SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG VI)

>> Friday, April 13, 2007



Destinasi kami yang seterusnya ialah Masjid Imam Syafi’e. Di dalam masjid inilah terletaknya makam Imam Syafi’e, iaitu hamba Allah yang telah mengasaskan Mazhab Syafi’e yang menjadi ikutan kita, masyarakat Muslim di Asia Tenggara & juga beberapa buah lagi negara di dunia seperti Mesir & negara-negara Afrika Timur. Orang yang bertanggungjawab membina masjid tersebut ialah Salahuddin al-Ayyubi yang membinanya di atas tapak makam Imam Syafi’e. Imam Syafi’e adalah imam yang ke-3 mengikut susunan tarikh kelahiran 4 orang pengasas mazhab. 3 buah mazhab lain seperti yang kita maklumi ialah Mazhab Hanafi, Mazhab Hanbali & Mazhab Maliki.

Nama sebenar Imam Syafi’e ialah Muhamad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 150 H di Gaza, Palestin. Beliau kemudiannya berpindah ke Mekah sewaktu berusia 10 tahun. Kemudian, beliau berpindah pula ke Madinah & menjadi anak murid kepada Imam Malik ibn Anas yang merupakan pengasas kepada Mazhab Maliki. Selepas itu, Imam Syafi’e berpindah ke Baghdad & akhir sekali ke Mesir. Imam Syafi’e adalah keturunan Bani Hashim & Abdul Mutalib. Keturunannya dipercayai bertemu dengan keturunan Rasulullah s.a.w di sebelah datuk baginda iaitu Abdul Manaf.

Imam Syafi'e banyak mengembara mencari ilmu walaupun hidup dalam kemiskinan. Beliau telah mempelajari ilmu fiqah & hadis sehingga ke tahap yang tertinggi. Antara mereka yang pernah menjadi guru kepada Imam Syafi’e selain daripada Imam Malik ibn Anas ialah Sayyidah Nafisah, Muslim bin Khalid az-Zanji & Syaikhul Muhaddisin Sufyan bin Uyaynah. Berdekatan dengan makam Imam Syafi’e, terdapat sebuah kesan tapak kaki di atas lantai yang dikatakan tapak kaki Rasulullah s.a.w. Menurut cerita seorang lelaki Arab yang kami jumpa di sini, seorang hamba Allah pernah tertidur di kawasan makam ini & dia tiba-tiba ternampak jasad Rasulullah s.a.w muncul di kawasan makam tersebut. Rasulullah s.a.w kemudiannya meninggalkan kesan tapak kaki baginda di atas lantai tersebut. Wallahu ‘alam.

Masjid Imam Syafi'e, Kaherah, Mesir
Masjid Imam Syafi'e, Kaherah, Mesir


Masjid Imam Syafi'e, Kaherah, Mesir
Masjid Imam Syafi'e, Kaherah, Mesir


Makam Imam Syafi'e, Kaherah, Mesir
Makam Imam Syafi'e, Kaherah, Mesir


Kesan tapak kaki yang dikatakan tapak kaki Rasulullah s.a.w di dalam Masjid Imam Syafi'e, Kaherah, Mesir
Kesan tapak kaki yang dikatakan tapak kaki Rasulullah s.a.w di dalam Masjid Imam Syafi'e, Kaherah, Mesir

Selepas menyedekahkan Al-Fatihah & berdoa meminta keberkatan, kami pun berjalan keluar dari masjid tersebut. Kami kemudiannya singgah di sebuah gerai yang terletak di hadapan masjid tersebut. Kami memesan beberapa keping roti & sejenis lauk yang aku tidak pasti apa namanya. Kebersihan gerai tersebut tersangat-sangatlah boleh diragui kerana lalat-lalat berterbangan di sana-sini. Aku berasa sangat tidak selesa. Selepas makan, kami pun terus pulang semula ke Rumah Malaysia Abbasiyah untuk berehat-rehat & menunaikan solat Asar. Harap-harap kami tidak dijangkiti apa-apa penyakit selepas makan di gerai tadi. Hahaha.

Makan-makan di sebuah gerai di hadapan Masjid Imam Syafi'e, Kaherah, Mesir
Makan-makan di sebuah gerai di hadapan Masjid Imam Syafi'e, Kaherah, Mesir


Rumah Malaysia Abbasiyah, Kaherah, Mesir
Rumah Malaysia Abbasiyah, Kaherah, Mesir


Di pintu hadapan Rumah Malaysia Abbasiyah, Kaherah, Mesir
Di pintu hadapan Rumah Malaysia Abbasiyah, Kaherah, Mesir


Di dalam kawasan Rumah Malaysia Abbasiyah, Kaherah, Mesir
Di dalam kawasan Rumah Malaysia Abbasiyah, Kaherah, Mesir

Selepas selesai menunaikan solat Asar, kami berenam menaiki teksi menuju ke Memorial 6 October. Memorial ini dibina bagi memperingati kemenangan tentera Mesir & Syria mengalahkan tentera Israel dalam sebuah peperangan yang berlaku pada tahun 1973. Perang tersebut dikenali sebagai Perang Oktober kerana ia berlaku dalam bulan tersebut. Tujuan utama perang ini adalah untuk merampas semula semenanjung Sinai yang telah ditawan oleh Israel 6 tahun sebelum itu. Kejayaan Mesir dalam peperangan ini telah mengharumkan nama presidennya pada waktu itu iaitu Anwar Saddat.

Untuk memasuki memorial ini, kami perlu membeli tiket yang harganya tidaklah terlampau mahal. Kami meminjam kad pelajar pelajar-pelajar di Rumah Malaysia Abbasiyah untuk mendapat diskaun. Mujurlah wajah kami tidak diperiksa oleh penjual tiket. Hahaha. Di dalam memorial tersebut, dipamerkan kenderaan-kenderaan & peralatan-peralatan yang digunakan sewaktu Perang Oktober seperti kereta kebal, meriam & sebagainya. Terdapat juga beberapa pertunjukan interaktif yang agak menarik. Tapi malangnya bahasa yang digunakan adalah bahasa Arab. Oleh itu, aku tidak langsung memahami apa yang dikatakan. Hahaha.

Di dalam kawasan Memorial 6 October, Kaherah, Mesir
Di dalam kawasan Memorial 6 October, Kaherah, Mesir


Di dalam kawasan Memorial 6 October, Kaherah, Mesir
Di dalam kawasan Memorial 6 October, Kaherah, Mesir


Di dalam kawasan Memorial 6 October, Kaherah, Mesir
Di dalam kawasan Memorial 6 October, Kaherah, Mesir


Di dalam kawasan Memorial 6 October, Kaherah, Mesir
Di dalam kawasan Memorial 6 October, Kaherah, Mesir


Pertunjukan interaktif di dalam Memorial 6 Oktober, Kaherah, Mesir
Pertunjukan interaktif di dalam Memorial 6 Oktober, Kaherah, Mesir

Selepas puas berlegar-legar di dalam memorial tersebut & menunaikan solat Maghrib, kami berenam pun kembali semula ke Rumah Malaysia Abbasiyah. Aku & Tok Wan kemudiannya dibawa pulang ke Rumah Perlis oleh Ahmad & Johan. Mereka berdua akan turut bermalam di Rumah Perlis pada malam ini kerana kami berempat akan menaiki kereta ke Iskandariah pada awal pagi esoknya. Acab tidak akan bersama-sama dengan kami ke Iskandariah kerana dia sudah pernah ke sana sebelum ini. Selepas solat Isyak, kami berempat pun terus melelapkan mata kepenatan. Banyak sungguh aktiviti kami pada hari ini.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP