iCeLaND: BuMi ViKiNG (BHG II) - ReYKJaViK I

>> Thursday, March 04, 2010



Hari 1: 28 OGOS 2008

Penerbangan Ryanair ke London dijadualkan akan berlepas pada pukul 12.55 tengah hari nanti. Untuk mengelakkan daripada ditinggalkan pesawat, aku & Muaz bertolak ke Lapangan Terbang Dublin dari rumah seawal pukul 10.00 pagi dengan menaiki bas. Kami tiba di lapangan terbang tersebut sejam kemudiannya. Sesampainya sahaja kami di situ, kami terus mendaftar masuk & kemudiannya melalui zon pemeriksaan sekuriti. Apabila semuanya sudah beres, kami pun menunggu di pintu perlepasan. Setelah beberapa lama menunggu, akhirnya para penumpang dipelawa masuk ke dalam pesawat. Pesawat tersebut kemudiannya berlepas meninggalkan Dublin, menuju ke London. Penerbangan memakan masa lebih kurang 1¼ jam.

Lebih kurang pukul 2.10 petang, kami berdua pun tiba di Lapangan Terbang Stansted, London. Sesampainya kami di lapangan terbang tersebut, kami menaiki pula bas National Express untuk ke Lapangan Terbang Heathrow, London kerana penerbangan kami ke Reykjavik, Iceland akan berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow. Perjalanan dengan menaiki bas dari Lapangan Terbang Stansted ke Lapangan Terbang Heathrow mengambil masa lebih kurang 1½ jam.

Kami tiba di Lapangan Terbang Heathrow lebih kurang pada pukul 4.15 petang. Kami kemudiannya mendapatkan pas perlepasan dengan menggunakan mesin layan diri yang disediakan. Kemudian, kami mendaftar masuk beg-beg kami. Sesudah itu, kami ke surau yang terdapat di lapangan terbang itu untuk bersolat. Selesai sahaja bersolat, kami ke sebuah restoran pula untuk makan malam.

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam, kami pun memasuki zon pemeriksaan sekuriti. Selepas semuanya sudah beres, kami menunggu ketibaan pesawat di pintu perlepasan. Pesawat Icelandair yang kami nantikan akhirnya tiba & kami bersama-sama dengan penumpang-penumpang yang lain dijemput masuk ke dalamnya. Lebih kurang pukul 9.10 malam, pesawat itu pun berlepas meninggalkan London menuju ke Reykjavik. Perjalanan memakan masa hampir 3 jam.

Lebih kurang pukul 11.10 malam waktu tempatan Iceland, aku & Muaz pun tiba di Lapangan Terbang Keflavik. Selepas segala urusan imigresen selesai & beg-beg pun telah diambil, kami beristirehat di tempat menunggu di dalam lapangan terbang itu sementara menunggu waktu pagi. Perkhidmatan bas ke pusat bandar Reykjavik hanya akan bermula pada lebih kurang pukul 5.30 pagi nanti. Pengangkutan awam yang ada pada lewat malam hanyalah teksi, dengan harga tambang yang agak mahal. Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di dalam bangunan lapangan terbang tersebut.

Hari 2: 29 OGOS 2008

Lebih kurang pukul 5.30 pagi, bas pertama yang dinanti-nantikan pun sudah mula dihidupkan enjinnya. Aku & Muaz lalu terus masuk ke dalam bas tersebut & tidak berapa lama kemudian, ia pun bergerak menuju ke pusat bandar Reykjavik. Pada waktu itu, hujan sedang turun dengan agak lebat. Aku berasa sedikit kecewa dengan keadaan cuaca sebegitu. Aku benar-benar berharap agar cuaca di bumi Iceland akan sentiasa cerah sepanjang aku berada di bumi Viking ini. Namun, itu semua adalah kuasa Allah SWT. Siapalah aku yang hendak melawan kekuasaan-Nya. Walau bagaimanapun, aku tetap berdoa semoga hujan akan berhenti sebaik sahaja kami berdua memulakan ekspedisi kami menjelajah kota Reykjavik nanti.

Setelah hampir 30 minit berada di dalam bas tersebut, kami akhirnya tiba di pusat bandar Reykjavik. Bas tersebut berhenti di sebuah stesen bas. Hujan masih lagi belum reda pada waktu itu. Aku & Muaz tidak mahu membuang masa. Lalu, kami meredah sahaja hujan yang lebat itu untuk tiba di hostel yang telah pun kami tempah.

Setelah lebih kurang 20 minit berjalan meredah hujan, kami akhirnya tiba hostel yang dimaksudkan. Agak jauh juga lokasinya dari stesen bas tadi. Sesampainya di hostel itu, kami berdua pun terus mendaftar masuk. Aku sudah tidak sabar-sabar lagi untuk membersihkan diri & menukar pakaian. Pakaian yang aku pakai sudah basah kuyup. Akan tetapi, pemilik hostel itu mengatakan bahawa kami hanya akan dibenarkan masuk ke dalam bilik kami pada pukul 11.00 pagi nanti. Ini kerana, bilik tersebut masih lagi berpenghuni & penghuninya hanya akan mengosongkan bilik itu pada pukul 10.00 pagi nanti. Bilik itu pula kemudiannya perlu dikemas dengan rapi sebelum kami masuk ke dalamnya. Aku & Muaz agak kecewa. Namun, kami faham akan situasi itu. Kami bagaimanapun meminta izin untuk menggunakan bilik air di luar untuk membersihkan diri. Mujurlah pemilik hostel ini membenarkan kami menggunakannya.

Selepas selesai sahaja membersihkan diri, kami berdua pun mengambil keputusan untuk menjelajahi dahulu kota Reykjavik. Kami akan pulang semula ke hostel pada waktu petang nanti. Aku sempat bertanya kepada pemilik hostel itu tentang iklim di Iceland. Dia memberitahu aku bahawa hujan adalah perkara yang biasa di sini. Adakalanya hujan tidak akan berhenti selama berhari-hari. Hmmm. Sama seperti iklim di Ireland.

Reykjavik adalah sebuah bandar yang terletak di pinggiran Lautan Atlantik. Ia merupakan ibu negara & bandar yang terbesar di Iceland. Bandar ini terletak di Garisan Latitud 64.1 darjah & amat hampir dengan Garisan Artik (66.33 darjah). Ini menjadikannya sebagai ibu kota yang paling ke utara antara kesemua ibu-ibu kota negara-negara berdaulat di seluruh dunia. Sewaktu kemuncak Musim Sejuk pada bulan Disember setiap tahun, kota ini hanya menerima cahaya matahari selama 4 jam sahaja. Sewaktu kemuncak Musim Panas pada bulan Jun pula, ia menerima sinaran cahaya matahari hampir 20 jam lamanya. Menarik bukan? Hahah. Aku ke sini pada bulan Ogos. Oleh itu, aku tidak dapat merasai perbezaan masa siang & malam yang begitu ketara. Jumlah penduduk yang menetap di Reykjavik sedikit sahaja, iaitu seramai 120,000 orang. Walau bagaimanapun, penduduk di sini hidup dalam keadaan yang penuh selesa kerana kebajikan mereka amat dijaga. Kemudahan infrastruktur pula adalah antara yang terbaik di dunia.


Peta kedudukan Reykjavik di dalam Iceland

Penempatan pertama di Iceland adalah di bumi Reykjavik, iaitu sewaktu ketibaan Ingólfur Arnarson pada tahun 874. Reykjavik kemudiannya mula menjadi pusat penghijrahan orang-orang Scandinavia yang lain di bumi Iceland. Mereka semua tertumpu di kota ini. Disebabkan itulah segala peristiwa yang berlaku di Iceland hampir kesemuanya bertumpu di Reykjavik. Apabila Iceland diisytiharkan sebagai Republik pada tahun 1944, Reykjavik dijadikan ibu kotanya.

Bersambung...

Read more...

iCeLaND: BuMi ViKiNG (BHG I) - PRoLoG

>> Tuesday, March 02, 2010



Aku sebenarnya sudah lama menyimpan keinginan untuk memijakkan kaki di bumi Iceland, bumi yang amat jarang sekali diterokai oleh orang-orang Malaysia. Malah, mungkin ada antara kita yang tidak tahu di mana kedudukan negara ini. Mungkin ada juga yang tidak tahu langsung akan kewujudannya. Negara ini seolah-olah seperti satu misteri. (Iceland & Ireland adalah dua negara berbeza. Ireland adalah negara di mana aku menuntut ilmu perubatan. Aku sekarang sedang bercerita tentang Iceland, bukannya Ireland. Jangan keliru pula ye. Heheh)

Selepas pulang dari pengembaraan selama 18 hari di rantau Balkan, aku hanya mengurungkan diri sahaja di rumah sambil mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan ulangan yang akan berlangsung pada bulan November nanti. Tidak terfikir pula aku untuk ke mana-mana kerana kepenatan mengembara di rantau Balkan masih lagi belum hilang. Walau bagaimanapun, hati kecil aku tiba-tiba sahaja tergerak untuk meninjau-ninjau harga tiket penerbangan ke Iceland, sebuah negara yang ingin benar aku terokai. Aku lalu membuka laman web Icelandair, syarikat penerbangan termurah untuk ke sana. Dan secara kebetulan, syarikat penerbangan itu sedang menawarkan harga diskaun untuk ke Iceland bagi perjalanan bulan Ogos. Aku pada mulanya berasa serba salah. Namun, apabila difikir-fikirkan secara mendalam, aku akhirnya membuat keputusan untuk membeli tiket penerbangan tersebut. Bagi aku, mungkin ini adalah satu-satunya peluang yang tinggal untuk aku menjejakkan kaki ke Iceland. Selepas ini, mungkin peluang ini tidak akan datang lagi.


Pesawat Icelandair

Walau bagaimanapun, sebelum membeli tiket tersebut, aku menghubungi dahulu sahabat-sahabat di Dublin yang lain yang tidak pulang ke Malaysia pada cuti Musim Panas ini. Aku bertanyakan sama ada mereka berminat atau tidak untuk mengikut aku ke Iceland. Berbelas-belas orang aku hubungi. Namun, yang berminat untuk mengikut aku ke sana hanya seorang sahaja, iaitu Muaz, pelajar Tahun Pertama Perubatan di Royal College of Surgeons. Sebelum ini, dia pernah mengikut aku ke French Riviera. Sementara itu, sahabat-sahabat aku yang lain tidak dapat ikut bersama memandangkan mereka mempunyai hal masing-masing. Walau apapun, pada aku, seorang pun sudah cukup. Tidaklah aku keseorangan apabila berada di sana nanti.

Sehari selepas itu, aku pun terus membeli tiket penerbangan Icelandair dari London ke Reykjavik, Iceland & juga tiket penerbangan Ryanair dari Dublin ke London untuk kami berdua. Kami akan berlepas ke London dari Dublin pada tarikh 28 Ogos 2008. Dari London, kami akan berlepas pula ke Reykjavik pada hari yang sama di waktu malam. Kami berdua akan menghabiskan masa di bumi Iceland sehingga 1 September 2008, iaitu selama lebih kurang 4 hari lamanya. Pada tarikh 1 September, kami akan berangkat pulang semula ke London.

Sebelum bertolak ke Iceland, aku menempah terlebih dahulu penginapan hostel di Reykjavik & juga segala tour yang akan kami ambil sewaktu berada di sana. Harga tour-tour tersebut sememangnya agak mahal. Namun, aku yakin bahawa kesemuanya itu akan berbaloi. Aku juga membawa bersama buku ‘Europe: On A Shoestring’ terbitan Lonely Planet untuk dijadikan panduan apabila berada di sana nanti.

Iceland adalah sebuah negara pulau yang terletak di bahagian utara Lautan Atlantik, berhampiran dengan pulau Greenland. Ia adalah salah satu daripada negara-negara Scandinavia, iaitu negara-negara Eropah Utara. Negara-negara Scandinavia yang lain ialah Denmark, Sweden, Norway & Finland. Negara Iceland ini mempunyai keluasan seluas 103,000 kilometer persegi & mempunyai jumlah penduduk seramai 320,000 orang. Sedikit sahaja bilangan penduduknya. Kurang daripada separuh juta orang.


Kedudukan Iceland dalam peta Dunia


Kedudukan Iceland dalam peta Eropah


Peta negara-negara Scandinavia


Peta Iceland


Bendera Iceland

Iceland terletak betul-betul di garisan pertemuan Plat Tektonik Eurasian & Plat Tektonik Amerika Utara. Ini menyebabkan pulau ini cenderung untuk ditimpa bencana gempa bumi. Gempa bumi terjadi apabila berlakunya pergeseran atau pergerakan antara plat-plat tektonik di garisan pertemuan plat-plat tersebut. Iceland juga turut dipenuhi dengan gunung-gunung berapi. Ada gunung berapi yang sudah mati & ada juga yang masih aktif. Selain itu, bentuk topografi pulau ini juga turut dilitupi dengan kawasan tanah tinggi, bukit-bukau, gunung-ganang yang diselaputi glasier, geysir-geysir, tasik-tasik & sungai-sungai. Pulau ini kaya dengan keindahan alam semulajadi.


Peta dunia yang menunjukkan plat-plat tektonik


Peta dunia yang menunjukkan lokasi-lokasi gunung berapi

Yang menarik tentang pulau ini adalah tidak banyak pokok-pokok besar hidup di sini. Ianya seperti kawasan tundra. Kebanyakan tumbuh-tumbuhan yang ada hanyalah rumput-rampai & pokok-pokok bersaiz kecil. Disebabkan itulah panorama bukit-bukau & gunung-ganangnya seperti saujana mata memandang. Indah sekali. Disebabkan Iceland adalah sebuah pulau yang agak kecil, maka iklimnya tidak terlampau ekstrim, walaupun pulau ini terletak amat berhampiran dengan Garisan Artik. Ini kerana iklimnya dipengaruhi oleh suhu air laut yang mengelilinginya. Musim Panasnya tidak terlampau panas & Musim Sejuknya pula tidak terlampau sejuk. Namun, ada ketikanya keseluruhan pulau ini diselaputi oleh salji atau ais sewaktu Musim Sejuk. Mungkin disebabkan itulah pulau ini dinamakan 'Iceland'.


Gambar satelit pulau Iceland sewaktu diselaputi salji pada Musim Sejuk

93% daripada penduduk Iceland adalah daripada bangsa Icelandic yang bertutur dalam Bahasa Icelandic. Yang selebihnya pula adalah daripada bangsa-bangsa lain yang kebanyakannya berasal dari negara-negara Scandinavia yang lain. 85% daripada penduduknya menganut ajaran Kristian mazhab Lutheran. Penggunaan Bahasa Inggeris amat meluas di kalangan penduduknya. Boleh dikatakan setiap orang daripada mereka boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan fasih, sama seperti negara-negara Scandinavia yang lain.

Sistem pemerintahan negara ini ialah Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Mata wang yang digunakan ialah Krona. 1.00 Euro bersamaan dengan 180 Krona. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 35.00 Krona. Waktu tempatannya pula kurang sejam daripada Waktu GMT. Ekonomi Iceland banyak bergantung kepada industri perikanan & pelancongan. Pada tahun 2007, Iceland telah diiktiraf sebagai negara termaju di dunia oleh United Nation’s Human Development Index.

Menurut sejarah, penempatan manusia di Iceland dikatakan bermula pada tahun 874 apabila seorang bangsawan Viking dari Norway yang bernama Ingólfur Arnarson datang berhijrah ke pulau ini pada tahun tersebut & terus menetap di sini. Tidak berapa lama kemudian, penduduk-penduduk Viking dari negara-negara Scandinavia yang lain termasuk Norway mulai berhijrah ke pulau ini juga. Kehidupan mereka bergantung kepada sumber perikanan & pertanian. Pada akhir kurun ke-10, agama Kristian dibawa ke sini & majoriti penduduknya memeluk agama tersebut.

Iceland kemudiannya berada di bawah penguasaan kerajaan Norway mulai tahun 1262 hingga kurun ke-14. Mulai kurun ke-14, ia berada pula di bawah pemerintahan Kalmar Union, iaitu penyatuan kerajaan Denmark & Norway. Semenjak itu, Iceland menjadi antara kawasan yang termiskin di Eropah. Pelbagai mala petaka menimpa pulau ini, seperti pertanian yang tidak menjadi, letupan gunung berapi & juga kejadian Black Death pada kurun ke-15 yang membunuh hampir separuh daripada jumlah penduduknya.


Peta Kalmar Union

Pada kurun ke-16, Raja Denmark yang memerintah pada waktu itu, iaitu Christian III telah memaksa kesemua penduduk Iceland untuk menukar mazhab mereka daripada Katolik kepada Lutheran. Kesemua paderi-paderi Katolik kemudiannya dibunuh. Mazhab Lutheran terus kekal menjadi pegangan penduduk Iceland sehingga kini.

Pada tahun 1814, Kalmar Union mulai berpecah & Iceland diserahkan kepada pemerintahan kerajaan Denmark. Tidak berapa lama kemudian, semangat nasionalisma mula bersemarak dalam jiwa penduduknya untuk menuntut kemerdekaan daripada kerajaan Denmark. Dan akhirnya, kemerdekaan berjaya diperolehi. Walau bagaimanapun, Iceland masih lagi berada di bawah naungan Raja Denmark. Ia hanya berjaya mengisytiharkan kedaulatannya sebagai sebuah kerajaan Republik pada tahun 1944, selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XXXII/aKHiR) - ePiLoGue

>> Monday, March 01, 2010



Untuk mengikuti kisah pengembaraan aku yang seterusnya di rantau Balkan, iaitu di Istanbul, Turki, sila dapatkan buku "TRAVELOG TURKI: BUMI KHALIFAH" yang akan berada di pasaran pada bulan ini. InsyaAllah buku tersebut yang diterbitkan oleh syarikat PELIMA MEDIA SDN BHD akan turut dipromosikan di PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (19-28 MAC 2010) di PWTC. Syarikat PELIMA MEDIA SDN BHD akan menggunakan booth G03 di DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC. Jangan ketinggalan untuk mendapatkan buku tersebut. Ianya memuatkan kisah pengembaraan aku selama 13 hari di bumi Turki. 10 hari sewaktu Musim Panas tahun 2006 & 3 hari lagi sewaktu Musim Panas tahun 2008, iaitu sambungan kepada travelog rantau Balkan ini.



EPILOG

Seperti yang telah aku katakan di bahagian awal travelog 'Balkan: Jambatan Antara Islam & Eropah' ini, pengembaraan aku di rantau Balkan adalah pengembaraan solo yang paling lama dalam sejarah hidup aku. Belum pernah lagi aku mengembara seorang diri selama tempoh masa sepanjang 18 hari seorang diri tanpa teman. Oleh itu, sudah tentulah bermacam-macam pengalaman pahit & manis yang telah aku tempuh dalam pengembaraan aku menjejakkan kaki ke 7 buah negara di rantau tersebut, iaitu Croatia, Bosnia & Herzegovina, Slovenia, Romania, Bulgaria, Macedonia & Turki. Sukar untuk diceritakan kesemuanya. Aku cuma mampu menceritakan yang penting-penting sahaja. Walau apa pun, pengalaman selama 18 hari di rantau Balkan ini sudah pastinya akan terpahat dalam ingatan aku buat selama-lamanya.

Rantau Balkan sememangnya merupakan satu rantau yang penuh dengan kesan sejarah & juga keindahan alam ciptaan yang Maha Esa. Yang menjadikan rantau ini unik & lain daripada yang lain adalah kerana lokasinya yang terletak di antara Asia Barat & Eropah, yang secara tidak langsung melayakkannya digelar sebagai Jambatan Antara Islam & Eropah. Oleh itu, aku menyeru pembaca-pembaca blog ini supaya meluangkan masa & wang untuk berkunjung ke rantau Balkan ini. Terlalu banyak rahsia yang tersimpan di sini yang hanya mampu diterokai oleh mereka yang memijakkan kaki sendiri ke sini.

Dengan ini, tamatlah sudah travelog aku di rantau Balkan. Semoga hasil penulisan aku ini sedikit sebanyak dapat membuka minda para pembaca mengenai rantau yang istimewa ini. Sekian, terima kasih.

TAMAT.

Selepas ini, nantikan pula travelog yang seterusnya, iaitu travelog di ICELAND: BUMI VIKING.

Read more...

iSu CiPLaK

>> Sunday, February 28, 2010



Isu ciplak-menciplak kat Malaysia ni memang susah sekali nak dibendung. Dah makin kronik pulak dah sekarang ni. Daripada kaset/CD album, VCD/DVD filem sehinggalah ke penulisan buku.

Baru-baru ni, aku telah dihubungi oleh seorang editor sebuah syarikat penerbitan buku melalui Yahoo Messenger. Dia melaporkan kepada aku bahawa salah seorang daripada penulis novel syarikatnya telah menciplak salah satu daripada hasil kerja aku di blog Aku Sebutir Pasir, iaitu Travelog Summer 2005 di Australia. Aku sendiri terkejut. Belum pernah pulak perkara macam ni terjadi kepada aku sebelum ni. (Mungkin banyak terjadi, tetapi di luar pengetahuan aku. Wallahu 'alam).

Editor tu berkata yang dia pada mulanya cuma ingin membetulkan fakta-fakta yang terdapat di dalam manuskrip penulis tu melalui artikel-artikel kat internet. Tapi, entah macam mana, dia terjumpa blog aku. Lepas dia baca beberapa perenggan dalam Travelog Summer 2005 di Australia yang aku tulis beberapa tahun lepas, dia dapati isi di dalamnya hampir sama seperti isi di dalam manuskrip penulis tu. Nama-nama watak dalam manuskrip tu pun sama seperti nama-nama dalam travelog aku tu, iaitu nama kawan-kawan aku yang menjelajah Australia bersama-sama & juga nama saudara aku yang tinggal di sana. Hahaha. Kalau nak menciplak hasil kerja orang lain pun, pandai-pandailah tukar nama kan? Ini tidak. Memang bulat-bulat dia tiru. Geram aku.

Aku pada mulanya bercadang nak bawak penulis tu ke muka pengadilan. Tapi, kasihan pulak dengan editor tu. Kalau penulis tu kena saman, editor tu pun mungkin akan turut terlibat sama. Mungkin dia akan kehilangan kerja, sebab dia yang bertanggungjawab dengan setiap manuskrip yang dia edit. Lagipun, dia perlu menyerahkan manuskrip yang sedang dieditnya tu kepada bosnya dalam masa beberapa hari lagi. Kiranya, agak 'last minute' jugaklah dia menemui 'kepincangan' manuskrip penulis tu. Huhuhu.

Lagipun, aku tak sampai hati pulak nak saman penulis tu sebab dia hanya bekerja sebagai jururawat. Nanti tak pasal-pasal pulak dia masuk penjara sebab tak mampu nak bayar saman. Huhuhu. Sebagai jalan penyelesaian, aku memberitahu editor tu yang aku sekadar mahu nama aku & nama blog aku diberi kredit di dalam novel tu. Dan aku jugak mintak agar semua nama watak di dalam novel tu ditukar dengan nama-nama lain. Aku tak meminta apa-apa royalti. Korang rasa perlu tak aku meminta royalti? Huhuhu.

Penulis tu kena marah teruk jugak la dengan editor tu. Dia memang bernasib baik sebab aku tak jadi untuk menyamannya. Aku berterima kasih dengan editor tu kerana melaporkan tentang perkara ni kepada aku. Jujur betul. Kalau orang lain, mungkin mereka hanya akan mendiamkan diri sahaja.

Oleh itu, aku sekali lagi ingin menegaskan bahawa setiap apa yang terkandung di dalam blog Aku Sebutir Pasir & juga blog JHaZKiTaRo's TRaVeLoGue, termasuklah gambar-gambar adalah hak milik peribadi aku sebagai penulis kedua-dua blog ini. Walau bagaimanapun, pembaca-pembaca diberi kebebasan untuk menyalin & menyebarkan mana-mana artikel atau gambar yang terdapat di dalam kedua-dua blog ini, dengan syarat, nama & alamat blog ini hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Akan tetapi, para pembaca dilarang sama sekali menggunakan artikel-artikel & gambar-gambar tersebut untuk tujuan komersil tanpa mendapat keizinan daripada aku terlebih dahulu. Jika ada antara pembaca yang melanggar peraturan-peraturan ini, aku tidak akan teragak-agak untuk membawanya ke muka pengadilan. I have a strong network & I know a lot of people from different professions. So, don't play-play ok. :)

Aku harap korang semua faham & mengerti tentang perkara ni. Nak menyiapkan sesuatu travelog bukanlah satu kerja yang mudah. Aku telah mengorbankan beberapa hari dalam tempoh masa cuti aku untuk menyiapkan travelog-travelog tu semata-mata untuk dikongsi bersama dengan para pembaca. Mana adil kalau orang lain dengan mudahnya menciplak, menghasilkan buku & mengaut keuntungan daripada hasil kerja aku. Kalau korang jadi aku, mesti korang rasa benda yang sama kan? GERAM..



InsyaAllah buku pertama aku yang bertajuk TRAVELOG TURKI: BUMI KHALIFAH yang diterbitkan oleh syarikat PELIMA MEDIA SDN BHD akan berada di pasaran pada bulan MAC 2010. InsyaAllah buku tersebut akan turut dipromosikan di PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (19-28 MAC 2010) di PWTC. Syarikat PELIMA MEDIA SDN BHD akan menggunakan booth G03 di DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC. Jangan ketinggalan untuk mendapatkan buku tersebut

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP