SuMMeR iN THe LaNDS oF THe aNCieNTS (BHG XXXVIII/aKHiR)

>> Tuesday, March 27, 2007



Hari 32 (Akhir): 25 JULAI 2006

Hari ini adalah hari terakhir trip kami. Kami akan pulang semula ke Dublin dari Glasgow pada waktu petang nanti. Tidak sabar rasanya untuk pulang ke rumah setelah 38 hari berkelana di bumi asing. Setelah bersiap-siap, kami berdua pun terus berjalan kaki dari hostel kami menuju ke stesen bas Edinburgh St Andrews. Kami akan bertolak ke Glasgow dengan menaiki bas. Setelah beberapa minit menunggu, bas yang kami nantikan pun tiba & kami terus masuk ke dalamnya. Tidak berapa lama kemudian, ia pun bergerak meninggalkan Edinburgh lebih kurang pada pukul 9.00 pagi. Perjalanan ke Glasgow mengambil masa hampir sejam lamanya.

Setibanya kami di stesen bas Glasgow Buchanan, kami seolah-olah hilang minat untuk berjalan-jalan. Kami seperti tidak sabar untuk kembali ke Dublin. Glasgow adalah bandar yang terbesar di Scotland. Bandar ini mula berkembang sebagai pusat industri kejuruteraan berat & pembuatan kapal sejak Revolusi Industri yang tercetus di United Kingdom sewaktu kurun ke-18. Sewaktu zaman kegemilangan Empayar British dahulu, Glasgow adalah bandar kedua terpenting dalam empayar tersebut selepas London. Namun, selepas Perang Dunia II, kemasyhuran bandar Glasgow mulai menurun.

Kami berdua cuma bergambar di hadapan Glasgow Royal Concert Hall & Glasgow City Hall sahaja. Glasgow Royal Concert Hall telah dibuka secara rasmi pada tahun 1990, sementara Glasgow City Hall pula mulai dibuka pada tahun 1841. Setelah bergambar di hadapan kedua-dua bangunan tersebut, kami mengambil keputusan untuk menonton wayang di sebuah pawagam yang terletak berhampiran dengan stesen bas Glasgow Buchanan. Kami menonton filem Superman Returns yang sedang hangat pada waktu ini.

Glasgow Royal Concert Hall, Glasgow, Scotland, United Kingdom
Glasgow Royal Concert Hall, Glasgow, Scotland, United Kingdom


Glasgow City Hall, Glasgow, Scotland, United Kingdom
Glasgow City Hall, Glasgow, Scotland, United Kingdom

Setelah tamat menonton filem tersebut, kami kembali ke stesen bas. Kami kemudiannya terus mengambil bas untuk menuju ke Lapangan Terbang Glasgow Prestwick. Perjalanan ke sana mengambil masa hampir 2 jam. Setibanya kami di lapangan terbang tersebut, kami berehat-rehat sambil menunggu waktu pendaftaran masuk. Selepas sudah boleh mendaftar masuk, kami pun terus beratur. Kemudian, kami menunggu untuk masuk ke dalam kapal terbang pula. Setelah beberapa minit menunggu, kami akhirnya dibenarkan masuk ke dalamnya & tidak berapa lama kemudian, ianya pun berlepas meninggalkan Glasgow. Penerbangan Ryanair kami ini mengambil masa lebih kurang sejam untuk tiba di Dublin. Sejam kemudian, kami berdua akhirnya tiba di Lapangan Terbang Dublin. Waktu sudah pun malam. Alhamdulillah. Kami selamat tiba di Dublin.

Perjalanan kami selama 32 hari menjejakkan kaki di bumi Wales, Itali, Vatican City, Greece, Turki & Scotland sudah tentunya adalah suatu pengalaman yang sukar dilupakan. Setiap tempat yang dijejaki mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Namun begitu, bumi Turki adalah yang terbaik bagi aku. Aku seolah-olah telah jatuh cinta dengan bumi Turki. Ini mungkin disebabkan kecantikan masjid-masjidnya, keramahan penduduk-penduduknya & kesedapan makanan-makanannya yang halal dimakan. Walau apa pun, kami berdua termasuk Azza yang cuma sempat bersama dengan kami sewaktu di Wales, Itali & Vatican City bersyukur kepada Allah swt kerana diberi peluang sekali lagi untuk berjalan-jalan melihat keindahan bumi ciptaan-Nya. Subhanallah. Sepanjang trip ini, aku telah membelanjakan hampir 1,500 Euro. Banyak juga sebenarnya. Namun, wang bukanlah penghalang bagi aku. Tiada apa yang dapat ditukar ganti dengan pengalaman yang aku telah perolehi.

TAMAT. Terima kasih diucapkan kepada semua pembaca blog ini yang telah membaca travelogue 'Summer In The Lands Of The Ancients' dari bahagian pertama sehinggalah ke bahagian ke-38. InsyaAllah aku akan edit semula travelogue ini & letakkannya di ruangan 'JURNAL AKA TRAVELOGUE' secepat yang mungkin. Nantikan travelogue baru yang bertajuk 'Summer In The Land Of The Pharaohs' yang menceritakan pengalaman aku di bumi Mesir pula selepas ini. InsyaAllah ianya akan bermula tidak lama lagi. Nantikanlah... :)

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP