SuMMeR iN THe LaND oF THe PHaRaoHS (BHG XX)

>> Sunday, July 15, 2007



Hari 13: 13 OGOS 2006

Selepas bersarapan pagi pada hari ini, kami dibawa oleh Ustaz Mat ke sebuah pusat penjualan kristal. Nama pusat tersebut ialah Asfour Cystal. Pusat penjualan kristal yang bertaraf dunia ini telah ditubuhkan pada tahun 1961 & mengeluarkan beribu-ribu barangan kristal setiap tahun. Bangunannya terletak agak jauh dari pusat bandar Kaherah. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih daripada sejam.

Sesampainya aku & Tok Wan di sini, kami menjadi rambang mata. Segala-galanya kelihatan cantik & bersinar-sinar. Harga-harganya juga agak berpatutan. Aku membeli beberapa barangan kristal yang tidak terlampau mahal untuk diri aku & juga untuk mak & abah. Hampir 70 Euro aku habiskan untuk berbelanja di sini. Kami menghabiskan masa hampir 2 jam di dalam bangunan Asfour Crystal tersebut.


Bangunan Asfour Crystal, Kaherah, Mesir



Di dalam bangunan Asfour Crystal, Kaherah, Mesir



Di dalam bangunan Asfour Crystal, Kaherah, Mesir

Setelah selesai membayar, kami meneruskan perjalanan kami ke destinasi yang seterusnya, iaitu Syajarah Maryam yang membawa maksud Pohon Maryam. Dalam sejarahnya, ketika Maryam melahirkan Nabi Isa a.s, Allah s.w.t telah memerintahkannya untuk membawa puteranya itu lari & keluar dari Palestin untuk menghindari penganiayaan dan kezaliman Raja Herod & juga celaan masyarakat Bani Israel pada waktu itu. Tempat terdekat dan aman selama pelariannya itu adalah Mesir. Dan pohon yang terdapat di sini dikatakan menjadi tempat berteduh Maryam & puteranya ketika mereka tiba di Mesir. Disebabkan itulah, pohon tersebut dikenali dengan nama Pohon Maryam (Syajarah Maryam). Pohon tersebut masih hidup & sudah mencapai usia 3 generasi. Rupa pohon tersebut kelihatan agak aneh bagi aku. Di kawasan ini jugalah Allah s.w.t dikatakan telah mengeluarkan mata air sebagai tempat minum & mandi Maryam dan Nabi Isa a.s. Telaga mata air tersebut masih wujud sehingga kini.


Syajarah Maryam, Kaherah, Mesir



Syajarah Maryam, Kaherah, Mesir



Telaga Maryam, Kaherah, Mesir

Setelah bergambar dengan Syajarah Maryam & telaganya, kami meneruskan perjalanan kami ke Masjid Saidina Hussin untuk menunaikan solat jamak Zohor & Asar. Selepas itu, kami ke Universiti Al-Azhar untuk bergambar. Terletak di kawasan Midan Al-Hussin, Universiti Al-Azhar adalah universiti yang paling terulung di Mesir & dalam dunia Islam. Ianya juga merupakan salah satu universiti yang paling berprestij di seluruh dunia. Ia terkenal sebagai universiti yang menghasilkan para ilmuan yang bukan sahaja mahir dalam ilmu kepakaran duniawi, malah turut arif dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama Islam. Universiti ini mula ditubuhkan pada tahun 970 & merupakan universiti yang ke-2 tertua di dunia selepas Universiti Al-Karaouine di Fez, Morocco.

Universiti Al-Azhar diasaskan oleh kerajaan Fatimiyyah yang berfahaman Syi’ah. Namun, ia akhirnya ditukar menjadi pusat pengajian penganut-penganut Islam yang berfahaman Sunnah. Terdapat pelbagai fakulti ditawarkan di universiti ini, daripada fakulti-fakulti yang berkaitan dengan agama Islam seperti Bahasa Arab, Syari’ah & Usuluddin sehinggalah ke fakulti-fakulti yang berkaitan dengan duniawi seperti perubatan, kejuruteraan, pertanian & banyak lagi. Kos pembelajaran & penginapan adalah percuma kepada masyarakat Islam di seluruh dunia.


Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir



Di dalam kawasan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir



Di dalam kawasan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir



Di dalam kawasan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir

Seterusnya, kami bertiga berjalan ke Khan Al-Khalili yang juga terletak di kawasan Midan Al-Hussin. Khan Al-Khalili adalah bazaar yang terbesar di Timur Tengah yang mempunyai beribu-ribu buah gerai & kedai yang menjual bermacam-macam jenis barang seperti emas, perak, tembaga, rempah-ratus, barangan kraftangan tempatan & juga barangan cenderamata. Ianya diasaskan pada tahun 1382 oleh Garkas Al-Khalili, salah seorang pembesar Sultan Barquq.

Untuk membeli-belah di Khan Al-Khalili, pelancong-pelancong perlu fasih bertutur dalam Bahasa Arab untuk proses tawar-menawar. Jikalau tidak, pelancong-pelancong mungkin akan ditipu dengan harga yang lebih mahal daripada harga sebenar. Aku & Tok Wan bernasib baik kerana kami ada bersama-sama dengan Ustaz Mat yang hebat bertutur dalam Bahasa Arab. Dialah yang membantu kami mendapatkan harga-harga barang yang murah. Aku & Tok Wan membeli beberapa barangan cenderamata untuk dibawa pulang ke Ireland, termasuklah minyak atar yang agak harum baunya. Setelah selesai membeli-belah, kami meneruskan perjalanan pulang ke Rumah Perlis. Hari sudah pun hampir senja. Kami akan meneruskan perjalanan kami esok.


Khan Al-Khalili, Kaherah, Mesir

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP