SuMMeR iN THe LaNDS oF THe aNCieNTS (BHG XXXVI)

>> Friday, March 23, 2007



Selepas puas mengelilingi Edinburgh Castle, kami pun mencari jalan keluar. Selepas keluar dari sini, kami singgah di sebuah kedai membuat muffler & kilt. Kilt adalah gaun yang merupakan pakaian tradisional kaum lelaki Scotland. Pelbagai corak muffler & kilt diperbuat & dijual di sini. Selepas itu, kami melalui Royal Mile, iaitu sebatang jalan yang terletak di antara Edinburgh Castle & Holyrood Palace. Ianya adalah antara jalan-jalan yang sering dipenuhi oleh pelancong-pelancong. Di sepanjang jalan ini terdapat banyak kedai cenderamata. Kami singgah di beberapa buah kedai untuk membeli beberapa buah cenderamata untuk dibuat kenangan.

Di kedai membuat muffler & kilt, Edinburgh, Scotland, United Kingdom
Di kedai membuat muffler & kilt, Edinburgh, Scotland, United Kingdom


Royal Mile, Edinburgh, Scotland, United Kingdom
Royal Mile, Edinburgh, Scotland, United Kingdom

Kemudian, kami berjalan menuju ke sebuah ukiran patung anjing kecil yang terletak di hadapan sebuah bar yang bernama Greyfriars Bobby's Bar. Anjing tersebut bernama Bobby. Kisah tentang anjing ini sangat terkenal di Edinburgh. Bobby adalah seekor anjing kepunyaan seorang polis yang bernama John Gray yang meninggal dunia akibat menghidapi penyakit batuk kering pada tahun 1858. John Gray dikebumikan di Greyfriars Kirkyard. Bobby yang telah bersama tuannya selama 14 tahun itu dikatakan telah menghabiskan sepanjang hayatnya duduk di atas perkuburan tuannya. Bar di mana terdapatnya ukiran patung Bobby ini terletak bertentangan dengan perkuburan tersebut. Kisah tentang kesetiaan anjing ini kepada tuannya tersebut sebenarnya telah banyak dibukukan & difilemkan.

Ukiran patung Bobby, Edinburgh, Scotland, United Kingdom
Ukiran patung Bobby, Edinburgh, Scotland, United Kingdom

Seterusnya, kami melalui St Giles Cathedral, sebuah gereja yang mempunyai menara yang berbentuk mahkota yang terletak di Royal Mile ini. Gereja ini telah berkhidmat sebagai institusi agama Kristian di Edinburgh selama hampir 900 tahun lamanya. Ianya adalah gereja Kristian bermazhab Presbyterianisma iaitu mazhab Kristian yang lahir sewaktu Reformasi Scotland pada kurun ke-16. Seterusnya, kami meneruskan perjalanan kami dengan melalui Waverly Bridge, salah sebuah jambatan yang terdapat di Edinburgh. Jambatan ini adalah antara jambatan-jambatan yang tercantik & terpenting di bandar ini. Kemudian, kami berjalan ke bangunan Scottish Parliament yang terletak di kawasan Holyrood. Bangunan ini dirasmikan pada tahun 2004 oleh Ratu England iaitu Elizabeth II. Rupa bentuk bangunan ini agak memelikkan, tetapi unik.

St Giles Cathedral, Edinburgh, Scotland, United Kingdom
St Giles Cathedral, Edinburgh, Scotland, United Kingdom


Waverly Bridge, Edinburgh, Scotland, United Kingdom
Waverly Bridge, Edinburgh, Scotland, United Kingdom


Scottish Parliament, Edinburgh, Scotland, United Kingdom
Scottish Parliament, Edinburgh, Scotland, United Kingdom

Berdekatan dengan bangunan Scottish Parliament, terletak Holyrood Palace yang merupakan kediaman rasmi kerabat diraja Scotland sejak kurun ke-15. Ia pada mulanya adalah sebuah monasteri yang dibuka oleh Raja Scotland yang bernama David I pada tahun 1128. Banyak upacara perkahwinan & pertabalan diraja dilakukan di sini. Sewaktu di bawah pemerintahan James IV pada awal kurun ke-15, bangunan ini secara rasminya ditukar menjadi kediaman diraja. Pada tahun 1650, sewaktu lawatan Oliver Cromwell & tenteranya, istana ini telah terbakar tanpa diketahui sebabnya. Oliver Cronwell kemudiannya telah memulakan operasi untuk membina semula Holyrood Palace ini & sewaktu di bawah pemerintahan Charles II, ia berjaya disiapkan sepenuhnya pada tahun 1679. Pada masa kini, istana ini sering menerima kunjungan daripada keturunan diraja England.

Holyrood Palace, Edinburgh, Scotland, United Kingdom
Holyrood Palace, Edinburgh, Scotland, United Kingdom


Holyrood Palace, Edinburgh, Scotland, United Kingdom
Holyrood Palace, Edinburgh, Scotland, United Kingdom

Selepas itu, kami berjalan menuju ke Calton Hill, salah sebuah bukit yang terdapat di Edinburgh. Kami mendaki bukit ini sehingga ke puncaknya yang mengambil masa 10 minit sahaja. Di puncak bukit ini terdapat sebuah monumen yang dibina sempena memperingati tentera-tentera Scotland yang mati dalam Perang Waterloo. Dari atas puncak Calton Hill ini, kami dapat menikmati panorama kota Edinburgh yang sangat indah. Sesungguhnya Edinburgh adalah salah satu bandar yang tercantik yang pernah aku jejaki. Subhanallah. Kami berdua menghabiskan masa hampir sejam di puncak bukit ini dengan bergambar. Selepas puas bergambar, kami kembali ke pusat bandar Edinburgh untuk bersiar-siar sambil membeli cenderamata untuk dibuat kenangan. Setelah penat, kami pun kembali ke hostel kami.

Di puncak Calton Hill, Edinburgh, Scotland, United Kingdom
Di puncak Calton Hill, Edinburgh, Scotland, United Kingdom


Di puncak Calton Hill, Edinburgh, Scotland, United Kingdom
Di puncak Calton Hill, Edinburgh, Scotland, United Kingdom

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP