JaVa: MYSTiCaL iSLaND (BHG X) - BaNDuNG III

>> Wednesday, March 16, 2011



Setelah puas berada di kebun strawberi, kami dibawa oleh Pak Teshnor kembali ke kota Bandung. Setibanya kami di Bandung, kami dibawa oleh Pak Teshnor ke sebuah restoran untuk makan tengah hari. Lapar pula rasanya. Kami bertiga makan bersama. Kami tidak pasti ke mana menghilangnya Pak Teshnor. Mungkin dia makan di meja lain. Restoran itu agak luas kawasannya & kelihatan agak mewah. Namun, harga-harga makanan agak berpatutan.

Sewaktu makan, aku & Shafiq menasihati Syahir agak tidak terlalu ramah dengan orang-orang yang tidak dikenali. Sepanjang kami berada di Jakarta & Bandung, kami perhatikan Syahir begitu mudah mesra dengan orang-orang yang tidak begitu dikenali. Contohnya seperti empat orang peniaga penipu di Gunung Tangkuban Perahu tadi. Dia kelihatan begitu mudah berbual-bual mesra dengan mereka berempat sedangkan aku & Shafiq berasa kurang selesa dengan mereka kerana kami dapat merasakan niat buruk mereka. Aku & Shafiq sebenarnya sudah banyak mengembara ke negara-negara orang. Kami sudah banyak menimba pengalaman. Disebabkan itulah kami tidak mudah mempercayai orang-orang yang tidak dikenali kerana kami tidak dapat mengagak niat sebenar orang-orang tersebut. Bagi kami berdua, sifat paranoid perlu ada demi menjamin keselamatan diri. Syahir pula boleh dikatakan masih muda lagi dalam dunia pengembaraan kerana dia tidak begitu banyak mengembara sebelum ini. Diharapkan nasihat yang diberikan oleh aku & Shafiq kepadanya akan digunakannya sebaik mungkin. Tujuan kami menasihatinya hanyalah untuk kebaikannya.


Bersama Syahir & Shafiq di restoran utk makan tengah hari, Bandung, Indonesia

Selesai sahaja makan, kami menunaikan solat jamak qasar Zohor & Asar di surau yang terdapat di dalam restoran itu. Sesudah solat, barulah kami berjumpa semula dengan Pak Teshnor di minivan yang dibawanya. Pak Teshnor kemudiannya membawa kami membeli-belah. Hahaha. Kami belum puas lagi membeli-belah semalam. Kali ini, Pak Teshnor membawa kami ke sebuah factory outlet yang agak terkenal di kalangan orang-orang Malaysia di kota Bandung, iaitu Rumah Mode Factory Outlet. Di dalamya terdapat banyak pakaian-pakaian jenama terkenal yang dijual dengan harga yang amat murah. Rambang mata kami jadinya. Shafiq yang sudah bertahun-tahun tidak membeli-belah turut menjadi rambang mata. Hahah. Aku tidak membeli apa-apa di sini memandangkan aku sudah bertekad hanya akan membeli-belah pada esok hari sahaja. Cuma Shafiq & Syahir sahaja yang sakan membeli itu & ini. Sempat juga aku berbual-bual dengan satu pasangan orang Malaysia di dalam factory outlet itu yang bertanyakan tentang kadar pertukaran wang Ringgit kepada Rupiah.


Bersama Shafiq di hadapan Rumah Mode, Bandung, Indonesia

Selesai sahaja Shafiq & Syahir membeli-belah di Rumah Mode Factory Outlet, kami dibawa oleh Pak Teshnor ke destinasi seterusnya, iaitu Gedung Sate, bangunan yang menjadi mercu tanda utama kota Bandung. Bangunan unik yang bercirikan senibina Indonesia bercampur Belanda ini direka oleh arkitek Belanda yang bernama J. Gerber. Bangunan ini digelar ‘Gedung Sate’ kerana bentuk menaranya yang rupanya seakan-akan ornamen cucuk sate. Ia adalah antara senibina tinggalan Belanda yang tercantik di Indonesia. Ianya mula dibina pada tahun 1920, sewaktu pemerintahan Belanda di Indonesia & siap sepenuhnya pada tahun 1924. Sebelum kemerdekaan Indonesia, Gedung Sate berfungsi sebagai pusat pemerintahan Belanda di kota Bandung. Ia kemudiannya mula dijadikan pejabat Gabenor Propinsi Jawa Barat pada tahun 1980 selepas pejabatnya dipindahkan dari Gedung Kerta Mukti di Jalan Braga. Sehingga ke hari ini, ia masih lagi mengekalkan fungsinya.


Bersama Shafiq & Syahir di Gedung Sate, Bandung, Indonesia


Gedung Sate, Bandung, Indonesia


Gedung Sate, Bandung, Indonesia


Gedung Sate, Bandung, Indonesia

Selepas puas bergambar di hadapan Gedung Sate, kami meneruskan perjalanan ke Jalan Riau, sebuah lagi jalan membeli-belah yang terkenal di kota Bandung. Pada waktu itu, hari sudah pun beransur malam. Aku & Shafiq sudah tidak larat untuk membeli-belah. Ditambah pula dengan perut kami yang sedang lapar untuk makan malam. Tinggal Syahir sahaja yang masih lagi bersemangat. Oleh itu, kami tinggalkan Syahir berseorangan di dalam kedai & kami berdua ke sebuah restoran berdekatan untuk makan. Selesai sahaja makan, Syahir pun tiba di restoran tersebut. Dia tidak makan kononnya masih kenyang. Kami kemudiannya meminta Pak Teshnor membawa kami pulang ke hotel memandangkan kami sudah pun penat. Lagipun, tempoh tour tersebut akan habis lebih kurang pukul 8.00 malam nanti.

Setibanya kami di hostel, kami mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Pak Teshnor kerana membawa kami ke Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Lembang & jalan-jalan di sekitar kota Bandung. Kami lalu terus berjalan kembali ke bilik kami. Sesudah mandi & solat, aku berehat-rehat di dalam bilik. Syahir pula pergi menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia di pejabat hotel bersama-sama pekerja-pekerja hotel. Aku tidak menonton sama kerana terlalu penat. Aku cuma turun ke bawah untuk menggunakan internet buat beberapa minit untuk meng’update’ Facebook.

Sedang aku menggunakan internet, Shafiq datang kepada aku untuk berkatakan sesuatu. Dia berkata yang dia hendak ke kedai Aria Jeans semula esok untuk menempah sehelai seluar untuk adiknya pula atas permintaan ibunya. Menurutnya, seluar itu boleh disiapkan pada hari esok juga, sebelum pukul 4.00 petang. Dia sudah pun memberitahu Syahir akan hal itu & menurutnya Syahir hanya menurut kata aku. Jika aku bersetuju, dia pun bersetuju. Aku sebenarnya agak berat hati untuk bersetuju dengan kehendaknya itu kerana aku takut untuk mengambil risiko. Ini kerana kami bertiga akan ke Yogyakarta petang esok. Keretapi kami ke sana dijadualkan bertolak pada pukul 5.00 petang. Aku bimbang sekiranya seluar yang hendak ditempahnya esok itu tidak dapat disiapkan sebelum puku 4.00 petang. Sudah tentu ia akan membawa masalah kepada kami.

Shafiq walau bagaimanapun tetap yakin yang seluar itu dapat disiapkan sebelum pukul 4.00 petang. Aku tidak tergamak untuk menghalangnya. Aku hanya boleh memberi syarat kepadanya. Syaratnya ialah kami akan sama-sama akan ke kedai Aria Jeans itu seawal pukul 10.00 pagi esok, iaitu waktu kedai itu mula dibuka. Kami akan bertanya kepada pemilik kedai sama ada seluar yang hendak ditempah boleh disiapkan sebelum pukul 4.00 petang. Sekiranya tidak dapat disiapkan pada waktu itu, Shafiq perlu membatalkan hasratnya. Itu sahaja yang mampu aku lakukan sebagai ketua ekspedisi untuk berlaku adil. Selepas selesai menggunakan internet, aku kembali ke bilik untuk melelapkan mata.

Bersambung...

1 buah komen:

MULAN Thursday, March 17, 2011 at 12:30:00 PM GMT+8  

ohhoo... rumah mode yg tersohor itu.. ada batagor kat food court cafe situ, sedap..

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP