SuMMeR iN THe LaNDS oF THe aNCieNTS (BHG XXXVII)

>> Sunday, March 25, 2007



Hari 31: 24 JULAI 2006

Pada pagi hari ini, kami berdua bersiap-siap untuk menaiki bas tour Loch Ness. Setelah semuanya sudah lengkap, kami pun terus berjalan menuju ke Edinburgh Castle. Bas tour tersebut akan bertolak dari hadapan istana tersebut. Selepas menunggu selama beberapa minit, akhirnya 2 buah bas pun tiba di tempat kami menunggu. Kami & penumpang-penumpang lain terus masuk ke dalam bas-bas tersebut sambil tiket-tiket kami diperiksa oleh pemandu-pemandu bas merangkap pemandu-pemandu pelancong.

Setelah semua penumpang sudah berada di dalam kedua-dua bas tersebut, kedua-duanya pun mulai bergerak. Bas yang aku & Jem naiki dilabelkan sebagai bas pertama & bas ini bergerak dahulu meninggalkan bas kedua. Pemandu bas ini tersangatlah peramah & bercakap tanpa henti. Pelbagai informasi tentang kawasan-kawasan yang kami lalui disampaikan olehnya. Kami semua benar-benar terhibur & tidak berasa bosan.

Destinasi utama kami iaitu Loch Ness akan dijejaki dalam masa lebih kurang 4 jam lagi. Loch Ness adalah sebuah tasik yang amat terkenal yang terletak di kawasan tanah tinggi Scotland. Tasik ini adalah tasik yang menakung jumlah air tawar yang terbanyak di United Kingdom. Ia terletak berhampiran dengan sebuah bandar yang bernama Inverness. Yang menjadikan tasik ini terkenal ialah lagenda seekor raksasa yang bernama Nessie. Raksasa ini dikatakan pernah muncul di permukaan tasik tersebut pada suatu masa dahulu. Wallahu ‘alam. Pelancong-pelancong yang datang ke Loch Ness boleh menyewa sampan-sampan & mendayung di sekeliling tasik ini. Tasik ini sememangnya adalah antara tumpuan utama pelancong ke Scotland.

Loch Ness, Scotland, United Kingdom
Loch Ness, Scotland, United Kingdom


Raksasa Nessie di Loch Ness, Scotland, United Kingdom
Raksasa Nessie di Loch Ness, Scotland, United Kingdom

Bas tour yang kami naiki melalui kawasan tanah tinggi Scotland yang mempunyai pemandangan sekeliling yang sangat mendamaikan. Subhanallah. Begitu indah bumi ciptaan Allah swt. Aku & Jem seperti tidak sabar-sabar lagi untuk tiba di Loch Ness untuk mendayung sampan di sekeliling tasik itu. Hahahah. Akan tetapi, kami hanya merancang. Allah swt sahajalah yang berkuasa untuk menentukan segalanya.

Setelah hampir 2 jam kami dalam perjalanan, bas yang kami naiki tiba-tiba rosak. Bunyi siren bas tersebut tiba-tiba berbunyi & tidak dapat dihentikan. Pemandu bas tersebut bingung. Dia kemudiannya terpaksa memberhentikan bas yang dipandunya & mematikan enjin bas tersebut untuk menghentikan bunyi siren. Kami semua terkandas di sebuah kawasan yang sunyi lagi asing. Pemandu bas tersebut kemudiannya menghubungi mekanik yang terdekat untuk memeriksa bas tersebut. Menurut kata pemandu bas tersebut, mekanik yang dihubunginya itu akan tiba dalam masa sejam. Disebabkan terlampau bosan di dalam bas, aku, Jem & penumpang-penumpang lain keluar dari bas untuk menghirup udara luar. Indah sungguh pemandangan. Aku & Jem sempat mengambil beberapa keping gambar. Kami juga sempat memetik beberapa biji buah raspberi yang tumbuh liar & kami memakan buah-buah tersebut mentah-mentah. Hahaha.

Sewaktu terkandas, Scotland, United Kingdom
Sewaktu terkandas, Scotland, United Kingdom

Setelah hampir sejam menunggu, akhirnya mekanik yang dihubungi pun tiba. Dia pun terus memeriksa kerosakan bas tersebut. Dia kemudiannya cuba menghidupkan enjin bas tersebut & siren masih lagi berbunyi. Akhirnya, dia terpaksa memberitahu pemandu bas tersebut bahawa bas ini memerlukan jangka masa yang panjang untuk diperbaiki & kemudiannya pemandu bas tersebut pun menyampaikannya kepada kami. Ramai antara kami yang agak marah kerana kejadian ini telah membuang masa kami. Aku & Jem juga begitu. Namun, apa yang kami boleh buat. Ini semua adalah kehendak Allah swt. Segala kejadian itu ada sebabnya. Kami berdua hanya pasrah.

Pemandu bas tersebut kemudian memberitahu kami bahawa dia akan memberhentikan kami di sebuah stesen minyak yang berdekatan & dalam masa 20 minit, sebuah bas lain akan tiba untuk membawa kami pulang ke bandar Edinburgh. Kami boleh meminta gantirugi kami apabila tiba di sana nanti. Huhuhu. Setelah 20 minit menunggu, akhirnya bas yang dijanjikan pun tiba. Kami semua lantas terus menaiki bas tersebut, termasuk pemandu bas tadi. Setelah hampir 2 jam perjalanan, kami pun tiba semula di bandar Edinburgh. Pemandu bas tadi sekali lagi meminta maaf kepada kami semua atas kerosakan bas yang tidak dijangka akan berlaku itu. Kami semua dengan rela hati memaafkannya walaupun kami sebenarnya benar-benar panas hati.

Aku & Jem kemudiannya terus berjalan menuju ke pejabat pelancongan untuk meminta gantirugi. Selepas itu, kami makan tengah hari di sebuah restoran Cina yang menyediakan perkhidmatan buffet. Kami makan sepuas hati untuk melepaskan rasa marah dengan kejadian yang berlaku kepada kami pada hari ini. Huhuhuh. Kami makan semua makanan-makanan laut yang disediakan sehingga kenyang. Selepas itu, kami bersiar-siar sebentar di bandar Edinburgh. Apabila sudah penat, kami pun pulang semula ke hostel kami.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP