SuMMeR iN THe LaNDS oF THe aNCieNTS (BHG XXXIII)

>> Friday, March 09, 2007



Dari Acropolis, kami kemudiannya berjalan menuju ke runtuhan Teater Dionysos yang terletak berdekatan dengan Acropolis tersebut. Runtuhan teater ini dibina antara tahun 342 & 326 SM & boleh memuatkan seramai 17,000 orang pada waktu tersebut. Seterusnya, kami berjalan pula ke runtuhan Kuil Olympian Zeus. Kuil ini dibina untuk Tuhan Zeus atau turut dikenali dengan nama Jupiter oleh orang-orang dari Empayar Rom. Pembinaan kuil ini dimulakan pada tahun 515 SM. Namun, kerja-kerja pembinaan tersebut tergendala selepas tahun 510 SM. Pada kurun ke-3 SM, sewaktu Greece di bawah kekuasaan Macedonia, kerja-kerja pembinaan kuil ini diteruskan. Akan tetapi, ianya tergendala sekali lagi selepas tahun 164 SM. Kemudiannya, pada tahun 86, sewaktu Greece di bawah Empayar Rom, kerja-kerja pembinaan kuil tersebut diteruskan lagi & akhirnya, ia disiapkan sepenuhnya pada kurun ke-2, sewaktu pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Hadrian.

Teater Dionysos, Athens, Greece
Teater Dionysos, Athens, Greece

Kuil Olympian Zeus ini adalah kuil yang terbesar di Greece pada waktu ia disiapkan sepenuhnya. Hadrian kemudiannya telah mengarahkan pembinaan 2 buah patung emas yang besar untuk diletakkan di dalam kuil tersebut iaitu patung Tuhan Zeus & juga patung dirinya sendiri. Namun, lama-kelamaan, kuil ini akhirnya runtuh. Ianya dikatakan runtuh disebabkan kejadian gempa bumi. Yang tinggal kini hanyalah beberapa batang tiang yang masih lagi kukuh. Kuil ini sememangnya tersangat besar. Kagum kami melihatnya. Berhampiran dengan runtuhan kuil ini, terdapat sebuah monumen pintu gerbang yang bernama ‘Arch of Hadrian’. Ianya dibina sebagai memperingati kejayaan pembinaan Kuil Olympian Zeus oleh Hadrian.

Kuil Olympian Zeus, Athens, Greece
Kuil Olympian Zeus, Athens, Greece


‘Arch of Hadrian’, Athens, Greece
‘Arch of Hadrian’, Athens, Greece

Selepas itu, kami berjalan menuju ke Zappeion yang merupakan Taman Nasional yang terdapat di Athens. Ia adalah tempat untuk bermesyuarat & perlangsungan upacara-upacara rasmi. Kemudian, kami ke Stadium Olimpik 1896 pula, iaitu stadium di mana berlangsungnya Sukan Olimpik moden yang pertama di dunia. Pada zaman dahulu, stadium ini digunakan untuk Sukan Panathena sebagai tanda penghormatan kepada Tuhan Athena. Kemudian, pada tahun 1895, stadium ini diperbaik pulih untuk upacara Sukan Olimpik 1896. Ianya adalah Sukan Olimpik pertama di dunia sejak ianya diharamkan oleh Maharaja Rom yang bernama Theodosius pada tahun 393 selepas Empayar Rom dikristiankan. Sukan Olimpik 1896 ini disertai oleh hanya 14 buah negara sahaja.

Zappeion, Athens, Greece
Zappeion, Athens, Greece


Stadium Olimpik 1896, Athens, Greece
Stadium Olimpik 1896, Athens, Greece

Kami kemudiannya berjalan ke bangunan Parlimen Greece. Bangunan ini siap dibina pada tahun 1843. Ia pada mulanya menempatkan golongan kerabat diraja Greece. Namun, selepas pemerintahan beraja dihapuskan pada tahun 1924, bangunan ini ditukar menjadi muzium & kemudiannya menjadi hospital. Pada tahun 1929, bangunan ini mula berfungsi sebagai bangunan Parlimen. Selepas bergambar di hadapannya, kami menaiki Metro untuk ke Monastiraki. Kami membeli beberapa buah lagi cenderamata untuk dijadikan kenangan. Kemudian, kami singgah di sebuah restoran MacDonald untuk makan tengah hari. Selepas makan, kami kembali ke hostel kami untuk bersiap-siap untuk ke lapangan terbang. Apabila kami berdua sudah bersedia, kami pun terus menaiki Metro untuk ke Lapangan Terbang Athens. Penerbangan Easyjet kami ke London Gatwick akan berlepas pada pukul 10.00 malam nanti. Kami mempunyai masa hampir 3 jam sebelum penerbangan kami berlepas. Setelah mendaftar masuk & sebagainya, penerbangan kami pun berlepas meninggalkan Athens menuju ke London Gatwick. Penerbangan kami ini mengambil masa hampir 4 jam lamanya.

Bangunan Parlimen Greece, Athens, Greece
Bangunan Parlimen Greece, Athens, Greece


Monastiraki, Athens, Greece
Monastiraki, Athens, Greece


Monastiraki, Athens, Greece
Monastiraki, Athens, Greece

Sesampainya kami di Lapangan Terbang London Gatwick, waktu sudah pun menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Kami akan ke Glasgow, Scotland pada keesokan malamnya dengan menaiki bas dari London. Oleh itu, kami sudah pun memberitahu Apen, kawan kami yang sama-sama belajar di Kolej MARA Banting dahulu yang kini sedang belajar di London bahawa kami akan menumpang di biliknya sementara menunggu bas ke Glasgow. Kami bercadang untuk menaiki bas dari Lapangan Terbang London Gatwick untuk ke pusat bandar London sejurus selepas kami tiba di lapangan terbang ini. Akan tetapi, kami sudah terlepas bas terakhir yang sudah pun bertolak pada pukul 12.00 tengah malam tadi. Kami tidak ada jalan lain selain daripada tidur di dalam lapangan terbang tersebut sementara menunggu bas terawal yang akan bertolak pada pukul 5.00 pagi nanti. Hahahah. Aku menghubungi Apen untuk memberitahunya tentang hal ini. Dia hanya ketawa sahaja. Hahaha. Selepas itu, kami berdua pun terus cuba melelapkan mata kami sementara menunggu pukul 5.00 pagi.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP