WiNTeR iN FReNCH RiVieRa (BHG VI) - MaRSeiLLeS I

>> Tuesday, September 15, 2009



Hari 4: 19 DISEMBER 2007

Pada awal pagi ini selepas bersarapan pagi, aku, Thani, Asrih & Muaz pun memulakan ekspedisi kami menjelajahi kota Marseilles. Marseilles adalah sebuah lagi bandar di kawasan French Riviera yang kami berempat jejaki. Ia adalah bandar ketiga terbesar di Perancis selepas Paris & Lyon. Ia juga merupakan bandar pelabuhan yang terpenting & terbesar di negara ini. Jumlah penduduknya adalah seramai 1,600,000 orang.


Peta kedudukan Marseilles di dalam Perancis

Menurut sejarah, Marseilles adalah kota yang tertua di Perancis. Ianya diasaskan pada tahun 600SM oleh orang-orang Greek dari Phocaea sebagai kota pelabuhan & perdagangan. Bandar ini kemudiannya jatuh ke tangan Empayar Rom pada tahun 49SM & terus berada di bawah jajahan empayar tersebut sehingga kehancuran empayar itu. Sewaktu di bawah jajahan Empayar Romlah agama Kristian mula tersebar di Marseilles. Menurut kepercayaan penduduk tempatan, Mary Magdelene yang kononnya kekasih Nabi Isa a.s telah mendarat di sini selepas melarikan diri dari Jerusalem & dia juga dikatakan meninggal dunia di sini.

Selepas kehancuran Empayar Rom pada kurun ke-5, Marseilles jatuh pula ke tangan Visigoths. Kota ini kemudian akhirnya berjaya diambil alih oleh Raja Frank pada kurun ke-6 & terus menjadi kota pelabuhan & perdagangan yang masyhur di rantau Mediterranean. Ia kemudiannya berada di bawah kerajaan Provence pada tahun 1481 yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada kerajaan Perancis pada tahun berikutnya. Pelbagai rusuhan untuk membebaskan Marseilles daripada kerajaan Perancis telah dilakukan, namun semuanya berjaya dipatahkan. Sewaktu berlakunya Revolusi Perancis pada akhir kurun ke-18, Marseilles turut memberi sumbangan yang besar dengan menghantar 500 orang sukarelawan ke Paris untuk membantu perjuangan revolusi.

Perang Dunia Kedua yang berlaku pada tahun 1940-an telah meninggalkan titik hitam dalam sejarah Marseilles. Kota ini telah dibom oleh tentera Nazi Jerman & Itali pada tahun 1940. Ia kemudiannya ditakluki oleh tentera Nazi Jerman dari tahun 1942 hingga 1944. Pelbagai kehancuran telah dilakukan sewaktu kota ini berada di bawah pemerintahan Nazi Jerman. Namun, usaha baik pulih mulai dijalankan pada tahun 1950-an selepas kekalahan Jerman dalam perang tersebut.

Mulai tahun 1950-an, selepas Perang Dunia Kedua, kota Marseilles mula menjadi tumpuan berjuta-juta orang imigran yang berhijrah ke Perancis. Begitu juga dengan orang-orang Islam dari Algeria yang mula berhijrah ke Perancis mulai tahun 1962 melalui kota Marseilles setelah negara mereka mendapat kemerdekaan daripada kerajaan Perancis. Pada hari ini, terdapat lebih 4 juta orang Islam di bumi Perancis, di mana majoritinya berasal dari Algeria, Morocco & Tunisia. Selain orang-orang Islam dari ketiga-tiga negara Afrika Utara tersebut, Marseilles juga menjadi tumpuan penduduk-penduduk dari negara Itali, Sepanyol & Greek. Boleh dikatakan hampir separuh daripada penduduk Marseilles pada hari ini berasal dari negara lain.

Kami berempat mengelilingi kota Marseilles dengan berjalan kaki sahaja walaupun kota ini sebenarnya agak besar. Ini adalah untuk menjimatkan kos. Secara kebetulan, hari kami berada di Marseilles adalah Hari Raya Aidil Adha. Oleh itu, di sana-sini kelihatan ramai orang Islam yang baru sahaja selesai menunaikan solat sunat Aidil Adha. Niat kami berempat untuk menunaikan solat sunat tersebut tidak kesampaian kerana kami tidak tahu di mana lokasi untuk menunaikannya. Terlupa pula hendak bertanya kepada pemilik restoran yang kami singgah malam tadi.

Tempat pertama di Marseilles yang kami jejaki ialah stesen keretapi Marseilles Saint Charles. Kami sengaja ingin bergambar di hadapannya. Agak cantik juga sebenarnya senibina stesen keretapi ini. Destinasi kami yang seterusnya ialah Musée des Beaux-Arts (Museum of Fine Arts) yang merupakan muzium yang tertua di Marseilles. Aku sendiri kurang pasti mengenai sejarah bangunan muzium ini. Walau apapun, muzium ini pada masa kini sedang ditutup untuk kerja-kerja baik pulih. Sebelum ditutup, ianya mempamerkan khazanah-khazanah seperti lukisan-lukisan & patung-patung dari kurun ke-16 hingga ke-19. Kami berempat hanya bergambar di bahagian luar muzium ini sahaja yang tidak kurang cantiknya.


Stesen keretapi Marseilles St Charles, Marseilles, Perancis


Musée des Beaux-Arts, Marseilles, Perancis

Selepas bergambar di Musée des Beaux-Arts, kami meneruskan perjalanan kami ke sebuah stadium yang diberi nama Stade Velodrome. Stadium ini merupakan stadium rasmi bagi kelab bola sepak Olympique de Marseille & merupakan stadium kelab bola sepak yang terbesar di Perancis yang boleh memuatkan seramai 60,000 orang penonton. Stadium yang dibuka pada tahun 1937 ini pernah menjadi medan perlawanan bola sepak sewaktu Perancis menjadi tuan rumah Piala Dunia tahun 1998. Selain perlawanan bola sepak, stadium ini juga pernah dijadikan medan perlawanan ragbi sewaktu Piala Dunia Ragbi tahun 1997. Kami berempat bergambar solo di bahagian luar stadium ini.


Stade Velodrome, Marseilles, Perancis

Kami kemudiannya berjalan kaki menuju ke destinasi yang seterusnya, iaitu Notre-Dame de la Garde, sebuah gereja yang terletak agak jauh nun di atas sebuah bukit. Memandangkan ini adalah hari ke-4 pengembaraan kami, aku memberi peluang kepada orang lain pula untuk menjadi pembaca peta. Aku menyerahkan tugas tersebut kepada Muaz. Perjalanan untuk ke gereja tersebut penuh dengan liku kerana peta yang kami gunakan agak mengelirukan. Ditambah pula dengan ketidakselesaan aku, Thani & Asrih yang terpaksa menahan pundi kencing kami yang sudah penuh. Mujurlah Muaz hebat mencari arah walaupun dia baru pertama kali memikul tanggungjawab itu.


Dalam pendakian ke Notre-Dame de la Garde, Marseilles, Perancis

Setelah hampir setengah jam mendaki, kami akhirnya berjaya juga tiba di kawasan gereja tersebut. Terima kasih & tahniah diucapkan kepada Muaz. Sesampainya kami berempat di situ. aku, Asrih & Thani terus mencari lokasi tandas. Selepas selesai sahaja membuang segala apa yang perlu dibuang, kami pun berjalan-jalan mengelilingi kawasan luar & juga berlegar-legar di kawasan dalaman Notre-Dame de la Garde ini. Gereja yang bertaraf basilica ini terletak di puncak yang tertinggi di kota Marseilles. Oleh itu, ianya boleh dilihat dari mana-mana sudut kota ini. Gereja yang mempunyai senibina yang amat unik ini dibina antara tahun 1853 & 1864. Menara locengnya yang setinggi 60 meter boleh dilihat berpuluh-puluh batu dari tengah laut.


Notre-Dame de la Garde, Marseilles, Perancis


Notre-Dame de la Garde, Marseilles, Perancis


Notre-Dame de la Garde, Marseilles, Perancis

Dari kawasan Notre-Dame de la Garde ini, kami dapat menikmati keindahan kota Marseilles dari atas. Marseilles sememangnya bandar yang amat luas & cantik. Kami juga dapat melihat kepulauan Frioul yang terdiri daripada 4 buah pulau yang terletak di tengah-tengah Laut Mediterranean, 4 kilometer dari persisiran pantai Marseilles. Pulau-pulau tersebut ialah If, Pomegues, Ratonneau & Tiboulain. Indah sungguh panorama yang kami saksikan. Segala penat lelah kami mendaki bukit untuk sampai ke puncaknya benar-benar terbalas.


Pemandangan kota Marseilles dari Notre-Dame de la Garde, Marseilles, Perancis


Pemandangan kepulauan Frioul dari Notre-Dame de la Garde, Marseilles, Perancis


Pemandangan kota Marseilles dari Notre-Dame de la Garde, Marseilles, Perancis

Selepas puas bergambar & menikmati panorama yang indah dari Notre-Dame de la Garde, kami menuruni bukit tersebut untuk menuju ke Old Port yang terletak di tengah-tengah kota Marseilles. Perjalanan untuk ke pelabuhan tersebut mengambil masa hampir setengah jam. Old Port telah dibuka sejak tahun 600SM lagi oleh orang-orang Greek yang bertandang ke Marseilles. Hingga kurun ke-19, Old Port memainkan peranan sebagai pusat kegiatan maritim di kota ini. Pada tahun 1854 sahaja, pelabuhan ini sudah boleh menampung antara 1,000 hingga 1,200 buah kapal. Dianggarkan sebanyak 18,000 kapal singgah ke pelabuhan ini setiap tahun. Walau bagaimanapun, disebabkan kedalaman pelabuhan ini hanya 6 meter sahaja, lama-kelamaan, ianya menjadi kurang sesuai untuk kapal-kapal baru yang memerlukan pelabuhan yang lebih dalam. Akhirnya, pelabuhan baru terpaksa dibina di La Joliette. Old Port pada masa kini hanya berperanan sebagai sebuah marina yang menempatkan kapal-kapal peribadi. Selain berfungsi sebagai marina, Old Port juga berperanan sebagai terminal bot-bot yang membawa pelancong ke pulau-pulau berhampiran.

Menurut sejarah, Old Port pernah dibom oleh tentera Nazi Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua & pelabuhan ini mengalami kerosakan yang teruk. Walau bagaimanapun, ianya berjaya dibaik pulih selepas tamatnya perang tersebut. Kini, Old Port merupakan salah satu tarikan utama pelancong-pelancong di kota Marseilles. Antara bangunan-bangunan penting yang terdapat di sekeliling Old Port adalah St Victor’s Abbey, rumah api Phare de Sainte Marie, Canebiere & Hotel de Ville.


Bersama Thani & Muaz di Old Port, Marseilles, Perancis


Old Port, Marseilles, Perancis

Bersambung...

Read more...

WiNTeR iN FReNCH RiVieRa (BHG V) - CaNNeS

>> Sunday, September 13, 2009



Hari 3: 18 DISEMBER 2007

Pagi ini, aku, Thani, Asrih & Muaz perlu bersiap-siap awal kerana kami berempat akan menaiki keretapi ke Cannes pada pukul 9.00 pagi. Selepas semuanya siap, kami pun bergerak meninggalkan hostel. Kami akan kembali semula ke hostel tersebut malam esoknya. Sesampainya kami di stesen keretapi Nice Ville, kami terus masuk ke dalam keretapi yang sudah sedia ada di situ. Tepat pukul 9.00 pagi, ianya pun mulai bergerak meninggalkan Nice. Perjalanan ke Cannes mengambil masa lebih kurang 40 minit. Lebih kurang puku 9.40 pagi, kami pun tiba di stesen keretapi Cannes. Sejurus selepas ketibaan kami di stesen itu, kami terus mencari tempat menyimpan barang di dalam stesen itu. Mujurlah ada sebuah bilik loker di situ. Selepas menyimpan barang-barang kami di dalam loker-loker, kami pun memulakan pengembaraan kami di kota Cannes.


Bersama Thani & Asrih di stesen keretapi Cannes, Cannes, Perancis

Cannes adalah sebuah lagi bandar yang terkenal di French Riviera. Keluasannya adalah lebih kurang 19.6 km persegi, dengan jumlah penduduk seramai 70,000 orang. Tempat pertama yang kami jejaki di kota ini adalah Palais des Festivals et des Congrès, antara mercu tanda utama Cannes. Bangunan ini adalah tempat berlangsungnya Cannes Film Festival, salah satu festival filem yang tertua & terkenal di dunia. Festival ini dimulakan pada tahun 1946 & diadakan setiap tahun pada bulan Mei. Anugerah yang paling tertinggi dalam festival filem ini adalah Palme d’Or, yang diberikan kepada filem-filem terbaik setiap tahun. Antara filem-filem yang pernah mendapat anugerah Palme d’Or ialah The Piano, Pulp Fiction, The Pianist & The Wind That Shakes The Barley. Palais des Festivals et des Congrès ini sebenarnya siap dibina pada tahun 1982. Pada tahun-tahun sebelumnya, Cannes Film Festival ini diadakan di bangunan lain.


Peta Kedudukan Cannes di dalam Perancis


Logo Cannes Film Festival


Bersama Muaz, Thani & Asrih di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Bersama Asrih di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Bersama Thani & Asrih di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis (Mr & Mrs Smith)


Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis (Austin Powers & Foxy Cleopatra)

Di bahagian luar bangunan Palais des Festivals et des Congrès ini terdapat satu lorong kecil yang seolah-olah seperti Walk of Fame yang terdapat di Hollywood. Di lorong kecil tersebut, terdapat tapak-tapak tangan pelakon-pelakon popular dari seluruh dunia. Kami berempat cuma mengenali pelakon-pelakon Hollywood & British sahaja. Antara tapak-tapak tangan pelakon Hollywood & British yang kami jumpai adalah Bruce Willis, Ben Kingsley, Sharon Stone, Julie Andrews, Michael Douglas & Whoopi Goldberg. Berhampiran dengan bangunan Palais des Festivals et des Congrès adalah pinggiran pantai Laut Mediterranean. Kami bermain-main sebentar di sini sambil mengambil beberapa keping gambar sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.


Tapak tangan Bruce Willis di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Tapak tangan Ben Kingsley di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Tapak tangan Sharon Stone di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Tapak tangan Julie Andrews di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Pantai Laut Mediterranean berhampiran Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Bersama Thani & Asrih di Pantai Laut Mediterranean berhampiran Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Bersama Thani & Muaz di Pantai Laut Mediterranean berhampiran Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis

Destinasi kami yang seterusnya ialah Boulevard de la Croisette, sebatang jalan raya yang terletak di pinggiran pantai. Ia adalah jalan yang paling utama & paling sibuk di kota Cannes. Terdapat banyak restoran, café & butik di sini. Pemandangannya juga cukup cantik, dihiasi dengan pokok-pokok palma yang tumbuh subur di sepanjang jalan ini. Selepas puas melihat kedai-kedai yang ada di Boulevard de la Croisette, kami meneruskan perjalanan kami ke Musee de la Castre, sebuah muzium yang terletak di atas puncak sebuah bukit yang diberi nama La Suquet. Perjalanan untuk ke puncak bukit tersebut memakan masa lebih kurang setengah jam. Dalam perjalanan ke muzium itu, kami melalui Vieux Port, sebuah pelabuhan di mana terdapat berpuluh-puluh buah kapal layar. Dan sewaktu kami mendaki bukit untuk ke muzium tersebut, kami dapat menikmati panorama kota Cannes yang sangat mengasyikkan. Kami sempat mengambil beberapa keping gambar.


Boulevard de la Croisette, Cannes, Perancis


Bersama Thani & Asrih di Boulevard de la Croisette, Cannes, Perancis


Panorama kota Cannes sewaktu dalam pendakian ke Musee de la Castre, Cannes, Perancis


Panorama kota Cannes sewaktu dalam pendakian ke Musee de la Castre, Cannes, Perancis

Setibanya kami di pintu masuk Musee de la Castre, muzium itu ditutup sementara waktu untuk makan tengah hari. Kami perlu menunggu sejam sebelum ianya dibuka semula. Sudah alang-alang sampai di situ, kami pun mengambil keputusan untuk menunggu. Sementara menunggu, kami menunaikan dahulu solat jamak Zohor & Asar. Selepas solat, kami berehat-rehat di satu kawasan teduh. Tidak berapa lama kemudian, muzium itu pun dibuka semula. Musee de la Castre ini mempamerkan khazanah-khazanah lama dari pelbagai tamadun dari seluruh dunia. Sebagai pelajar, kami diberi masuk secara percuma. Kami menghabiskan masa lebih kurang 1½ jam di dalam muzium itu. Kami sempat ke atas bumbung muzium tersebut yang sememangnya dibuka kepada pelancong. Dari atas bumbung itu, kami dapat menyaksikan pemandangan yang tersangat-sangat cantik. Hampir setengah jam kami berempat menghabiskan masa bergambar di situ.


Panorama kota Cannes dari atas Musee de la Castre, Cannes, Perancis


Panorama kota Cannes dari atas Musee de la Castre, Cannes, Perancis

Selepas puas bergambar, kami turun semula ke kawasan Vieux Port untuk bersiar-siar di kawasan itu. Terdapat banyak gerai-gerai kecil yang menjual beraneka jenis makanan & cenderahati. Kami sempat merasa beberapa jenis makanan & membeli beberapa cenderahati untuk dibawa balik. Selepas itu, kami menuju ke restoran MacDonald’s untuk makan tengah hari. Selesai sahaja makan, kami bergegas kembali semula ke stesen keretapi. Kami ke bilik loker untuk mengambil barang-barang yang kami simpan dahulu sebelum bergerak ke terminal keretapi.

Destinasi kami yang seterusnya adalah Marseilles. Keretapi ke Marseilles akan bergerak pada pukul 6.20 petang & dijangka akan sampai di Marseilles pada pukul 8.30 malam. Lebih kurang 2 jam 10 minit lamanya. Sedang kami menunggu ketibaan keretapi, kami terdengar satu pengumuman yang mengatakan bahawa keretapi ke Marseilles sedang menghadapi masalah. Oleh itu, para penumpang diminta menaiki keretapi lain ke stesen keretapi yang lain & menaiki keretapi ke Marseilles dari stesen itu. Penumpang-penumpang ke Marseilles semua berada dalam keresahan, termasuklah kami berempat. Mujurlah ada beberapa orang pekerja membantu menenangkan kami semua. Setibanya sebuah keretapi di terminal yang kami tunggu, pekerja-pekerja tersebut meminta penumpang-penumpang ke Marseilles untuk masuk ke dalamnya & memberitahu kami supaya turun di stesen keretapi yang telah diumumkan untuk menaiki keretapi ke Marseilles dari situ. Tidak berapa lama kemudian, keretapi yang kami naiki itu pun bergerak meninggalkan Cannes.

Setibanya kami di stesen keretapi yang dimaksudkan, kami pun turun dari keretapi tersebut & menaiki keretapi lain untuk menuju ke Marseilles. Lega rasanya selepas kami sudah masuk ke dalam keretapi tersebut. Pengalaman ini sedikit sebanyak dapat mengajar kami, terutamanya Thani, Asrih & Muaz yang baru pertama kali keluar mengembara bahawa dalam sesuatu pengembaraan, tidak semuanya akan berjalan dengan lancar. Masalah-masalah sebegini kadangkala boleh timbul & kita kena peka dengan keadaan sekeliling. Dalam perjalanan ke Marseilles, kami berempat berbual panjang mengenai banyak perkara. Kebanyakannya adalah kisah-kisah lucu.

Kami tiba di stesen keretapi Marseilles Saint Charles agak lewat daripada waktu yang dijangkakan. Setibanya kami di stesen itu, kami terus berjalan menuju ke hostel yang sudah pun kami tempah melalui internet. Usaha untuk mencari hostel itu aku serahkan kepada Muaz kerana aku kepenatan. Dia menggunakan buku panduan aku untuk mencari lokasi hostel itu. Tidak berapa lama selepas mencari, kami akhirnya tiba di pintu hadapan hostel tersebut. Selepas mendaftar masuk, kami pun dibawa masuk ke dalam bilik kami. Keadaannya tidaklah seselesa hostel di Nice. Namun, asalkan kami ada tempat untuk berteduh & melelapkan mata, itu sudah cukup.

Selepas meletakkan barang-barang di dalam bilik, kami berempat berjalan keluar untuk mencari makanan. Rupa-rupanya di bandar Marseilles ini terdapat banyak restoran halal. Ini kerana terdapat populasi orang Islam yang ramai di sini. Kami berasa lega kerana tidak perlu lagi makan Fillet O'Fish di restoran MacDonald’s. Kami singgah di sebuah restoran kebab untuk membeli kebab untuk dibawa balik ke hostel. Setibanya kami di hostel, kami pun makan dengan lahapnya di ruang makan hostel itu. Kemudian, kami kembali ke bilik untuk mandi & solat. Selepas itu, kami pun terus hanyut dibuai mimpi.

Bersambung...

Read more...

WiNTeR iN FReNCH RiVieRa (BHG IV) - MoNaCo II

>> Friday, September 11, 2009



Lebih kurang setengah jam kemudian, aku, Thani, Asrih & Muaz pun tiba di Monte Carlo Casino, yang merupakan salah sebuah tempat tarikan pelancong yang utama di Monaco. Ia menyediakan kemudahan untuk berjudi, teater opera & ballet & juga restoran. Cuma pelancong-pelancong luar sahaja dibenarkan berjudi di sini. Penduduk tempatan Monaco tidak dibenarkan untuk memasuki ke dalam dewan-dewan berjudi yang ada di dalamnya. Monte Carlo Casino ini adalah tuan rumah kepada European Poker Tour Grand Final, acara tahunan pertandingan poker yang paling berpestrij di benua Eropah.

Menurut sejarah, pemerintah Monaco yang bernama Putera Florestan I adalah orang yang bertanggungjawab menghalalkan kegiatan berjudi di Monaco pada tahun 1854. Sebuah casino telah dibina pada tahun 1856, berdekatan dengan Port de Monaco. Anaknya, iaitu Putera Charles III kemudiannya mengarahkan pembinaan sebuah lagi casino yang lebih besar untuk menjadikan Monaco sebagai tempat perjudian yang terkenal di dunia. Dan casino itu dinamakan Monte Carlo Casino, bersempena dengan nama Charles III. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1858 & siap sepenuhnya tidak berapa lama kemudian. Kami berempat cuma bergambar di luar casino itu sahaja. Kami tidak mempunyai keinginan untuk masuk ke dalamnya kerana kami hendak menjauhi kegiatan berjudi yang sememangnya haram di sisi Islam.


Bersama Muaz & Thani di Monte Carlo Casino, Monaco


Bersama Thani, Asrih & Muaz di Monte Carlo Casino, Monaco


Bersama Asrih & Thani di Monte Carlo Casino, Monaco


Monte Carlo Casino, Monaco


Monte Carlo Casino, Monaco

Selepas bergambar di luar Monte Carlo Casino, kami meneruskan perjalanan kami ke Prince's Palace of Monaco yang terletak agak jauh di atas sebuah bukit di wilayah Monaco-Ville. Untuk ke istana itu, kami mengambil masa lebih daripada sejam kerana kami sibuk bergambar di sana-sini sewaktu dalam perjalanan menuju ke sana. Pemandangan yang kami lihat sepanjang perjalanan kami ke istana itu tersangat-sangatlah cantik. Kami melalui semula Port de Monaco untuk ke istana itu. Dalam perjalanan ke sana, kami sempat singgah di sebuah kedai cenderahati untuk membeli beberapa buah cenderahati untuk dibawa pulang.


Port de Monaco, Monaco

Kedudukan Prince’s Palace of Monaco yang terletak di atas bukit menyebabkan kami agak lelah untuk menuju ke puncaknya. Namun, pemandangan indah Monaco yang dapat dinikmati sepanjang pendakian kami sedikit-sebanyak dapat menghilangkan rasa penat. Kami mengambil masa hampir 20 minit untuk ke puncak bukit itu di mana terletaknya istana yang menjadi tempat tujuan kami berempat.


Dalam pendakian ke Prince’s Palace of Monaco, Monaco


Panorama Port de Monaco dari Prince’s Palace of Monaco, Monaco


Panorama Port de Monaco dari Prince’s Palace of Monaco, Monaco

Prince’s Palace of Monaco ini adalah kediaman rasmi Prince of Monaco, iaitu pemerintah kerajaan Monaco. Ia pada mulanya dibina pada tahun 1191 sebagai kubu pertahanan Republik Genoa & seringkali diserangi oleh kuasa luar. Ianya mula menjadi kediaman rasmi keluarga Grimaldi, iaitu keluarga pemerintah Monaco mulai tahun 1297, selepas ianya berjaya ditawan oleh Francois Grimaldi, pemerintah Monaco yang pertama.

Keluarga Grimaldi pada mulanya hanyalah tuan tanah sistem feudalisma. Namun, mulai kurun ke-17, mereka mula mendapat taraf ‘Putera’. Istana ini pernah ditawan oleh Perancis pada kurun ke-18 & keluarga Grimaldi dibuang negeri selama 20 tahun. Walau bagaimanapun, mereka berjaya kembali semula ke Monaco selepas 20 tahun. Tidak seperti kerajaan-kerajaan & empayar-empayar lain di Eropah di mana setiap daripadanya mempunyai jumlah bilangan istana yang lebih daripada satu, istana di Monaco cuma ada satu sahaja. Ini disebabkan masalah keluasan tanahnya yang terhad. Prince's Palace of Monaco adalah antara istana yang paling lama dihuni oleh sesebuah dinasti di benua Eropah. Ianya telah lebih 700 tahun dihuni oleh Dinasti Grimaldi & terus dihuni oleh dinasti tersebut sehingga kini. Istana ini pada masa kini turut dijadikan sebagai muzium yang mempamerkan kisah-kisah sejarah Monaco. Selepas melawat muzium di dalam Prince’s Palace of Monaco, kami berehat-rehat sebentar di luar, menyaksikan keindahan Monaco dari puncak bukit tersebut.


Bersama Thani di Prince’s Palace of Monaco, Monaco


Prince’s Palace of Monaco, Monaco

Selepas hilang penat, kami pun meneruskan perjalanan kami. Destinasi seterusnya ialah Oceanographic Museum yang turut terletak di dalam wilayah Monaco-ville. Muzium ini terletak berhampiran tebing laut sehinggi 85 meter dari paras laut. Ianya mempamerkan koleksi hidupan laut yang boleh dilihat di Laut Mediterranean seperti tapak sulaiman, kuda laut, penyu, obor-obor, ketam, ikan jerung & banyak lagi. Muzium ini mula dibuka pada tahun 1910 selepas mengambil masa selama 11 tahun untuk dibina. Ia dirasmikan oleh Putera Albert I. Kami berempat tidak masuk ke dalam muzium ini kerana masing-masing tidak berminat. Kami cuma berehat-rehat di sebuah taman kecil bersebelahan dengannya. Dari situ, kami dapat melihat panorama laut yang amat cantik.


Oceanographic Museum, Monaco

Destinasi kami yang seterusnya ialah Saint Nicholas Cathedral atau turut dikenali dengan nama Cathedrale de Monaco. Ianya adalah sebuah gereja Roman Katholik & merupakan gereja yang paling penting di Monaco kerana di sinilah letaknya tempat persemadian kebanyakan ahli keluarga Grimaldi, pemerintah Monaco. Gereja ini siap dibina pada tahun 1875. Ia dibina di atas tapak sebuah gereja lama yang dibina pada tahun 1252 yang diruntuhkan untuk pembinaan gereja baru ini. Selepas melawat gereja tersebut, kami berempat berjalan menuju ke pusat bandar untuk bersiar-siar di samping mencari restoran McDonald’s untuk mengisi perut yang sedang lapar. Mujurlah kami berjaya menjumpai restoran tersebut. Seperti biasa, Fillet O’Fish menjadi pilihan kami kerana itu sahaja yang halal untuk dimakan. Selepas makan, kami bersiar-siar sambil melihat kedai-kedai.


Saint Nicholas Cathedral, Monaco

Apabila waktu sudah malam, kami kembali ke Port de Monaco untuk menikmati suasana malam di situ yang sememangnya memukau hati. Kami mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan. Selepas itu, kami kembali semula ke stesen keretapi Monte Carlo, Monaco untuk pulang ke Nice. Keretapi yang kami naiki bertolak pada pukul 8.40 malam. Lebih kurang 20 minit kemudian, kami tiba di stesen keretapi Nice Ville. Setibanya kami di situ, kami terus berjalan pulang ke hostel kami. Selepas mandi, solat & sebagainya, kami berempat pun melelapkan mata kepenatan.


Port de Monaco pada waktu malam, Monaco


Bersama Thani & Asrih di Stesen Keretapi Monte Carlo, Monaco

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP