TRaVeLoG SiNGaPuRa (BaHaGiaN I)

>> Tuesday, December 06, 2011



Sudah lama sebenarnya aku berhajat untuk ke negara jiran yang paling dekat dengan negara kita, iaitu Singapura. Memandangkan pada waktu tersebut aku mempunyai masa terluang yang lama sebelum aku mula bekerja sebagai doktor pelatih, maka aku tidak melepaskan peluang yang ada untuk menjejakkan kaki aku ke negara tersebut. Aku ke sana seorang diri sahaja tanpa bertemankan sesiapa. Lebih selesa berjalan-jalan sendiri kerana bebas ke mana-mana sahaja tanpa menyusahkan pihak yang lain.

Aku berada di Singapura selama 4 hari 3 malam, iaitu dari 20 Julai 2010 hingga 23 Julai 2010. Aku bertolak ke kota Singapura dari Batu Pahat, Johor. Di Batu Pahat, aku bermalam selama 2 malam di rumah Jem, sahabat baik aku. Dari Batu Pahat, aku kemudiannya bertolak ke kota Singapura dengan menaiki bas ekspres pada waktu pagi. Di Singapura, aku bermalam di rumah Auntie Elle, kenalan aku di dunia blogging & juga di Facebook. Sudah agak lama juga sebenarnya dia mengajak aku untuk singgah ke rumahnya di Singapura. Aku pun menggunakan kesempatan yang ada untuk berkenalan dengannya secara lebih dekat. Mujurlah anak saudara lelakinya, Hadi ada bersama di rumahnya pada waktu itu. Maka tidak seganlah aku untuk tumpang bermalam di rumahnya. Selepas menghabiskan masa selama 4 hari 3 malam di Singapura, aku kembali pulang ke Malaysia dengan menaiki pesawat Air Asia ke Lapangan Terbang Pulau Pinang yang letaknya lebih kurang sejam perjalanan sahaja dari rumah aku di Parit Buntar.

Singapura adalah salah sebuah negara jiran yang terletak amat hampir dengan negara kita, Malaysia. Ianya adalah sebuah pulau kecil yang terletak di penghujung selatan Semenanjung Malaysia, dipisahkan dari negeri Johor oleh Selat Johor atau turut dikenali dengan nama Selat Tebrau. Di bahagian selatan pulau ini pula adalah Selat Singapura yang memisahkannya dengan kepulauan Riau, Indonesia. Negara ini terdiri daripada sebuah pulau utama yang turut dikelilingi oleh 62 lagi pulau-pulau kecil di sekelilingnya. Keluasannya negara ini menjangkau 694 kilometer persegi, menjadikannya antara negara yang terkecil di dunia. Zon waktunya pula sama seperti Malaysia, iaitu 8 jam lebih awal berbanding waktu GMT.


Kedudukan Singapura dalam peta Asia Tenggara


Peta Singapura


Bendera Singapura

Singapura mempunyai jumlah penduduk seramai 5.18 juta orang. Walau bagaimanapun hanya 3.25 juta orang (63%) sahaja yang merupakan warganegara Singapura. Yang selebihnya, iaitu 37% daripada jumlah penduduknya merupakan warganegara asing. Kepadatan penduduknya pula ialah 7,100 orang per km persegi, menjadikannya negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang kedua tertinggi di dunia selepas Monaco. 74.2% daripada warganegara Singapura adalah daripada bangsa Cina, yang membentuk majoriti jumlah penduduk. Yang selebihnya adalah bangsa Melayu (13.4%), bangsa India (9.2) & Eurasian (3.2%).

Negara Singapura mempunyai empat bahasa rasmi, iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin & Bahasa Tamil. Disebabkan itulah kebanyakan papan tanda di negara ini ditulis dalam empat bahasa. Bahasa Inggeris adalah bahasa yang paling penting & yang paling utama digunakan. Ianya digunakan dalam perniagaan, pentadbiran kerajaan, rang undang-undang & juga sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah & universiti-universiti. Bahasa Melayu pula adalah bahasa kebangsaan Singapura memandangkan penduduk asal negara ini adalah orang-orang Melayu. Lagu kebangsaan Singapura, iaitu “Majulah Singapura” adalah dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga turut digunakan dalam ketenteraan. Walau bagaimanapun, pada masa kini, hanya 16% sahaja daripada jumlah penduduknya yang boleh berbahasa Melayu dengan fasih. Majoritinya adalah daripada bangsa Melayu sendiri.


Sebuah papan tanda di Singapura

Sistem pemerintahan yang dipraktikkan di negara ini ialah sistem Republik yang diketuai oleh Presiden & dibantu oleh Perdana Menteri. Pada masa kini, Singapura merupakan salah satu daripada 4 kuasa ekonomi yang terbesar di benua Asia, termasuk Taiwan, Korea Selatan & Hong Kong. Keempat-empat negara ini dikenali sebagai “Four Asian Tigers”. Pelabuhannya juga adalah antara yang tersibuk di dunia. Matawang yang digunakan ialah Dolar Singapura. 1 Dolar Singapura bersamaan dengan RM2.50.

Dari sudut sejarah, Singapura dipercayai mula dihuni oleh manusia pada kurun ke-2 Masihi. Nama lamanya ialah Temasik. Ia pernah menjadi sebahagian daripada Empayar Srivijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera dari kurun ke-7 hingga kurun ke-13. Seterusnya, ia menjadi sebahagian daripada Empayar Melaka pada kurun ke-15 yang kemudiannya digantikan dengan Kesultanan Johor-Riau sekitar kurun ke-16 hingga awal kurun ke-19. Sir Stamford Raffles, salah seorang ahli politik terkenal yang berasal dari England telah tiba di pulau Singapura pada tahun 1819. Beliau telah menandatangani perjanjian dengan Sultan Johor yang memerintah pada waktu itu, iaitu Sultan Hussein Shah bagi pihak Kompeni Hindia Timur Inggeris untuk membangunkan bahagian selatan pulau tersebut sebagai pusat perdagangan British di bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu. Disebabkan itu, beliau telah digelar sebagai "Father of Singapore".


Sir Stamford Raffles

Keseluruhan pulau Singapura hanya menjadi milik Kompeni Hindia Timur Inggeris sepenuhnya pada tahun 1824 selepas mereka menandatangani satu lagi perjanjian dengan Sultan Johor tersebut. Pada tahun 1826, British menjadikan Singapura sebagai salah satu daripada Negeri-Negeri Selat yang merangkumi Singapura, Pulau Pinang & Melaka. Singapura dijadikan pusat pemerintahan Negeri-Negeri Selat pada tahun 1836. Sewaktu pemerintahan Britishlah orang-orang Cina mula diimport dari negara China untuk bekerja di sini. Masyarakat Melayu yang pada mulanya merupakan majoriti penduduk akhirnya diatasi oleh orang-orang Cina.

Singapura kemudiannya telah ditawan oleh tentera Jepun pada bulan Februari 1942, sewaktu kehangatan Perang Dunia Kedua yang berlangsung dari tahun 1941 hingga 1945. British hanya berjaya mendapatkan semula Singapura pada bulan September 1945 selepas Jepun menyerah kalah dalam perang tersebut. Pilihanraya pertama Singapura telah diadakan pada tahun 1955 & dimenangi oleh Parti Buruh yang dipimpin oleh David Marshall. Beliau cuba mendapatkan kemerdekaan Singapura daripada British, namun usahanya gagal. Beliau kemudiannya digantikan oleh Lim Yew Hock yang akhrinya berjaya meyakinkan pihak British untuk memberikan Singapura peluang untuk pemerintahan sendiri dalam semua perkara kecuali pertahanan & hubungan luar.

Pilihanraya yang berlangsung pada tahun 1959 kemudiannya dimenangi oleh People’s Action Party atau Parti Tindakan Rakyat yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew. Mulai dari saat itu, Singapura mulai diberi kepercayaan untuk memerintah sendiri oleh pihak British. Lee Kuan Yew dijadikan Perdana Menteri yang pertama. Yang di-Pertuan Negara pula adalah Sir William Allmond Codrington Goode. Singapura kemudiannya telah bergabung dengan Malaya, Sabah & Sarawak untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963. Walau bagaimanapun, disebabkan perbezaan ideologi antara Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman dengan Ketua Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965. Setelah dikeluarkan dari Malaysia, Lee Kuan Yew dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura yang pertama. Yusof Ishak pula dilantik menjadi Presiden Singapura yang pertama.


Lee Kuan Yew


Yusof Ishak

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


6 buah komen:

atuk Tuesday, December 6, 2011 at 9:34:00 PM GMT+8  

Assalamualaikum Dr

lama saya tidak kemari....

saya pun belum pernah menjejakkan kaki ke kota singa tu..

Wassalam

pinkgarage81 Tuesday, December 6, 2011 at 10:33:00 PM GMT+8  

Besh jalan2 kat Singapore... Pemandu kat Singapore sangat berhemah...

Penjejak Mimpi Wednesday, December 7, 2011 at 7:47:00 AM GMT+8  

Salam kenal dan singgah. Banyak pengalaman Dr ek.. Menarik dapat melancong ke serata dunia.. :)

Irfa Wednesday, December 7, 2011 at 12:44:00 PM GMT+8  

hai..
jarang2 singgah sini :-)
baca blog ni macam baca buku sejarah tapi bezanya ia tak membosankan.penggunaan bahasa yang menarik

Man Saturday, December 17, 2011 at 11:38:00 AM GMT+8  

Perbezaan pendapat Tunku Abd. Rahman & Lee Kuan Yew merupakan punca Singapura keluar /dikeluarkan? Yg mana satu bro? Mohon pencerahan

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP