WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG III)

>> Wednesday, January 16, 2008



Hari 2: 25 NOVEMBER 2007

Lebih kurang pukul 4.15 pagi, aku pun tiba di stesen bas Tallinn, Estonia. Pada waktu itu, keadaan di luar stesen bas kelihatan putih, penuh dengan lapisan ais, menandakan betapa sejuknya suasana di Tallinn pada waktu itu. Aku sangkakan stesen bas tersebut dibuka 24 jam, namun sangkaan aku meleset sama sekali. Stesen bas tersebut rupa-rupanya ditutup pada pukul 12.00 tengah malam setiap malam & hanya akan dibuka semula pada pukul 6.00 pagi. Aku menjadi bingung. Apa yang aku perlu buat dalam masa 1¾ jam dalam keadaan sejuk mencucuk tulang ini? Aku perlu mencari tempat yang tertutup supaya aku dapat memanaskan badan. Oleh itu, aku pun berjalan kaki melilau ke sana ke mari mencari tempat yang tertutup. Namun, tidak aku temui. Aku ternampak sebuah monitor elektronik yang menyatakan suhu pada waktu itu ialah -3 darjah celcius. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa deritanya aku menahan kesejukan pada waktu itu. Aku terus berjalan semata-mata untuk memanaskan badan. Berjalan sememangnya adalah suatu senaman yang terbukti dapat memanaskan badan.

Selepas hampir 1¾ jam lamanya aku berjalan-jalan memanaskan badan, akhirnya pintu masuk stesen bas tersebut pun mulai dibuka untuk orang ramai. Orang-orang di luar stesen tersebut terus berpusu-pusu masuk ke dalamnya termasuklah aku. Lega rasanya apabila dapat menikmati haba di dalam bangunan stesen bas itu. Selepas hampir 2 jam aku berehat-rehat di dalam stesen tersebut, di samping berjaya melelapkan mata untuk beberapa minit, akhirnya aku pun mulai bergerak untuk memulakan ekspedisi mengelilingi bandar Tallinn ini. Aku meletakkan beg galas besar aku terlebih dahulu di tempat menyimpan beg di dalam stesen tersebut. Aku hanya membawa beg galas kecil yang berisi barang-barang berharga seperti kamera, buku panduan & sebagainya & juga tripod untuk mengambil gambar. Aku menaiki tram untuk menuju ke pusat bandar. Di pusat bandar, aku hanya berjalan kaki sahaja.

Estonia atau dalam bahasa tempatan, Eesti adalah salah sebuah negara-negara di rantau Baltik. Ia disempadani oleh Latvia di bahagian Selatan & Russia di bahagian Timur. Kawasan perairannya pula merangkumi Laut Baltik di bahagian Barat & Teluk Finland di bahagian Utara. Estonia adalah salah sebuah negara anggota NATO. Ia mula menganggotai kesatuan tersebut pada tahun 2004. Negara ini mempunyai keluasan seluas 45,226 km2, terletak di tempat yang ke-132 dalam senarai negara yang terbesar di dunia. Jumlah penduduknya pula ialah 1,350,000 orang dengan kepadatan 29 orang/km2. Mata wang yang digunakan di Estonia ialah Kroon. 1.00 Euro bersamaan dengan 16.00 Krooni. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 3.00 Krooni. Estonia bercadang untuk bertukar ke mata wang Euro pada tahun 2010 nanti. Sistem pemerintahan Estonia adalah sistem Republik Berparlimen yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri selaku ketua pentadbiran.

70% daripada penduduk Estonia adalah dari bangsa Estonia. 25% pula berbangsa Russia. Sementara yang selebihnya, iaitu 5% lagi adalah bangsa-bangsa seperti Ukraine, Belarus, Finn, Tatar, Latvia, Pole, Lithuania, Yahudi & Jerman. Bahasa Rasmi negara ini adalah Bahasa Estonia yang mempunyai hubungan rapat dengan Bahasa Finnish, bahasa rasmi Finland. Bahasa kedua yang digunakan di negara ini ialah Bahasa Russia. Kebanyakan penduduknya, terutama golongan muda, boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Oleh itu, aku kurang menghadapi masalah komunikasi di sini. Dalam satu kajian yang dibuat, cuma 16% sahaja penduduk Estonia yang percaya kepada kewujudan Tuhan. Ini menjadikan Estonia sebagai negara yang mempunyai peratus terendah penduduk yang mempercayai Tuhan dalam kesemua negara-negara anggota Kesatuan Eropah walaupun pada zaman dahulunya penduduk negara ini merupakan penganut mazhab Kristian Lutheran yang kuat.


Peta Estonia



Bendera Estonia

Estonia pada masa kini terdiri daripada 15 buah wilayah atau istilah tempatannya maakonnad. Estonia terletak di kawasan pertukaran zon iklim maritim & kebenuaan. Iklimnya banyak dipengaruhi oleh Laut Baltik & juga Lautan Atlantik. Suhu purata tahunan di negara ini ialah 5 darjah celcius. Bulan Februari adalah bulan tersejuk dengan purata suhu -5 darjah celcius, sementara bulan Julai pula adalah bulan terpanas dengan purata suhu 18 darjah celcius. Estonia juga terletak di kawasan yang agak lembap di mana ia menerima hujan sebanyak 160 hingga 181 hari setahun. Litupan salji yang tebal boleh dilihat di kawasan Tenggara negara ini, dari pertengahan bulan Disember sehingga akhir bulan Mac.

Eksport utama Estonia adalah barang-barang mesin & alat-alat kelengkapan. Selain itu, negara ini juga turut mengeksport kayu-kayan, kertas, barangan tekstil, produk makanan, perabot, logam & bahan kimia. Import utama Estonia pula adalah barang-barang mesin & alat-alat kelengkapan. Hasil import yang lain adalah bahan kimia, barangan tekstil, produk makanan & kelengkapan pengangkutan.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP