JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG IV) - JaKaRTa I

>> Monday, March 07, 2011



Lebih kurang pukul 8.20 pagi waktu tempatan Indonesia Barat, kami pun tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta. Setelah selesai urusan imigresen, kami pun terus mendapatkan beg-beg pakaian kami, termasuklah beg pakaian Acab yang merupakan sebuah beg tarik, sama seperti jenis beg pakaian aku & Syahir. Shafiq bersetuju untuk mengusung beg pakaian Acab itu memandangkan beg pakaiannya hanyalah beg galas. Aku & Syahir terlepas daripada tanggungjawab mengusung beg Acab, dengan alasan kami berdua masing-masing menggunakan beg tarik. Heheh. Mengusung beg Acab sudah tentu akan membebankan kami yang sudah sedia dibebani dengan beg tarik sendiri. Hahaha. Kami kemudiannya berjalan menuju ke sebuah kiosk telefon bimbit untuk membeli kad SIM nombor Indonesia untuk memudahkan kami menghubungi satu sama lain selama 8-9 hari kami di bumi Indonesia. Kami membeli kad SIM syarikat Simpati.

Sesudah membeli kad SIM, kami singgah di sebuah restoran kecil di dalam lapangan terbang itu kerana Shafiq kelaparan. Aku & Syahir sudah pun makan di dalam penerbangan tadi kerana kami berdua menempah ‘pre-book meal’. Sewaktu berada di dalam restoran itu, aku telah mendapat sms daripada Abadi menyatakan yang Acab sudah selamat tiba di rumahnya & mereka sudah pun membuat laporan polis. Alhamdulillah. Lega rasanya. Syahir kemudiannya menghubungi Zafran, kawan kepada Acab yang belajar Perubatan di salah sebuah universiti di kota Jakarta. Kami bertiga bakal menumpang bermalam di rumahnya malam ini. Syahir menceritakan apa yang berlaku kepada Acab sewaktu di LCCT. Mujurlah Zafran masih sudi menumpangkan kami bertiga di rumahnya walaupun dia tidak mengenali kami bertiga.

Selepas Shafiq sudah selesai makan, kami bertiga mencari-cari teksi di bahagian luar lapangan terbang itu untuk ke rumah Zafran. Alamat rumah Zafran sudah kami tulis. Kami memilih syarikat teksi ‘Blue Bird’ kerana menurut ramai orang, itu adalah syarikat teksi yang paling boleh dipercayai di Pulau Jawa kerana pemandu-pemandunya diwajibkan menggunakan meter. Mana-mana pemandu yang didapati melanggar peraturan tersebut, akan dibuang kerja tanpa sebarang notis. Kami lalu menunjukkan alamat rumah Zafran kepada pemandu teksi yang bakal membawa kami. Dia kemudian mengangguk-angguk & memasukkan beg-beg kami ke dalam ‘trunk’ teksinya. Selepas itu, kami bertiga pun dibawa menyelusuri kota Jakarta untuk ke rumah Zafran. Hampir 45 minit lamanya kami mengambil masa untuk ke destinasi kami itu. Sempat juga kami bertiga berbual-bual dengan pemandu teksi yang peramah itu. Pebagai perkara dibualkan.


Teksi 'Blue Bird'

Apabila sudah tiba di kawasan rumah Zafran, Syahir pun terus menghubungi Zafran menyatakan bahawa kami sudah pun tiba. Kami kemudian membayar tambang kepada pemandu teksi tersebut & mengucapkan terima kasih kepadanya. Tidak berapa lama kemudian, Zafran pun muncul & membawa kami ke rumahnya. Dia tinggal bersama-sama dengan beberapa orang junior. Rumah sewanya itu tidaklah sebesar mana, namun amat selesa. Terhutang budi pula kami kepadanya kerana sudi menumpangkan kami bertiga walaupun dengan ketiadaan Acab. Selepas hampir sejam kami berempat berbual-bual, aku, Syahir & Shafiq kemudiannya mula bersiap-siap untuk memulakan pengembaraan kami di kota Jakarta.

Jakarta atau nama rasminya Daerah Khusus Ibukota Jakarta adalah ibu negara Indonesia & bandar yang terbesar di negara tersebut. Ia terletak di bahagian barat laut Pulau Jawa, di kuala Sungai Ciliwung yang mengalir ke Laut Jawa. Kota ini mempunyai jumlah penduduk seramai 8.5 juta orang. Ia adalah bandar yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai di rantau Asia Tenggara. Selain pusat pentadbiran, kota ini juga memainkan peranan sebagai pusat ekonomi, kebudayaan & politik Indonesia. Kota ini dibahagikan kepada 5 bahagian, iaitu Jakarta Utara, Jakarta Selatan, Jakarta Barat, Jakarta Timur & Jakarta Tengah. Kebanyakan penduduk yang tinggal di kota ini adalah daripada kaum etnik Jawa, Sunda & Betawi.


Kedudukan Jakarta di dalam peta Pulau Jawa


Pembahagian kota Jakarta kepada 5 bahagian

Sejarah Jakarta bermula apabila ia diasaskan oleh pemerintah kerajaan Tarumanagara yang mengamalkan ajaran agama Hindu yang bernama Purnawarnam pada tahun 397 M. Namanya pada waktu itu ialah Sunda Pura & ia dijadikan ibukota kerajaan tersebut. Seterusnya, apabila kekuasaan kerajaan Tarumanagara semakin lemah, pemerintahan kota Sunda Pura diambil oleh kerajaan Sunda mulai pertengahan kurun ke-7. Nama kota tersebut kemudiannya ditukar kepada Sunda Kelapa. Mulai kurun ke-14, Sunda Kelapa mula menjadi kota pelabuhan perdagangan utama kerajaan Sunda. Orang-orang Portugis mulai tiba di Sunda Kelapa pada tahun 1513 dalam misi mereka untuk memonopoli perdagangan rempah-ratus di Timur. Kerajaan Sunda kemudiannya menandatangani perjanjian dengan orang-orang Portugis, membenarkan mereka membuka sebuah pelabuhan di situ, dengan syarat mereka membantu kerajaan tersebut mempertahankan kerajaan mereka daripada ancaman kerajaan Islam Kesultanan Demak yang semakin berkuasa di Jawa Tengah.

Walau bagaimanapun, kerajaan Kesultanan Demak akhirnya berjaya dalam serangan ke atas kerajaan Sunda pada tahun 1527 & berjaya menawan kota Sunda Kelapa. Nama Sunda Kelapa kemudiannya ditukar kepada Jayakarta. Kerajaan baru kemudiannya diwujudkan di situ, yang dinamakan kerajaan Kesultanan Banten. Putera kerajaan tersebut yang bernama Jayawikarta kemudiannya menjalin hubungan baik dengan orang-orang Belanda yang mula tiba di Jayakarta pada tahun 1596. Seterusnya, tiba pula orang-orang British di kota ini. Persengketaaan yang berlaku antara ketiga-tiga pihak ini kemudiannya mencetuskan peperangan & kemenangan berpihak kepada orang-orang Belanda. Orang-orang Belanda yang berjaya menguasai kota ini kemudian menukarkan namanya kepada Batavia pada tahun 1619. Kota ini kemudiannya jatuh pula ke tangan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua. Nama kota ini ditukar lagi pada waktu itu. Tentera Jepun menukarkan nama kota ini kepada Jakarta & nama tersebut kekal sehingga ke hari ini.

Selepas Indonesia mendapatkan kemerdekaannya, Jakarta dijadikan ibu negara tersebut. Dan pada tahun 1966, kota Jakarta dinaik taraf kepada Daerah Khusus Ibukota Jakarta yang melayakkannya mendapat status yang sama seperti wilayah-wilayah atau propinsi-propinsi yang lain di negara itu.

Bersambung...

1 buah komen:

Anonymous Monday, March 4, 2013 at 4:00:00 PM GMT+8  

how to buy valium online fake valium 10mg - pill called valium

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP