TRaVeLoG SiNGaPuRa (BaHaGiaN II)

>> Wednesday, December 07, 2011



Hari 1: 20 JULAI 2010

Aku bertolak dari Batu Pahat ke kota Singapura dengan menaiki bas ekspres. Bas mula bertolak lebih kurang pukul 8.00 pagi. Perjalanan dengan menaiki bas mengambil masa lebih kurang 3 jam lamanya. Bas tersebut melalui Tambak Johor, laluan yang menghubungkan Johor Bahru di Malaysia & Woodlands di Singapura. Terdapat 2 buah kompleks imigresen di situ, yang dimiliki oleh negara masing-masing. Urusan imigresen aku berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Tambak Johor yang mempunyai kepanjangan 1,056 meter ini berfungsi sebagai jalanraya, jalan keretapi, jalan pejalan kaki & juga penyaluran paip air dari Malaysia ke Singapura. Ianya siap dibina pada tahun 1923 & merupakan laluan pertama yang menghubungkan Malaysia & Singapura. Laluan kedua, iaitu Link Kedua Malaysia-Singapura siap dibina pada tahun 1998 yang menghubungkan Tanjung Kupang di Johor, Malaysia & Tuas di Singapura.


Tambak Johor

Bas yang aku naiki tiba di kota Singapura pada lebih kurang pukul 11.00 pagi. Sesampainya aku di situ, aku terus menghantar sms kepada Auntie Elle, menyatakan yang aku sudah tiba di Singapura. Memandangkan tiada sesiapa di rumahnya kerana dia masih lagi bekerja, maka aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan dahulu di sekitar kota ini. Mujurlah beg yang aku galas kecil & tidak berat. Aku mengelilingi kota ini dengan menaiki MRT, sistem pengangkutan bawah tanah yang merupakan sistem pengangkutan awam yang paling utama di negara ini yang mula berfungsi sejak tahun 1987. Hampir setiap tempat di negara ini dilalui oleh MRT. MRT Singapura merupakan sistem pengangkutan metro yang kedua tertua di Asia Tenggara selepas LRT Manila di Filipina.


Peta MRT Singapura


MRT Singapura

Destinasi pertama di kota Singapura yang aku jejaki ialah Cavenagh Bridge, satu-satunya jambatan gantung yang terdapat di Singapura & antara jambatan yang tertua di negara ini. Jambatan ini dinamakan bersempena dengan nama Gabenor Negeri-Negeri Selat yang bernama William Orfeur Cavenagh yang berkhidmat dari tahun 1859 hingga 1867. Ianya mulai dibuka pada tahun 1870 oleh pihak British untuk laluan kenderaan awam. Walau bagaimanapun, disebabkan kesesakan lalu lintas yang melampau, jambatan baru yang lebih besar & kukuh, iaitu Anderson Bridge dibina pada tahun 1910, yang terletak tidak jauh darinya & Cavenagh Bridge ini ditukar fungsinya menjadi jambatan untuk laluan pejalan kaki sahaja.

Pada masa kini, jambatan sepanjang 79.25 meter ini menghubungkan Cultural District di bahagian utara & Commercial District di bahagian selatan, merentangi Sungai Singapura. Terdapat satu papan tanda yang melarang kuda & lembu melalui jambatan ini yang masih kekal di tempat asalnya sehingga kini. Jambatan ini sememangnya mempunyai senibina yang amat unik & cantik. Pemandangan di sekitarnya juga indah dengan panorama bangunan-bangunan pencakar langit yang terletak bersebelahan dengan jambatan tersebut. Sungai Singapura yang mengalir di bawahnya juga sangat bersih & tidak terdapat satu sampah pun yang kelihatan. Kebersihannya amat-amat terpelihara. Kagum sekali aku.


Cavenagh Bridge, Singapura


Cavenagh Bridge, Singapura


Cavenagh Bridge, Singapura


Cavenagh Bridge, Singapura


Anderson Bridge, Singapura


Anderson Bridge, Singapura


Sungai Singapura & bangunan-bangunan pencakar langit, Singapura


Sungai Singapura & bangunan-bangunan pencakar langit, Singapura


Sungai Singapura & bangunan-bangunan pencakar langit, Singapura


Bangunan-bangunan pencakar langit, Singapura

Berhampiran dengan Cavenagh Bridge, di bahagian Commercial District, terletak sebuah hotel mewah lima bintang yang bernama Fullerton Hotel. Bangunan setinggi 9 tingkat ini pada awalnya dikenali sebagai Fullerton Building yang siap dibina pada tahun 1928. Ianya dinamakan bersempena dengan nama Gabenor Negeri-Negeri Selat yang pertama, iaitu Robert Fullerton yang berkhidmat dari tahun 1826 hingga tahun 1829. Pada awalnya, bangunan ini mempunyai 5 penyewa, iaitu General Post Office, The Exchange, Singapore Club, Marine Department & Import and Export Department. Ianya hanya berfungsi sebagai sebuah hotel mewah mulai tahun 2001. Senibinanya yang bercirikan senibina Inggeris amat mengagumkan.


Fullerton Hotel, Singapura


Fullerton Hotel, Singapura


Fullerton Hotel, Singapura

Seterusnya, aku berjalan menuju ke Merlion Park yang terletak di pinggiran Mariana Bay, antara lokasi tarikan pelancong yang paling utama di kota Singapura. Di Merlion Park inilah letaknya patung haiwan singa laut yang menjadi simbol kepada Singapura. Patung haiwan singa laut ini berkepala singa & berbadan ikan, memancutkan air keluar dari mulutnya. Patung ini mula dirasmikan pada tahun 1972 oleh Perdana Menteri Singapura yang pertama, iaitu Lee Kuan Yew. Lokasi asalnya ialah berdekatan dengan Fullerton Hotel. Namun, selepas pembinaan Espalanade Bridge pada tahun 1997, patung ini dipindahkan ke lokasi sekarang pada tahun 2002. Aku menghabiskan masa yang agak lama untuk bergambar di sini. Pemandangannya yang berlatar belakangkan bangunan-bangunan pencakar langit tersangatlah menakjubkan.


Marina Bay, Singapura


Papan tanda ke Merlion Park, Singapura


Merlion Park, Singapura


Merlion Park, Singapura


Merlion Park, Singapura


Merlion Park, Singapura


Merlion Park, Singapura


Merlion Park, Singapura


Merlion Park, Singapura

Dari Merlion Park juga kelihatan kompleks bangunan Marina Bay Sands, sebuah resort casino mewah yang merupakan casino yang terbesar & termahal sekali di dunia. Kompleks tiga blog bangunan ini siap dibina sepenuhnya & dirasmikan pembukaannya pada 17 Februari 2011. Resort casino ini mempunyai 2,561 buah bilik hotel, 120,000 meter persegi pusat konvensyen & pameran, 74,000 meter persegi pusat membeli-belah The Shoppes at Marina Bay Sands Mall & banyak lagi daya tarikan yang menarik. Di puncak bangunan-bangunan ini pula terdapat SkyPark yang berbentuk seperti sebuah kapal yang mempunyai kepanjangan 340 meter yang boleh memuatkan 3,900 orang & sebuah kolam renang sepanjang 150m. Senibina kompleks bangunan Marina Bay Sands ini amat unik & satu-satu yang sepertinya di seluruh dunia. Rupanya seperti seolah-olah sebuah kapal sedang tersadai di atas 3 buah bangunan.


Marina Bay Sands, Singapura

Seterusnya, aku kembali ke Cavenagh Bridge & menyeberanginya untuk ke Cultural District di mana terletaknya kompleks bangunan Victoria Theatre and Concert Hall. Kompleks yang bercirikan senibina Inggeris ini siap dibina sepenuhnya pada tahun 1919, terdiri daripada 2 buah bangunan & sebuah menara jam. Kedua-dua bangunan tersebut disambungkan dengan sebuah korridor. Sewaktu Perang Dunia Kedua, kompleks ini digunakan sebagai hospital untuk merawat mereka yang tercedera akibat pengeboman yang dilakukan oleh tentera Jepun. Seterusnya, pada tahun 1954, ianya menjadi tempat di mana People’s Action Party diasaskan. Kompleks ini kemudiannya mengalami beberapa kali revonasi. Renovasi pertama dilakukan pada tahun 1954 di mana ianya mula dijadikan sebagai sebuah teater dengan nama Victoria Theatre. Renovasi seterusnya dilakukan pada tahun 1979 & nama kompleks ini mulai ditukar kepada Victoria Theatre & Concert Hall. Kompleks ini telah digezetkan menjadi monumen negara Singapura pada bulan Februari 1992.


Victoria Theatre and Concert Hall, Singapura

Aku kemudiannya berjalan menyusuri pinggiran Sungai Singapura di bahagian Cultural District & tiba di Raffles’ Landing Site, di kawasan Boat Quay. Di sinilah tempatnya di mana Sir Stamford Raffles, “Father of Singapore” dikatakan mula menjejakkan kakinya di bumi Singapura, iaitu pada tanggal 29 Januari 1819. Terdapat patung Sir Stamford Raffles di sini & pada patung tersebut tertulis inskripsi “On this historic site, Sir Thomas Stamford Raffles first landed in Singapore on 28th January 1819, and with genius and peception changed the destiny of Singapore from an obscure fishing village to a great seaport and modern metropolis.”


Patung Sir Stamford Raffles di Raffles’ Landing Site, Singapura


Inskripsi pada patung Sir Stamford Raffles di Raffles’ Landing Site, Singapura

Setelah bergambar dengan patung Sir Stamford Raffles di Raffles’ Landing Site, aku berjalan kaki lagi menyusuri Sungai Singapura untuk ke kompleks bangunan Parlimen Singapura. Kompleks bangunan yang turut terletak di bahagian Culture District ini siap dibina pada tahun 1999, bagi menggantikan bangunan Parlimen lama yang terletak tidak jauh darinya. Kompleks bangunan baru ini mempunyai 3 buah blok bangunan, iaitu Chamber Block, Front Block & Public Block. Tidak jauh dari kompleks bangunan Parlimen ini, terletak pula kompleks bangunan Supreme Court of the Republic of Singapore, iaitu Mahkamah Agung Singapura.


Kompleks Parlimen Singapura


Kompleks Parlimen Singapura


Kompleks Parlimen Singapura


Supreme Court of the Republic of Singapore, Singapura

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


3 buah komen:

MULAN Wednesday, December 7, 2011 8:41:00 PM GMT+08:00  

alaa.. dah 2 tahun tak pi spore.. bila nak round Kota Singa ni lagi..

Ezad Skytech Monday, December 12, 2011 1:28:00 AM GMT+08:00  

belum pernah jejakkan lagi kaki ke Singapore...bila la dapat ke sana agaknya..

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP