WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG II)

>> Saturday, January 12, 2008



Hari 1: 24 NOVEMBER 2007

Aku memulakan pengembaraan aku di negara-negara rantau Baltik pada hari ini. Penerbangan Ryanair aku dari Lapangan Terbang Dublin menuju ke Riga, Latvia dijadualkan berlepas pada lebih kurang pukul 1.15 tengah hari. Selepas mendaftar masuk & sebagainya, aku & para penumpang yang lain menunggu masa untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Tidak berapa lama selepas menunggu, kami pun dipanggil masuk. Tidak berapa lama kemudian, pesawat tersebut pun berlepas meninggalkan Dublin, menuju ke Riga. Penerbangan tersebut memakan masa lebih kurang 2½ jam lamanya.

Satu insiden yang sehingga sekarang masih lagi menghantui aku telah berlaku sewaktu aku berada di dalam pesawat tersebut. Begini kisahnya. Selepas aku selesai meletakkan beg aku di kabin atas, aku pun terus duduk bersebelahan dengan tingkap, lokasi kegemaran aku apabila menaiki kapal terbang. Beberapa minit kemudian, datang seorang pemuda berbangsa Latvia berusia 30-an duduk bersebelahan dengan aku. Dia kemudiannya memanggil kawannya untuk menemaninya di kerusi sebelahnya. Pada waktu itu, aku sedang khusyuk membaca buku ‘1453’ yang mengisarkan sejarah kejatuhan Constantinople/Istanbul ke tangan tentera Turki Uthmaniyah. Akan tetapi, kekusyukan aku tiba-tiba terganggu oleh gelak ketawa pemuda tadi yang tidak menghiraukan ketenteraman aku & penumpang-penumpang lain yang duduk berhampiran dengannya. Dia berbual sakan dengan kawannya yang duduk bersebelahan dengannya itu. Akan tetapi, gelak ketawa kawannya tidaklah sedahsyat gelak ketawanya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku mengetuk kepala pemuda itu dengan buku yang aku baca & menyuruhnya diam. Namun, aku bukannya jenis yang panas baran & kesabaran aku sebenarnya agak tinggi. Lelaki tua yang duduk di hadapan pemuda tersebut juga agak terganggu dengan hilai ketawa pemuda tersebut.

Selepas hampir 1 jam aku cuba untuk mengkhusyukkan diri aku membaca buku yang aku baca, akhirnya kekusyukan aku semakin hilang, tenggelam di dalam gelak ketawa pemuda gila itu. Aku akhirnya mengalah & cuba untuk melelapkan mata. Namun, usaha aku untuk tidur juga gagal. Allah sahaja yang tahu betapa geramnya aku pada waktu itu. Mengapalah aku ditakdirkan duduk bersebelahan dengan pemuda tersebut. Wallahu 'alam.

Setelah hampir 1½ jam lamanya pemuda tadi berbual-bual & bergelak ketawa dengan kawannya, lelaki tua yang duduk di hadapan pemuda tadi sudah hilang kesabarannya. Dia lantas menegur pemuda tersebut, menyuruhnya supaya diam. Tanpa dijangka-jangka, pemuda tersebut naik angin & memarahi lelaki tua yang menegurnya itu. Kepala lelaki tua tersebut juga diketuk-ketuk. Kerusi lelaki tua itu juga ditumbuknya sehingga tangannya sendiri berdarah. Pada waktu itu, aku mulai panik. Aku tidak tahu untuk berbuat apa-apa selain berpura-pura tidur & menoleh muka aku ke tepi tingkap pesawat. Orang-orang lain yang melihat kejadian yang berlaku juga turut dimaki hamun oleh pemuda itu. Agak lama juga pemuda itu memaki hamun lelaki tua di hadapannya. Kawan pemuda tersebut cuba menenangkannya, namun dia juga turut dimarahi. Pemuda tersebut ternyata mempunyai masalah mental. Dalam hati, aku cuma berdoa kepada Allah supaya aku tidak diapa-apakan. Aku tidak mahu terlibat!

Akhirnya, wanita yang duduk di belakang pemuda tersebut memanggil salah seorang pramugari bertugas & menceritakan apa yang berlaku. Pramugari tersebut kemudiannya menegur kelakuan pemuda itu. Seperti yang dijangka, pramugari tersebut juga turut dimarahi olehnya. Pramugari itu kemudiannya memanggil ketua kru kabin, iaitu seorang pramugara untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Pramugara tersebut meminta pemuda itu menyerahkan pasportnya. Namun, dia enggan & memarahi pramugara tersebut kerana mencampuri urusan peribadinya. Bahasa Inggeris pemuda Latvia itu tidaklah begitu baik sebenarnya. Akhirnya, apabila pemuda tersebut tetap enggan menyerahkan pasportnya, pramugara itu memberitahunya bahawa polis akan datang untuk menggarinya sebaik sahaja pesawat mendarat di Riga nanti.

Pesawat yang aku naiki selamat mendarat di Lapangan Terbang Riga lebih kurang pada pukul 5.45 petang waktu tempatan Latvia. Selepas mendarat, ketua kru kabin membuat pengumuman meminta penumpang-penumpang agar tidak bergerak dari tempat duduk masing-masing kerana pihak polis akan datang untuk menahan salah seorang daripada penumpang pesawat, iaitu pemuda tadi. Penumpang-penumpang kebanyakannya terkejut dengan pengumuman tersebut. Ada juga yang bertepuk tangan, seolah-olah ianya seperti satu pertunjukan drama. Hahaha. Tidak berapa lama kemudian, 2 orang polis tempatan masuk untuk menahan pemuda yang duduk bersebelahan dengan aku itu. Aku hanya melihat tanpa berkata apa-apa. Tidak ku sangka, aku akan mendapat pengalaman sedemikian rupa.

Selepas semuanya selesai, penumpang-penumpang pun dibenarkan untuk keluar dari pesawat. Selepas melepasi kaunter imigresen, aku pun terus mencari jalan keluar dari lapangan terbang tersebut untuk mencari tempat menunggu bas untuk ke pusat bandar Riga. Aku berjaya menjumpainya. Tambang bas untuk ke pusat bandar amat murah sekali. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit lamanya. Sesampainya aku di pusat bandar, aku terus mencari stesen bas. Aku akan menaiki bas ke Tallinn, Estonia pada malam ini juga, iaitu pada pukul 11.30 malam. Selepas puas mencari & hampir sesat, aku akhirnya berjaya menjumpai stesen bas tersebut. Alhamdulillah. Aku tidak ke mana-mana lagi selepas itu memandangkan suhu di luar tersangat sejuk, di bawah 0 darjah celcius. Aku hanya menunggu di dalam stesen bas tersebut sehingga bas yang aku nantikan tiba di platformnya. Untuk mengisi masa yang terluang, aku menyambung kembali membaca buku ‘1453’.

Setelah beberapa jam menunggu, akhirnya bas Eurolines yang dinantikan pun tiba. Aku terus masuk ke dalamnya. Tidak berapa lama kemudian, ianya pun bertolak meninggalkan Riga, menuju ke Tallinn. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 4¾ jam lamanya.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP