima kasih buat Syazwan, pelajar di University Abu Nur di Damascus, kerana sudi membawa aku jalan2 sekitar Damascus & Bosra. Selain aku, dia jugak turut membawa 3 org pelajar UIA yg menetap di Damascus utk beberapa minggu. Mereka adalah Ridhuan, Asyraf & Shahrul.


Bersama Amni & Ikhwan di Damascus, Syria


Bersama Ridhuan di Makam Nabi Zulkifli a.s di Damascus, Syria


Bersama Asyraf & Shahrul di Masjid al-Mabrak al-Naaqah di Bosra, Syria

Terima kasih juga diucapkan kpd mereka2 yg lain spt Amni, Nasa’i, Fahmi, Syakir, Burhanuddin, Afiq & nama2 lain yg aku tak berapa ingat. Layanan yg diberi sangat2 aku hargai.

Jadi, itulah antara nama2 mereka yg aku jumpa sepanjang 2 minggu aku berada di bumi Syam. Kesemua mereka aku temui buat pertama kali, namun terasa seperti telah lama kenal. Itulah seronoknya mengembara di tempat2 mcm ni. Selain dapat menjelajah melihat negara org, aku jugak berkesempatan utk mencari sahabat2 baru. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana dipertemukan dgn dieorg ni semua. Tanpa dieorg, tak mungkin aku dpt ‘survive’ di bumi Syam. Sekali lagi, jutaan terima kasih diucapkan kpd korang semua. Hanya Allah SWT saja yg mampu membalas jasa2 korang.

p/s 1: Utk melihat gambar2 aku di Jordan, Syria & Lebanon, sila bukak profile facebook aku. Aku dah upload kesemuanya dalam album 'Jordan, Syria & Lebanon - Part 1-6' :)

p/s 2: Kelak, aku akan ceritakan pengalaman penuh aku di bumi Syam... Harap bersabar..

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP