iCeLaND: BuMi ViKiNG (BHG VIII/aKHiR) - BLue LaGooN & ePiLoG

>> Saturday, March 13, 2010



Hari 5: 1 SEPTEMBER 2008

Hari ini bersamaan dengan 1 Ramadhan 1429H, hari pertama umat Islam di sesetengah negara termasuk Ireland menunaikan ibadah puasa Ramadhan pada tahun ini. Dan hari ini juga adalah hari terakhir aku & Muaz di bumi Iceland. Kami akan meninggalkan negara ini pada waktu petang nanti. Akan tetapi, sebelum berpijak di Lapangan Terbang Keflavik, kami akan singgah dahulu di Blue Lagoon, sebuah lagun yang berunsurkan ‘geothermal spa’ yang terletak dalam perjalanan ke lapangan terbang tersebut. Kami mengambil pakej tour Reykjavik Excursions untuk ke Blue Lagoon. Pakej tersebut termasuk sekali dengan pengangkutan terus ke Lapangan Terbang Keflavik dari lagun itu selepas lebih kurang 2 jam menghabiskan masa di situ. Kami menempah pakej itu melalui internet sewaktu di Dublin.


Peta kedudukan Blue Lagoon di dalam Iceland

Selepas selesai mengemaskan diri & beg-beg, aku & Muaz pun terus mendaftar keluar dari hostel yang kami tumpangi & berjalan kaki menuju ke stesen bas Reykjavik. Setibanya kami di stesen bas itu, bas yang kami nantikan sudah sedia ada di situ. Lalu, kami pun terus masuk ke dalamnya. Bas tersebut bertolak tepat pada pukul 11.00 pagi. Ia tiba di Blue Lagoon 45 minit kemudian.

Apabila sudah tiba di Blue Lagoon, kami meninggalkan beg-beg kami di dalam bas kerana kami akan menaiki bas yang sama untuk ke lapangan terbang nanti. Kami cuma membawa bersama-sama kami barang-barang berharga sahaja seperti dompet, passport & kamera. Tiket untuk masuk ke dalam Blue Lagoon termasuk sekali dalam pakej yang kami ambil. Oleh itu, kami tidak perlu lagi membayar apa-apa.

Aku & Muaz kemudiannya menyewa seluar mandi. Sebelum boleh mandi di dalam lagun tersebut, semua pengunjung dikehendaki membersihkan badan terlebih dahulu dengan mandi di dalam bilik air yang disediakan. Kami mengikut sahaja peraturan yang dikenakan. Selepas mandi di dalam bilik air tersebut, kami menyimpan barang-barang berharga kami di dalam loker yang disediakan. Kami cuma membawa kamera sahaja ke kawasan lagun. Sesampainya kami di kawasan lagun, kami pun terus melompat masuk ke dalamnya. Hahaha.

Aku & Muaz mandi sepuas yang mungkin di dalam Blue Lagoon tersebut yang sememangnya agak panas & menyegarkan. Kami sempat juga menyapu muka & badan kami dengan lumpur-lumpur yang terdapat di dalam lagun ini. Ia dikatakan boleh menyihatkan kulit badan & muka. Ramai sekali pengunjung yang bermandi-manda di dalam lagun ini. Di tengah-tengahnya, kelihatan kepulan-kepulan wap putih. Kami cuba ke kawasan tersebut. Ternyata, air di situ lebih panas berbanding air di pinggir lagun.

Blue Lagoon adalah antara daya tarikan utama pelancong di Iceland. Air panas yang terkandung di dalam lagun ini mempunyai suhu setinggi 40 darjah celcius. Air panas tersebut disalurkan dari kilang janakuasa elektrik berhampiran. Kilang itu menggunakan lava yang terhasil dari perut bumi untuk memanaskan air bagi menjana kuasa elektrik. Air tersebutlah yang kemudiannya disalurkan ke Blue Lagoon. Maka, air tersebut amat kaya dengan kandungan mineral seperti silika & sulfur. Ia dikatakan mampu mengubati penyakit-penyakit kulit seperti psoriasis.

Kami menghabiskan masa hampir 2 jam lamanya di dalam lagun tersebut. Kami sempat mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan & untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan. Kepanasan air di dalam lagun ini menyebabkan kami berasa amat selesa & jikalau boleh, kami tidak mahu keluar dari dalamnya. Walau bagaimanapun, kami tetap perlu mengejar masa kerana bas yang sedang menunggu kami di luar akan bertolak ke lapangan terbang pada pukul 2.15 petang nanti.


Pintu masuk Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Blue Lagoon, Iceland


Menyapu lumpur di muka di Blue Lagoon, Iceland

Lebih kurang pukul 1.45 tengah hari, iaitu selepas hampir 2 jam kami bermandi-manda di dalam lagun tersebut, kami pun terus melangkah menuju ke bilik mandi utk membersihkan diri & kemudiannya menyalin pakaian. Selepas barang-barang kami diambil dari loker, kami pun terus keluar & menunggu berhampiran dengan bas. Tidak berapa lama kemudian, pintu bas pun dibuka & semua penumpang masuk ke dalamnya. Beberapa ketika selepas itu, bas pun mulai bergerak menuju ke Lapangan Terbang Keflavik. Lebih kurang pukul 2.35 petang, kami pun tiba di lapangan terbang tersebut.

Kami kemudiannya terus mendaftar masuk, melalui zon pemeriksaan sekuriti & menunggu di pintu perlepasan. Penerbangan Icelandair kami ke London dijadualkan berlepas pada pukul 4.10 petang. Walau bagaimanapun, seketika kemudian, satu pengumuman telah dibuat. Penerbangan kami terpaksa ditunda ke pukul 5.10 petang kerana terdapat masalah teknikal. Ramai penumpang mengeluh, termasuklah kami berdua. Kami tiada pilihan lain selain daripada menunggu. Sambil kami berdua menunggu, kami berbual-bual dengan seorang lelaki warganegara United Kingdom yang pernah menetap di Sarawak selama beberapa tahun. Dia menceritakan tentang keseronakannya tinggal di Sarawak. Kami yang tengah bosan menunggu berasa terhibur pula mendengar ceritanya.

Tidak berapa lama kemudian, kesemua penumpang pun dipanggil masuk ke dalam pesawat. Lebih kurang pukul 5.45 petang, barulah penerbangan Icelandair itu berlepas menuju ke London. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam lamanya. Kami berbuka puasa di dalam pesawat. Lebih kurang pukul 9.45 malam waktu tempatan United Kingdom, kami pun tiba di Lapangan Terbang Heathrow dengan selamat.

Pengalaman selama lebih kurang 4 hari di bumi Iceland adalah antara pengalaman unik yang amat sukar untuk aku lupakan. Ini adalah pengalaman pertama aku menjejakkan kaki di sebuah negara yang mempunyai gunung-gunung berapi yang masih lagi aktif & juga yang seringkali dilanda kejadian gempa bumi. Mujurlah tiada kejadian buruk menimpa kami sewaktu berada di sana. Syukur kepada Allah SWT. Ini juga adalah pengalaman pertama aku ke negara yang kedudukan geografinya terletak di barat negara Ireland & juga yang amat hampir dengan Garisan Artik.

Secara jujurnya, Iceland adalah negara yang mempunyai lanskap yang paling cantik sekali yang pernah aku kunjungi. Ianya mungkin sama dengan New Zealand, walaupun aku belum pernah ke negara Kiwi itu. Ternyata, Allah SWT itu Maha Adil. Walaupun negara Iceland, New Zealand & beberapa lagi negara lain yang seangkatan dengannya seringkali ditimpa bencana letusan gunung berapi & gempa bumi, negara-negara tersebut mempunyai lanskap yang bersih, indah & menakjubkan. Tidak hairanlah ramai pelancong berpusu-pusu berkunjung ke Iceland walaupun kos pengangkutan untuk ke negara itu & kos perbelanjaan di situ agak mahal. Mereka semua datang semata-mata untuk menyaksikan sendiri kecantikan alam semulajadi yang ada di bumi tersebut.

Walaupun banyak wang aku telah dihabiskan untuk merealisasikan hajat aku untuk menjejakkan kaki di Iceland, aku tidak pernah menyesal. Sesungguhnya, setiap pengalaman yang aku kutip sewaktu berada di sana lebih tinggi nilainya daripada berbillion wang yang ada di muka bumi ini.

TAMAT. Selepas ini, nantikan pula Travelog Manchester & Liverpool. InsyaAllah...

4 buah komen:

MaUt Saturday, March 13, 2010 at 10:11:00 PM GMT+8  

jauh perjalanan, luas pengalaman..
menariknya blue lagoon ni..

yang belakang berkepul2 tu semua wap ke? subhanAllah

miss phil Wednesday, April 16, 2014 at 1:56:00 PM GMT+8  

salam,

my fren n i went there last year n it was a great vacation i ever had.. Iceland is a stunningly beautiful place with incredible nature.. witnessing the aurora is so surreal...i really miss this place.. if ade rezeki, I hope i can go there again :))

miss phil Wednesday, April 16, 2014 at 1:56:00 PM GMT+8  

salam,

my fren n i went there last year n it was a great vacation i ever had.. Iceland is a stunningly beautiful place with incredible nature.. witnessing the aurora is so surreal...i really miss this place.. if ade rezeki, I hope i can go there again :))

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP