SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG V) - aMMaN

>> Friday, July 30, 2010



Amman adalah ibu negara Jordan & bandar yang terbesar di negara ini. Jumlah penduduknya adalah seramai 2.5 juta orang. Ia juga adalah antara bandar yang tertua di dunia yang terus-menerus dihuni oleh manusia. Bandar ini terletak di kawasan tanah tinggi yang dikelilingi oleh 7 buah bukit di sekitarnya. Disebabkan itulah bandar ini mempunyai suhu yang agak rendah berbanding tempat-tempat lain di negara Jordan. Salji amat kerapkali turun di sini setiap kali tibanya Musim Sejuk. Kedudukan bandar Amman ini sebenarnya amat hampir dengan kota Jerusalem atau Al-Quds di mana terletaknya Masjidil Aqsa. Sekiranya bumi Palestin tidak bergolak seperti sekarang, sudah pasti aku akan menjejakkan kaki aku di masjid yang suci itu.


Kedudukan Amman dalam peta Jordan


Bandar Amman diselaputi salji sewaktu Musim Sejuk

Amman telah menjadi penempatan manusia sejak 10,500 tahun dahulu. Ia pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Assyria yang wujud dari kurun ke-9 SM hingga kurun ke-6 SM. Selepas itu, Amman jatuh ke tangan kerajaan Parsi & kemudiannya kerajaan Greek. Di bawah kerajaan Greek yang ditadbir oleh Ptolemy II, kota ini mula diberi nama Philadelphia. Sesudah itu, kerajaan Nabatean pula mengambil alih pemerintahannya sehingga tahun 106 M. Pada tahun tersebut, kota ini telah jatuh ke bawah kekuasaan Empayar Rom. Di bawah pemerintahan Empayar Rom, kota ini dijadikan salah satu daripada Decapolis, iaitu sekumpulan 10 kota yang dibangunkan oleh empayar tersebut di bumi Syam. 6 daripada 10 kota tersebut terletak di Jordan pada masa kini, iaitu Philadephia (Amman), Gerasa (Jerash), Gadara (Umm Qays), Pella, Dion (Bayt Ras) & Raphana. 2 daripadanya terletak di Syria, iaitu Damascus (Damsyik) & Canatha (Qanawat). Dan 2 lagi pula terletak di Israel, iaitu Scythopolis (Beth-Shean) & Hippus (Sussita).


Peta lokasi kesemua Decapolis di bumi Syam ketika era pemerintahan Empayar Rom

Nama ‘Amman’ hanya diberi kepada kota ini sekitar kurun ke-5 sewaktu kota ini di bawah pemerintahan Empayar Byzantine. Pada kurun ke-7, sewaktu kebangkitan kuasa Islam di tanah Arab, Amman akhirnya jatuh ke bawah panji Islam yang berpusat di Madinah setelah ianya berjaya dirampas daripada Empayar Byzantine. Seterusnya, kota ini berada di bawah naungan kerajaan Bani Umayyah & kemudiannya kerajaan Bani Abbasiyah. Akhirnya, ia menjadi sebahagian daripada Empayar Turki Uthmaniyah. Selepas Jordan mendapat kemerdekaan daripada British pada tahun 1946, Amman secara rasminya dijadikan ibu negara Jordan. Populasi Amman yang pada mulanya sedikit secara tiba-tiba naik mendadak dengan kebanjiran pelarian Palestin ke sini pada tahun 1948 selepas penubuhan negara haram Israel di tanah Palestin. Pelarian-pelarian Palestin itu masih lagi tinggal di bumi Amman sehingga sekarang & telah beranak-pinak di sini.

Lokasi pertama di Amman yang aku, Hariz & Ideris jejaki ialah Citadel Hill atau dalam Bahasa Arabnya, Jabal Qala’ah. Kubu pertahanan yang terletak di atas sebuah bukit ini dikatakan telah wujud sebelum kedatangan kerajaan Greek & Rom ke sini lagi. Sewaktu ketibaan Empayar Rom, kubu pertahanan ini diperkukuhkan lagi. Ianya terus digunakan sewaktu pemerintahan kerajaan-kerajaan Islam di kota Amman. Terdapat 3 binaan utama di kawasan Citadel Hill ini, iaitu runtuhan Temple of Hercules, Umayyad Palace & tapak Byzantine Church. Temple of Hercules dikatakan telah dibina antara tahun 161 hingga 169 sewaktu di bawah pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Marcus Aurelius. Yang tinggal kini hanyalah sisa runtuhannya. Umayyad Palace pula adalah bangunan lama yang dibina sewaktu pemerintahan kerajaan Bani Umayyah di Amman. Ianya dibina sekitar tahun 720. Fungsinya tidak diketahui. Bangunan tersebut juga hanya meninggalkan sisa-sisa runtuhannya sahaja. Dan Byzantine Church yang kini hanya meninggalkan tiang-tiangnya sahaja pula merupakan sebuah gereja yang dibina sekitar kurun ke-6 sewaktu pemerintahan Empayar Byzantine di sini.


Bersama Ideris di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Temple of Hercules di Citadel Hill, Amman, Jordan


Bersama Hariz di runtuhan Temple of Hercules di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Umayyad Palace di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Umayyad Palace di Citadel Hill, Amman, Jordan


Runtuhan Byzantine Church di Citadel Hill, Amman, Jordan

Dari kawasan Citadel Hill itu, aku dapat melihat panorama kota Amman yang sememangnya amat menakjubkan sekali. Aku seperti tidak percaya yang pemandangan yang terbentang luas di hadapan aku itu adalah sebuah kota lama yang telah wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu. Seperti sebuah mimpi. Dari kawasan tersebut, Roman Theatre yang bakal menjadi destinasi aku yang seterusnya jelas kelihatan. Subhanallah. Begitu besar & agung sekali binaannya. Di kawasan Citadel Hill ini terdapat juga sebuah muzium, iaitu Jordan Archaeological Museum. Muzium ini mempamerkan khazanah-khazanah lama di Jordan sejak dari zaman prasejarah sehinggalah ke kurun ke-15. Salah satu khazanah berharga yang disimpan di sini ialah koleksi Dead Sea Scrolls yang merupakan manuskrip penting bagi agama Kristian & Yahudi yang dijumpai pada tahun 1952.


Panorama kota Amman dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Panorama kota Amman dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Panorama kota Amman & Roman Theatre dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Panorama kota Amman & Roman Theatre dari Citadel Hill, Amman, Jordan


Jordan Archaeological Museum di Citadel Hill, Amman, Jordan


Jordan Archaeological Museum di Citadel Hill, Amman, Jordan


Dead Sea Scrolls

Tempat seterusnya yang kami bertiga jejaki ialah Roman Theatre, bangunan hebat yang berbentuk seperti stadium yang dibina antara tahun 138 hingga 161 sewaktu di bawah pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Antonius Pius. Sewaktu era pemerintahan Empayar Rom dahulu, Roman Theatre ini boleh memuatkan seramai 6,000 orang penonton dalam suatu masa. Bangunan ini masih lagi digunakan sehingga kini untuk persembahan muzik atau teater. Aku benar-benar kagum melihat senibina Roman Theatre ini. Ia menggambarkan betapa hebatnya teknologi & kepakaran manusia pada zaman dahulu sehingga dapat membina bangunan sebesar & semegah ini yang masih lagi kukuh sehingga ke hari ini walaupun usianya sudah menjangkau hampir 2,000 tahun. MasyaAllah.


Bersama Hariz di Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan


Roman Theatre, Amman, Jordan

Selepas puas bergambar di Roman Theatre yang besar & mengagumkan itu, Hariz & Ideris membawa aku ke sebuah masjid di kota Amman. Hariz & Ideris sendiri tidak pasti apa namanya. Aku menunaikan solat Zohor di situ. Selepas solat, kami singgah di sebuah restoran untuk menikmati makan tengah hari. Mereka berdua belanja. Hahaha. Terima kasih Hariz & Ideris!!


Sebuah masjid di Amman, Jordan

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


4 buah komen:

Chik Na Friday, July 30, 2010 at 5:22:00 PM GMT+8  

teringin nak pergi Amman nih.. seronokkan jalan-jalan ke bumi anbiya'..

silversarina Friday, July 30, 2010 at 5:45:00 PM GMT+8  

salam,

sebak ,memang nak menitis airmata baca n3 ni .. tepat jatuh lagi dikenang ..huhu...thanks for sharing jhaz .

hariz Monday, August 2, 2010 at 3:06:00 AM GMT+8  

gilr panjang rambut aku dlu...lol

Anonymous Monday, March 4, 2013 at 1:18:00 PM GMT+8  

buy valium online roche valium vs generic - canadian pharmacy valium

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP