MoRoCCo: PeRMaTa iSLaM Di uFuK BaRaT (BHG VII)

>> Thursday, July 30, 2009



Selepas puas bergambar di sekitar Place Muhammad V, aku meneruskan perjalanan ke Old Medina pula yang merupakan kota lama di bandar Casablanca yang dipenuhi dengan kedai-kedai yang menjual beraneka jenis barangan & juga rumah-rumah lama. Sewaktu permulaan abad ke-20, kawasan ini merupakan tumpuan utama penduduk di bandar ini. Ianya dikelilingi oleh tembok besar yang mempunyai 4 pintu masuk. Hanya 2 sahaja yang kekal sehingga ke hari ini, iaitu Bab Marrakech & Bab al-Jadid. Di bahagian luar tembok ini terdapat juga sederetan gerai-gerai yang menjual bermacam-macam jenis barang.

Aku masuk ke dalam Old Medina ini untuk merasai suasana di dalamnya yang sibuk dengan kegiatan menjual beli barang. Gaya aku sebagai seorang pelancong menarik perhatian ramai orang termasuk mereka yang menawarkan diri untuk menjadi pemandu pelancong untuk membawa aku menyusuri kawasan Old Medina yang luas ini. Kawasan ini sememangnya amat luas & sesiapa sahaja yang tidak mempunyai peta mudah sesat di dalamnya. Mujurlah aku mempunyai peta yang terkandung di dalam buku panduan aku. Oleh itu, aku menolak segala bantuan yang ditawarkan kepada aku kerana aku yakin mereka akhirnya akan meminta wang sebagai balasan. Aku tidak akan terpedaya lagi.


Old Medina, Casablanca, Morocco


Old Medina, Casablanca, Morocco

Dengan menggunakan peta di dalam buku panduan, aku berjaya menyusuri Old Medina yang sibuk & luas itu & aku akhirnya tiba di kawasan pelabuhan. Seperti yang telah diperkatakan, pelabuhan Casablanca ini adalah antara pelabuhan yang terbesar di dunia. Walau bagaimanapun, ia bukanlah pelabuhan semulajadi, tetapi sebuah pelabuhan buatan. Keluasannya menjangkau 1.8 km persegi.


Pelabuhan Casablanca, Morocco

Aku hanya melalui bahagian tepi kawasan pelabuhan tersebut untuk menuju ke destinasi aku yang seterusnya, iaitu Hassan II Mosque. Masjid yang terletak di pinggiran Lautan Atlantik ini adalah masjid yang terbesar di Morocco & ketiga terbesar di dunia selepas Masjidil Haram di Mekah & Masjid Nabawi di Madinah. Menara azannya adalah menara azan yang tertinggi di dunia, dengan ketinggian 210 meter. Senibina masjid yang berunsurkan senibina Morocco ini direka oleh seorang arkitek dari Perancis yang bernama Michel Pinseau. Usaha pembinaannya juga turut dilakukan oleh syarikat pembinaan dari Perancis yang bernama Bouygues.

Masjid yang boleh memuatkan seramai 25,000 jemaah ini mula dibina pada tahun 1986 & siap sepenuhnya pada tahun 1993. Ianya dibina di atas tapak bahagian laut yang ditambak & separuh daripada keluasan masjid ini berada di atas air Lautan Atlantik. Ianya dibina sebegitu atas kehendak Raja Morocco sendiri, iaitu Hassan II yang mengatakan baginda mahu membina masjid tersebut di atas air kerana terdapat satu petikan ayat di dalam Al-Quran yang menyebut bahawa ‘singgahsana Allah terletak di atas air’. Aku sendiri tidak pasti dari surah mana ayat tersebut dipetik. Walau apapun, keindahan senibina masjid ini membuatkan aku kaku seketika. Ianya adalah antara masjid yang paling cantik yang pernah aku kunjungi seumur hidup aku. Subhanallah. Senibina Morocco sememangnya antara senibina Islam yang sangat mengagumkan. Kecantikan senibinanya mengingatkan aku kepada kecantikan senibina Alhambra di Sepanyol yang turut berunsurkan senibina Morocco. Hassan II Mosque ini adalah satu daripada 2 buah masjid di Morocco di mana orang-orang bukan Islam dibenarkan masuk ke dalamnya. Sebuah lagi masjid terletak di sebuah bandar yang bernama Tin Mal.


Sampah sarap yang mencemarkan pemandangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco (Masjid ke-3 terbesar di dunia)


Menara azan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco (Menara azan tertinggi di dunia)


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Hassan II Mosque di pinggiran Lautan Atlantik, Casablanca, Morocco


Perkarangan Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco


Ruang dalaman Hassan II Mosque, Casablanca, Morocco

Selepas menunaikan solat Zuhur & bergambar di dalam & di kawasan luar Hassan II Mosque, aku berjalan kembali ke hostel aku. Sebelum sampai di hostel, aku singgah di restoran Kentucky Fried Chicken untuk makan petang. Lapar pula rasanya. Setelah itu, aku pun mengatur langkah menuju ke hostel untuk mengemas barang-barang aku. Pada malam ini, aku akan ke destinasi ketiga aku di Morocco, iaitu Rabat.

Setelah selesai berkemas & sebagainya, aku pun meninggalkan hostel yang aku tumpang untuk semalam itu. Aku terus mencari teksi untuk ke stesen keretapi yang terletak agak jauh dari pusat bandar. Setibanya aku di stesen keretapi, aku berehat-rehat dahulu sementara menunggu ketibaan keretapi. Keretapi yang dijangka akan tiba pada pukul 8.00 malam sampai tepat pada waktunya. Aku pun terus masuk ke dalamnya & beberapa minit kemudian, ianya pun bergerak meninggalkan Casablanca. Perjalanan ke Rabat mengambil masa sejam sahaja. Jarak antara Casablanca & Rabat tidaklah sejauh mana.

Lebih kurang pukul 9.00 malam, aku pun tiba di stesen keretapi Rabat Ville. Sesampainya aku di stesen tersebut, aku terus keluar mencari hostel yang telah pun aku rujuk di dalam buku panduan aku. Lokasinya terletak amat berdekatan dengan stesen keretapi tersebut. Aku hanya mengambil masa 5 minit sahaja untuk ke hostel itu. Mujurlah terdapat kekosongan. Selepas mendaftar masuk, aku pun terus masuk ke dalam bilik aku untuk berehat-rehat & bersolat. Selepas selesai menunaikan solat, aku keluar untuk menikmati angin malam di Rabat. Aku tidak berjalan sejauh mana. Hanya kawasan di hadapan hostel tersebut sahaja. Lagipun, malam sudah pun larut.

Sedang aku duduk di atas sebuah kerusi di hadapan hostel, tiba-tiba datang seorang lelaki berusia 20-an ingin berbual dengan aku. Dia bertutur dalam Bahasa Arab pada mulanya. Aku kemudiannya pun mengatakan yang aku tidak fasih berbahasa Arab. Kemudian, dia bertanya sama ada aku boleh berbahasa Perancis. Aku sekali lagi terpaksa mengecewakannya. Huhuhu. Sedih pula rasanya. Orang-orang Morocco ini sebenarnya peramah, tetapi malangnya ramai antara mereka tidak boleh berbahasa Inggeris & aku pula tidak tahu berbahasa Arab ataupun Perancis. Pemuda itu kemudiannya hanya diam sahaja. Aku pula yang berasa kekok. Lalu, aku pun terus meminta diri untuk kembali ke hostel. Setibanya di hostel, aku pun terus melelapkan mata.

Bersambung..

p/s: Esok pagi aku akan bertolak ke KL dengan keretapi dari Parit Buntar. Aku akan lepak kat rumah member aku, Fyzal kat Puchong utk 1 malam. Pagi esoknya, iaitu hari Sabtu, aku, Fyzal & 7 lagi member2 kiteorg akan berlepas ke KK, Sabah utk reunion kiteorg. Reunion bebudak rumah Portobello, rumah havoc kat Dublin yg pernah aku tinggal utk tempoh setahun tahun 2005 dulu. Sengaje je buat reunion tu. Dah lame tak bergurau senda, bertepuk bertampar, bersepak berterajang sama2. Hahahahah. Kiteorg 9 org akan lepak kat KK utk 4 hari aje. On 4 August, kiteorg akan balik semule ke semenanjung. Doakan kiteorg selamat pergi & selamat balik. Risau laa pulak dgn kes H1N1 yg makin menular2 ni. Harap2 tak kena laa.. Mintak simpang.

Utk sambungan travelogue Morocco ni, tunggu sampai aku balik dari reunion tu laaa eh.. InsyaAllah aku akan sambung lepas tu.. Banyak lagi nak diceritakan ni.. :)


Read more...

MoRoCCo: PeRMaTa iSLaM Di uFuK BaRaT (BHG VI)

>> Tuesday, July 28, 2009



Hari 3: 6 DISEMBER 2007

Selepas mandi & bersiap-siap, aku pun keluar untuk menimba pengalaman baru di bandar kedua di Morocco yang aku jejaki, iaitu Casablanca. Bandar Casablanca terletak di pinggir Lautan Atlantik. Ianya adalah bandar yang terbesar di Morocco. Ia juga merupakan bandar yang terbesar di rantau al-Maghreb & juga bandar ke-6 terbesar di benua Afrika. Penduduknya berjumlah 3,600,000 orang. Casablanca memainkan peranan sebagai tulang belakang kepada ekonomi Morocco kerana di sinilah segala kegiatan urus niaga & perindustrian tertumpu. Ia juga adalah pelabuhan utama negara ini & merupakan pelabuhan yang terbesar di Afrika Utara.


Peta kedudukan Casablanca di dalam Morocco

Casablanca mempunyai iklim Mediterranean beserta subtropika. Iklimnya juga banyak dipengaruhi oleh arus sejuk Lautan Atlantik yang menyebabkan suhunya pada Musim Panas & Musim Sejuk tidak terlampau ekstrim. Pada Musim Sejuk, purata suhunya ialah 12 darjah celcius. Pada Musim Panas pula, purata suhunya pula ialah 23 darjah celcius.

Menurut sejarah, kawasan Casablanca ini telah mula diduduki oleh orang-orang bangsa Berber sejak kurun ke-7 lagi. Nama asalnya adalah Anfa & sebuah kerajaan yang bebas telah wujud di sini. Kemudiannya, pada awal kurun ke-11, ianya berada di bawah pemerintahan kerajaan Dinasti Almoravid. Seterusnya, Casablanca jatuh pula ke bawah jajahan kerajaan Dinasti Merinid mulai kurun ke-14 & mula menjadi pelabuhan yang penting pada waktu itu. Selepas itu, pada kurun ke-15, bandar ini sekali lagi bebas daripada mana-mana kerajaan & merupakan bandar pelabuhan yang termasyhur di sekitar rantau tersebut. Kemasyhurannya ini menyebabkan kedatangan Portugis untuk menawannya pada tahun 1468. Portugis telah menghancurkan bandar ini pada tahun tersebut & sisa-sisa kehancuran bandar ini kemudiannya digunakan untuk membina kubu ketenteraan di sini pada tahun 1515. Namanya kemudian ditukar menjadi ‘Casa Branca’ yang bermaksud rumah putih dalam Bahasa Portugis.

Dari tahun 1580 hingga 1640, Casa Branca jatuh pula ke tangan Sepanyol. Namanya ditukar menjadi Casablanca & namanya kekal begitu sehingga ke hari ini. Pada tahun 1640, Casablanca sekali lagi menjadi tanah jajahan Portugis. Dan akhirnya, pada tahun 1755, kedua-dua kuasa penjajah tersebut meninggalkan bumi Casablanca ini akibat kejadian gempa bumi dahsyat yang berlaku pada tahun tersebut yang mengakibatkan kerosakan teruk di seluruh bandar ini. Bandar Casablanca ini kemudiannya dibina semula selepas kejadian gempa bumi itu oleh Sultan Morocco yang bernama Muhammad ibn Abdullah yang memerintah sekitar akhir kurun ke-18. Dia adalah anak kepada Moulay Ismail ibn Sharif & merupakan sekutu kuat Presiden Amerika Syarikat pada waktu itu, iaitu George Washington. Mulai kurun ke-19, populasi penduduk di Casablanca semakin bertambah & fungsinya sebagai kawasan perdagangan & perindustrian semakin meningkat. Pada tahun 1910, Casablanca secara rasmi jatuh pula ke tangan Perancis.

Sewaktu Perang Dunia Kedua, Casablanca turut merasai serpihan daripada perang tersebut. Sebuah filem romantik tahun 1942 yang bertajuk ‘Casablanca’ menceritakan tentang suasana politik di Casablanca sewaktu permulaan Perang Dunia Kedua selain daripada isu percintaan. Filem yang amat popular ini telah memenangi 3 kategori termasuk Filem Terbaik dalam anugerah Academy Awards. Selepas Perang Dunia Kedua, bandar Casablanca ini kemudiannya menjadi medan utama rusuhan anti-Perancis di Morocco. Satu kejadian pengeboman telah berlaku di sini sewaktu perayaan Krismas pada tahun 1953 yang telah menyebabkan banyak kecederaan & kematian. Pada tahun 1956, Casablanca akhirnya bebas daripada jajahan Perancis & berada di bawah pentadbiran kerajaan Morocco yang turut merdeka pada tahun itu.


Filem Casablanca

Beberapa kejadian pengeboman berani mati telah berlaku di Casablanca pada bulan Mei 2003 yang menyebabkan 33 orang awam terkorban & lebih daripada 100 orang cedera parah. Kejadian ini dikatakan mempunyai hubung kait dengan pergerakan Al-Qaeda. Wallahu ‘alam. Beberapa kejadian pengeboman sekali lagi berlaku pada awal tahun 2007. Salah satunya berlaku di sebuah kafe internet pada bulan Mac tahun tersebut. Pada bulan April tahun yang sama, berlaku lagi kejadian pengeboman berdekatan dengan kedutaan Amerika Syarikat yang menyebabkan bangunan kedutaan tersebut terpaksa ditutup untuk sebulan. Mujurlah tiada apa-apa kejadian buruk berlaku sewaktu aku di sana. Alhamdulillah.

Tempat pertama di Casablanca yang aku kunjungi ialah Place des Nations Unies, sebuah kawasan di tengah-tengah bandar Casablanca yang sibuk dengan kenderaan & dikelilingi oleh bangunan-bangunan yang mempunyai banyak signifikasi & sejarah. Pada awal kurun ke-20, kawasan ini hanyalah merupakan sebuah dataran yang menjadi tempat tumpuan penglipurlara & pemain ular. Kawasan ini mulai dibangunkan oleh Perancis pada tahun 1920 & dinamakan Place de France sebelum ditukar menjadi Place des Nations Unies. Di sekeliling kawasan ini terdapat banyak kedai-kedai cenderamata, restoran & juga hotel-hotel ternama. Antara hotel yang terdapat di sini ialah Hyatt Regency Hotel yang menjadi lokasi penggambaran filem Casablanca. Di bahagian timur laut kawasan ini terdapat sebuah menara jam yang mempunyai senibina yang agak menarik. Ia pada mulanya dibina pada tahun 1920. Namun, ia kemudian dirobohkan pada tahun 1940 & selepas itu, ianya dibina semula dengan berpandukan senibina asal. Menara jam ini adalah simbol penjajahan Perancis di kota ini.


Place des Nations Unies, Casablanca, Morocco


Menara jam di Place des Nations Unies, Casablanca, Morocco

Selepas bergambar di kawasan Place des Nations Unies, aku mengatur langkah pula ke Place Muhammad V, sebuah dataran yang turut dikelilingi oleh bangunan-bangunan yang mempunyai siknifikasi & sejarah. Kawasan ini adalah kawasan pusat pentadbiran bandar Casablanca. Bangunan-bangunan di sekelilingya mempunyai percampuran senibina Perancis & Morocco. Antara bangunan-bangunan penting yang terdapat di sekeliling Place Muhammad V ini ialah Prefecture, Palais de Justice, Consulate de France, Post Office & juga air pancut. Prefecture yang mempunyai sebuah menara setinggi 50 m ini siap dibina pada tahun 1937. Kompleks bangunan ini mempunyai 3 buah taman tropika kecil di tengah-tengahnya. Palais de Justice pula adalah bangunan mahkamah yang siap dibina pada tahun 1922. Senibinanya begitu unik sekali. Bertentangan dengan Palais de Justice terdapat sebuah air pancut yang kawasan di sekitarnya dipenuhi oleh burung-burung merpati.


Place Muhammad V, Casablanca, Morocco


Place Muhammad V, Casablanca, Morocco


Prefecture di Place Muhammad V, Casablanca, Morocco


Palais de Justice di Place Muhammad V, Casablanca, Morocco


Palais de Justice di Place Muhammad V, Casablanca, Morocco


Air pancut di Place Muhammad V, Casablanca, Morocco

Bersambung...

Read more...

MoRoCCo: PeRMaTa iSLaM Di uFuK BaRaT (BHG V)

>> Sunday, July 26, 2009



Selepas puas meneliti keindahan Kasbah Mosque, aku meneruskan perjalanan ke Saadian Tombs, sebuah kawasan yang memuatkan makam-makam 60 ahli keluarga Dinasti Saadi yang pernah memerintah Morocco dari tahun 1554 hingga tahun 1659. Dinasti Saadi ini percaya bahawa mereka adalah daripada keturunan Rasulullah SAW. Kesahihannya hanya Allah sahaja yang tahu. Sultan daripada Dinasti Saadi yang termasyhur adalah Ahmad al-Mansur, yang berjaya menghalau Portugis dari Morocco & juga mempertahankan Morocco daripada ditakluki Empayar Turki Uthmaniyah. Kawasan makam-makam ini sebenarnya tersembunyi & terbiar selama hampir 200 tahun & hanya ditemui pada tahun 1917. Keindahan senibina yang terdapat di sini menjadikan kawasan ini sebagai salah satu kawasan tarikan pelancong di bumi Marrakech. Untuk melawat makam-makam ini, pelancong dikenakan bayaran yang agak murah.


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco


Saadian Tombs, Marrakech, Morocco

Setelah puas menikmati kecantikan senibina Saadi di Saadian Tombs, aku berjalan pula ke sebuah lagi tarikan yang ada di kawasan Kasbah, iaitu Al-Badi Palace. Ianya adalah kesan tinggalan istana kerajaan Dinasti Saadi yang dibina sewaktu pemerintahan Ahmad al-Mansur sekitar tahun 1570-an. Kawasan istana yang luas ini mempunyai 360 buah bilik & mengambil masa selama 25 tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Ia merupakan antara senibina Islam yang termasyhur pada waktu itu. Senibina istana ini dikatakan dipengaruhi oleh senibina Alhambra di Granada, Sepanyol. Sayangnya, selepas tamatnya era pemerintahan Dinasti Saadi, bangunan-bangunan yang terdapat di dalam kawasan istana ini diruntuhkan oleh pemerintah pertama Dinasti Alaowiyah, iaitu Moulay Ismail ibn Sharif & batu-batu hasil runtuhan itu digunakan untuk membina istana barunya di Meknes.


Kasbah, Marrakech, Morocco


Kasbah, Marrakech, Morocco


Al-Badi Palace, Marrakech, Morocco


Al-Badi Palace, Marrakech, Morocco


Al-Badi Palace, Marrakech, Morocco


Al-Badi Palace, Marrakech, Morocco


Pemandangan kota Marrakech dari Al-Badi Palace, Marrakech, Morocco

Destinasi aku yang seterusnya ialah sebuah lagi istana lama yang terdapat di Marrakech, iaitu Bahia Palace. Istana ini dibina pada kurun ke-19 & dibina bertujuan untuk menjadi istana yang teragung pada waktu itu. Senibina istana ini merupakan campuran senibina Islam beserta senibina Morocco. Terdapat taman-taman bunga yang cantik di dalam kawasan istana ini. Kompleks istana ini terbahagi kepada 2 bahagian yang dibina oleh 2 orang yang berlainan & pada waktu yang berlainan. Kedua-duanya adalah pembantu Sultan, iaitu Si Musa & Ba Ahmad.


Bahia Palace, Marrakech, Morocco


Bahia Palace, Marrakech, Morocco


Bahia Palace, Marrakech, Morocco


Bahia Palace, Marrakech, Morocco


Bahia Palace, Marrakech, Morocco


Bahia Palace, Marrakech, Morocco

Bahia Palace adalah tempat terakhir yang aku jejaki di kota Marrakech. Sebenarnya terdapat banyak lagi tempat yang perlu dilawati. Aku akan ke tempat-tempat tersebut pada hari terakhir aku di Morocco nanti, sebelum pulang ke Dublin. Pada pukul 7.00 malam ini, aku akan menaiki keretapi untuk ke Casablanca. Oleh itu, selepas selesai sahaja aku melawat Bahia Palace, aku terus ke hostel di mana aku menyimpan beg galas aku. Aku kemudian mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pemilik hostel itu kerana sudi membenarkan aku menyimpan beg aku di situ. Aku berjanji aku akan kembali ke hostelnya minggu hadapan. Selepas mengambil beg, aku terus menuju ke stesen keretapi dengan berjalan kaki sejauh 2 km. Aku serik menaiki teksi di sini.

Sesampainya aku di stesen keretapi, aku pun menunggu di dalam bangunan stesen tersebut. 10 minit sebelum keretapi bergerak, aku pun terus bergegas masuk ke dalamnya. Tidak lama kemudian, ianya pun bergerak meninggalkan Marrakech. Perjalanan ke Casablanca mengambil masa selama 3 jam 10 minit. Aku duduk di dalam satu kabin bersama-sama dengan 2 orang lelaki Morocco. Mereka mempelawa aku makan bersama mereka, tetapi aku menolak & mengatakan bahawa aku sudah kenyang. Mereka mengatakan mempelawa orang yang tidak dikenali untuk makan sekali adalah antara adat resam mereka. Aku berasa agak kagum. Lain sekali dengan di Malaysia mahupun di Ireland. Kami bertiga kemudian berbual panjang. Mereka boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan agak baik. Salah seorang daripada mereka adalah seorang doktor. Rancak kami berbual.

Lebih kurang pukul 10.10 malam, aku pun tiba di Casablanca. Setibanya aku di stesen keretapi Casablanca, aku mengucapkan selamat tinggal kepada mereka berdua. Mereka tidak turun sekali kerana mereka akan turun di destinasi yang seterusnya. Selepas turun daripada keretapi, aku terus mencari teksi untuk membawa aku ke hostel yang sudah pun aku rujuk di dalam buku panduan aku. Aku terpaksa menggunakan khidmat teksi kerana kedudukan stesen keretapi ini yang agak jauh daripada pusat bandar. Bayaran yang dikenakan agak berpatutan. Mujurlah. Setibanya aku di hostel yang aku berkenan, aku pun terus mendaftar masuk. Selepas mandi & menunaikan solat, aku pun terus melelapkan mata sementara menanti hari esok.

Bersambung...

p/s: Di sini, aku nak mengambil kesempatan utk mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarhamah Yasmin Ahmad yang baru sahaja meninggalkan kita malam tadi pada pukul 11.25 malam akibat komplikasi 'haemorrhagic stroke'. Seriously aku tak sangka dia akan meninggalkan kita secepat ni, di waktu sumbangannya terhadap industri perfileman Malaysia masih lagi diperlukan. Itulah namanya takdir Allah. Jodoh pertemuan, ajal maut semuanya terletak di tangan Allah. Kita sebagai hamba2-Nya hanya perlu bersedia & redha dgn kehendak-Nya.

Allahyarhamah Yasmin Ahmad ini sememangnya antara pengarah2 & penerbit2 filem Melayu yang aku betul2 respek, selain Kabir Bhatia, Afdlin Shauki & Mohd Noor Kadir. Antara filem2 hasil karyanya ialah Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf & Talentime. Filem2 ni bukan saje mendapat sambutan hebat kat Msia, malahan juga di peringkat antarabangsa. Byk kali jugak Allahyarhamah menerima anugerah di peringkat antarabangsa, terutamanya filem Mukhsin tu. Selain menghasilkan filem, Allahyarhamah jugak turut menghasilkan iklan2 tajaan Petronas utk ditayangkan di tv sempena Hari Raya, Hari Kebangsaan & sebagainya yang selalunya menyentuh perasaan sesiapa saje yg menontonnya.

Kehilangan Allahyarhamah Yasmin Ahmad ni sememangnya satu kehilangan besar buat negara. Marilah kita sama2 menyedekahkan Al-Fatihah buat beliau. Moga rohnya ditempatkan di kalangan orang2 beriman.



Allahyarhamah Yasmin Ahmad


Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP