SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG II) - PRoLoG II

>> Tuesday, July 27, 2010



Menurut kajian sejarah, tamadun manusia di bumi Syam telah wujud sejak Zaman Paleolitik lagi, iaitu sejak 90,000 tahun dahulu. Disebabkan lokasinya yang terletak betul-betul di tengah-tengah pusat tamadun manusia, bumi Syam ini seringkali menjadi rebutan pelbagai kerajaan & empayar. Antaranya ialah Assyria, Babylon, Parsi, Greek, Rom, Byzantine, Bani Umayyah, Bani Abbasiyah & Turki Uthmaniyah. Oleh kerana itulah bumi Syam amat kaya dengan kesan-kesan tinggalan sejarah tamadun manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Aku bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki di bumi Syam pada bulan Mei 2009. Pada waktu itu, aku sebenarnya sedang kecewa dengan keputusan peperiksaan aku. Aku cuma lulus 2 buah modul sahaja daripada 4 buah modul yang aku ambil dalam peperiksaan ulangan pada bulan April 2009. Jikalau diikutkan hati yang kecewa, hendak sahaja aku batalkan rancangan aku untuk ke bumi Syam. Namun, aku tetap gagahkan diri. Aku bertekad untuk mengambil kesempatan & peluang yang ada di bumi Syam nanti untuk berdoa kepada Allah SWT agar aku akan dipermudahkan dalam menduduki peperiksaan ulangan yang seterusnya, iaitu pada bulan November 2009. Bumi Syam sememangnya adalah bumi yang diberkati. Besar kemungkinan doa-doa aku akan lebih mudah dimakbulkan oleh-Nya sewaktu aku di sana.

Pengembaraan aku di bumi Syam bermula pada tarikh 17 Mei 2009 & berakhir pada tarikh 3 Jun 2009, iaitu selama lebih kurang 18 hari lamanya. Perancangan untuk ke sana telah aku lakukan seawal bulan Januari 2009. Aku sengaja memilih untuk ke sana pada bulan Mei 2009 memandangkan aku mempunyai masa terluang yang agak lama pada waktu itu, iaitu selepas tamatnya peperiksaan ulangan aku pada akhir bulan April 2009 & sebelum Hari Graduasi yang dijadualkan berlangsung pada tarikh 4 Jun 2009. Lebih kurang sebulan lamanya masa terluang yang aku ada.

Sewaktu membuat perancangan, aku menghubungi salah seorang rakan cyber aku yang bernama Hariz melalui Yahoo Messenger. Hariz pada waktu itu adalah pelajar Perubatan Tahun Pertama di Jordan University of Science & Technology (JUST) di Irbid, Jordan. Aku menghubunginya untuk mengkhabarkan kepadanya yang aku akan ke Jordan pada bulan Mei 2009 & aku bertanyakan sama ada aku boleh menumpang di rumahnya untuk beberapa hari. Dia lalu menyatakan yang dia tidak mempunyai apa-apa masalah untuk menumpangkan aku di rumahnya. Menurutnya lagi, dia juga boleh membawa aku ke beberapa buah tempat tumpuan pelancong di bahagian utara Jordan. Alhamdulillah. Lega rasanya apabila dia memberi respon sebegitu. Kami berdua sebenarnya sudah hampir setahun berkenalan melalui alam cyber. Minat yang sama, iaitu mengembara menemukan kami berdua. Blog aku sering menjadi singgahannya. Blognya juga turut menjadi singgahan aku. Alam cyber sememangnya banyak manfaatnya sekiranya digunakan dengan cara & niat yang betul.

Selain Hariz, aku juga turut menghubungi seorang lagi rakan cyber aku, iaitu Zaid, siswazah kelulusan Mu’tah University di Mu’tah, Jordan. Zaid adalah anak sulung kepada Makcik Ina, rakan cyber aku yang telah bertahun-tahun berkenalan, tetapi masih belum pernah bersua muka. Menurut Zaid, dia boleh membawa aku menziarahi beberapa buah tempat yang ada di tengah-tengah Jordan jikalau tiada aral melintang. Alhamdulillah. Semakin lega rasanya. Selepas sahaja aku mendapat maklum balas yang positif daripada mereka berdua, barulah aku membeli tiket penerbangan dari Dublin, Ireland ke Amman, Jordan. Aku membelinya pada awal bulan Februari 2009, 3 bulan sebelum berlepas ke sana. Sengaja aku membeli tiket tersebut awal-awal supaya selepas itu, aku dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan ulangan aku pada akhir bulan April 2009. Lagipun, harga tiket pada waktu itu agak murah.

Di bumi Jordan, aku bermukim di 2 buah bandar, iaitu Irbid & Mu’tah. Di Irbid, aku menumpang di rumah Hariz, sementara di Mu’tah pula, aku menumpang di rumah sekumpulan pelajar Malaysia di sana yang diberi nama Bayt Dimasyq (Rumah Dimasyq). Dari kedua-dua buah bandar itu, aku dibawa berjalan-jalan mengelilingi Jordan. Antara tempat-tempat di Jordan yang aku sempat kunjungi selain Irbid & Mu’tah ialah Amman, Jerash, Ajlun, Umm Qays, Laut Mati, Mount Nebo, Karak, Bayt Ras & Petra.

Dari bumi Jordan, aku kemudiannya mengembara ke 2 buah lagi negara yang terletak di bumi Syam, iaitu Syria & Lubnan. Di Syria, aku menumpang di rumah kenalan Zaid yang bernama Ikhwan, pelajar Malaysia di sebuah universiti di Damsyik. Sementara di Lubnan pula, aku menginap di sebuah hostel di Beirut. Sewaktu di Syria, aku hanya berkesempatan untuk menjejakkan kaki di Damsyik & Bosra sahaja. Sementara di Lubnan pula, aku cuma mengembara di Beirut. Aku tidak berkunjung ke Palestin atas faktor keselamatan. Israel pula sudah tentunya warganegara Malaysia tidak digalakkan sama sekali untuk masuk kerana tiadanya hubungan diplomatik antara Malaysia & negara haram itu.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


7 buah komen:

eeeda Tuesday, July 27, 2010 at 5:31:00 PM GMT+8  

Wah begitu bertuah sekali saudara, dipertemukan dengan insan yg baik...dan mempunyai minat yang sama. Secara tidak langsung memudahkan lagi perjalanan ke destinasinya...

mama ju, Tuesday, July 27, 2010 at 8:19:00 PM GMT+8  

Doc

tkasih.Terasa pendek je nukilan kali ni..

hnyhar Tuesday, July 27, 2010 at 9:33:00 PM GMT+8  

salam ziarah,
wow..sungguh menakjubkan...malah TAHNIAH diucapkan kerana berjaya mengabadikan catatan pengembaraan, malah berjaya diterbitkan.alhamdulillah..teruskan!

Rozali Tuesday, July 27, 2010 at 10:42:00 PM GMT+8  

Assalamualaikum Doc

bertambah ilmu saya

Wassalam

zaid Wednesday, July 28, 2010 at 11:00:00 AM GMT+8  

begitu pentingnya cyber masa kini, yg jauh dpt didekatkan dan yg dekat dpt dirapatkan dan yg rapat dpt dieratkan..:)

tahniah, tak sbr nak baca episod seterusnya.

btw,teringin nak pergi negara latin pula..

shazruls Wednesday, July 28, 2010 at 2:54:00 PM GMT+8  

best larr bro dpt p melawat negara org

Mazlina my Wednesday, July 28, 2010 at 6:41:00 PM GMT+8  

Salam ziarah.. Menarik blog anda
Tapi perlukan masa untuk jelajah sebab banyak benda yg boleh dibaca.. :)

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP