JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG XVIII) - SuRaBaYa II

>> Tuesday, March 29, 2011



Kami seterusnya menyambung ekspedisi kami ke Masjid Cheng Ho, sebuah masjid kecil yang bercirikan senibina Cina. Masjid yang boleh memuatkan seramai 200 orang jemaah dalam suatu masa ini didirikan atas usahasama Yayasan Haji Muhammad Cheng Ho Jawa Timur & masyarakat Cina Islam tempatan. Ia mula dibina pada bulan Oktober 2001 & siap sepenuhnya & dirasmikan pada bulan Oktober 2002. Nama Cheng Ho diberi bersempena dengan nama Laksamana Cheng Ho atau turut dikenali dengan nama Zheng He yang merupakan seorang pedagang Islam dari China yang telah datang ke Pulau Jawa pada kurun ke-15 bukan sahaja untuk tujuan berdagang, malah menjalin persahabatan & juga menyebarkan syiar Islam. Tujuan masjid ini dibina adalah untuk memberi penghormatan kepadanya atas jasanya menyebarkan agama Islam di kalangan penduduk Pulau Jawa. Senibina masjid ini sememangnya amat cantik sekali. Ini adalah kali pertama aku melihat sendiri masjid yang bercirikan senibina Cina. Subhanallah.


Masjid Cheng Ho, Surabaya, Indonesia


Masjid Cheng Ho, Surabaya, Indonesia


Masjid Cheng Ho, Surabaya, Indonesia


Ruang dalam Masjid Cheng Ho, Surabaya, Indonesia


Motto dalam Bahasa Mandarin di dalam Masjid Cheng Ho, Surabaya, Indonesia


Laksamana Cheng Ho

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan kami ke sebuah lagi tarikan utama yang terdapat di kota Surabaya, iaitu Tugu Pahlawan. Monumen setinggi 45 meter ini adalah mercu tanda utama Surabaya. Ia dibina sebagai memperingati peristiwa Perang Surabaya yang berlaku pada 10 November 1945. Kami tertarik melihat beberapa contengan yang dibuat pada beberapa batang tiang yang terdapat di sini. Begitu patriotik sekali rakyat negara ini. Mereka begitu membenci penjajah yang telah menjajah negara mereka.


Tugu Pahlawan, Surabaya, Indonesia


Tugu Pahlawan, Surabaya, Indonesia


Bersama Syahir di Tugu Pahlawan, Surabaya, Indonesia


Tugu Pahlawan, Surabaya, Indonesia


Tugu Pahlawan, Surabaya, Indonesia


Tugu Pahlawan, Surabaya, Indonesia

Selepas bergambar di Tugu Pahlawan, kami berjalan meneruskan langkah kami ke tujuan kami yang seterusnya, iaitu Makam & Masjid Sunan Ampel. Sebelum itu, kami melalui sebatang jalan raya yang diberi nama Kya Kya. Ianya adalah seperti Chinatown yang dipenuhi dengan kedai-kedai penduduk berbangsa Cina. Tidak berapa lama kemudian, kami pun tiba di destinasi tujuan kami, iaitu Makam & Masjid Sunan Ampel. Ia terletak di dalam kawasan Arab Quarter yang mempunyai suasana seperti di Timur Tengah. Kebanyakan kedai-kedai di kawasan tersebut pemiliknya adalah daripada keturunan Arab. Barang-barang & makanan-makanan yang dijual di sini juga kebanyakannya barangan & makanan yang berasal dari Arab. Kawasan ini turut dikenali dengan nama Ampel Suci & dianggap suci oleh penduduk tempatan kerana terletaknya makam & masjid seorang wali yang amat terkenal, iaitu Sunan Ampel.


Kya Kya, Surabaya, Indonesia


Bersama Syahir di Arab Quarter di Ampel Suci, Surabaya, Indonesia


Arab Quarter di Ampel Suci, Surabaya, Indonesia


Arab Quarter di Ampel Suci, Surabaya, Indonesia


Makam & Masjid Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia


Makam & Masjid Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia


Makam & Masjid Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia


Ruang dalam Masjid Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia


Ruang dalam Masjid Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia

Sunan Ampel adalah salah seorang daripada Wali Songo, iaitu sembilan orang wali yang bertanggungjawab menyebarkan syiar Islam di seluruh Pulau Jawa pada kurun ke-15 & 16. Era permulaan Wali Songo menandakan era berakhirnya dominasi agama Hindu-Buddha dalam budaya & kepercayaan penduduk Pulau Jawa khasnya & penduduk Nusantara amnya & digantikan dengan cara hidup Islam. Nama kesembilan wali tersebut ialah Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Kudus, Sunan Giri, Sunan Kalijaga, Sunan Muria & Sunan Gunung Jati. Sunan Ampel dipercayai dilahirkan pada tahun 1401 di Champa. Beliau berhijrah ke Pulau Jawa sekitar tahun 1443. Pada tahun 1479, beliau telah membina Masjid Agung Demak di tengah Pulau Jawa yang merupakan antara masjid yang tertua di Indonesia. Masjid Ampel di Surabaya juga turut dibina olehnya. Sunan Ampel akhirnya meninggal dunia pada tahun 1481 di Demak. Jenazahnya dikebumikan bersebelahan Masjid Ampel.

Ramai sekali penduduk tempatan yang datang menziarahi makam Sunan Ampel. Beliau sememangnya seorang wali yang amat berpengaruh & dihormati sejak beratus-ratus tahun lamanya. Jasanya menyebarkan syiar Islam di kalangan penduduk Pulau Jawa masih lagi dikenang hingga ke hari ini. Aku menyedekahkan Al-Fatihah kepadanya. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT & semoga segala jasa baiknya akan dibalas dengan haruman syurga. Selepas menziarahi makam beliau, kami bertiga singgah pula di masjid beliau untuk menunaikan solat jamak Zohor & Asar.


Wajah potret Sunan Ampel


Wajah potret Wali Songo


Masjid Agung Demak

Selepas menunaikan solat, kami kembali ke kawasan Arab Quarter. Syahir membeli sehelai jubah wanita untuk diberikan kepada bakal tunangnya. Selepas itu, kami bertiga meneruskan ekspedisi kami ke lokasi yang seterusnya & yang terakhir pada hari ini, iaitu House of Sampoerna. Kami ke sana dengan menaiki teksi kerana kami tidak mampu lagi untuk berjalan kaki. Lebih kurang 20 minit menaiki teksi, kami pun tiba di destinasi yang diingini. House of Sampoerna ini adalah ibu pejabat kepada syarikat perusahaan rokok kretek Sampoerna yang amat terkenal bukan sahaja di Indonesia, malah di seluruh dunia. Ia adalah syarikat perusahaan rokok yang ketiga terbesar di Indonesia.

Sebelum dijadikan ibu pejabat syarikat perusahaan rokok Sampoerna, bangunan berwarna putih yang bercirikan senibina Belanda yang dibina pada tahun 1858 ini merupakan rumah anak-anak yatim sewaktu era pemerintahan Belanda. Ia kemudiannya dibeli oleh pengasas syarikat perusahaan rokok Sampoerna, iaitu Liem Seeng Tee pada tahun 1932 untuk dijadikan kilang perusahaan syarikatnya itu. Pada masa kini, bangunan House of Sampoerna ini dibuka kepada orang ramai. Di dalamnya terdapat sebuah muzium yang menceritakan sejarah perusahaan rokok Sampoerna. Kami bertiga berkesempatan juga untuk melihat dari jauh lebih kurang 3,900 pekerja wanita kilang tersebut menghasilkan rokok secara manual. Seorang pekerja boleh menghasilkan lebih daripada 325 batang rokok dalam masa sejam. Hebat.


House of Sampoerna, Surabaya, Indonesia


House of Sampoerna, Surabaya, Indonesia


Bersama Syahir di House of Sampoerna, Surabaya, Indonesia


Bersama Shafiq di ruang dalamHouse of Sampoerna, Surabaya, Indonesia


Kotak rokok Sampoerna

Setelah puas berada & bergambar di House of Sampoerna, kami bertiga pun pulang semula ke hotel tumpangan kami dengan menaiki teksi. Sebelum pulang ke hotel, kami singgah di Plaza Surabaya yang terletak tidak jauh dari hotel kami untuk makan tengah hari. Kami makan di restoran A&W yang terdapat di dalamnya. Selepas menghabiskan masa yang agak lama di situ, kami bertiga kembali semula ke hotel. Setibanya di hotel, aku & Syahir berehat-rehat. Sementara Shafiq pula sibuk mengemas barang-barangnya kerana dia akan berangkat ke lapangan terbang.

Lebih kurang pukul 4.30 petang, Shafiq pun meminta diri untuk berangkat ke Lapangan Terbang Juanda, Surabaya. Kami meminta pekerja hotel itu untuk memanggil teksi. Apabila teksi sudah tiba, kami mengucapkan selamat jalan kepadanya. Sedih pula rasanya apabila ditinggal berdua. Mujurlah kami berdua masih tinggal satu hari sahaja lagi di Pulau Jawa ini sebelum berangkat pulang pada esok harinya. Selepas teksi yang dinaiki Shafiq telah pergi, aku & Syahir pun kembali ke bilik. Aku melelapkan mata buat sementara waktu kerana terlampau penat.

Lebih kurang pukul 8.00 malam, aku pun terjaga. Syahir mengajak aku ke Plaza Surabaya untuk membeli makan malam. Kami singgah di pasaraya yang terdapat di dalamnya. Selepas membeli makanan & minuman, kami kembali semula ke bilik untuk menikmati makanan & minuman yang kami beli. Selepas itu, aku mandi membersihkan diri & menunaikan solat jamak Maghrib & Isyak. Selesai sahaja solat, aku kembali melelapkan mata.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


4 buah komen:

sahromnasrudin Wednesday, March 30, 2011 at 8:43:00 AM GMT+8  

assalamualaikum..

sy tgk masjid itu seperti masjid beijing di rantau panjang, kelantan kan

Anonymous Sunday, March 3, 2013 at 12:21:00 PM GMT+8  

buy valium online street prices of valium - valium diazepam mg

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP