CYPRuS: PuLaU aPHRoDiTe (BHG II) - PRoLoG II

>> Saturday, July 17, 2010



Hari 1: 6 MEI 2009

Lebih kurang pukul 3.30 petang pada hari ini, aku bertolak menuju ke Lapangan Terbang Dublin dengan menaiki bas. Aku akan ke Paris terlebih dahulu pada hari ini sebelum bertolak ke Cyprus dari London pada keesokan hari. Penerbangan Aer Lingus dari Dublin ke Paris dijadualkan berlepas pada pukul 6.30 petang ini.

Sesampai sahaja aku di Lapangan Terbang Dublin, aku terus mendaftar masuk. Selepas selesai urusan pendaftaran masuk & juga pemeriksaan sekuriti, aku pun menunggu di balai perlepasan. Tidak berapa lama kemudian, para penumpang pun dijemput masuk ke dalam pesawat. Lebih kurang pukul 6.30 petang, pesawat yang aku naiki pun mula berlepas meninggalkan Dublin menuju ke Paris. Perjalanan ke Paris mengambil masa selama 1¾ jam. Lebih kurang pukul 9.15 malam waktu tempatan Perancis, aku pun tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris.

Selepas selesai semua urusan imigresen, aku pun menaiki metro untuk ke stesen keretapi Gare du Nord. Sesampainya aku di stesen keretapi itu, aku mencari mesin pengesahan tiket Eurostar yang terdapat di dalam stesen itu. Setelah puas mencari, akhirnya ia berjaya dijumpai. Aku sengaja mengesahkan tiket aku malam ini supaya aku tidak akan kelam-kabut keesokan paginya sewaktu hendak bertolak menaiki keretapi itu ke London. Sesudah mengesahkan tiket, aku pun terus berjalan mencari lokasi hostel yang sudah pun aku tempat melalui internet yang terletak tidak jauh dari stesen keretapi itu. Aku berjaya menjumpainya tidak lama kemudian. Selepas mendaftar masuk, aku pun dibawa ke bilik aku. Keadaan bilik itu kurang selesa. Namun, aku tidak kisah kerana aku cuma bermalam untuk satu malam sahaja di situ. Selepas mandi & solat, aku keluar untuk mencari makanan. Aku singgah di restoran MacDonald’s & memesan Fillet O’Fish. Selesai sahaja makan, aku pun kembali ke hostel untuk tidur.


Hari 2: 7 MEI 2009

Selepas solat Subuh & mandi, aku mula bergerak menuju kembali ke stesen keretapi Gare du Nord untuk menaiki keretapi Eurostar ke London. Keretapi yang aku tempah dijadualkan bertolak pada pukul 8.07 pagi. Aku berasa sangat gembira kerana akhirnya, tercapai juga impian aku untuk menaiki keretapi Eurostar yang melalui terowong dasar laut itu. Selepas selesai urusan imigresen, aku pun terus masuk ke dalam keretapi itu & tidak lama kemudian, ianya pun mulai bertolak meninggalkan Paris menuju ke London. Sungguh teruja aku. Perjalanan menaiki keretapi ini memakan masa lebih kurang 2½ jam.


Stesen Keretapi Gare du Nord, Paris, Perancis


Keretapi Eurostar di Stesen Keretapi Gare du Nord, Paris, Perancis

Sewaktu melalui Channel Tunnel yang dibina di bawah laut itu, keadaan di luar gelap buat beberapa ketika. Apabila di luar sudah cerah semula, ini menandakan yang aku sudah tiba di bumi United Kingdom. Tepat pukul 9.34 pagi waktu tempatan United Kingdom, aku pun tiba di stesen keretapi St Pancras, London. Setibanya aku di situ, aku terus menaiki Underground untuk ke stesen bas Victoria. Dari stesen bas tersebut, aku menaiki bas pula untuk ke Lapangan Terbang Gatwick. Bas tersebut mulai bertolak dari stesen bas Victoria pada pukul 11.00 tengah hari & tiba di lapangan terbang tersebut pada pukul 12.20 tengah hari.

Selepas beberapa ketika menunggu, akhirnya kaunter pendaftaran masuk pun dibuka & aku terus mendaftar masuk. Kemudian, aku melalui pula zon pemeriksaan sekuriti. Selepas semuanya beres, aku pun menunggu masa untuk masuk ke dalam pesawat EastJet untuk ke Pafos, Cyprus. Beberapa minit selepas menunggu, penumpang-penumpang pun dijemput masuk. Lebih kurang pukul 3.05 petang, pesawat pun mulai berlepas meninggalkan London menuju ke Pafos. Perjalanan mengambil masa selama 4½ jam. Lebih kurang pukul 9.35 malam waktu tempatan Cyprus, aku pun tiba di Lapangan Terbang Pafos, Cyprus.

Setibanya aku di lapangan terbang tersebut, aku pun terus melalui kaunter imigresen. Aku menghadapi sedikit masalah di kaunter tersebut kerana perasaan paranoid pegawai imigresen yang bertugas terhadap nama aku yang bermula dengan Muhammad. Dia bertanya kepada aku jikalau aku mempunyai kenalan di Northern Cyprus. Aku pun menafikannya. Sungguh paranoid sekali. Aku merasakan yang perkara ini mungkin hal yang biasa di pulau ini akibat ketegangan yang wujud antara orang-orang Greek di Republic of Cyprus & orang-orang Turki di Northern Cyprus. Masing-masing menyimpan perasaan paranoid sesama sendiri. Dia kemudiannya bertanya bermacam-macam lagi soalan yang membuatkan aku berasa tidak senang hati. Dia bertanya tentang visa & aku menegaskan yang warganegara Malaysia tidak memerlukan visa untuk memasuki negara Cyprus. Selepas itu dia bertanya tentang hostel & aku menjawab yang aku belum menempah mana-mana hostel lagi. Kemudian, dia bertanya pula apa tujuan aku ke sini & aku pun menjawab aku ke sini untuk melancong.

Sessi soal jawab itu dihujani dengan beberapa lagi soalan, seolah-olah aku disyaki sebagai pengganas. Walau bagaimanapun, aku menjawab soalan-soalannya dengan tenang sahaja kerana aku yakin, dengan niat yang betul, Allah SWT akan bantu aku. Pegawai itu akhirnya melepaskan aku dengan syarat aku tinggalkan Cyprus pada tarikh 11 Mei 2009 seperti yang tercatat dalam tiket penerbangan aku. Aku dengan senyum yang dibuat-buat pun bersetuju dengan syarat itu. Selepas itu, aku terus melangkah dengan rasa sakit hati yang teramat sangat. Terasa seperti hendak menyumpah-nyumpah pegawai imigresen tu. Apa-apa pun, aku bersyukur kerana aku akhirnya dilepaskan juga. Syukur kepada Allah SWT.

Aku kemudiannya berjalan keluar dari lapangan terbang itu. Aku tercari-cari jikalau ada sebarang pengangkutan awam untuk ke bandar Pafos. Namun, di luar tiada apa-apa kenderaan pun. Aku kemudian bertanya kepada pengawal yang bertugas yang boleh berbahasa Inggeris dengan amat baik. Rupa-rupanya dia berasal dari England & telah menetap di Cyprus berpuluh-puluh tahun. Dia memberitahu aku bahawa tiada perkhidmatan bas disediakan di lapangan terbang itu. Yang ada cuma teksi. Teksi yang paling awal pun hanya akan ada pada pukul 5.30 pagi nanti. Aku berasa terkejut. Aku bertanya sama ada aku boleh bermalam di lapangan terbang itu. Pengawal itu berkata boleh. Dia kemudian membawa aku ke bilik rehat pemandu-pemandu teksi yang terdapat di lapangan terbang itu. Dia meninggalkan aku di situ bersama-sama dengan seorang pemuda yang terkandas. Aku cuba untuk melelapkan mata di situ, namun tidak berjaya. Mungkin kerana aku sudah tidur dengan puas sewaktu dalam penerbangan tadi.


Lapangan Terbang Pafos, Cyprus


Lapangan Terbang Pafos, Cyprus

Bersambung...



SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


1 buah komen:

sI tEDI Saturday, July 17, 2010 at 7:12:00 PM GMT+8  

seronok *etul *aca pasal org erjalan2 ni! :))

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP