WiNTeR iN THe BaLTiC STaTeS (BHG XI / aKHiR)

>> Wednesday, July 01, 2009



Selepas selesai makan tengah hari, aku berjalan menuju ke sebuah lagi gereja yang terdapat di kota Riga. Riga sememangnya kaya dengan gereja-gereja pelbagai mazhab. Gereja yang aku jejaki kali ini pula adalah gereja mazhab Russian Orthodox yang mempunyai senibina yang menarik. Nama gereja ini ialah Nativity of Christ Cathedral. Ianya dibina antara tahun 1876-1883, sewaktu Riga di bawah pemerintahan Empayar Russia. Tsar Russia yang memerintah pada waktu tersebut bernama Alexander II. Gereja ini merupakan gereja Russian Orthodox yang terbesar di rantau Baltik. Sewaktu Perang Dunia Pertama, tentera Jerman yang mengambil alih bandar Riga menukarkan fungsi gereja ini kepada gereja mazhab Lutheran. Namun, ianya hanyalah sementara. Gereja ini ditukar semula menjadi gereja mazhab Russian Orthodox selepas Latvia mendapat kemerdekaannya pada tahun 1918. Walau bagaimanapun, di bawah jajahan Soviet Union, gereja ini ditukar lagi fungsinya pada tahun 1960-an. Kali ini, ia dijadikan planetarium & fungsinya berkekalan sebegitu sehinggalah Latvia mencapai kemerdekaannya sekali lagi pada tahun 1990.


Berhampiran Nativity of Christ Cathedral, Riga, Latvia


Nativity of Christ Cathedral, Riga, Latvia

Seterusnya, aku bergerak menuju ke Swedish Gate (Zviedru vārti), sebuah kesan tinggalan sejarah yang penting di kota Riga. Swedish Gate ini dibina pada tahun 1698 bagi meraikan kejayaan tentera Sweden menawan kota ini & ianya adalah satu-satunya tinggalan kerajaan Sweden di Riga. Berhampiran dengan Swedish Gate, terdapat sebuah menara usang yang diberi nama Powder Tower (Pulvertornis) yang dahulunya digunakan sebagai tempat penyimpanan senjata. Menara ini dibina pada kurun ke-14. Namun, ia telah roboh pada tahun 1621 sewaktu pencerobohan tentera Sweden. Ianya dibina semula pada tahun 1650 oleh tentera Sweden sendiri dengan ketebalan dinding setebal 2.5 meter untuk melindungi senjata-senjata yang disimpan di dalamnya. Menara ini kini merupakan sebahagian daripada War Museum.


Swedish Gate, Riga, Latvia


Powder Tower, Riga, Latvia

Aku kemudiannya bergerak ke National Opera House. Aku hanya bergambar di hadapannya sahaja. Aku kurang pasti mengenai sejarah bangunan ini. Selepas itu, aku berjalan pula ke Riga Castle (Rīgas pils) yang terletak di pinggiran Sungai Daugava. Istana ini siap dibina pada tahun 1330 & diperbesarkan lagi antara tahun 1497-1515. Istana ini pernah ditawan pada kurun ke-17 oleh tentera Sweden & dijadikan kubu pertahanan mereka. Pada tahun 1938, istana ini dijadikan kediaman rasmi kerajaan. Pada hari ini, ianya merupakan kediaman rasmi Presiden Latvia. Terdapat muzium-muzium di dalamnya yang boleh dilawati oleh orang awam. Aku tidak masuk ke dalamnya kerana kesuntukan masa.


National Opera House, Riga, Latvia


Riga Castle, Riga, Latvia


Riga Castle, Riga, Latvia

Selepas bergambar di hadapan Riga Castle, aku meneruskan perjalanan ke lokasi terakhir aku di kota Riga sebelum kembali ke hostel. Lokasi terakhir aku ialah Riga Central Market (Rīgas Centrāltirgus). Pasar tertutup ini menarik senibinanya. Ianya mulai dibina pada tahun 1928 & dibuka kepada orang awam pada tahun 1930. Aku tidak membeli apa-apa di sini. Sekadar ingin merasai suasananya sahaja. Peniaga-peniaga bukan sahaja berniaga di dalam bangunan ini, malah di luar pun turut terdapat beberapa gerai yang menjual aneka barang jualan. Sedang aku berjalan-jalan di kawasan luar pasar itu, salji tiba-tiba turun secara renyai-renyai.


Riga Central Market, Riga, Latvia

Setelah puas menikmati suasana di dalam & di luar pasar tersebut, aku pun kembali ke hostel. Aku berehat-rehat seketika untuk menghilangkan penat. Kemudian, aku mengemas barang-barang aku & meletakkan kesemuanya di dalam beg galas aku. Selepas menikmati hidangan petang, aku pun terus menaiki tram ke Lapangan Terbang Riga. Penerbangan aku ke Dublin akan berlepas pada pukul 9.30 malam ini. Sesampainya aku di lapangan terbang tersebut, aku terus mendaftar masuk. Beberapa lama kemudian, aku & penumpang-penumpang lain pun dipanggil untuk masuk ke dalam pesawat. Lebih kurang beberapa minit kemudian, pesawat kami pun berlepas meninggalkan bumi Riga menuju ke kota Dublin. Perjalanan mengambil masa selama 3 jam lamanya. Lebih kurang pukul 10.30 malam waktu tempatan Ireland, aku pun tiba di Lapangan Terbang Dublin.

Pengalaman selama 5 hari di ketiga-tiga negara rantau Baltik, iaitu Estonia, Lithuania & Latvia sememangnya amat berharga bagi diri aku. Walaupun ketiga-tiga negara ini bukanlah destinasi utama pelancong, namun ianya tetap istimewa bagi diri aku. Kecantikan alam semula jadi & senibina bangunan yang terdapat di ketiga-tiga buah bandar yang aku kunjungi sememangnya agak berbeza daripada negara-negara lain yang pernah aku jejaki. Aku yakin, ramai yang tidak pernah tahu tentang kewujudan ketiga-tiga negara tersebut kerana ketiga-tiganya baru sahaja mendapat kemerdekaan daripada Soviet Union berbelas tahun yang lalu. Oleh itu, aku harapkan agar travelogue yang aku tulis ini akan dapat menarik minat pembaca untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang ketiga-tiga negara ini. Sekian sahaja, terima kasih.

TAMAT

Selepas ini, nantikan pula travelogue aku yg seterusnya, iaitu pengalaman selama 5 hari di Newcastle & Nottingham, United Kingdom.

6 buah komen:

Anonymous Thursday, July 2, 2009 at 6:13:00 AM GMT+8  

I have been to Riga few years back. The food is very cheap over there. Did U enter the House of the Blackheads? The ballroom was awesome!
I wish I can travel like U but to travel alone in those countries quite scary especially for a girl :)

S

JHaZ KiTaRo Thursday, July 2, 2009 at 8:58:00 PM GMT+8  

anonymous: the food is very cheap?? hahah.. i didnt have any chance for food tasting.. my only food in those 3 countries were McDonald's.. tak berani nak cube makanan2 lain.. taktau halal ke tak.. Muslim shops are hardly to find there..

And I didnt enter the House of the Blackheads.. not interested.. ingatkan takde ape2.. hihi.. all in all, i love those 3 countries.. and its safe to travel alone.. :)

pakndak Friday, July 3, 2009 at 8:03:00 PM GMT+8  

assalamualaikum, wah, best gila tengok gambaq. good luck bro

Suzana Johari Saturday, July 4, 2009 at 2:59:00 PM GMT+8  

cantik bila tengok tempat orang..semua tempat tu boleh jalan dlm ms sehari?

JHaZ KiTaRo Saturday, July 4, 2009 at 6:23:00 PM GMT+8  

pakndak:
wsalam.. thanx for the compliment n wish!!

Suzana Johari:
yup.. mmg cantik.. ada rezeki boleh laa gi sane.. aah.. one day is enuff to cover the whole city.. tak besar mane pun bandar die..

Blogger Saturday, July 15, 2017 at 7:43:00 PM GMT+8  

QUANTUM BINARY SIGNALS

Professional trading signals sent to your cell phone daily.

Follow our trades right now and gain up to 270% per day.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP