WiNTeR iN FReNCH RiVieRa (BHG II) - NiCe

>> Monday, September 07, 2009



Hari 1: 16 DISEMBER 2007

Penerbangan Ryanair dari Dublin ke Nice, Perancis akan berlepas pada pukul 6.30 pagi hari ini. Untuk menjimatkan wang daripada menaiki teksi ke Lapangan Terbang Dublin, aku, Thani, Asrih & Muaz memilih untuk bermalam sahaja di lapangan terbang tersebut malam sebelum penerbangan kami. Kami menaiki bas untuk ke lapangan terbang pada malam itu. Walaupun dalam keadaan yang kurang selesa, kami berjaya juga melelapkan mata buat beberapa jam. Seterusnya, lebih kurang pukul 4.30 pagi, kami berempat pun mula mendaftar masuk. Setelah menunggu hampir sejam lamanya, para penumpang pun dipanggil masuk ke dalam pesawat. Tidak berapa lama kemudian, ianya pun berlepas meninggalkan bumi Dublin menuju ke Nice. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2¼ jam. Lebih kurang pukul 9.45 waktu tempatan Perancis, kami pun tiba di Lapangan Terbang Nice Côte d'Azur.

Selepas selesai sahaja urusan imigresen, kami pun keluar dari lapangan terbang tersebut. Kami kemudiannya menaiki bas untuk ke pusat bandar Nice yang terletak agak jauh dari lapangan terbang itu. Bas tersebut melalui jalan raya yang menyusuri persisiran pantai Laut Mediterranean. Pemandangan di sepanjang jalan raya itu sungguh mengasyikkan, dengan kejernihan air lautnya, pasir-pasir yang putih & pohon-pohon palma yang cantik tersusun di sepanjang pantai tersebut. Memang tidak hairanlah mengapa bandar ini seringkali menjadi tumpuan pelancong.

Bas yang kami naiki berhenti di stesen keretapi Nice Ville. Setibanya kami di situ, kami membuka peta yang terdapat di dalam buku panduan aku untuk mencari lokasi hostel yang telah pun kami tempah melalui internet. Hostel tersebut terletak tidak jauh dari stesen keretapi. Lebih kurang dalam 15 minit sahaja, kami berempat berjaya menjumpainya. Hostel itu terletak berdekatan dengan restoran Kentucky Fried Chicken yang bakal menjadi tempat kami makan tengah hari nanti. Makanan di dalam kesemua cawangan restoran Kentucky Fried Chicken di negara Perancis halal dimakan kerana menurut kata pelajar-pelajar Malaysia di sini, pemilik rangkaian KFC di Perancis adalah seorang Muslim.


Stesen Keretapi Nice Ville, Nice, Perancis

Kami bermalam selama 3 malam di hostel ini. 2 malam berturut-turut pada 16 & 17 Disember & malam terakhir pada 19 Disember. Kami diberi pilihan sama ada untuk membayar 2 malam dahulu atau terus membayar untuk ketiga-tiga malam sekaligus. Kami memilih untuk membayar ketiga-tiga malam sekaligus. Selepas mendaftar masuk, kami pun dibawa masuk ke dalam bilik kami. Keadaan bilik tersebut amat selesa. Cuma bilik airnya sahaja yang bermasalah kerana air bertakung. Oleh itu, sebelum kami keluar menjelajah kota Nice, kami meminta penjaga kaunter resepsi hostel itu untuk melakukan sesuatu dengan bilik air di bilik kami itu. Selepas itu, barulah kami memulakan penjelajahan kami.

Nice adalah bandar kedua paling popular di kalangan pelancong di negara Perancis selepas Paris. Ia juga merupakan hab utama para pelancong yang berkunjung di French Riviera. Lapangan terbangnya adalah lapangan terbang kedua tersibuk di Perancis selepas Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris. Bandar yang diasaskan pada tahun 350 SM ini hanya mulai menjadi sebahagian daripada Perancis pada tahun 1860. Jumlah penduduk di sini adalah seramai 348,000 orang, menjadikannya bandar ke-5 terbesar di Perancis dari segi jumlah bilangan penduduk selepas Paris, Marseilles, Lyon & Toulouse.


Peta Kedudukan Nice di dalam Perancis

Tempat pertama di Nice yang kami jejaki ialah St Nicholas Russian Orthodox Cathedral (Cathédrale Orthodoxe Russe Saint-Nicolas) yang merupakan salah satu monumen terpenting di negara Perancis. Gereja ini dibina atas sumbangan Tsar Russia yang terakhir, iaitu Nicholas II & mula dibuka pada tahun 1912. Ianya adalah Russian Orthodox Cathedral yang terbesar sekali di luar negara Russia. Menurut sejarah, pada kurun ke-19, Tsar Russia pada waktu itu yang bernama Alexander II telah berkunjung ke Nice & telah jatuh hati dengan keindahan & keadaan iklim bandar ini. Bandar Nice kemudiannya menjadi tumpuan penghijrahan orang-orang Russia yang membentuk komuniti yang agak besar & menyebabkan timbulnya idea untuk membina gereja mazhab Russian Orthodox untuk memudahkan mereka beribadat. Pada masa kini, terdapat sedikit konflik berkenaan dengan hak milik gereja ini antara kerajaan Russia & penduduk tempatan Nice yang beragama Kristian mazhab Russian Orthodox.


Bersama Asrih di St Nicholas Russian Orthodox Cathedral, Nice, Perancis

Selepas bergambar dengan gereja yang besar itu, aku, Thani, Asrih & Muaz meneruskan perjalanan kami ke sebuah lagi gereja yang popular di sini, iaitu Notre Dame de Nice. Rupa bentuknya seakan-akan Notre Dame di Paris, cuma saiznya lebih kecil. Aku sendiri kurang pasti tentang sejarah gereja ini. Kami kemudiannya terus ke restoran Kentucky Fried Chicken untuk santapan tengah hari. Rasa ayamnya kurang menyelerakan berbanding ayam KFC di Malaysia. Mungkin kerana rempahnya agak berbeza. Selepas selesai sahaja makan, kami menyambung perjalanan kami ke beberapa tempat seperti Theatre National de Nice, Museum of Modern and Contemporary Art (Musee d’Art Moderne et d’Art Contemporain) & Palais de Justice. Kesemuanya adalah bangunan-bangunan yang mempunyai senibina yang menarik. Namun, aku kurang pasti mengenai sejarah ketiga-tiganya.


Bersama Asrih di Notre Dame de Nice, Nice, Perancis


Theatre National de Nice, Nice, Perancis


Bersama Asrih & Thani di Museum of Modern and Contemporary Art, Nice, Perancis


Palais de Justice, Nice, Perancis

Selepas itu, kami terus ke sebuah dataran yang bernama Place Massena yang merupakan dataran utama di kota Nice. Ianya menjadi tempat utama aktiviti-aktiviti awam di sini seperti konsert & perarakan. Sewaktu kami di sini, sebuah ‘funfair’ yang sangat meriah sedang berlangsung. Banyak permainan tersedia. Kami tidak mencuba kerana kesuntukan masa. Waktu sudah pun hampir senja.


Place Massena, Nice, Perancis


Place Massena, Nice, Perancis

Kami kemudiannya menuju ke persisiran pantai Laut Mediterranean yang tidak jauh dari Place Massena. Pada waktu kami di sini, hari pun sudah senja. Kami menghabiskan masa senja kami di sini menyaksikan matahari terbenam. Pemandangannya teramatlah indah. Subhanallah. Selepas puas bergambar, bermain-main air & menghirup udara laut yang segar, kami pun meneruskan perjalanan pulang ke hostel. Sebelum sampai hostel, kami singgah dahulu di restoran Kentucky Fried Chicken untuk makan malam. Kemudian, kami pun kembali ke hostel.


Bersama Asrih & Thani di Persisiran Pantai Laut Mediterranean, Nice, Perancis


Bersama Asrih & Thani di Persisiran Pantai Laut Mediterranean, Nice, Perancis


Persisiran Pantai Laut Mediterranean, Nice, Perancis


Bersama Muaz, Thani & Asrih di Persisiran Pantai Laut Mediterranean sewaktu Matahari Terbenam, Nice, Perancis


Persisiran Pantai Laut Mediterranean, Nice, Perancis


Persisiran Pantai Laut Mediterranean, Nice, Perancis


Makan Malam di Restoran Kentucky Fried Chicken bersama Thani, Asrih & Muaz, Nice, Perancis

Sesampainya kami di bilik, kami melihat keadaan bilik air kami sama sahaja seperti keadaannya pada waktu pagi tadi. Air bertakung. Aku & Asrih kemudiannya turun ke bawah untuk melaporkan hal itu kepada penjaga kaunter resepsi. Pada waktu itu, penjaganya bukan orang yang sama seperti pada waktu pagi tadi. Setelah meluahkan rasa tidak puas hati kami, dia akhirnya bersetuju untuk menukarkan kami ke bilik lain. Kami berempat kemudiannya pun dibawa berpindah ke bilik lain. Tiada apa-apa masalah yang terdapat dalam bilik baru ini. Oleh itu, selepas mandi & solat, kami berempat pun terus melelapkan mata.

Bersambung...

Read more...

WiNTeR iN FReNCH RiVieRa (BHG I) - PRoLoGue

>> Saturday, September 05, 2009



Ini adalah kali ketiga aku menjejakkan kaki di bumi Perancis. Kali pertama adalah sewaktu Musim Sejuk tahun 2003, bersama 4 orang rakan dari Dublin. Kami bermukim di Paris selama 17 hari di rumah seorang rakan di situ. Dalam tempoh 17 hari itu, kami sempat ke sebuah lagi bandar di negara itu, iaitu Colmar. Kali kedua pula adalah sewaktu Musim Panas tahun 2005, bersama ayah aku yang datang berkunjung ke bumi Eropah. Aku & ayah aku hanya berjalan-jalan di sekitar kota Paris sahaja selama 3 hari. Pada kali ketiga ini, aku ditemani pula oleh 3 orang rakan dari Dublin. Mereka ialah Asrih & Thani, pelajar perubatan Tahun Kedua di Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI) & Muaz, pelajar perubatan Tahun Pertama di universiti yang sama.

Pada kali ini, aku tidak ke Paris lagi, tetapi ke satu kawasan lain yang diberi nama French Riviera. Aku sengaja mengajak mereka bertiga menemani aku kerana aku ingin mempunyai teman sewaktu berjalan-jalan di sana nanti. Bosan pula rasanya mengembara bersendirian seperti di negara-negara rantau Baltik & di Morocco yang baru sahaja aku kunjungi. Di samping itu, aku juga berharap aku akan dapat mencurahkan sebanyak mungkin ilmu-ilmu aku kepada mereka bertiga yang baru berusia setahun jagung di bumi asing ini. Aku harapkan segala pengalaman yang akan mereka perolehi bersama-sama dengan aku nanti dapat mereka gunakan untuk masa hadapan apabila mereka mengembara ke tempat-tempat lain di benua Eropah ini.


Aku, Thani, Asrih & Muaz

Aku sebenarnya sudah lama berhasrat untuk menjejakkan kaki di French Riviera. Mujurlah aku diberi kesempatan untuk ke sana sewaktu cuti Musim Sejuk kali ini. Kami berempat berlepas ke sana sehari selepas ketibaan aku di Dublin dari bumi Morocco. Pengembaraan aku dalam cuti Musim Sejuk ini seolah-olah seperti sebuah Marathon pula jadinya. Dari rantau Baltik, terus ke Newcastle & Nottingham. Kemudian, terus pula ke Morocco. Dan sekarang, hendak ke French Riviera pula. Hahaha. Walaupun penat, aku tetap gagahkan diri aku untuk bersama-sama dengan mereka bertiga ke French Riviera. Mujurlah mereka ada bersama untuk menemani aku. Bersemangat pula jadinya.

Pengembaraan aku, Thani, Asrih & Muaz bermula pada tarikh 16 Disember 2007 & berakhir pada tarikh 20 Disember 2007. Lebih kurang 5 hari lamanya. Bandar-bandar yang kami berempat kunjungi ialah Nice, Cannes, Monte Carlo & Marseilles. Kami bermalam di hostel-hostel yang telah pun kami tempah melalui internet. Harga-harganya agak berpatutan. Sebagai panduan untuk berjalan-jalan di sana, aku membawa sekali buku panduan ‘Europe on a Shoestring’ terbitan Lonely Planet yang sememangnya amat berguna. Untuk bergerak dari satu bandar ke bandar yang lain, kami menggunakan perkhidmatan keretapi yang mudah & cepat.

French Riviera atau namanya dalam Bahasa Perancis, Côte d'Azur adalah sebuah kawasan di persisiran pantai Laut Mediterranean di bahagian tenggara negara Perancis. Ia merupakan antara kawasan resort yang popular di benua Eropah. Antara bandar-bandar yang terletak di sini ialah Cannes, Monte Carlo, Antibes, Juan-les-Pins, Frejus & Nice. Nice adalah bandar yang terbesar di sini yang juga menjadi hab utama para pelancong yang berkunjung ke French Riviera. Seramai 2,000,000 orang penduduk menetap di sepanjang persisiran pantai French Riviera ini. Sebagai kawasan pelancongan yang ternama, terdapat hampir 18 buah pusat permainan golf, 14 buah resort ski & 3,000 buah restoran di sepanjang pantai tersebut.


Peta Kedudukan French Riviera di dalam Perancis


Peta French Riviera

Menurut sejarah, kawasan French Riviera ini telah dihuni oleh manusia sejak zaman Paleolitik lagi, iaitu sejak tahun 950,000 SM. Kemudian, sekitar tahun 8 SM, kawasan ini mula menjadi sebahagian daripada tanah jajahan Empayar Rom. Banyak bandar di sini dimajukan dengan pembinaan monumen-monumen & ampiteater-ampiteater. Pengaruh agama Kristian Katholik mulai bertapak di French Riviera pada kurun ke-4 dengan pembinaan gereja-gereja yang kebanyakannya masih kukuh sehingga ke hari ini.

Selepas keruntuhan Empayar Rom pada kurun ke-5, kawasan French Riviera dimasuki oleh orang-orang Visigoth, Burgundi & Ostrogoth yang sentiasa berperang antara satu sama lain sehinggalah akhirnya kawasan ini berjaya ditakluki oleh orang-orang Saracen & Norman pada kurun ke-9. Kawasan ini kemudiannya menjadi aman dengan kewujudan kerajaan Provence yang diperintah oleh pelbagai Dinasti, iaitu Bosonid, Catalan & kemudiannya Angevin. Sebelum tahun 1480, kerajaan Provence adalah kerajaan yang bebas & berdaulat. Walau bagaimanapun, kerajaan ini akhirnya menjadi sebahagian daripada Perancis pada tahun 1486 selepas kematian Comte de Provence yang bernama Rene I. Perancis pada waktu itu berada di bawah pemerintahan raja yang bernama Louis XI.

Sebelum kurun ke-18, French Riviera ini hanyalah sebuah kawasan terpencil & daif yang hanya dipenuhi dengan perkampungan nelayan & ladang-ladang zaitun, serta tempat-tempat penghasilan minyak wangi. Walau bagaimanapun, pada akhir kurun ke-18, kawasan ini mulai menjadi popular di kalangan hartawan dari Britain yang tertarik dengan keindahan pantai yang terdapat di sini. Pelbagai usaha dilakukan oleh mereka untuk mempopularkan kawasan ini yang akhirnya menjadi satu kawasan peranginan yang ternama bagi hartawan-hartawan Britain. French Riviera ini kemudiannya menjadi popular di kalangan golongan pemerintah Eropah pula seperti Alexander II (Tsar Russia), Napoleon III (Maharaja Perancis), Leopold II (Raja Belgium) & Victoria (Ratu England). Ia juga turut menjadi tempat para pelukis seperti Auguste Renoir, Henri Matisse & Pablo Picasso mencari ilham. Selepas Perang Dunia Pertama, kawasan French Riviera ini mula menjadi tumpuan pelancong-pelancong dari Amerika Syarikat pula.

Kawasan persisiran pantai French Riviera ini mengalami iklim Mediterranean, iaitu panas & kering pada Musim Panas & sejuk & lembap pada Musim Sejuk. Penerimaan cahaya matahari hari tanpa hujan selama 300 hari dalam setahun menjadikan kawasan persisiran pantainya amat popular di kalangan pelancong. Penduduk di sini bertutur dalam Bahasa Perancis. Penggunaan Bahasa Inggeris agak meluas kerana industri pelancongan adalah industri yang terpenting di sini. Ia menerima kehadiran pelancong dari seluruh dunia setiap hari tanpa henti. Oleh itu, kami berempat tidak menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan orang tempatan.

Bersambung...

Read more...

MoRoCCo: PeRMaTa iSLaM Di uFuK BaRaT (BHG XVI/aKHiR)

>> Thursday, September 03, 2009



Hari 11: 14 DISEMBER 2007

Seawal pukul 6.00 pagi lagi aku sudah bangun untuk berkemas-kemas, mandi & menunaikan solat Subuh. Selepas semuanya selesai, aku pun terus keluar. Sebelum itu, aku mengucapkan terima kasih dahulu kepada pemilik hostel itu yang telah berjasa pada aku minggu lepas kerana sudi membenarkan aku menumpangkan beg aku di dalam hostelnya sementara aku berjalan-jalan di sekitar kota Marrakech. Selepas mengucapkan terima kasih kepadanya, aku terus menuju ke sebuah teksi di stesen teksi yang terletak di hadapan hostel tersebut & meminta pemandunya membawa aku ke lapangan terbang.

Aku bertanyakan dahulu akan harga tambang yang perlu dibayar. Jauh lebih murah berbanding harga yang aku bayar sewaktu aku datang dari lapangan terbang ke pusat bandar Marrakech pada minggu lepas. Mujurlah pemandu teksi kali ini bukan jenis yang suka mencekik darah pelancong seperti pemandu teksi di lapangan terbang itu. Aku lantas bersetuju dengan harga tambang yang dikenakan & pemandu teksi itu pun membawa aku ke lapangan terbang. Suasana pagi yang lengang menyebabkan aku tiba di lapangan terbang dalam jangka masa yang agak singkat. Pemandu teksi itu pula bukan jenis yang peramah. Kami berdua hanya senyap melayan diri masing-masing.

Setibanya aku di Lapangan Terbang Menara Marrakech, aku terus ke kaunter pendaftaran. Selepas semuanya selesai, aku pun terus melalui zon pemeriksaan keselamatan & kemudiannya ke terminal untuk menaiki pesawat Ryanair untuk ke London. Setelah lebih daripada sejam menunggu, akhirnya para penumpang pun diminta masuk ke dalam pesawat. Pesawat kemudian berlepas meninggalkan Marrakech, menuju ke London lebih kurang pada pukul 10.00 pagi. Perjalanan ke London memakan masa hampir 3¾ jam lamanya. Lebih kurang pukul 1.45 tengah hari, aku pun tiba di Lapangan Terbang Luton, London. Penerbangan Ryanair ke Dublin yang aku tempah adalah pada awal pagi esoknya. Oleh itu, aku terpaksa menghabiskan masa hampir 17 jam di Lapangan Terbang London Luton yang agak bosan itu.


Hari 12: 15 DISEMBER 2007

Setelah 15 jam menunggu di samping beberapa jam melelapkan mata, akhirnya tamat juga penantian aku. Penantian sememangnya satu penyeksaan. Lebih kurang pukul 4.30 pagi, aku pun terus ke kaunter pendaftaran & kemudiannya melalui zon pemeriksaan keselamatan. Selepas semuanya selesai, aku menunggu pula untuk dipanggil masuk ke dalam pesawat. Tidak berapa lama kemudian, para penumpang pun dijemput masuk & pesawat berlepas meninggalkan London pada pukul 6.30 pagi. Perjalanan ke Dublin mengambil masa lebih kurang sejam lamanya. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, aku pun tiba di Lapangan Terbang Dublin dengan selamat.

Pengalaman selama hampir 10 hari di bumi Morocco adalah antara pengalaman-pengalaman yang amat berharga bagi diri aku kerana ini adalah pertama kali aku menjejakkan kaki seorang diri di negara yang penduduknya bertutur dalam Bahasa Arab. Sememangnya, terlalu banyak kenangan pahit yang telah aku lalui dengan penduduk di sini yang rata-ratanya boleh dikategorikan sebagai orang-orang yang agak kasar, mata duitan & kadangkalanya agak menakutkan. Ini mungkin kerana faktor kemunduran ekonomi penduduk-penduduk di negara ini. Dan mungkin juga kerana aku mengembara seorang diri. Maka, lebih mudah untuk aku diganggu.

Walau bagaimanapun, tidak semua penduduk Morocco berkelakuan sedemikian rupa. Masih ada antara mereka yang berkelakuan mulia & sudi menolong aku secara ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Contohnya seperti pemilik hostel di Marrakech itu & juga 2 orang lelaki peramah yang duduk bersama-sama aku di dalam keretapi dari Marrakech ke Casablanca. Tidak lupa juga beberapa orang awam yang sudi membantu aku di kala aku sesat & juga pemilik-pemilik kedai yang begitu peramah yang meluahkan kekaguman mereka terhadap negara Malaysia. Itu adalah antara kenangan-kenangan manis yang aku perolehi di sini.

Bumi Morocco sememangnya menyimpan seribu satu khazanah yang berharga, terutamanya senibinanya yang mampu memukau hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Senibina sebegini rupa hanya boleh dijumpai di bumi Morocco & negara-negara rantau al-Maghreb sahaja. Ianya tidak dijumpai di tempat-tempat lain di dunia ini. Pencapaian mereka dalam ilmu senibina ini menyebabkan aku berasa amat bangga menjadi seorang Muslim. Inilah sebenarnya yang menjadi penyebab utama hati aku tertarik sangat ingin berkunjung ke bumi Morocco. Untuk mengamati senibinanya di samping merasai suasana Islam di bumi Afrika Utara ini.

Terlalu banyak keindahan yang tersimpan di bumi Morocco ini yang sukar diceritakan dengan kata-kata. Kesemuanya itu hanya boleh diterokai oleh mereka yang menjejakkan sendiri kaki di sini. Oleh itu, aku sangat-sangat menggalakkan pembaca blog ini supaya berkunjung ke bumi Morocco ini yang boleh diibaratkan seperti permata Islam di ufuk Barat. Namun, aku nasihatkan supaya tidak ke sini seorang diri, terutamanya golongan hawa atas faktor keselamatan. Bawalah bersama sekurang-kurangnya seorang teman.

Dengan ini, sekian sahajalah travelogue aku di bumi Morocco. Semoga pembaca semua mendapat banyak manfaat & informasi yang berguna yang boleh diaplikasikan apabila berkunjung ke negara ini nanti.

TAMAT. Lepas ni, nantikan pula Travelogue aku di FRENCH RIVIERA (Nice, Monte Carlo, Cannes, Marseilles)

p/s: SILA TINGGALKAN APA-APA KOMEN SUPAYA AKU DAPAT PERBAIKI APA-APA KEKURANGAN YANG ADA DALAM TRAVELOGUE-TRAVELOGUE AKU. JANGAN SEGAN-SEGAN, OK!!

Read more...

MoRoCCo: PeRMaTa iSLaM Di uFuK BaRaT (BHG XV) - MaRRaKeCH II

>> Tuesday, September 01, 2009



Hari 10: 13 DISEMBER 2007

Pada pagi ini, selepas selesai sahaja mandi & berkemas-kemas, aku pun keluar untuk menjelajahi kota Marrakech buat kali kedua. Aku telah pun menjelajahi kota ini dalam masa satu hari sewaktu hari pertama aku di bumi Morocco pada minggu lalu. Kali ini, aku akan melengkapkan penjelajahan aku di kota ini. Tempat pertama yang aku jejaki ialah Bab Doukkala Mosque. Masjid ini dibina pada pertengahan kurun ke-16 oleh ibu kepada Ahmad al-Mansor, pemerintah yang memerintah pada waktu itu. Aku tidak lama di sini. Seterusnya, aku ke Mouassine Mosque, sebuah masjid lama yang dibina antara tahun 1562 hingga 1573, sewaktu pemerintahan Sultan dari Dinasti Saadi yang bernama Moulay Abdullah.


Bab Doukkala Mosque, Marrakech, Morocco


Bab Doukkala Mosque, Marrakech, Morocco


Mouassine Mosque, Marrakech, Morocco

Selepas itu, aku meneruskan perjalanan aku ke kawasan The Souks yang bermaksud pasar. Ianya adalah antara pasar-pasar yang terkenal di seluruh rantau al-Maghreb. Kedai-kedai di sini disusun mengikut jenis barangan yang dijual. Antara barangan yang dijual adalah kain-kain fabrik, barang-barang kemas, barangan kulit, barangan kraftangan, selipar, sayur-sayuran, haiwan ternakan & pelbagai lagi. Kawasannya yang amat luas menyebabkan aku hampir sesat di dalamnya. Namun, dengan berpandukan peta yang ada di dalam buku panduan & juga dengan bantuan daripada penduduk tempatan, aku berjaya berjalan menyusuri kesibukan The Souks ini untuk menuju ke destinasi aku yang seterusnya, iaitu Musee de Marrakech.


The Souks, Marrakech, Morocco


The Souks, Marrakech, Morocco

Musee de Marrakech adalah sebuah muzium yang pada dahulunya merupakan sebuah istana yang dibina oleh wazir kepada Sultan Moulay Mehdi Hassan yang memerintah pada akhir kurun ke-19. Nama istana tersebut ialah Dar Menebhi. Muzium ini terbahagi kepada 2 bahagian. Bahagian pertama mempamerkan hasil-hasil kesenian kontemporari & lukisan-lukisan. Sementara itu, bahagian kedua pula mempamerkan koleksi syiling lama tinggalan kerajaan Dinasti Idris hingga ke kerajaan Dinasti Alaowiyah, salinan lama Al-Quran, seramik-seramik & banyak lagi. Kecantikan senibina muzium ini benar-benar memukau pandangan aku. Aku menghabiskan masa yang agak lama di dalam muzium ini.


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco


Ruang Dalaman Musee de Marrakech, Marrakech, Morocco

Selepas puas melihat khazanah-khazanah yang ada di dalam Musee de Marrakech, aku ke tempat yang seterusnya, iaitu Koubba Ba’Adiyn. Tiket untuk masuk ke tempat ini disekalikan dengan tiket untuk masuk ke dalam Musee de Marrakech tadi. Koubba Ba’Adiyn ini adalah sebuah kubah kecil yang diperbuat daripada bata-bata yang merupakan satu-satunya tinggalan kerajaan Dinasti Almoravid di kota Marrakech. Ianya dibina oleh Ali bin Yusuf pada tahun 1106. Kubah ini sebenarnya adalah sebahagian daripada masjid yang dibina sewaktu pemerintahan kerajaan Dinasti Almoravid yang kemudiannya diruntuhkan oleh kerajaan Dinasti Almohad selepas mereka mengambil alih pemerintahan kota Marrakech. Kubah ini merupakan satu-satunya struktur masjid tersebut yang tidak dihancurkan. Ianya tersembunyi selama beratus-ratus tahun, sehinggalah ianya dijumpai pada tahun 1948. Di dalam kubah ini terkandung juga sebuah kolam kecil untuk berwuduk.


Koubba Ba’Adiyn, Marrakech, Morocco


Koubba Ba’Adiyn, Marrakech, Morocco


Bahagian Dalam Koubba Ba’Adiyn, Marrakech, Morocco

Sejurus selepas itu, aku terus berjalan ke tempat seterusnya, iaitu Bin Yusuf Medersa. Madrasah ini merupakan antara madrasah-madrasah yang terulung & terbesar di rantau al-Maghreb yang boleh memuatkan seramai 900 orang anak murid. Ianya diasaskan oleh pemerintah kerajaan Dinasti Merinid yang bernama Abu al-Hassan pada pertengahan kurun ke-14. Kemudian, ianya diperbesarkan oleh pemerintah kerajaan Dinasti Saadi yang bernama Moulay Abdullah pada kurun ke-16 untuk menandingi Medersa Bou Inania di Fes. Nama madrasah ini diambil bersempena dengan nama masjid yang terletak berdekatan dengannya , iaitu Bin Yusuf Mosque yang dibina sewaktu pemerintahan kerajaan Dinasti Almoravid. Selama 4 kurun lamanya masjid & madrasah ini menjadi tumpuan utama penduduk di sini untuk menunaikan ibadat & juga sebagai pusat pengajian al-Quran. Kehalusan senibina Islam yang terdapat di madrasah ini benar-benar dapat memukau pandangan sesiapa sahaja yang melihatnya. Pintu masuknya sahaja sudah mengagumkan. Rasanya seperti hendak sahaja aku tinggal di sini.


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Bin Yusuf Medersa, Marrakech, Morocco


Aku kemudiannya menuju ke destinasi terakhir aku di Marrakech, iaitu Djemaa al-Fana, sebuah dataran luas yang menjadi medan pasar awam pada waktu pagi & arena pertunjukan terbuka pada waktu malam, di mana terdapatnya gerai-gerai makanan, pertunjukan ahli-ahli muzik, penari-penari, penglipur lara, pemain ular & banyak lagi. Dengan adanya gerai-gerai makanan yang menjual daging-daging panggang pada waktu malam, kawasan ini dipenuhi dengan asap-asap & bau rempah ratus yang betul-betul boleh menaikkan nafsu makan sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini. Aku juga turut mengambil kesempatan yang ada untuk menjamah makanan-makanan yang dijual di sini. Amat menyelerakan sekali.

Selama beratus-ratus tahun Djemaa al-Fana telah menjadi nadi utama Marrakech & juga simbol utama kota ini. Ianyalah yang menjadikan kota ini unik & lain daripada kota-kota yang lain. Tanpanya, Marrakech hanya akan sama seperti bandar-bandar lain di Morocco. Djemaa al-Fana ini turut diiktiraf sebagai salah satu daripada 'UNESCO World Heritage Sites'. Sebelum kurun ke-19, kawasan ini sebenarnya menyimpan sejarah yang hitam, iaitu sebagai tempat pemancungan pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan besar. Adakalanya, seramai 45 orang pesalah dipancung dalam satu hari & kepala-kepala mereka digantung di pintu-pintu masuk kota ini.


Djemaa al-Fana Sebelum Matahari Terbenam, Marrakech, Morocco


Pemain Ular di Djemaa al-Fana, Marrakech, Morocco


Djemaa al-Fana Ketika Matahari Terbenam, Marrakech, Morocco


Gerai Buah-Buahan di Djemaa al-Fana, Marrakech, Morocco


Gerai-Gerai Makanan di Djemaa al-Fana, Marrakech, Morocco


Djemaa al-Fana Selepas Matahari Terbenam, Marrakech, Morocco

Aku menghabiskan masa yang agak lama Djemaa al-Fana, dari sebelum terbenamnya mentari, sehinggalah masuk waktu Isyak. Selepas puas menikmati makanan-makanan yang ada di Djemaa al-Fana, aku kembali ke hostel untuk mandi, menunaikan solat & kemudiannya melelapkan mata. Dengan terjejaknya Djemaa al-Fana tadi, maka berakhirlah ekspedisi aku di bumi Morocco ini. Keesokan harinya, aku akan pulang semula ke Dublin setelah 9 hari aku bermastautin di negara ini.

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP