SuMMeR iN THe LaNDS oF THe aNCieNTS (BHG XXXII)

>> Wednesday, March 07, 2007



Hari 28: 21 JULAI 2006

Selesai sahaja bersarapan pagi di hostel, kami terus memulakan ekspedisi kami mengelilingi bandar Athens. Kami mengelilingi bandar ini dengan berjalan kaki & juga menaiki Metro. Tempat pertama yang kami jejaki ialah runtuhan Roman Agora. Ianya adalah sebuah kawasan forum yang dahulunya dibina oleh orang-orang Empayar Rom untuk bersaing dengan Agora Lama yang dibina oleh orang-orang Greek. Monumen utama yang terdapat di sini ialah ‘Tower of the Winds’, iaitu sebuah menara marmar yang berbentuk oktagon. Menara ini dibina pada sekitar tahun 50 SM, 200 tahun sebelum pembinaan Roman Agora ini sendiri. Sewaktu di bawah Empayar Byzantine, menara ini menjadi menara loceng kepada sebuah gereja yang terletak di sini.

Roman Agora, Athens, Greece
Roman Agora, Athens, Greece


'Tower of the Winds' di Roman Agora, Athens, Greece
'Tower of the Winds' di Roman Agora, Athens, Greece

Seterusnya, kami berjalan kaki menuju ke Acropolis. Sebenarnya terdapat banyak acropolis di seluruh Greece. Namun, Acropolis di Athens ini adalah yang paling terkenal. Sebelum kami tiba di Acropolis, kami berkesempatan untuk melihat kawasan Agora Lama. Pada zaman dahulu, ianya adalah kawasan untuk bersosial & juga kawasan pentadbiran. Ia dibina oleh orang-orang Greek pada kurun ke-6 SM. Socrates & Aristotle dikatakan pernah menyampaikan ilmu mereka di sini. Terdapat banyak kuil dibina di kawasan ini. Runtuhan kuil yang masih boleh dilihat pada hari ini ialah Kuil Hephaestus. Selain itu, terdapat juga runtuhan sebuah gereja. Kawasan ini agak luas.

Agora Lama, Athens, Greece
Agora Lama, Athens, Greece


Agora Lama, Athens, Greece
Agora Lama, Athens, Greece

Selepas mengambil gambar berlatar belakangkan Agora Lama, kami meneruskan perjalanan kami ke Acropolis. Acropolis ini sebenarnya adalah sebuah kawasan yang terletak di puncak sebuah bukit. Oleh itu, kami terpaksa mengagahkan diri mendaki bukit tersebut. Setelah berpeluh-peluh berjalan, akhirnya kami tiba juga di Acropolis tersebut. Untuk masuk ke dalamnya, kami perlu membayar tiket. Pelajar-pelajar akan mendapat harga diskaun. Kawasan Acropolis ini agak licin kerana dipenuhi dengan debu-debu pasir. Kami terpaksa berjalan dengan berhati-hati agar tidak jatuh. Antara runtuhan-runtuhan yang masih terdapat di Acropolis ialah Parthenon, Erechtheum, Propylaea & Odeon Herodes Atticus.

Acropolis, Athens, Greece
Acropolis, Athens, Greece

Parthenon adalah runtuhan sebuah kuil yang dibina untuk Tuhan Athena sewaktu kurun ke-5 SM. Kuil ini dibina bagi menggantikan kuil lama yang telah diruntuhkan oleh tentera Parsi yang menyerang Athens pada tahun 480 SM. Pada kurun ke-6, Parthenon telah bertukar fungsinya menjadi sebuah gereja Greek Orthodox, di bawah Empayar Byzantine. Selepas Athens ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyah, ianya ditukar pula menjadi sebuah masjid pada tahun 1460. Pada tahun 1687, bangunan ini hampir dimusnahkan akibat serangan tentera-tentera Venice. Namun, mulai tahun 1975, kerajaan Greece mula mengambil langkah untuk memperbaiki struktur binaan Parthenon ini & seterusnya mendapat bantuan dari segi kewangan daripada Kesatuan Eropah. Kerja-kerja pembaikan masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini. Parthenon sememangnya adalah antara binaan purba yang terkenal di Greece kerana kebanyakan daripada struktur binaannya masih kekal utuh sehingga sekarang. Ianya adalah simbol utama Athens & juga negara Greece.

Parthenon di Acropolis, Athens, Greece
Parthenon di Acropolis, Athens, Greece


Parthenon di Acropolis, Athens, Greece
Parthenon di Acropolis, Athens, Greece

Erechtheum pula adalah runtuhan sebuah kuil yang dibina untuk Tuhan Athena & Poseidon Erechtheus. Ia siap dibina pada tahun 407 SM. Erechtheum dikatakan dibina di atas tapak kuil yang telah dimusnahkan oleh tentera-tentera Parsi pada tahun 480 SM. Kuil ini terkenal dengan anjungnya di mana terdapat ukiran patung beberapa orang gadis di sini. Kuil ini diperbuat daripada batu marmar. Propylaea adalah runtuhan monumen pintu gerbang yang menjadi laluan utama untuk memasuki kawasan Acropolis. Kerja-kerja pembinaannya dimulakan pada tahun 437 SM. Namun, disebabkan Perang Pelopponesia antara Athens & Sparta pada tahun 431 SM, Propylaea tidak dapat disiapkan sepenuhnya. Pada tahun 1984, kerja-kerja membaik pulih monumen ini dimulakan oleh kerajaan Greece & berterusan sehingga sekarang. Odeon Herodes Atticus pula adalah sebuah ampiteater yang dibina oleh Herodes Atticus pada tahun 161 sebagai memperingati isterinya yang telah meninggal dunia. Ampiteater ini menjadi tempat pertunjukan konsert muzik pada zaman dahulu.

Erechtheum di Acropolis, Athens, Greece
Erechtheum di Acropolis, Athens, Greece


Erechtheum di Acropolis, Athens, Greece
Erechtheum di Acropolis, Athens, Greece


Propylaea di Acropolis, Athens, Greece
Propylaea di Acropolis, Athens, Greece


Odeon Herodes Atticus di Acropolis, Athens, Greece
Odeon Herodes Atticus di Acropolis, Athens, Greece


Odeon Herodes Atticus di Acropolis, Athens, Greece
Odeon Herodes Atticus di Acropolis, Athens, Greece

Di kawasan Acropolis ini terdapat sebuah muzium yang mempamerkan ukiran-ukiran patung yang berusia ribuan tahun. Kami mengambil kesempatan untuk masuk ke dalamnya walaupun kami sebenarnya kurang berminat dengan muzium. Kami ingin bergambar dengan ukiran-ukiran patung tersebut, tetapi pelawat-pelawat muzium tersebut tidak dibenarkan bergambar dengan ukiran-ukiran tersebut. Pelawat hanya dibenarkan mengambil gambar ukiran-ukiran tersebut tanpa ada manusia di dalam gambar. Hahaha. Apakah motif mereka? Kami secara senyap-senyap melanggar peraturan ini. Aku berlakon konon-kononnya aku sedang mengamati kehalusan ukiran-ukiran patung tersebut & dalam pada masa yang sama, Jem menggunakan kameranya untuk mengambil gambar aku bersama-sama dengan ukiran-ukiran tersebut. Hahaha. Mujurlah tiada siapa yang syak.

Di dalam muzium di Acropolis, Athens, Greece
Di dalam muzium di Acropolis, Athens, Greece


Di dalam muzium di Acropolis, Athens, Greece
Di dalam muzium di Acropolis, Athens, Greece

Bersambung...

0 buah komen:

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP