CYPRuS: PuLau aPHRoDiTe (BHG III) - NiCoSia I

>> Monday, July 19, 2010



Hari 3: 8 MEI 2009

Lebih kurang pukul 5.30 pagi, aku pun keluar dari bilik rehat pemandu-pemandu teksi itu. Aku menuju ke arah teksi-teksi yang sudah ada di bahagian luar Lapangan Terbang Pafos. Aku bertanyakan harga tambang untuk ke bandar Pafos kepada salah seorang pemandu teksi di situ. Harga yang diletakkan agak mahal. Namun, aku tiada pilihan lain. Aku terus menaiki salah sebuah teksi yang ada di situ. Aku meminta pemandunya membawa aku ke stesen ‘service taxi’ di bandar Pafos. Kami berbual-bual kosong sewaktu dalam perjalanan. Bahasa Inggerisnya tidak sefasih pengawal malam tadi. Tetapi, aku masih boleh memahami sedikit-sedikit apa yang cuba dikatakannya.

Tidak berapa lama kemudian, aku pun tiba di stesen ‘service taxi’ yang dimaksudkan. Sesampainya aku di situ, aku memberitahu kepada seorang lelaki yang bekerja di situ yang aku hendak ke Nicosia. Lelaki itu kemudian meminta aku menunggu buat seketika. Tidak berapa lama selepas menunggu, lelaki itu menjemput aku masuk ke dalam sebuah van yang ada di situ. ‘Service taxi’ adalah pengangkutan awam antarabandar yang utama di Cyprus. Ini kerana pengangkutan bas amat terhad & tiada perkhidmatan keretapi di negara pulau ini. ‘Service taxi’ yang dikelolakan oleh syarikat Travel & Express ini menjemput penumpang-penumpang yang telah membuat tempahan dari rumah ke rumah & seterusnya membawa penumpang-penumpang tersebut ke destinasi yang hendak mereka tujui.


Logo Syarikat Travel & Express

Untuk ke Nicosia dari Pafos, aku perlu menukar ‘service taxi’ di sebuah bandar yang bernama Lemessos. Perjalanan dari Pafos ke Lemessos memakan masa selama sejam. Perjalanan dari Lemessos ke Nicosia pula mengambil masa selama 1½ jam. Harga tambang yang dikenakan amatlah murah. Sesampainya aku di Nicosia, aku meminta pemandu ‘service taxi’ menurunkan aku di hostel yang sudah pun aku rujuk di dalam buku panduan. Malang sekali bagi aku, hostel tersebut sudah tidak wujud lagi. Aku kemudian terpaksa berjalan jauh untuk mencari hostel kedua pilihan aku. Mujurlah ianya berjaya dijumpai. Harganya pun agak berpatutan. Selepas mendaftar masuk, aku pun terus masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Setelah itu, barulah aku memulakan pengembaraan mengelilingi kota Nicosia.

Nicosia atau nama tempatannya Lefkosia adalah bandar terbesar & ibu kota bagi kedua-dua Republic of Cyprus & Northern Cyprus. Bandar ini terletak di tengah-tengah pulau Cyprus, di pinggiran Sungai Pedieos. Nicosia adalah satu-satunya bandar yang terbahagi kepada 2 bahagian yang masih wujud di muka bumi. Sebelum ini, Berlin merupakan salah satu daripadanya, sebelum robohnya Tembok Berlin. Bandar Nicosia ini mula dibahagikan kepada dua bahagian pada tahun 1960, sewaktu konflik yang berlaku antara penduduk bangsa Greek & penduduk bangsa Turki di sini. Konflik ini berlaku akibat rancangan penduduk bangsa Greek yang inginkan Cyprus disatukan dengan negara Greece. Sementara penduduk bangsa Turki pula tidak bersetuju dengan rancangan tersebut.

Seterusnya, pada tahun 1974, pembahagian bandar itu menjadi semakin kuat dengan pencerobohan tentera Turki di utara Cyprus & juga di utara Nicosia. Dan Nicosia secara rasminya dibahagi kepada dua bahagian pada tahun 1983, sewaktu penubuhan Turkish Republic of Northern Cyprus atau singkatannya Northern Cyprus. Walau bagaimanapun, pada masa kini, terdapat banyak usaha pendamaian yang sedang dilakukan. Contohnya, laluan keluar masuk antara kedua-dua bahagian telah dilonggarkan mulai tahun 2003. Kini, penduduk-penduduk & pelancong-pelancong di kedua-dua bahagian bandar ini bebas masuk & keluar dengan menggunakan kad pengenalan atau passport. Jumlah penduduk adalah seramai 224,000 orang di Nicosia Selatan, iaitu di bahagian kepunyaaan Republic of Cyprus & 85,000 orang di Nicosia Utara, iaitu di bahagian kepunyaan Northern Cyprus.


Kedudukan Nicosia dalam peta Cyprus


Peta Pembahagian Kota Nicosia

Nama asal Nicosia ialah Ledra. Sewaktu di bawah era pemerintahan Greek & Rom, kota ini tidak begitu penting. Namun, mulai kurun ke-10, kebanyakan penduduk di pulau Cyprus mulai bertumpu di sini kerana takutkan ancaman-ancaman di bandar-bandar yang terletak di pinggir laut. Ia kemudiannya menjadi ibu kota kerajaan Cyprus yang ditubuhkan oleh Dinasti Lusignan mulai tahun 1192 sehinggalah Cyprus ditawan oleh Republik Venice pada tahun 1489. Seterusnya, kota Nicosia ditawan pula oleh Empayar Turki Uthmaniyah pada tahun 1571 selepas seluruh pulau Cyprus ditawan oleh empayar tersebut. Ia kemudiannya dijadikan pusat pemerintahan British pula sewaktu penjajahan British di Cyprus dari tahun 1878 sehingga kemerdekaannya pada tahun 1960. Hanya selepas tahun 1960lah kota ini mula dibahagikan kepada dua bahagian seperti yang diceritakan di atas.

Nicosia pada zaman dahulunya dikelilingi oleh kubu pertahanan yang dinamakan Venetian City Wall yang mempunyai bentuk yang unik. Pembinaannya dilakukan ketika tahun 1560-an sewaktu Nicosia berada di bawah pemerintahan Republik Venice. Ia dibina untuk melindungi Nicosia daripada serangan tentera Empayar Turki Uthmaniyah. Pembinaannya menggantikan kubu lama yang sudah usang & lemah. Kubu yang baru dibina ini mempunyai lilitan sepanjang 3 km, 11 buah ‘bastion’ yang berbentuk pentagon di sekelilingnya & juga 3 buah pintu masuk, iaitu Famagusta Gate, Paphos Gate & Kyrenia Gate. Walau bagaimanapun, kubu pertahanan ini tidak dapat disiapkan sepenuhnya sebelum kejatuhan kota ini ke tangan tentera Empayar Turki Uthmaniyah. Kebanyakan sisa tinggalan kubu tersebut masih kukuh lagi sehingga ke hari ini.


Peta Kota Nicosia yang dikelilingi Venetian City Wall

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


1 buah komen:

Anonymous Thursday, March 21, 2013 at 8:28:00 AM GMT+8  

buy xanax after effects xanax overdose - what does xanax generic look like

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP