SPRiNG iN NeW ZeaLaND - PaRT III (AuCKLaND I)

>> Sunday, November 10, 2013



Auckland adalah sebuah bandaraya yang terletak di North Island di New Zealand. Ia adalah pusat ekonomi & bandaraya yang terbesar di seluruh New Zealand. Ia mempunyai populasi penduduk teramai di negara ini, dengan jumlah penduduk seramai 1.4 juta orang, iaitu hampir 1/3 daripada jumlah keseluruhan penduduk New Zealand. Auckland juga merupakan bandaraya yang mempunyai populasi kaum etnik Maori yang teramai di seluruh dunia. Nama Auckland dalam Bahasa Maori ialah Tāmaki Makaurau. Antara gelaran-gelaran yang diberi kepada bandaraya ini ialah City of Sails, SuperCity & Queen City.

Menurut sejarah, Auckland mula dihuni oleh kaum etnik Maori sekitar tahun 1350. Selepas British mula menjadikan New Zealand sebagai tanah koloninya pada tahun 1840, Auckland terus dijadikan sebagai ibu kota New Zealand sebelum dipindahkan ke Wellington pada tahun 1865. Bentuk muka bumi Auckland agak unik, iaitu berbukit-bukau, mempunyai berpuluh-puluh buah pulau, berserta tasik-tasik & lagun-lagun, hasil daripada aktiviti gunung-gunung berapi yang pernah aktif di sini beratus-ratus tahun dahulu. Kebanyakan gunung-gunung berapi tersebut kini telah mati & ada juga yang masih dorman. Auckland juga adalah antara bandaraya yang mempunyai suhu tertinggi di New Zealand. Mungkin kerana kedudukannya yang terletak di kedudukan paling utara berbanding bandaraya-bandaraya lain & mungkin juga disebabkan populasi penduduknya yang ramai. Pada Musim Panas, suhunya adalah sekitar 14-24 darjah celcius. Pada Musim Sejuk pula, suhunya adalah sekitar 7-15 darjah celcius.

Kedudukan Auckland dalam Peta New Zealand

Lokasi pertama di Auckland yang aku jejaki ialah Queen Street, pusat kegiatan komersil utama di bandaraya Auckland. Jalan ini bermula dari Queens Wharf di Auckland Waterfrond sehingga ke Karanghape Road. 3 kilometer panjangnya. Ia dinamakan bersempena dengan nama Queen Victoria, Ratu United Kingdom dahulu. Pada zaman dahulu, jalan ini mempunyai perkhidmatan tram. Walau bagaimanapun, perkhidmatan tram di sini dihentikan pada tahun 1956.

Queen Street, Auckland

Britomart Transport Centre adalah antara landmark yang terletak di Queen Street & merupakan public transport hub di bandaraya Auckland yang menggabungkan perkhidmatan pengangkutan bas & keretapi. Ia terletak di penghujung Queen Street yang berhampiran dengan Auckland Waterfront. Bangunan dua tingkat ini pada asalnya merupakan bangunan Post Office. Ia kemudiannya telah diubahsuai & dijadikan public transport hub pada tahun 2003.

Britomart Transport Centre, Auckland

Britomart Transport Centre, Auckland

Selepas bergambar di Britomart Transport Centre, aku berjalan kaki ke Auckland Waterfront yang terletak tidak jauh dari situ. Auckland Waterfront merupakan kawasan rekreasi popular di pinggiran laut di bandaraya Auckland. Ia pada zaman dahulunya merupakan kawasan pelabuhan utama di bandaraya ini. Downtown Ferry Terminal terletak di Auckland Waterfront. Ia merupakan ferry network hub di Auckland yang menyediakan perkhidmatan feri bagi menghubungkan Auckland City Centre dengan Northshore City, Waitakere City, Manukau City & juga pulau-pulau berhampiran seperti Waiheke Island, Rangitoto Island & Motutapu Island. Downtown Ferry Terminal ini mempunyai 2 buah bangunan, iaitu Old Building & New Building. Selain Downtown Ferry Terminal, Queens Wharf juga merupakan antara landmark utama di Auckland Waterfront. Ia terletak tidak jauh dari terminal feri tersebut. Kawasan persekitaran Auckland Waterfront ni sememangnya amat menyamankan. Udara laut yang segar benar-benar mendamaikan hati aku. Burung-burung camar yang berterbangan mencari makanan menambah seri. Tenang betul rasanya apabila berada kat situ.

Auckland Waterfront, Auckland

Downtown Ferry Terminal, Auckland

Downtown Ferry Terminal, Auckland

Queens Wharf, Auckland

Queens Wharf, Auckland

Queens Wharf, Auckland

Burung-burung camar di Queens Wharf, Auckland

Burung-burung camar di Queens Wharf, Auckland

Voyager New Zealand Maritime Museum terletak tidak jauh dari Downtown Ferry Terminal. Ia adalah premier maritime museum bagi negara New Zealand. Muzium ini mempamerkan sejarah maritim negara ini sejak kedatangan bangsa Polynesia sehinggalah ke hari ini. Aku tak masuk ke dalam muzium ni sebab nak menjimatkan duit & masa. Lagipun, aku tak berapa minat nak tahu pasal sejarah maritim. Hehehe. Lokasi seterusnya di Auckland Waterfront yang aku singgahi ialah Viaduct Basin. Kawasan ini amat popular di kalangan pelancong dalam dan luar. Terdapat banyak restoran-restoran di sekitarnya. Antara landmark yang terdapat di situ ialah Viaduct Events Centre & Wynyard Crossing. Viaduct Events Centre adalah dewan serbaguna yang mula dibuka pada tahun 2011 sempena Rugby World Cup 2011 yang berlangsung di New Zealand selaku tuan rumah. Dengan keluasan seluas 6,000m2, ia juga sering digunakan untuk upacara makan malam, pameran & konferens. Wynyard Crossing pulak adalah jambatan double bascule yang hanya boleh digunakan oleh pejalan kaki & penunggang basikal. Jambatan yang turut dibina pada tahun 2011 ini menghubungkan Wynyard Quarter & Viaduct Basin. Panjang jambatan ini ialah 100 meter. Ianya boleh dibuka untuk memberi laluan kepada kapal-kapal. Dari kawasan Viaduct Basin ini, panorama bangunan-bangunan pencakar langit di bandaraya Auckland dapat dilihat dengan jelas termasuklah Sky Tower. Begitu indah pemandangannya.

Voyager New Zealand Maritime Museum, Auckland

Voyager New Zealand Maritime Museum, Auckland

Voyager New Zealand Maritime Museum, Auckland

Viaduct Basin, Auckland

Viaduct Events Centre, Auckland

Viaduct Events Centre, Auckland

Wynyard Crossing, Auckland

Wynyard Crossing, Auckland

Wynyard Crossing, Auckland

Wynyard Crossing, Auckland

Panorama Sky Tower dari Viaduct Basin, Auckland

Panorama Sky Tower dari Viaduct Basin, Auckland

Selain itu, Auckland Harbour Bridge yang merupakan antara simbol utama bandaraya Auckland juga dapat dilihat dari Viaduct Basin. Auckland Harbour Bridge mula dibuka pada tahun 1959 & merupakan jambatan lapan laluan yang menghubungkan Auckland City Centre dengan Northshore City. Dengan kepanjangan sejauh 1,020 meter, ia adalah jambatan terpanjang di North Island & merupakan yang kedua terpanjang di seluruh New Zealand. Rupanya seakan-akan Harbour Bridge yang terdapat di Sydney, Australia. Aktiviti sukan ekstrem seperti bungee jumping 40 meter & bridge climb ada disediakan oleh syarikat A.J Hackett, syarikat yang paling popular bagi sukan bungee jumping di New Zealand. Aku tak berani nak mencuba sukan-sukan ekstrem macam tu. Boleh terkeluar jantung aku nanti. Hahahah.

Auckland Harbour Bridge, Auckland

Auckland Harbour Bridge, Auckland

Bungee Jumping di Auckland Harbour Bridge, Auckland

Bridge Climb di Auckland Harbour Bridge, Auckland

Selepas hampir 2 jam aku berlegar-legar di sekitar Auckland Waterfront, aku pun mula berjalan menuju ke Sky Tower. Dalam perjalanan menuju ke menara tersebut, aku melalui sebuah gereja Katolik yang bernama St Patrick's Cathedral. Ia adalah antara gereja Katolik yang terpenting di bandaraya Auckland. Lawa jugak senibinanya. Selepas bergambar di hadapan gereja tersebut, aku pun meneruskan perjalanan aku ke Sky Tower yang terletak tidak jauh dah dari situ. Beberapa minit kemudian, aku pun tiba di menara tersebut. Sky Tower adalah observation & communications tower yang terletak di persimpangan Victoria Street & Federal Street. Dengan ketinggian setinggi 328 meter, Sky Tower di Auckland ini adalah the tallest free-standing structure di Hemisfera Selatan permukaan bumi. Wowww. Dengan ketinggian & keunikan senibinanya, ia adalah ikon & simbol utama bagi bandaraya Auckland.

Sky Tower ini sebenarnya adalah sebahagian daripada kompleks SKYCITY Auckland Casino yang mula dibuka pada tahun 1997. Upper portion menara ni mempunyai dua restoran & sebuah café. Salah satu restoran tersebut adalah restoran berputar yang berputar 360 darjah setiap sejam. Ianya adalah satu-satunya restoran berputar yang terdapat di negara New Zealand. Menara ini mempunyai 3 buah observation deck di ketinggian yang berbeza. Untuk ke observation deck, pengunjung perlu membeli tiket dengan harga NZ$28 (RM73) bagi dewasa & NZ$11 (RM29) bagi kanak-kanak berusia 6-14 tahun. Bagi kanak-kanak berusia 5 tahun & ke bawah, harga tiket adalah percuma. Bagi senior citizen & student pulak, harganya ialah NZ$18 (RM47). Memandangkan student card University College Dublin kepunyaan aku tidak mempunyai expiration date, maka aku telah menggunakannya untuk mendapatkan student price. Hehehe. Jimat RM26 aku.

Main observation deck terletak di ketinggian 186 meter. Di situ terdapat seksyen-seksyen gelas kaca setebal 38mm (1.5 inci) di lantai yang menampakkan pemandangan bangunan-bangunan & jalan-jalan raya di bawah. Agak menakutkan jugak la apabila berdiri kat atas lantai kaca tu. Takut retak je. Hahaha. Top observation deck atau dikenali sebagai Skydeck adalah observation deck yang paling atas, iaitu di ketinggian 220 meter. Pemandangan 360 darjah bandaraya Auckland dari observation deck menara ini sangat menakjubkan. Auckland sememangnya adalah bandaraya yang unik, cantik & moden. Sky Tower ini juga turut menyediakan aktiviti SkyJump dari ketinggian 192 meter di observation deck. Para penerjun diikat pada tali kabel supaya tidak terbabas daripada arah tujuan di lantai bawah akibat tiupan angin yang kuat. Aktiviti SkyWalk, iaitu berjalan mengelilingi observation deck di bahagian luar juga turut disediakan. Aku seperti biasa memang tak berani nak mencuba aktiviti-aktiviti ekstrem macam ni. Hahaha.

St Patrick's Cathedral, Auckland

Sky Tower & SkyCity, Auckland

Sky Tower & SkyCity, Auckland

Sky Tower, Auckland

Sky Tower, Auckland

Sky Tower, Auckland

Panorama dari atas Sky Tower, Auckland

Panorama dari atas Sky Tower, Auckland

Panorama bawah dari lantai kaca tebal di atas Sky Tower, Auckland

Panorama bawah dari lantai kaca tebal di atas Sky Tower, Auckland

SkyWalk di Sky Tower, Auckland

SkyJump di Sky Tower, Auckland

Bersambung...

Read more...

SPRiNG iN NeW ZeaLaND - PaRT II (PRoLoGue II)

>> Wednesday, November 06, 2013



HARI 2 (KHAMIS, 17 OKTOBER 2013)

Lebih kurang pukul 9.50 pagi waktu tempatan New Zealand pada tarikh 17 Oktober 2013 (sehari selepas aku menaiki pesawat dari Singapore), barulah pesawat Jetstar yang aku naiki tiba di Auckland Airport. Waktu tempatan New Zealand adalah 5 jam lebih awal berbanding waktu tempatan Malaysia & Singapore. Malaysia & Singapore pada waktu tu baru pukul 4.50 pagi. Hati aku tersangatlah excited di kala hendak keluar daripada pesawat. Tak sabar hendak menjejakkan kaki aku di Auckland. Di saat kaki aku berpijak sahaja di atas lantai permukaan Auckland Airport tu, aku berasa happy tak terkira. Ya Allah. Tercapai jugak hajat aku dari kecil untuk memijakkan kaki di bumi New Zealand. Rasa nak sujud pun ada. Tapi nanti confirm orang akan tengok pelik semacam pulak kan. Hehehe.

Sesampainya di luar Auckland Airport, aku begitu teruja kerana dapat menghirup udara yang dingin. Sudah lama aku tak menghirup udara sedingin itu. Suhu ketika itu lebih kurang 16 darjah celcius. Rindu pulak aku pada bumi Dublin, Ireland, tempat aku menimba ilmu selama 8 tahun dulu. Aku lantas terus membeli tiket bas Airbus Express di sebuah kiosk kecil di sebelah tempat menunggu bas tersebut untuk ke Auckland City Centre. Aku beli tiket pergi balik yang berharga NZ$28 (RM73). Lebih jimat daripada membeli tiket sehala yang berharga NZ$16 (RM42). Bas tersebut berlepas setiap 15 minit. Sesampainya bas yang dinantikan, aku pun terus masuk ke dalamnya. Perjalanan dengan bas tersebut dari Auckland Airport ke Auckland City Centre memakan masa lebih kurang sejam lamanya. Jauh jugak kan city centre dari airport. Sepanjang perjalanan dengan bas tersebut, aku perhatikan keindahan pemandangan di luar. Langit yang biru pekat, awan-awan yang putih berarak, rumput-rampai yang hijau damai, rumah-rumah yang unik rupa bentuknya & bermacam-macam lagi. Aku seolah-seolah seperti bermimpi yang aku sekarang sudah berada di bumi New Zealand. Girang sekali hati aku. Sewaktu di dalam bas tersebut, aku menghantar SMS kepada rakan aku yang bekerja di Auckland, iaitu Raja. Dia sedang bekerja di hospital pada waktu itu. Aku memberitahunya yang aku telah pun tiba di Auckland & tidak sabar hendak berjumpa dengannya. Dia lantas membalas SMS aku & mengatur untuk dinner bersama malam nanti. Tak sabarnye!! Dah lebih 3 tahun aku tak berjumpa dengannya.

Auckland Airport

Bas Airbus Express

Lebih kurang sejam kemudian, aku pun tiba di Auckland City Centre. Di city centre, bas tersebut berhenti di enam hentian. Aku berhenti di hentian terakhir, iaitu di Ferry Terminal. Sesampainya di situ, aku terus berjalan mencari Nomads Fat Camel Hostel, hostel yang aku telah book online. Ia terletak tidak jauh dari Ferry Terminal tadi. Aku terpaksa bermalam di situ untuk malam itu memandangkan kawan aku, Raja terpaksa bekerja pada hari itu. Dia hanya dapat cuti pada keesokan harinya (Jumaat). Sabtu & Ahad pulak memang cuti weekend. Setelah mencari, akhirnya aku berjaya menjumpai hostel tersebut. Aku telah menempah bilik Basic 4 Bed Mixed Dorm. Disebabkan waktu check-in bilik adalah pada pukul 2.00 petang, maka aku tidak boleh masuk ke dalam bilik yang aku book itu lagi. Pada waktu itu, jam baru menunjukkan pukul 11.30 pagi. So, aku terpaksa meletakkan baggage aku di dalam luggage room yang disediakan oleh hostel tersebut. Kemudian, aku meminta kebenaran pemilik hostel untuk menggunakan shower untuk membersihkan diri. Setelah itu, barulah aku memulakan ekspedisi menjelajahi kota Auckland, New Zealand bersama-sama beg galas aku dan tripod sebagai peneman. Heheh.

New Zealand adalah sebuah negara kepulauan yang terletak di barat laut Lautan Pasifik, lautan yang terbesar di dunia. Dalam Bahasa Maori, ianya dipanggil Aotearoa. Ia mempunyai keluasan seluas 268,021 km2. Lebih kecil sedikit berbanding saiz Malaysia. Negara ini terbahagi kepada dua pulau utama, iaitu North Island (Te Ika-a-Māui) & South Island (Te Waipounamu) yang dipisahkan oleh selat yang diberi nama Cook Strait, sempena nama James Cook, pelayar British yang terkenal. Selain itu, ia juga mempunyai beberapa buah pulau kecil yang lain. New Zealand dipisahkan sejauh 1,500 km ke timur dari pulau Australia oleh Laut Tasman. Disebabkan kedudukannya yang agak terpencil di permukaan bumi, New Zealand adalah antara tanah yang paling lewat diterokai oleh manusia. Sebelum ianya diterokai oleh manusia, permukaan bumi New Zealand dihuni oleh spesis-spesis reptilia, burung & tumbuhan-tumbuhan yang unik, yang tidak terdapat di bahagian bumi yang lain. Antaranya ialah kiwi, tahake, kakapo, tuatara, skink, gecko, dan banyak lagi. Kebanyakan spesis-spesis tersebut mempunyai jangkahayat yang lama, mencecah usia lebih seratus tahun. MasyaAllah. Di sini jugak terdapat gunung-gunung berapi yang aktif & merupakan antara kawasan yang sering dilanda gempa bumi kerana kedudukannya di dalam Lingkaran Api Pasifik & di sempadan Plat Tektonik Australia & Pasifik.

Kedudukan New Zealand dalam Peta Dunia

Peta New Zealand

Bendera New Zealand

Daun Fern (daun kebangsaan New Zealand)

James Cook

Burung Kiwi

Burung Tahake

Burung Kakapo

Tuatara

Kedudukan New Zealand di sempadan Plat Tektonik Australia & Pasifik

Kedudukan New Zealand di Lingkaran Api Pasifik

Kaum Polynesia, iaitu kaum yang terdapat di pulau-pulau di bahagian selatan Lautan Pasifik, khasnya kaum etnik Maori hanya mula menerokai bumi New Zealand pada kurun ke-13 Masihi. Selepas ketibaan mereka, hutan semulajadi di New Zealand kebanyakannya telah dibakar & dicerahkan untuk dijadikan penempatan & kawasan pertanian mereka. Bangsa Eropah hanya tiba di New Zealand pada tahun 1642, iaitu seorang penjelajah yang berasal dari Belanda. Seterusnya, barulah tiba orang-orang British. Pelayar British terkenal yang bernama James Cook tiba di sini pada tahun 1769 & merupakan orang pertama yang melakar peta New Zealand. Pada tahun 1840, kerajaan British telah menandatangani perjanjian dengan orang-orang Maori, menjadikan New Zealand sebagai salah satu daripada tanah koloni / jajahan British di bawah pemerintahan Ratu Victoria. Nama perjanjian tersebut ialah Treaty of Waitangi. Mulai dari saat itulah, ramai penduduk British mula berhijrah ke New Zealand & mencetuskan beberapa konflik dengan kaum etnik Maori yang lebih awal menerokai bumi New Zealand. Selepas ketibaan bangsa Eropah, hutan semulajadi di New Zealand hanya tinggal lebih kurang 20% sahaja selepas dicerahkan untuk dijadikan kawasan penempatan & pertanian. Banyak spesis burung & reptilia yang hanya terdapat di New Zealand pupus akibat aktiviti mereka ini. Walaupun mendapat status pemerintahan sendiri daripada British pada tahun 1907, New Zealand sebenarnya masih belum merdeka sepenuhnya daripada British / United Kingdom. Kuasa teratasnya tetap Ratu United Kingdom, iaitu Ratu Elizabeth. Seterusnya Gabenor Jeneral, wakil kepada Ratu United Kingdom di New Zealand. Seterusnya barulah Perdana Menteri New Zealand.

Kaum etnik Maori (wanita)

Kaum etnik Maori (lelaki)

Hasil daripada penghijrahan penduduk British sewaktu era kolonialisma dulu, majoriti penduduk New Zealand yang berjumlah 4.5 juta orang ini adalah daripada bangsa Eropah / British, iaitu 67%. Kaum minoriti yang paling ramai ialah kaum etnik Maori, iaitu seramai 15%. Seterusnya adalah bangsa Asia (Cina, India, Melayu dan sebagainya) yang merangkumi 10%. Dan selebihnya adalah kaum etnik Polynesia yang lain. New Zealand mempunyai 3 bahara rasmi, iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Maori & Bahasa Isyarat New Zealand. 96% daripada penduduknya fasih berbahasa Inggeris. Matawang yang digunakan ialah New Zealand Dollar. 1 New Zealand Dollar bersamaan dengan 2.6 Ringgit Malaysia. Ekonomi mereka adalah antara yang terkuat di dunia, begitu juga dengan taraf kemajuan negaranya. New Zealand terletak di kedudukan keenam tertinggi dalam ranking Human Development Index. Jenis soket peralatan elektrik yang digunakan berbeza daripada soket di Malaysia. Jenis soketnya sama dengan yang digunakan di Australia. Oleh itu, pelancong-pelancong dari Malaysia perlu membeli ‘plug converter’ untuk menggunakan peralatan elektrik buatan Malaysia di New Zealand.

Soket yang digunakan di New Zealand

Plug converter

Waktu tempatan New Zealand pula terbahagi kepada dua, iaitu New Zealand Standard Time (NZST) & New Zealand Daylight Time (NZDT). New Zealand Standard Time (GMT+12) berlangsung dari hari Isnin pertama bulan April sehingga hari Sabtu terakhir bulan September setiap tahun. Pada ketika ini, waktu tempatannya 4 jam lebih awal daripada waktu tempatan Malaysia. Sementara itu, New Zealand Daylight Time (GMT+13) pulak berlangsung dari hari Ahad terakhir bulan September sehingga Ahad pertama bulan April setiap tahun. Pada ketika ini, waktu tempatannya 5 jam lebih awal daripada waktu tempatan Malaysia. Disebabkan kedudukan New Zealand yang sangat hampir dengan International Date Line, ia adalah antara negara terawal di permukaan muka bumi yang menerima sinaran cahaya matahari setiap hari. Ia menerima cahaya matahari lebih awal daripada negara Jepun yang kononnya digelar Negara Matahari Terbit.

Kedudukan New Zealand yang amat hampir dengan International Date Line

New Zealand mempunyai iklim yang sederhana & kelautan. Ia mempunyai empat musim, iaitu Musim Panas (Disember-Februari), Musim Luruh (Mac-May), Musim Sejuk (Jun-Ogos) & Musim Bunga (September-November). Disebabkan kedudukan New Zealand yang terletak di Hemisfera Selatan permukaan bumi, sama seperti Australia, Afrika Selatan, Argentina, Chile dan sebagainya, waktu musim-musim yang dialaminya bertentangan dengan musim-musim yang dialami di negara-negara di Hemisfera Utara permukaan bumi seperti negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea Selatan, China dan sebagainya. Contohnya, ketika negara-negara di Hemisfera Utara sedang mengalami Musim Panas pada bulan Jun-Ogos, New Zealand sedang mengalami Musim Sejuk. Begitu jugalah sebaliknya pada bulan Disember-Februari.

Sukan yang paling terkenal di New Zealand sudah tentu tak lain tak bukan, sukan Ragbi. Pasukan ragbi New Zealand yang juga dikenali dengan nama All Blacks dianggap sebagai pasukan ragbi terhebat di dunia & sering menjuarai Rugby World Cup yang diadakan 4 tahun sekali.

Pasukan Ragbi All Blacks

Logo All Blacks

Bersambung...

Read more...

SPRiNG iN NeW ZeaLaND - PaRT I (PRoLoGue I)

>> Tuesday, November 05, 2013



OK. First of all, aku nak panjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, aku akhirnya berjaya menjejakkan kaki di bumi New Zealand. Yang kedua, kepada ibu-bapa yg telah memberi kebenaran (eventhough I’m already 31, I’m still their baby. Hahah.) Dan yg ketiga, kepada rakan-rakan di New Zealand kerana sudi melayan daku dgn layanan yang teristimewa. Ye la. Bukan selalu aku nak ke sana kan. Once in a lifetime je kot. Hehehe.

Dari usia kecil lagi sebenarnya aku teringin sangat nak menjejakkan kaki di bumi New Zealand. Akibat daripada pengaruh iklan-iklan susu kat TV yang menunjukkan kesegaran dan keindahan bumi New Zealand dengan kambing biri-biri & lembu-lembu tenusu yang sihat walafiat. Hahahah. Pathetic kan? Tapi hakikatnya, tu la puncanya . So, dari kecil lagi la aku berazam yang satu hari nanti, aku pasti akan ke sana, no matter what.

So, bila aku masuk sahaja ke posting terakhir housemanship training di Hospital Taiping, iaitu posting Accident & Emergency pada akhir bulan Mei tahun ni, aku pun mula berangan-angan nak ambik cuti sebulan tanpa gaji lepas habis posting ni so that aku dapat menghabiskan masa yang lama di New Zealand. Cuti tahunan aku tinggal 5 hari je. So, aku terpaksa jugaklah apply cuti tanpa gaji. Maka dengan semangat yang berkobar-kobar, aku pun membuat segala research & mula mengarang itinerary New Zealand aku seawal bulan Jun lagi. Semangat gile kan?? Hahaha. Tiket-tiket flight & bas, hostel-hostel penginapan, tiket tour-tour, semua aku dah book dalam bulan Jun tu jugak. Time tu memang confident gile la yang aku akan dapat ke New Zealand. Hati dah berbunga-bunga & terbayang-bayang dah keindahan bumi New Zealand dalam bulan Oktober nanti, iaitu pada Musim Bunga di sana. Tak sabar gila rasanya.

Ekspedisi aku di New Zealand berlangsung selama 16 hari, iaitu dari 16 Oktober 2013 sehinggalah ke 31 Oktober 2013. Tiket penerbangan kesemuanya aku book secara online. Dari Penang ke Singapore, aku book tiket flight Air Asia (http://www.airasia.com/) dengan harga RM256 pergi balik. Dari Singapore ke Auckland pulak aku book tiket flight Jetstar (http://www.jetstar.com/) dengan harga S$656 (RM1,676) pergi balik. Haaa. Murah kan??? Waktu tu Jetstar tengah buat sale. Kalau naik MAS, boleh cecah RM4,000 pergi balik. Lebih 2 kali ganda mahal. Bankrupt aku kalau naik MAS. Heheheh. Perjalanan dari Wellington ke Christchurch sehala & dari Queenstown ke Auckland sehala pun dengan flight Jetstar. Harga tiket flight dari Wellington ke Christchurch ialah NZ$40 (RM105) sehala & dari Queenstown ke Auckland pulak ialah NZ$80 (RM210) sehala. Quite cheap kan?? So, untuk tiket-tiket penerbangan, aku telah menghabiskan sebanyak RM2,247.

Air Asia

Jetstar

Then, untuk perjalanan-perjalanan intercity yang lain di New Zealand (Auckland-Hamilton, Hamilton-Wellington, Christchurch-Dunedin, Dunedin-Queenstown), aku book tiket-tiket bas InterCity Coachlines je la (national coach company di New Zealand) secara online di website InterCity Coachlines (http://www.intercity.co.nz/), which is ridiculously very-very cheap kalau book online awal-awal (aku book 4 bulan awal). Tau tak berapa harga tiket untuk setiap perjalanan?? Cuma NZ$1.00 (RM2.60). So, in total, aku cuma bayar NZ$4.00 (RM10.40) je untuk keempat-empat perjalanan bas. Dicampur dengan web booking fee yang cuma NZ$4.00 (RM10.40) untuk kesemua perjalanan, jumlahnya cuma NZ$8.00 (RM20.80) je. Gila murah kan?? Kat Malaysia mana nak dapat. Bas merah cikai Parit Buntar ke Taiping tu pun tambangnya nak dekat RM4.00. Hahahah. Cuma harga tiket pergi balik dari Hamilton ke Matamata sahaja yang agak mahal, iaitu NZ$18 (RM47) termasuk web booking fee. Itu pun sebab aku book tiket tu lambat sikit. Kalau book awal-awal, sekali dengan tiket-tiket bas yang lain, mesti murah jugak. So, untuk perjalanan-perjalanan intercity dengan bas InterCity Coachlines, aku telah menghabiskan sebanyak NZ$26.00 (RM67.80).

Bas Intercity Coachlines

Untuk penginapan aku di New Zealand pulak, aku book hostel secara online di website Hostelworld (http://www.hostelworld.com/). Di Auckland, aku cuma bermalam satu malam sahaja di hostel, iaitu di Nomads Fat Camel Hostel yang berharga NZ$20 (RM53) semalam untuk Basic 4 Bed Mixed Dorm. Dua malam yang seterusnya aku bermalam di apartmen kawan aku di The Docks. Malam terakhir di New Zealand, iaitu di Auckland, aku bermalam di apartmen kawan yang sama. Di Hamilton, aku bermalam satu malam di YHA Hamilton Microtel yang berharga NZ$25 (RM66) semalam untuk 7 Bed Mixed Dorm. Perjalanan aku dari Hamilton ke Wellington adalah dengan menaiki bas malam. So, aku dapat jimat duit untuk hostel di situ. Hehehe. Di Wellington, aku bermalam satu malam di The Cambridge Hotel & Backpackers yang berharga NZ$27 (RM71) semalam untuk Standard 4 Bed Mixed Dorm. Di Christchurch pulak, aku bermalam selama dua malam di At The Right Place. Harga semalam untuk Standard 6 Bed Mixed Dorm ialah sebanyak NZ$27 (RM71). So, untuk dua malam, jumlahnya ialah NZ$54 (RM142). Di Dunedin, aku bermalam selama dua malam di Elmlodge. Harga semalam untuk Standard 5 Bed Mixed Dorm ialah NZ$27 (RM71) semalam. So, untuk dua malam, jumlahnya ialah NZ$54 (RM142). Sementara di Queenstown pulak, aku bermalam selama tiga malam di Bungi Backpackers. Harga semalam untuk Standard 4 Bed Mixed Dorm ialah NZ$27 (RM71). So, untuk tiga malam, jumlahnya ialah NZ$81 (RM213). Makanya, untuk penginapan di hostel-hostel, aku telah menghabiskan sebanyak NZ$261 (RM687). Akan tetapi, semasa booking online, kad kredit aku cuma dicaj 10% deposit sahaja, iaitu NZ$26.10 (RM68.70). Bakinya aku bayar di setiap hostel penginapan.

Aku jugak telah book empat tiket tour secara online, iaitu Hobbiton Movie Set Tours yang berharga NZ$75 (RM197), Wellington’s Lord of the Rings Half Day Tour yang berharga US$80 (RM254), Glenorchy Movie Locations Tour: The Lord of the Rings yang berharga US$143 (RM454) & Queenstown to Mount Cook Tour yang berharga US$113 (RM359). Hobbiton Movie Set Tours aku book di website Hobbiton Movie Set Tours (http://www.hobbitontours.com/), sementara tiga lagi tour di atas aku book di website Viator.com (http://www.viator.com/). So, untuk keempat-empat tiket tour ni, aku telah menghabiskan sebanyak RM1,264.

Makanya, untuk trip ni, aku telah menghabiskan sebanyak RM4,265.80 untuk tiket-tiket penerbangan, tiket-tiket bas intercity, penginapan di hostel-hostel & tiket-tiket tour. Tu belum campur duit yang dibelanjakan untuk makanan, souvenir & lain-lain lagi tu. Kira ok la kan. Takde la banyak mana. Memang budget traveler gile la aku ni. Heheheh. Memang dah lama dah simpan duit untuk ke New Zealand. Alhamdulillah, tercapai jugak hajat.

Jadinya, lebih kurang dalam awal bulan Julai, barulah aku ke office hospital untuk memohon cuti sebulan tanpa gaji dari tarikh 6 Oktober 2013 hingga 4 November 2013. Akan tetapi, nak memohon cuti sebulan tanpa gaji bukanlah semudah yang aku sangka. Banyak betul procedure & halangan yang terpaksa aku hadapi. Aku hampir-hampir menyerah kalah & kalau nak diikutkan hati, rasa nak burn sahaja segala tiket-tiket yang dah aku book sebulan yang lepas. Akan tetapi, memandangkan aku dah habiskan beribu-ribu RM & aku tak punyai masa lain yang sesuai lagi untuk ke New Zealand selain bulan Oktober nanti, maka aku terus berusaha & berdoa. Akhirnya, permohonan aku diluluskan jugak. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Pada waktu tu, hanya Allah SWT sahajalah yang tahu betapa happynye aku. Dah terbayang-bayang dah kambing biri-biri di bumi New Zealand. Hahahah.


HARI 1 (RABU, 16 OKTOBER 2013)

So, pada hari Rabu, 16 Oktober 2013, aku pun memulakan ekspedisi aku ke New Zealand. Dimulakan dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, aku pun menaiki pesawat Air Asia dari Penang Airport ke Singapore Changi Airport yang berlepas pada pukul 12.00 tengah hari. Aku telah check-in secara online di website Air Asia dua minggu sebelum tarikh penerbangan aku. So, aku tak perlu check-in lagi di Penang Airport. Cuma sekadar mendapatkan document verification untuk passport aku. Aku tak bawak baggage untuk check-in kerana ingin menjimatkan wang. Ye la. Flight-flight low cost ni kalau nak check-in baggage semuanya kena bayar kan. Bazir duit aku je. So, aku cuma bawak satu bag galas & satu bag tarik kecil untuk masuk ke dalam kabin pesawat. Mujurlah bag tarik kecil tu beratnya tak sampai 7 kg seperti yang disyaratkan oleh syarikat penerbangan Air Asia. Perjalanan dengan kapal terbang dari Penang ke Singapore memakan masa lebih kurang 1 jam 20 minit.

Peta perjalanan Penang ke Singapore

Sesampainya aku di Singapore Changi Airport pada pukul 1.20 petang, aku pun menunggu masa untuk kaunter check-in Jetstar dibuka. Flight aku dari Singapore ke Auckland dijadualkan berlepas pada pukul 6.50 petang & kaunter check-in hanya dibuka pada pukul 3.50 petang, 3 jam sebelum pesawat berlepas. Setelah lama menunggu, akhirnya kaunter check-in pun dibuka tepat pada masanya. Selepas selesai urusan check-in yang berjalan lancar tanpa masalah, aku pun kemudiannya menunggu masa untuk masuk ke dalam pesawat Jetstar. Tidak lama selepas menunggu, para penumpang pun dijemput masuk. Lebih kurang pukul 6.50 petang waktu tempatan Singapore yang sama dengan waktu tempatan Malaysia, pesawat Jetstar yang aku naiki pun berlepas meninggalkan Singapore Changi Airport untuk ke destinasinya, iaitu Auckland Airport, New Zealand.

Perjalanan dari Singapore ke Auckland memakan masa lebih kurang 10 jam lamanya. Lama gile kan?? Dah lama dah aku tak naik long-haul flight macam tu. Kali terakhir dulu masa balik Malaysia for good dari Ireland pada bulan Jun 2010, lepas tamat belajar, iaitu flight MAS dari London ke Kuala Lumpur yang memakan masa 12-13 jam. Perghh. Tapi, flight MAS London-Kuala Lumpur tu boleh tahan la jugak, ada makanan disediakan. Dua kali pulak tu. Flight Jetstar ni pulak low-cost flight. So, makanan semua kena beli sendiri atau book awal-awal masa booking tiket flight dulu. Since aku nak berjimat cermat sangat, maka berlaparlah aku dalam flight tu. Hahahah. Padan muka aku kan. Nak sangat berjimat. Tapi,kira ok la. Boleh berdiet. Heheh. Tapi air kosong tetap kena minum jugak & kena berjalan-jalan jugak di dalam flight untuk mengelak daripada DVT (Deep Vein Thrombosis) yang boleh membawa maut.

Peta perjalanan Singapore ke Auckland

Bersambung...

Read more...

AKU SEBUTIR PASIR on hiatus....

>> Tuesday, May 14, 2013



Salam buat semua pembaca blog.. Maaf kerana sudah sangat lama tidak update... Buat masa sekarang saya rasa biarlah saya berehat seketika dalam dunia blogging.. Ini kerana sekarang ini saya lebih selesa menulis di Facebook kerana ianya lebih 'privacy'... Apa2 pun segala penulisan saya sejak tahun 2004 masih lagi kekal di blog ini & kalian semua boleh terus membaca.. ok?? InsyaAllah segala update tentang diri saya & segala aktiviti travel saya selepas ini akan ditulis dalam ruangan Facebook Page saya... Kalian boleh 'like' saya di sini:- Jhaz Kitaro FC


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE



Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP