SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG IV)

>> Saturday, April 07, 2007



Pada tahun 639, Mesir telah ditawan oleh kerajaan Islam yang baru sahaja berusia setahun jagung yang berpusat di Semenanjung Arab. Pada waktu itu, kerajaan Islam terletak di bawah pentadbiran Khalifah Umar al-Khattab. Tentera Islam yang berjaya menawan Mesir pada tahun tersebut diketuai oleh Amr ibn al-A'as, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Beliau kemudiannya telah dilantik menjadi pemerintah Mesir pertama yang berbangsa Arab. Mulai dari tahun itu, ramai penduduk Mesir telah memeluk agama Islam. Mesir kemudiannya diletakkan di bawah naungan kerajaan Bani Umaiyyah yang berpusat di Damsyik. Selepas pemerintah Bani Umaiyyah digulingkan oleh pemerintah Bani Abbasiyah pada tahun 750, Mesir diletakkan pula di bawah naungan kerajaan Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad. Pada tahun 910, sebuah kerajaan bermazhab Syi’ah yang bernama Fatimiyah telah ditubuhkan di Mesir yang berpusat di Kaherah. Walau bagaimanapun, kerajaan Fatimiyah ini hanya mampu bertahan hingga ke tahun 1171.

Kemudiannya, Mesir dikuasai oleh kerajaan Ayyubiyah yang diasaskan oleh Salahuddin Al-Ayyubi pada tahun 1171. Beliaulah yang kemudiannya bertanggungjawab menawan semula Jerusalem daripada orang-orang Kristian dalam Perang Hattin yang berlaku pada tahun 1187. Nama beliau sangat masyhur pada waktu itu. Selepas kejatuhan kerajaan Ayyubiyah, kerajaan Mamluk pula ditubuhkan di Mesir. Pada tahun 1517, Mesir telah berjaya ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyah. Namun, kerajaan Mamluk masih tetap kekal memerintah bumi Mesir di bawah naungan empayar gergasi tersebut.

Gambaran wajah Salahuddin Al-Ayyubi
Gambaran wajah Salahuddin Al-Ayyubi

Kemudian, pada tahun 1798, Mesir telah diserang oleh tentera Napoleon Bonaparte dari Perancis. Penaklukan Perancis ini telah menaikkan semangat penduduk Mesir yang kagum dengan semangat Revolusi Perancis. Mereka inginkan pentadbiran sendiri setelah beribu-ribu tahun dikuasai oleh kuasa luar. Ini telah mencetuskan perang saudara di bumi Mesir. Namun, Empayar Turki Uthmaniyah akhirnya berjaya menawan semula Mesir & seorang wizurai telah dilantik untuk mentadbir Mesir pada tahun 1805. Beliau adalah seorang yang berbangsa Albania & namanya ialah Muhammad Ali Pasha. Beliaulah yang kemudiannya banyak berusaha untuk membangunkan Mesir. Usahanya itu kemudiannya diteruskan oleh anaknya iaitu Ismail Pasha. Penyiapan Terusan Suez telah berjaya dilakukan pada tahun 1869 sewaktu di bawah pentadbiran Ismail Pasha. Dengan siapnya terusan ini, Mesir menjadi antara pusat-pusat perdagangan & pengangkutan yang terpenting di dunia pada waktu tersebut.

Muhammad Ali Pasha
Muhammad Ali Pasha


Terusan Suez, Mesir
Terusan Suez, Mesir

Pada tahun 1882, kerajaan Mesir mulai dikuasai oleh United Kingdom. Husayn Kamil dilantik menjadi Sultan Mesir yang baru pada tahun 1914 oleh United Kingdom, selepas Mesir bebas sepenuhnya daripada Empayar Turki Uthmaniyah. Kemudiannya, penduduk Mesir telah berjuang pula untuk memerdekakan tanahair mereka daripada United Kingdom. Pada tahun 1922, United Kingdom akhirnya telah memberikan kemerdekaan separuh kepada Mesir. Saad Zaghlul dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir yang pertama pada tahun 1924.

Sebuah revolusi besar telah berlaku di Mesir pada tahun 1952 di mana Raja Mesir pada waktu itu iaitu Farouk I telah berjaya digulingkan. Farouk I adalah Raja Mesir yang terakhir. Republik Mesir kemudiannya ditubuhkan pada tahun 1953 dengan diketuai oleh Muhammad Naguib sebagai Presiden Mesir yang pertama. Kemudiannya, pada tahun 1954, Gamal Abdel Nasser dilantik sebagai Presiden Mesir yang ke-2. Beliaulah orang yang bertanggungjawab mengisytiharkan kemerdekaan Mesir yang sepenuhnya daripada United Kingdom pada tarikh 18 Jun 1956.

Farouk I
Farouk I


Muhammad Naguib
Muhammad Naguib


Gamal Abdel Nasser
Gamal Abdel Nasser

Pada tahun 1970 selepas kematian Gamal Abdel Nasser, Anwar Sadat dilantik menjadi Presiden Mesir yang ke-3. Kemudian, selepas Anwar Sadat mati dibunuh pada tahun 1981, Hosni Mubarak pula dilantik sebagai Presiden Mesir yang baru & beliau masih memegang jawatan tersebut hingga ke hari ini. Beliau dibantu oleh Perdana Menteri selaku ketua pentadbiran.

Anwar Sadat
Anwar Sadat


Hosni Mubarak
Hosni Mubarak

Orang-orang Mesir bertutur dalam bahasa Arab dalam kehidupan seharian mereka. Namun, loghat bahasa Arab yang dipertuturkan oleh mereka agak berbeza sedikit berbanding bahasa Arab piawai. Majoriti daripada penduduknya tidak fasih berbahasa Inggeris. Aku benar-benar menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan mereka kerana aku tidak tahu berbahasa Arab & mereka pula tidak tahu berbahasa Inggeris. Mujurlah ada kawan-kawan baru di Kaherah & juga pemandu-pemandu pelancong kami yang boleh berbahasa Arab dengan fasih. Merekalah yang banyak membantu aku. Tanpa mereka, aku pastinya akan sesat tanpa arah. Hahaha. Acab, Johan & Ahmad juga boleh berbahasa Arab kerana tujuan mereka ke sini sememangnya adalah untuk belajar bahasa tersebut. Namun, penguasaan bahasa Arab mereka tidaklah terlampau hebat. Hahahah. Mesir menggunakan matawang Egyptian Pound. 1 Euro bersamaan dengan 7.60 Egyptian Pound. Waktu tempatan Mesir adalah 2 jam lebih awal daripada waktu GMT.

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP