SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG IX) - iRBiD

>> Tuesday, August 03, 2010



Hari 4: 20 MEI 2009

Pada hari ini, seorang lagi pelajar Perubatan yang sama tahun dengan Hariz, Ideris, Hadi, Dziya & yang lain-lain di JUST mengambil alih tugas untuk membawa aku berjalan-jalan. Namanya ialah Rozaili. Mereka yang lain masing-masing perlu menghadiri kuliah & awal-awal pagi lagi sudah ke universiti. Rozaili tiba di apartmen Hariz agak lewat daripada waktu yang telah dijanjikan, iaitu 9.00 pagi. Lebih kurang pukul 10.30 pagi baru dia muncul di hadapan pintu apartmen. Aku pada waktu itu sudah lama bersiap. Setibanya sahaja dia di apartmen tersebut, kami pun berkenalan. Rozaili ini juga adalah pembaca blog aku. Hahaha. Kami berdua kemudiannya terus bergerak ke Syari’ Jami’ah untuk menaiki teksi untuk ke pusat bandar Irbid.


Syari’ Jami’ah (University Street), Irbid, Jordan

Irbid terletak di bahagian barat laut negara Jordan, berhampiran sempadan negara Jordan, Syria & Israel. Ia adalah bandar kedua terbesar di negara ini, selepas Amman, dengan jumlah penduduk seramai 300,000 orang. Irbid terkenal di Jordan dengan jolokan 'bandar universiti' kerana terdapat banyak universiti di sini. Dua universiti yang paling utama ialah Jordan University Science & Technology (JUST) & Yarmouk University. Terdapat ramai pelajar Malaysia yang belajar di kedua-dua universiti tersebut. Pelajar-pelajar Malaysia yang mengambil kursus perubatan belajar JUST. Sementara pelajar-pelajar Malaysia di Yarmouk University pula kebanyakannya mengambil bidang keagamaan.


Kedudukan Irbid dalam peta Jordan

Sebelum kedatangan Islam ke Irbid, nama lamanya ialah Arabella. Ia merupakan pusat penghasilan wain yang terkenal pada masa itu. Selepas kedatangan Islam, barulah namanya ditukar menjadi Irbid. Sewaktu era pemerintahan Islam, perusahaan wain telah dihentikan. Ianya digantikan dengan perusahaan penghasilan minyak zaitun.

Setibanya aku & Rozaili di pusat bandar Irbid, dia membawa aku ke sebuah kedai makan yang menurutnya kedai makan yang amat popular di kalangan pelajar Malaysia di Irbid. Tidak sah lawatan seseorang warganegara Malaysia ke Irbid jikalau tidak berkunjung ke kedai makan itu. Terus terang aku katakan, kawasan di sekitar kedai makan itu amatlah kotor sekali. Risau pula aku jikalau terkena cirit-birit. Pengalaman aku sewaktu di Kaherah, Mesir 3 tahun lalu banyak mengajar aku agar lebih berhati-hati. Aku pada mulanya agak berat hati untuk makan di situ. Tetapi, terasa bersalah pula jikalau aku menolak pelawaaan Rozaili. Lagipun, dia yang hendak membelanja aku. Hahaha. Harap-harapnya kesihatan aku tidak akan terganggu. Selepas makan, kami pun beredar untuk berjalan-jalan di sekitar pusat bandar Irbid ini. Pada aku, tiada apa-apa yang menarik di sini. Sekadar bandar biasa sahaja. Disebabkan itulah aku tidak banyak bergambar di sini.

Rozaili membawa aku singgah di sebuah pasar borong. Menurutnya, pasar borong itu adalah tempat tumpuan utama pelajar-pelajar Malaysia di Irbid kerana terdapatnya banyak jenis barang-barang tiruan daripada pelbagai jenama yang terkenal di seluruh dunia. Kualitinya pun hampir sama dengan yang asli. Aku menjadi rambang mata & tidak tahu hendak membeli apa. Terlalu banyak barang dijual. Hahaha.


Pasar Borong di Irbid, Jordan

Apabila sudah tiada lagi tempat yang hendak dilawati di pusat bandar Irbid, Rozaili membawa aku ke kampus universitinya, iaitu Jordan University of Science & Technology (JUST). Untuk ke sana, kami menaiki bas mini. Jauh juga lokasi kampus universiti mereka ini. Lebih kurang 30 minit menaiki bas mini dari pusat bandar Irbid, barulah kami tiba di kampus itu. Rozaili kemudiannya membawa aku mengelilingi kampus universitinya itu. Cantik & moden juga rupanya kampus universiti itu. Senibina bangunan-bangunan yang terdapat di dalamya begitu unik sekali & belum pernah aku lihat sebelum ini. Menurut Rozaili, JUST & sebuah lagi universiti di Amman, iaitu University of Jordan adalah 2 buah universiti yang terbaik di Jordan dalam bidang perubatan & kejuruteraan. JUST yang mula dibuka pada tahun 1986 kini mempunyai 11 buah fakulti & mempunyai seramai 20,000 orang mahasiswa. Tidak kurang hebatnya.


Pintu masuk utama Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


Pintu masuk utama Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


Pintu masuk utama Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan

Selepas berjalan-jalan di kawasan utama kampus, aku dibawa pula ke bangunan fakulti Perubatan yang terletak agak jauh daripada bangunan fakulti-fakulti lain. Kami melalui masjid universiti itu yang cantik senibinanya. Sempat aku bergambar di situ. Kemudian, kami pun meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke bangunan fakulti perubatan, tempat mereka semua ini belajar. Bangunan tersebut terletak berdekatan dengan King Abdullah University Hospital, yang bakal menjadi tempat mereka ini menjalani latihan klinikal sewaktu berada di Tahun Keempat & Kelima nanti. Hospital Universiti itu adalah hospital yang terbesar di bahagian utara negara Jordan. Bangunan hospital setinggi 15 tingkat itu mula dirasmikan pada tahun 2002. Baru lagi sebenarnya.


Masjid Universiti Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


Bangunan Fakulti Perubatan di kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


King Abdullah University Hospital di Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST), Irbid, Jordan


King Abdullah University Hospital di Kampus Jordan University of Science & Technology (JUST) , Irbid, Jordan

Selepas berlegar-legar di kawasan bangunan fakulti Perubatan, Rozaili kemudiannya menelefon Hariz untuk bertanya tentang kereta yang sepatutnya disewa pada petang nanti. Menurut kata Hariz, dia, Munir & Dziya akan ke syarikat sewa kereta sebentar lagi & akan datang menjemput kami di JUST dengan menaiki kereta tersebut pada pukul 5.00 petang nanti. Pada waktu itu, jam baru menunjukkan pukul 4.00 petang. Untuk mengisi masa yang ada, aku & Rozaili berjalan ke masjid universiti untuk menunaikan solat sambil berehat-rehat.

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang, kelibat mereka bertiga masih belum kelihatan. Akhirnya, lebih kurang pukul 5.30 petang, barulah kami berdua dapat melihat batang hidung Hariz & Munir di masjid itu. Kereta yang dibawa diletakkan di luar. Dziya tidak ikut sekali kerana ada hal lain. Kereta yang disewa itu diletakkan atas nama Dziya kerana dia seorang sahaja yang mempunyai passport pada ketika itu. Passport mereka yang lain berada di kedutaan Arab Saudi untuk urusan visa. Mereka akan ke Mekah untuk menunaikan umrah pada bulan hadapan.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG VIII) - aJLuN

>> Monday, August 02, 2010



Setelah menghabiskan masa lebih kurang 2 jam di dalam runtuhan kota Jerash yang panas lagi kering itu, aku, Hadi & Dziya pun akhirnya berlalu keluar dari kota itu. Kami seterusnya mencari-cari kalau ada masjid di sekitar kawasan itu supaya kami dapat menunaikan solat Zohor. Akan tetapi, pencarian kami menemui kegagalan. Tiada satu masjid pun yang ada di situ. Surau yang terdekat pun terletak di stesen bas Jerash. Kami lantas terus ke sana dengan menaiki teksi. Sesampainya kami di stesen bas yang dimaksudkan, kami pun menunaikan solat Zohor di surau yang ada di situ.

Selesai sahaja bersolat, kami meneruskan perjalanan kami ke destinasi kedua kami pada hari ini, iaiti Ajlun. Kami bertanya kepada orang-orang di kawasan stesen bas Jerash jikalau ada perkhidmatan bas ke Ajlun dari situ. Menurut kata mereka, tiada perkhidmatan bas ke Ajlun dari Jerash. Yang ada cuma perkhidmatan teksi. Disebabkan tiada pilihan, kami pun menaiki teksi ke sana. Kami terpaksa berunding-runding dengan pemandu teksi yang kami naiki untuk mendapatkan harga tambang yang agak berpatutan. Beginilah yang selalu dilakukan oleh orang-orang tempatan & pelajar-pelajar Malaysia yang menaiki teksi di Jordan. Seringkali terpaksa berunding-runding dengan pemandu teksi untuk mendapatkan harga tambang yang semurah mungkin kerana ada antara teksi-teksi di sini tidak menggunakan meter. Mujurlah ada Hadi & Dziya yang fasih berbahasa Arab.

Perjalanan dari Jerash ke Ajlun memakan masa agak lama. Hampir sejam lamanya. Setibanya kami di Ajlun, kami pun terus dibawa ke lokasi tarikan utama yang terdapat di sini, iaitu Ajlun Castle. Kami membeli tiket terlebih dahulu. Kemudian, barulah kami masuk untuk melihat istana lama tersebut. Pemandu teksi itu menunggu kami di tempat letak kereta sehingga kami puas melihat-lihat istana tersebut. Dia akan membawa kami pulang ke Irbid semula seperti yang telah dirundingkan sewaktu di Jerash tadi.


Kedudukan Ajlun dalam peta Jordan

Ajlun Castle adalah sebuah istana lama yang terletak di atas sebuah bukit yang bernama Jabal Auf. Istana yang juga berfungsi sebagai kubu pertahanan ini dibina oleh Izzuddin Usama, anak saudara Salahuddin al-Ayyubi yang juga merupakan anggota tenteranya. Ia dibina sekitar tahun 1185. Ajlun Castle adalah antara beberapa buah kubu pertahanan yang dibina untuk melindungi kerajaan Ayyubiah daripada serangan tentera Salib dari Karak di bahagian selatan & dari Bisan di bahagian barat. Kubu pertahanan ini mulai hilang kepentingannya selepas Karak berjaya dirampas oleh tentera Salahuddin al-Ayyubi daripada tentera Salib pada tahun 1187. Selepas kematian Izzuddin Usama, Ajlun Castle diperbesarkan lagi oleh gabenor Mamluk yang bernama Aibak bin Abdullah antara tahun 1214 hingga 1215.

Ajlun Castle ini kemudiannya diserang oleh tentera Mongol pada tahun 1260 & sebahagian besar daripadanya termusnah. Namun, selepas kerajaan Mamluk berjaya menewaskan tentera Mongol dalam Perang Ain Jalut, kubu tersebut diperbaiki semula. Ianya terus digunakan sehingga era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah. Dua kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 1837 & 1927 telah merosakkan binaan kubu ini. Baru-baru ini, kerajaan Jordan telah mula melakukan kerja-kerja membaiki semula istana & kubu lama yang bersejarah ini.

Kami bertiga sebenarnya agak kebosanan di Ajlun Castle ini kerana senibinanya tidaklah begitu menarik perhatian kami & ianya tidaklah segah mana. Pemandangan yang dapat dilihat dari bahagian atasnya pun biasa-biasa sahaja bagi kami. Oleh itu, kami cuma menghabiskan masa beberapa minit sahaja di sini. Selepas itu, kami pun kembali semula ke teksi yang sedang menunggu kami di bawah. Setelah mendapatkan teksi itu, kami bertiga pun dibawa pulang ke Irbid.


Ajlun Castle di puncak Jabal Auf, Jordan


Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Bersama Dziya di Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Ruang dalam Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Bersama Dziya di bahagian atas Ajlun Castle, Ajlun, Jordan


Di bahagian atas Ajlun Castle, Ajlun, Jordan

Apabila sudah tiba di Irbid, kami pun membayar tambang kepada pemandu teksi itu. Kami rupa-rupanya telah tersalah faham sewaktu perbincangan berkenaan tentang harga tambang ketika di Jerash tadi. Kami sendiri tidak pasti sama ada kami yang tersalah dengar, atau pemandu teksi itu yang tersalah cakap. Kami diminta membayar harga tambang yang lebih mahal pula dari harga yang telah dibincangkan. Disebabkan malas untuk bergaduh-gaduh, kami pun membayar sahaja harga tambang seperti yang dimintanya. Pandai benar dia memutar belit. Wallahu 'alam.

Selepas itu, kami bertiga singgah di sebuah gerai makan yang terletak tidak jauh dari flat mereka untuk makan tengah hari. Kami makan sambil berbual mengenai pelbagai perkara. Selesai sahaja makan, kami pun kembali ke flat. Aku & Hadi kembali ke apartmen kami. Dziya pula kembali ke apartmennya. Sesampainya di apartmen, aku pun terus masuk ke dalam bilik Hariz yang pada waktu sedang mengulangkaji pelajarannya. Peperiksaan mereka tidak lama lagi. Aku terasa seperti menyusahkan mereka pula. Hariz kemudiannya memberikan aku kad SIM Jordan seperti yang telah aku pesan kepadanya pada awal pagi tadi. Aku lalu mengucapkan terima kasih kepadanya. Kemudian, aku pun memasukkan kad SIM itu ke dalam telefon bimbit aku.

Selepas solat Asar, aku melelapkan mata buat seketika sementara menunggu masuknya waktu Maghrib. Beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib, Hariz mengajak aku ke masjid untuk solat berjemaah. Dia juga berkata yang Munir, seorang lagi rakan cyber aku di Jordan yang merupakan pelajar Perubatan Tahun Keempat di JUST ingin berjumpa dengan aku di masjid untuk membincangkan tentang hal menyewa kereta untuk ke destinasi-destinasi lain di Jordan. Masjid yang dimaksudkan ialah masjid kepunyaan Yarmouk University yang terletak bersebelahan Syari’ Jami’ah.

Selepas selesai solat Maghrib, sementara menunggu Munir yang belum muncul-muncul lagi, aku sempat berkenalan dengan beberapa orang pelajar Malaysia di Irbid. Ada yang belajar di JUST. Ada juga yang belajar di Yarmouk University. Ramai kenalan baru yang aku perolehi. Mereka semua ternyata peramah-peramah belaka. Beberapa ketika kemudian, muncul juga Munir. Dia & Hariz lalu mengajak aku makan malam di sebuah restoran berdekatan. Di restoran itulah kami membincangkan tentang hal menyewa kereta. Menurutnya, dia akan ke syarikat sewa kereta itu pada petang esok untuk menyewa sebuah kereta bagi pihak aku. Kereta itu akan disewa untuk jangka masa 24 jam seperti yang telah dirancang oleh kami sewaktu ber’chatting’ di Yahoo Messenger beberapa minggu lalu. Dan menurutnya juga, dia akan membawa aku ke Umm Qays pada petang esok dengan menaiki kereta itu.

Selepas selesai makan & perbincangan, kami pun pulang ke flat masing-masing. Aku mengikut Hariz pulang ke flatnya. Selepas solat Isyak, aku pun berehat-rehat di dalam bilik Hariz sambil dikunjungi oleh beberapa orang rakannya. Ramai juga kenalan baru yang aku dapat di Irbid ini. Hendak mengingati nama-nama mereka sememangnya agak susah kerana aku tidak begitu mudah untuk mengingati nama-nama orang yang baru dikenali. Hehehe. Dziya juga turut singgah di bilik Hariz untuk mengambil gambar-gambar di Jerash & Ajlun daripada kamera aku. Apabila malam sudah larut, aku pun melelapkan mata, membiarkan Hariz mengulangkaji pelajaran bersendirian.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG VII) - JeRaSH

>> Sunday, August 01, 2010



Hari 3: 19 MEI 2009

Pada hari ini, Hadi pula ditugaskan untuk membawa aku jalan-jalan kerana di dalam jadualnya, dia tidak perlu menghadiri apa-apa kuliah pada hari ini, sementara Hariz pula awal-awal pagi lagi sudah ke universiti untuk menghadirkan diri dalam kuliah-kuliahnya. Sebelum Hariz keluar dari apartmennya, aku meminta pertolongannya untuk membelikan aku kad SIM Jordan untuk aku gunakan sepanjang berkelana di bumi Syam ini. Tanpa perhubungan melalui telefon, susah untuk aku 'survive' di sini.

Hadi membawa aku ke 2 buah lokasi tarikan pelancong yang terletak di bahagian utara negara Jordan, tidak jauh dari Irbid, iaitu Jerash & Ajlun. Sewaktu sedang bersiap-siap untuk keluar, Hadi memberitahu aku yang ada seorang lagi rakannya yang hendak mengikut kami bersama. Dia tinggal di apartmen yang sama dengan Poey & Ibrahim, iaitu di apartmen bawah yang aku & Hariz singgah malam semalam. Apabila kami berdua sudah siap untuk bertolak, Hadi pun turun ke apartmen tersebut untuk memanggil rakannya itu keluar. Sementara aku pula tunggu di bahagian luar flat. Seketika kemudian, Hadi datang kepada aku & berkata yang rakannya itu belum habis bersiap. Menurutnya, dia akan jumpa kami di sebuah restoran di Syari’ Jami’ah nanti. Aku & Hadi kemudiannya pun berjalan menuju ke restoran yang dimaksudkan itu.

Sedang kami berdua menikmati sarapan pagi kami di restoran itu, datanglah orang yang hendak mengikut kami berdua ke Jerash & Ajlun itu. Dia memperkenalkan dirinya kepada aku sebagai Dziya. Dia juga adalah pelajar Perubatan Tahun Pertama di JUST, sama seperti Hadi, Hariz & yang lain-lain. Selepas memperkenalkan diri masing-masing, kami pun duduk makan bersama sambil berbual-bual. Selesai sahaja makan, kami bertiga menaiki teksi menuju ke stesen bas Irbid. Dari stesen bas tersebut, kami menaiki bas ke Jerash. Perjalanan ke sana memakan masa lebih kurang 45 minit. Agak lama juga.

Setelah 45 minit berada di dalam bas, kami akhirnya tiba di pintu masuk Jerash. Kami lalu turun dari bas tersebut & melangkah kaki ke pintu masuknya itu untuk membeli tiket. Setelah membeli tiket, kami bertiga pun memulakan penjelajahan kami di kota lama Jerash itu. Hadi menjadi penunjuk arah dengan menggunakan peta kota Jerash yang terdapat dalam buku panduan 'Middle East' terbitan Lonely Planet kepunyaan aku.

Kawasan Jerash sebenarnya telah menjadi penempatan manusia sejak 6,500 tahun dahulu lagi. Ia kemudiannya menjadi sebahagian daripada kerajaan Greek. Kota ini hanya mula membangun sewaktu kerajaan Greek berada di bawah pimpinan Alexander the Great. Seorang ahli matematik berbangsa Greek yang bernama Nicomachus dikatakan pernah tinggal di kota ini. Beliau amat masyhur di seluruh dunia kerana telah mencipta konsep Arithmatik. Beberapa lama kemudian, iaitu pada tahun 63 Masihi, Empayar Rom telah berjaya menawan Jerash.


Kedudukan kota Jerash dalam peta Jordan

Di bawah pemerintahan Empayar Rom, kota Jerash mencapai zaman kegemilangannya & dijadikan salah satu daripada 10 buah Dekopolis yang terletak di bumi Syam ini. Namun, pada tahun 614M, kota ini ditawan oleh Empayar Parsi & popularitinya kian menurun selepas itu. Walau bagaimanapun, zaman kegemilangannya berjaya dikembalikan semula apabila ia berada di bawah kerajaan Bani Umayyah mulai tahun 636M. Kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 749M telah merosotkan kembali popularitinya akibat robohnya banyak binaan & terkorbannya ramai nyawa. Ini telah menyebabkan penduduk di Jerash semakin berkurangan dari sehari ke sehari kerana ramai yang telah berhijrah ke kota lain. Selepas hancurnya kerajaan Bani Umayyah pada tahun 750M, kerajaan Bani Abbasiyah pula mengambil alih pemerintahan Jerash. Seterusnya, kota ini ditakluk pula oleh kuasa-kuasa lain seperti tentera Salib, Ayyubiah, Mamluk & Turki Uthmaniyah.

Selepas ramai yang telah berhijrah keluar, kota Jerash ini akhirnya ditinggalkan begitu sahaja & seterusnya ditimbuni oleh pasir tiupan angin sehinggalah ianya dijumpai semula secara tidak sengaja oleh seorang pelancong Jerman pada tahun 1806. Kerja-kerja membaik pulih kawasan ini hanya dimulakan pada tahun 1920. Jerash kini merupakan runtuhan kota binaan Rom di luar Itali yang paling elok sekali keadaannya walaupun setelah beratus-ratus tahun lamanya masa berlalu. MasyaAllah. Aku berasa bangga kerana dapat memijakkan kaki di sini. Menurut statistik, Jerash adalah tempat kedua yang paling kerap dikunjungi pelancong di bumi Jordan, selepas Petra.

Antara binaan-binaan penting yang terdapat di dalam kota Jerash ialah Hippodrome, South Gate, Temple of Zeus, Oval Plaza (Forum), Cardo Maximus, Colonnaded Street, Nymphaeum, Temple of Artemis, North Theatre, Church of Bishop Isaiah, Umayyad Houses, South Decumanus, South Theatre, Hadrian’s Arch & North Gate. Hippodrome adalah gelanggang perlumbaan kereta berkuda atau 'chariot' yang boleh memuatkan seramai 16,000 penonton dalam suatu masa. Hadrian’s Arch dibina pada tahun 129M sebagai memberi penghormatan atas kunjungan Maharaja Hadrian ke sini. Temple of Zeus adalah kuil lama yang dibina pada tahun 162M. Oval Plaza (Forum) adalah tarikan yang paling utama di kota Jerash ini. Ianya adalah sebuah dataran berbentuk bujur di mana terdirinya 56 batang tiang yang mengelilinginya.


Peta runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Hippodrome, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di South Gate, runtuhan kota Jerash, Jordan


Temple of Zeus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Oval Plaza (Forum), runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Oval Plaza (Forum), runtuhan kota Jerash, Jordan

Cardo Maximus & Colonnaded Street pula adalah 2 batang jalan sambung-menyambung yang terbentang sejauh 800 meter dari Forum ke North Gate di mana terdirinya tiang-tiang di kiri & kanannya. Panorama yang disaksikan di sepanjang jalan ini tersangatlah mengagumkan. Seolah-olah seperti berada di zaman Rom dahulu kala. North Theatre adalah sebuah bangunan berbentuk stadium yang dibina pada tahun 165M & sedang dalam proses pembaikan. South Theare juga dibina pada kurun yang sama dengan pembinaan North Theatre. Ia boleh memuatkan seramai 5,000 orang penonton dalam suatu masa. Dari sini, aku dapat melihat pemandangan keseluruhan Oval Plaza (Forum) dengan jelas.


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Cardo Maximus, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Colonnaded Street, runtuhan kota Jerash, Jordan


Colonnaded Street, runtuhan kota Jerash, Jordan


Colonnaded Street, runtuhan kota Jerash, Jordan


Temple of Artemis, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Dziya di Nymphaeum, runtuhan kota Jerash, Jordan


North Theare, runtuhan kota Jerash, Jordan


Bersama Hadi di Church of Bishop Isaiah, runtuhan kota Jerash, Jordan


Church of Bishop Isaiah, runtuhan kota Jerash, Jordan


Lukisan mozek pada lantai Church of Bishop Isaiah, runtuhan kota Jerash, Jordan


Di runtuhan kota Jerash, Jordan


Di runtuhan kota Jerash, Jordan


South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan


South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan


Panorama Oval Plaza (Forum) dari South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan


Panorama Oval Plaza (Forum) dari South Theatre, runtuhan kota Jerash, Jordan

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP