BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG XIII) - SaRaJeVo IV

>> Saturday, November 28, 2009



Hari 4: 14 MEI 2008

Lebih kurang pukul 8.00 pagi, aku pun mulai mandi & kemudiannya mengemas barang-barang aku. Selepas semuanya selesai, aku membawa kesemua barang-barang aku ke ruang makan hostel itu untuk bersarapan pagi. Selesai sahaja bersarapan pagi, aku meminta pemilik hostel itu untuk menjaga barang-barang aku sementara aku berjalan-jalan di sekitar kota Sarajevo.

Ini adalah hari kedua aku di kota ini. Aku sebenarnya sudah pun selesai menjejakkan kaki di lokasi-lokasi terpenting di dalam Sarajevo seperti yang tercatat dalam buku panduan aku. Oleh itu, pada hari ini, aku hanya sekadar berjalan-jalan mengambil angin sahaja. Aku bersiar-siar di kawasan membeli-belah yang utama di sini, iaitu sebatang jalan yang diberi nama Ferhadija. Terdapat banyak kedai di kiri kanan jalan yang dipenuhi oleh manusia ini.


Ferhadija, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Ferhadija, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Seterusnya, aku ke sebuah memorial berdekatan yang bernama Eternal Flame. Memorial ini dibina selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, pada tahun 1945. Ia dibina sempena memperingati jasa pejuang-pejuang yang berjuang membebaskan Sarajevo daripada cengkaman kuasa Fascisma sewaktu Perang Dunia Kedua. Selepas hampir 50 tahun api di memorial ini dinyalakan, ianya terpadam sewaktu Perang Bosnia yang berlaku antara tahun 1992 hingga 1995 akibat kekurangan sumber minyak. Selepas tamat Perang Bosnia, api yang terpadam di memorial tersebut dinyalakan semula. Nama-nama mereka yang berjuang dalam Perang Bosnia turut dipahat di memorial ini bersama-sama dengan nama pejuang-pejuang pembebasan Sarajevo 1945.


Eternal Flame, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Selepas bergambar dengan memorial Eternal Flame itu, aku meneruskan perjalanan aku dengan bersiar-siar di sebatang jalan yang bernama Marsala Tita. Tiada apa-apa yang menarik di sini. Cuma kedai-kedai biasa & bank-bank sahaja. Jalannya agak sibuk dengan kenderaan.


Marsala Tita, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Marsala Tita, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina


Marsala Tita, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Aku kemudiannya kembali semula ke hostel untuk mengambil barang-barang aku. Selepas itu, aku menaiki tram untuk ke stesen keretapi Sarajevo. Aku akan ke Zagreb, Croatia pada waktu petang ini. Perjalanan dengan tram untuk ke stesen keretapi mengambil masa yang singkat sahaja. Satu peristiwa yang tak akan dapat aku lupakan sampai bila-bila telah berlaku di dalam tram yang aku naiki. Sebelum masuk ke dalam tram itu, aku telah membeli dahulu tiketnya di sebuah gerai kecil di sebelah stesen tram yang terletak berhampiran hostel yang aku tumpangi. Apabila tram tersebut sudah tiba, aku lantas terus masuk ke dalamnya. Para penumpang sebenarnya diwajibkan mengesahkan tiket masing-masing dengan menggunakan mesin kecil yang terdapat di dalam setiap tram. Aku menganggap ianya remeh & menyusahkan. Lagipun, tram itu penuh sesak. Sukar untuk aku mencari lokasi mesin tersebut di dalamnya. Jadi, aku membiarkan sahaja tiket aku tidak disahkan. Aku punyai naluri yang mengatakan tak mungkin akan ada pegawai yang akan memeriksa tiket pada hari ini.

Namun, naluri aku salah sama sekali. Lebih kurang 15 minit selepas aku menaiki tram tersebut, tiba-tiba, muncul seorang pegawai tiket yang meminta aku menunjukkan tiket kepadanya. Entah dari mana datangnya dia aku pun tidak sedar. Aku dengan perasaan gementar menunjukkan tiket aku yang tidak disahkan itu. Pegawai itu kemudiannya bertanya satu soalan kepada aku di dalam Bahasa Bosnia. Aku kemudian memintanya bertanya dalam Bahasa Inggeris. Dia kemudian menarik aku ke hadapan untuk berjumpa dengan seorang lagi pegawai yang secara kebetulannya boleh berbahasa Inggeris. Pegawai itu memberitahu aku bahawa aku perlu membayar denda sebanyak 60 Marka atas kesalahan tidak mengesahkan tiket dengan menggunakan mesin yang ada di dalam tram. Aku tidak tahu hendak memberi alasan apa. Sememangnya aku yang bersalah dalam hal ini.

Aku kemudian dengan rasa berat hati mengeluarkan dompet aku. Malangnya, aku tidak mempunyai wang Marka yang mencukupi. Aku bertanya sama ada aku boleh membayar dalam matawang Euro. Mereka kemudian berbincang sesama mereka & kemudiannya mereka berkata yang mereka menerima bayaran dalam matawang Euro. Aku pun terpaksa menyerahkan 30 Euro aku kepada salah seorang daripada mereka. Aku betul-betul menyesal kerana tidak mengesahkan tiket yang bodoh itu. Begitu sahaja wang 30 Euro aku terbang melayang.

Tidak berapa lama kemudian, aku pun tiba di stesen keretapi Sarajevo. Dengan perasaan yang masih geram dengan kesilapan sendiri, aku turun dari tram tersebut meninggalkan 2 orang pegawai tiket itu. Aku melangkah menuju ke dalam stesen keretapi tersebut. Keretapi yang aku nantikan untuk ke Zagreb bakal tiba di stesen ini pada pukul 9.20 malam nanti. Aku masih ada 3 jam untuk menghabiskan masa di dalam stesen keretapi yang membosankan ini. Aku sengaja datang awal ke sini kerana aku tidak tahu untuk ke mana-mana lagi. Sedang aku berehat-rehat di dalam stesen keretapi tersebut, aku didatangi oleh beberapa orang penduduk tempatan. Mereka sekadar ingin berbual-bual kosong. Aku yang sedang kebosanan pun melayan sahaja mereka.


Stesen keretapi Sarajevo, Sarajevo, Bosnia & Herzegovina

Setelah hampir 3 jam menunggu, keretapi yang aku nantikan pun tiba. Tepat pukul 9.20 malam, ianya pun mulai bergerak meninggalkan Sarajevo. Perjalanan dari Sarajevo ke Zagreb memakan masa selama 9½ jam. Aku bermalam di dalam keretapi tersebut di dalam sebuah bilik kabin. Ini adalah perjalanan pertama aku menaiki keretapi dalam pengembaraan aku di bumi Balkan ini. Aku menggunakan tiket pass Interrail yang telah aku beli di Dublin. Amat menjimatkan.

Bersambung...

Aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua pembaca yang beragama Islam. Semoga Aidil Adha tahun ini memberi seribu pengertian buat kita semua.

7 buah komen:

zainal mohd jais Saturday, November 28, 2009 at 11:15:00 AM GMT+8  

Saudara,

Salah satu fobia barat ialah kebangkitan Islam dari kalangan kulit putih, iaitu kalangan mereka sendiri.

itulah rasional besar di sebalik kempen 'penghapusan etnik yang dibenarkan' sebelum ini.

Sangat besar makna dan potensinya jika Malaysia dapat meingkatkan kerjasama dan komitmen dengan kelompok Islam di sana.

Bagus untuk u menelusuri dan memahami bumi Allah yang penuh potensi itu.

Selamat kembara.

Anonymous Sunday, November 29, 2009 at 7:34:00 PM GMT+8  

Salam.satu catatan yang menarik.Saya akan link blog anda dalam blog saya..Boleh ke? Salam aidiladha..

baiyazidmustaffa07.blogspot.com

Wan A. Rafar Monday, November 30, 2009 at 1:07:00 AM GMT+8  

Semoga anda sihat, berjaya dan sentiasa kreatif. Anda beruntung dapat menjejakkan kaki di bumi Eropah dan Bosnia. Kebetulan saya baru siarkan dua buah sajak tentang Bosnia dalam blog saya: Koleksi Karya. Salam.

Rositah Ibrahim Monday, November 30, 2009 at 3:32:00 PM GMT+8  

Salam, Interesting.I link your blog to mine. Hope you consider Siti Zainon's suggestion.

Unknown Wednesday, December 23, 2009 at 10:54:00 AM GMT+8  

heheh takyah p sarajevo sbb tgk gambar2 pun dh rasa dok kat sana ihiks...

Anonymous Tuesday, November 5, 2013 at 7:59:00 AM GMT+8  

Salam saudara.. adakah sistem train negara bosnia mengikut sistem last train..cthnya kalau ke zagreb yg saudara nyatakan.. mcm mana saudara mendapt tahu dahulu? adakah saudara book tiket dahulu atau on the spot? mohon pencerahan

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP