SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG V)

>> Wednesday, April 11, 2007



Kaherah atau nama tempatannya Al-Qahirah terletak di pinggiran Sungai Nil & merupakan ibu negara Mesir. Ianya bukan sahaja bandar yang terbesar di negara ini, malah ianya juga adalah bandar yang terbesar di benua Afrika & di rantau Timur Tengah. Kawasan yang tertua di Kaherah atau nama lamanya, Fustat telah diasaskan pada tahun 648 selepas Mesir berjaya ditawan oleh tentera-tentera Islam yang diketuai oleh Amr ibn al-A'as. Fustat terletak berdekatan dengan bandar-bandar lama seperti Memphis, Heliopolis & Giza. Ia kemudiannya dijadikan pusat pemerintahan baru di Mesir bagi menggantikan Iskandariah.

Kedudukan bandar Kaherah di dalam negara Mesir
Kedudukan bandar Kaherah di dalam negara Mesir

Fustat mulai menjadi pusat perkembangan Islam yang penting di Afrika Utara sewaktu di bawah kerajaan Bani Umaiyyah. Dari sini jugalah pemerintah terakhir kerajaan Bani Umaiyyah yang berpusat di Damsyik, iaitu Marwan II berusaha untuk mempertahankan kerajaannya daripada serangan tentera kerajaan Bani Abbasiyah. Namun, usahanya gagal & dia dibunuh pada tahun 750 oleh pemerintah kerajaan Bani Abbasiyah. Pada tahun tersebut jugalah Kaherah jatuh ke bawah pentadbiran kerajaan Bani Abbasiyah. Waris terakhir kerajaan Bani Umaiyyah iaitu Abdul Rahman I kemudiannya telah berjaya melarikan diri ke Cordoba, Sepanyol & menyambung kewibawaan kerajaan Bani Umaiyyah di sana.

Seterusnya, sewaktu kewujudan kerajaan Fatimiyah di Mesir, Fustat dijadikan pusat pemerintahan kerajaan ini secara rasminya pada tahun 969 & tidak berapa lama kemudian nama Fustat ditukar kepada Al-Qahirah (Kaherah). Kaherah seterusnya terus mekar menjadi pusat perkembangan agama Islam yang masyhur di rantau Timur Tengah. Sewaktu di bawah kerajaan Ayyubiah mulai tahun 1171, Kaherah meneruskan keagungannya sebagai antara bandar-bandar yang terpenting dalam dunia Islam. Kerajaan Mamluk yang mulai berkuasa dari tahun 1250 hingga ke tahun 1517 masih lagi mengekalkan Kaherah sebagai pusat pemerintahan. Kerajaan Mamluk kemudiannya ditawan pula oleh Empayar Turki Uthmaniyah & diletakkan di bawah naungan empayar tersebut. Kaherah tetap kekal menjadi bandar yang penting di rantau Timur Tengah.

Selepas pemergian tentera Napoleon Bonaparte, Muhammad Ali Pasha telah dilantik menjadi wizurai Sultan Turki Uthmaniyah di Mesir & pusat pentadbirannya adalah di Kaherah dari tahun 1801 sehingga ke tahun 1882. Di bawah pentadbirannya, Kaherah telah berkembang dengan pesatnya. Usahanya kemudian diteruskan pula oleh anaknya iaitu Ismail Pasha. Pada tahun 1882, Mesir telah ditawan oleh United Kingdom. Selepas kemerdekaan Mesir sepenuhnya pada tahun 1956, Kaherah dijadikan ibu kota negara ini secara rasminya sehingga kini.

Kami mengelilingi kota Kaherah pada hari ini dengan menaiki teksi & juga bas. Memandangkan hari ini adalah hari Jumaat, Acab membawa aku & Tok Wan ke Masjid Amr ibn al-A'as untuk menunaikan solat Jumaat. Kami menaiki teksi bersama-sama dengan Faizal. Setibanya kami di masjid tersebut, kami berjumpa pula dengan Johan & Ahmad yang tiba di sini lebih kurang 2 minit selepas ketibaan kami. Kemudian, kami berenam pun terus masuk ke dalam masjid tersebut. Masjid Amr ibn al-A'as sebenarnya adalah masjid pertama yang dibina di benua Afrika. Ia dibina tidak berapa lama selepas Kaherah berjaya ditawan oleh tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Amr ibn al-A'as pada tahun 639. Pembinaan masjid ini diarahkan oleh Khalifah Islam pada waktu tersebut iaitu Umar al-Khattab r.a & menamakannya bersempena dengan nama Amr ibn al-A’as yang telah berjaya menawan kota ini. Masjid ini adalah masjid ke-4 yang dibina dalam sejarah Islam, selepas Masjid Nabawi di Madinah, Masjid Basra & Masjid Kufah.

Senibina awal Masjid Amr ibn al-A’as ini diperbuat daripada tanah liat, berbumbungkan pelepah tamar & bertiangkan batang-batang pokok tamar. Ianya kemudian dibina semula dengan binaan yang lebih kukuh & keluasan yang lebih besar pada kurun ke-9. Keluasan masjid ini boleh menampung beribu-ribu orang jemaah. Khutbah yang disampaikan oleh khatib adalah dalam bahasa Arab. Maka, aku yang tidak tahu berbahasa Arab terasa rugi pula kerana tidak mempunyai asas dalam bahasa ini. Hmmm. Selepas selesai solat Jumaat, kami berenam bergambar dahulu di dalam & di hadapan masjid yang cantik & bersejarah ini sebelum kami meneruskan perjalanan ke tempat lain dengan menaiki teksi.

Di dalam Masjid  Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir
Di dalam Masjid Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir


Di dalam Masjid  Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir
Di dalam Masjid Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir


Di dalam Masjid  Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir
Di dalam Masjid Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir


Di dalam Masjid  Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir
Di dalam Masjid Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir


Di hadapan Masjid  Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir
Di hadapan Masjid Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir


Masjid  Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir
Masjid Amr ibn al-A’as, Kaherah, Mesir

Tempat seterusnya yang kami jejaki ialah Masjid Sayyidah Nafisah. Di dalamnya terdapat makam Sayyidah Nafisah yang merupakan seorang tokoh wanita Islam yang sangat terkenal. Beliau adalah keturunan Rasulullah s.a.w. Nama penuhnya ialah Sayyidah Nafisah binti Hasan al-Anwar bin Zaid bin Hasan bin Saidina Ali r.a. Saidina Ali r.a pula adalah suami kepada Fatimah az-Zahra iaitu puteri Rasulullah s.a.w. Sayyidah Nafisah dilahirkan di Mekah pada tahun 145 H & kemudiannya berpindah ke Madinah pada tahun 150 H. Pada tahun 193 H sewaktu usianya 48 tahun, beliau telah membuat kunjungan ke bumi Kaherah. Penduduk Kaherah kemudiannya memintanya untuk terus menetap di sini. Pada mula, beliau enggan. Namun, setelah dipujuk, beliau akhirnya bersetuju.

Sewaktu di Kaherah, Sayyidah Nafisah sering dikunjungi oleh Imam Syafi’e & anak-anak muridnya yang ingin berguru dengan beliau. Hubungan Sayyidah Nafisah dengan Imam Syafi’e sangat erat & mereka sering membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan akidah Islam. Tidak berapa lama kemudian selepas kematian Imam Syafi’e, Sayyidah Nafisah mulai merasakan ajalnya sudah hampir & beliau dikatakan telah menggali kuburnya sendiri di dalam rumahnya.

Setelah ajalnya sudah tiba pada tahun 208 H, suaminya ingin membawa jenazahnya pulang ke Madinah untuk dikebumikan seperti yang telah diwasiatkan oleh Sayyidah Nafisah sendiri. Namun, penduduk-penduduk Kaherah telah meminta jenazah beliau dikebumikan di kubur yang telah digali oleh beliau sendiri di rumahnya itu. Pada mulanya, suami Sayyidah Nafisah enggan berbuat demikian. Namun, setelah dia bermimpikan Rasulullah s.a.w yang mengarahkannya mengikuti permintaan penduduk-penduduk Kaherah, beliau pun mengebumikan jenazah isterinya itu di dalam rumahnya yang kini dijadikan masjid. Kami berenam berkesempatan untuk menziarahi makam beliau di dalam masjid tersebut. Setelah menghadiahkan surah Al-Fatihah & berdoa meminta keberkatan, kami pun meneruskan perjalanan kami ke tempat lain pula.

Masjid Sayyidah Nafisah, Kaherah, Mesir
Masjid Sayyidah Nafisah, Kaherah, Mesir


Makam Sayyidah Nafisah, Kaherah, Mesir
Makam Sayyidah Nafisah, Kaherah, Mesir

Bersambung...

1 buah komen:

Amermeftah Wednesday, November 2, 2011 at 8:40:00 AM GMT+8  

kat belakang masjid sayyidah nafisah ni ada makam khalifah abbasiah

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP