SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG IV) - JoRDaN II

>> Thursday, July 29, 2010



Jordan atau nama rasminya Hashemite Kingdom of Jordan adalah negara pertama di bumi Syam yang aku jejaki. Negara ini disempadani oleh Syria di bahagian utara, Iraq di bahagian timur laut, Israel & Palestin (Tebing Barat) di bahagian barat & Arab Saudi di bahagian timur & selatannya. Persisiran pantainya cuma ada dua sahaja, iaitu pantai Laut Mati yang menjadi sempadannya dengan Palestin (Tebing Barat) & pantai Teluk Aqabah di bahagian selatannya. Jumlah panjang kedua-dua pantai tersebut hanya 26 kilometer sahaja. Hampir keseluruhan bentuk muka bumi Jordan merupakan padang pasir yang tandus. Cuma kawasan di sekitar Sungai Jordan di bahagian barat lautnya sahaja yang agak subur untuk bercucuk tanam.


Peta negara Jordan


Bendera negara Jordan


Peta Topografi negara Jordan

Penduduk Jordan berjumlah 6.3 juta orang kesemuanya. Mereka semua menggunakan Bahasa Arab dalam kehidupan seharian. Penggunaan Bahasa Inggeris agak terhad, menyebabkan aku menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan. Aku pula tidak tahu berbahasa Arab. Mujurlah rakan-rakan di Jordan banyak membantu. Jika tidak, aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk 'hidup' di sini. Hampir kesemua penduduk Jordan berketurunan Arab. 92% daripada mereka beragama Islam. Yang selebihnya adalah penganut agama Kristian Greek Orthodox & Roman Katolik. Negara Jordan adalah antara negara di dunia yang menerima paling ramai mangsa pelarian. Pelarian utama yang diterima masuk di Jordan adalah pelarian dari Palestin. Pada masa kini, seramai hampir 2 juta orang pelarian Palestin tinggal di bumi Jordan, terutamanya di Amman.

Jordan mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Ketua negaranya adalah Raja. Ketua pentadbirannya pula adalah Perdana Menteri. Matawang yang digunakan di negara ini ialah Dinar. 1.00 Euro bersamaan dengan 1.00 Dinar. 1.00 Ringgit pula bersamaan dengan 0.20 Dinar. Jordan adalah sekutu kuat negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat, Perancis & United Kingdom. Ia juga adalah salah satu daripada 2 buah negara Arab yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel. Yang satu lagi adalah Mesir.

Kawasan barat Jordan mengalami iklim Mediterranean, iaitu panas & kering sewaktu Musim Panas & sejuk & lembap sewaktu Musim Sejuk. Kebanyakan kawasan di barat laut negara ini, terutamanya Amman, menerima jumlah salji yang lebat sewaktu Musim Sejuk. Sementara itu, kawasan timurnya pula mengalami iklim padang pasir yang kering.

Menurut kajian sejarah, kerajaan pertama yang wujud di bumi Jordan ialah kerajaan Nabatean yang berpusat di Petra. Kemudian, bumi Jordan ini ditakluki pula oleh beberapa buah empayar. Antara empayar-empayar yang pernah berkuasa di sini sebelum kedatangan Islam mengikut turutan kronologi ialah Assyria, Babylon, Parsi, Rom & akhir sekali Byzantine. Selepas kebangkitan Islam di semenanjung Arab, bumi Jordan akhirnya berjaya ditawan oleh kerajaan Islam yang berpusat di Madinah daripada Empayar Byzantine pada kurun ke-7. Bumi Jordan kekal berada di bawah pemerintahan kerajaan-kerajaan Islam yang seterusnya, iaitu kerajaan Bani Umayyah & kemudiannya kerajaan Bani Abbasiyah. Apabila kerajaan Bani Abbasiyah dilenyapkan oleh serangan tentera Mongol pada kurun ke-13, bumi Jordan ditawan buat beberapa ketika oleh orang-orang Mongol. Mereka kemudian berjaya dihalau keluar. Bumi Jordan kemudiannya jatuh pula ke tangan kuasa tentera Salib. Setelah mereka berjaya dihalau oleh tentera Salahuddin al-Ayyubi dalam Perang Salib Ketiga, bumi Jordan berada di bawah pemerintahan kerajaan Ayyubiyah pula & kemudiannya kerajaan Mamluk. Akhirnya, pada kurun ke-16, bumi Jordan menjadi sebahagian daripada Empayar Turki Uthmaniyah.

Selepas kekalahan Empayar Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, seluruh bumi Syam jatuh ke tangan British & Perancis. Kedua-dua kerajaan tersebut kemudian membahagi-bahagikan kawasan yang ditakluki oleh mereka ini. Kawasan utara, iaitu Syria & Lubnan diserahkan kepada Perancis, sementara kawasan selatan, iaitu Palestin & Jordan diserahkan kepada British. Jordan pada waktu itu diberi nama Transjordan. Abdullah I dilantik sebagai ‘Emir’ Transjordan oleh British. Abdullah I sebenarnya adalah tali barut British sewaktu usaha untuk melemahkan Empayar Turki Uthmaniyah sebelum berlakunya Perang Dunia Pertama. Dia telah bekerjasama dengan Thomas Edward Lawrence atau lebih dikenali dengan nama Lawrence of Arabia untuk menimbulkan rusuhan & menaikkan semangat nasionalisma di kalangan orang-orang Arab untuk menentang pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah di tanah Arab. Dia telah dijanjikan takhta sebagai seorang 'Emir' oleh British sekiranya tanah Arab berjaya dibebaskan daripada empayar tersebut. Dan hajatnya tercapai selepas kekalahan Empayar Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama.

Setahun selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, iaitu pada tahun 1946, Jordan telah mendapat kemerdekaan daripada British. Abdullah I secara automatik ditabalkan sebagai Raja Jordan. Walau bagaimanapun, disebabkan kebencian sesetengah pihak yang menganggapnya sebagai tali barut British & bertanggungjawab menghancurkan Empayar Turki Uthmaniyah, dia telah dibunuh sewaktu di Jerusalem pada tahun 1951.


Raja Abdullah I


Lawrence of Arabia

Jordan kemudiannya telah menyertai beberapa siri peperangan bersama negara-negara Arab yang lain bagi menentang kewujudan negara Israel. Antaranya ialah Perang Arab-Israel pada tahun 1948 & Perang 6 Hari pada tahun 1967. Walau bagaimanapun, satu perjanjian damai antara Jordan & Israel akhirnya ditandatangani pada tahun 1994 sewaktu Jordan di bawah pemerintahan Raja Hussein. Perkara ini mendapat tentangan yang hebat daripada rakyat Jordan, namun kuasa Raja tiada sesiapa yang dapat menghalang. Mulai dari hari itu, Jordan mengiktiraf kedaulatan negara Israel & menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara haram itu sehinggalah ke hari ini.


Raja Hussein

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


2 buah komen:

atuk Thursday, July 29, 2010 at 10:57:00 PM GMT+8  

Assalamualaikum Doc

salam ziarah
mentelaah N3 yg penuh ilmiah

Wassalam

mama ju Friday, July 30, 2010 at 1:38:00 PM GMT+8  

Assalammualaikum Jhaz

Terimakasih cikgu!

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP