SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXIV) - iNTeRMiSSioN III

>> Wednesday, September 08, 2010



Hari 16: 1 JUN 2009

Hari ini adalah hari terakhir aku di Damsyik, Syria. Aku akan pulang ke Irbid, Jordan waktu tengah hari nanti. Pada waktu pagi, aku hanya berlepak-lepak di rumah Ikhwan sahaja. Ikhwan awal-awal pagi lagi sudah keluar ke kuliahnya. Kemudiannya, sebelum masuk waktu Zohor, dia pun pulang semula. Selepas menunaikan solat, aku pun bersedia untuk meninggalkan rumah Ikhwan. Sebelum keluar dari rumahnya, aku sempat mengambil gambar bersamanya & juga ahli rumahnya, Amni.


Bersama Amni & Ikhwan di rumah mereka di Damsyik, Syria

Selepas itu, Ikhwan membawa aku ke stesen bas. Aku akan menaiki bas mini untuk ke sebuah bandar kecil di dalam Syria yang bernama Dar’a yang terletak di sempadan Syria-Jordan. Kemudian, dari Dar’a barulah aku akan menaiki teksi untuk melintasi sempadan Syria-Jordan untuk ke Irbid. Cara itu adalah lebih murah daripada terus mengambil teksi dari Damsyik ke Irbid. Sebelum menaiki bas mini itu, aku bersalam-salaman dahulu dengan Ikhwan. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi menumpangkan aku di rumahnya selama berhari-hari. InsyaAllah kami akan berjumpa lagi suatu hari nanti.

Perjalanan dari Damsyik ke Dar’a dengan bas mini tersebut memakan masa lebih kurang sejam. Apabila tiba di Dar’a, konduktor tiket bas mini itu membawa aku berjumpa pemandu teksi yang akan membawa aku melintasi sempadan Syria-Jordan untuk ke Irbid. Aku seorang sahaja yang hendak ke Irbid. Bas mini yang aku naiki tadi kemudiannya meneruskan perjalanannya ke destinasinya. Pemandu teksi itu membawa aku ke teksinya & kami terus bergerak. Tidak lama kemudian, kami pun tiba di sempadan Syria-Jordan. Aku terpaksa menyelesaikan urusan imigresen & visa. Untuk keluar dari Syria, aku tidak perlu membayar apa-apa. Untuk masuk ke Jordan, aku terpaksa membayar sekali lagi visa masuk. Sewaktu di pusat imigresen Syria, aku berjumpa lagi dengan pakcik & anaknya yang aku jumpa di Umayyad Mosque tempoh hari. Hahaha. Tak sangka kami akan bertemu lagi. Pakcik itu rupa-rupanya adalah ketua satu rombongan dari Malaysia yang menjelajah bumi Jordan & Syria.

Selepas selesai semua urusan imigresen & visa, aku & pemandu teksi itu akhirnya memasuki negara Jordan. Lega rasanya kerana aku berjaya kembali semula ke Jordan tanpa apa-apa masalah sewaktu di sempadan. Walau bagaimanapun, beberapa minit kemudian, pemandu teksi itu menurunkan aku di suatu tempat yang aku tidak ketahui. Menurutnya, aku sudah tiba di Irbid. Aku dengan rasa bingung terus keluar dari teksinya & membayar tambang. Aku sebenarnya amat yakin yang aku belum lagi tiba di Irbid. Pemandu teksi tadi terus memecut teksinya meninggalkan aku dalam kebingungan.

Dalam keadaan terdesak, aku bertanya kepada seorang pemandu teksi di situ, sama ada aku sedang berada di Irbid. Pemandu teksi itu menjawab yang Irbid terletak lebih kurang 30 minit dari tempat tersebut. Aku dengan rasa marahnya menyumpah-nyumpah pemandu teksi yang membawa aku dari Dar’a tadi. Sekali lagi aku telah ditipu oleh pemandu teksi. Beginilah rencah hidup pemandu-pemandu teksi di negara-negara Arab yang mundur, terutamanya Syria. Sanggup menipu untuk wang. Aku sebenarnya berasa lega apabila aku tiba di Jordan kerana menurut pelajar-pelajar Malaysia di sini, pemandu-pemandu teksi di Jordan kebanyakannya bukan kaki penipu.

Aku seterusnya meminta pemandu teksi itu membawa aku ke Irbid. Aku terus masuk ke dalam teksinya & kemudiannya dia terus membawa aku ke destinasi tujuan aku. Setibanya aku di Irbid, aku memintanya menurunkan aku di Syari’ Jami'ah yang terletak berdekatan dengan flat Hariz. Selepas membayar tambang yang agak murah, aku pun terus berjalan menuju ke flat tersebut. Dalam masa lebih kurang 20 minit sahaja, aku sudah tiba di hadapan pintu apartmen Hariz. Aku lantas terus memberi salam & mengetuk pintu apartmennya itu dengan harapan salah seorang daripada penghuninya ada di dalam. Alhamdulillah. Yang menjawab salam & membuka pintu adalah Hariz sendiri. Dia pada waktu itu sedang mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan esok hari. Penghuni-penghuni yang lain masih belum pulang dari universiti. Hariz agak terkejut melihat aku yang berjaya pulang ke rumahnya tanpa pertolongan sesiapa. Hahaha. Aku kan pengembara hebat. Hehehe.


Peta perjalanan Damsyik-Dar'a-Irbid

Sambil berehat-rehat di dalam biliknya, aku bercerita tentang semua pengalaman aku di Syria, di Lubnan & perjalanan aku dari Damsyik ke Irbid. Dia begitu tekun mendengar sambil mengulangkaji pelajarannya. Apabila sudah puas bercerita, aku melelapkan mata buat seketika kerana terlalu penat & hendak memberi peluang kepada Hariz untuk mengulangkaji pelajarannya untuk peperiksaan esok.

Apabila sudah hampir tiba waktu Maghrib, Hariz mengejut aku untuk ke masjid di Yarmouk University. Sebelum ke masjid, aku mandi membersihkan diri dulu. Kemudian, barulah kami berdua bergerak bersama-sama menuju ke masjid tersebut. Di masjid itu, aku bertemu semula dengan mereka-mereka yang sudah berkenalan dengan aku sepanjang aku berada di bumi Irbid dahulu. Antaranya ialah Azam, rakan sekelas Hariz. Selepas solat Maghrib, mereka berdua membawa aku ke sebuah restoran untuk makan malam. Mereka membelanja aku makan. Hahaha. Terharu sungguh. Kami menghabiskan masa yang agak lama di situ, berbual-bual mengenai banyak perkara. Malam ini sebenarnya adalah malam terakhir aku di Irbid. Aku akan ke Amman esok harinya untuk menaiki pesawat pulang ke Dublin.

Setelah puas berbual-bual, kami bertiga kembali semula ke flat Hariz. Sebelum masuk ke dalam apartmennya, kami singgah dahulu di apartmen Dziya & penghuni-penghuninya yang lain, iaitu Poey & Ibrahim. Lagipun, Hariz terlupa membawa kunci apartmennya & pada waktu itu tiada sesiapa di dalamnya. Kami bertiga lepak-lepak di dalam bilik Dziya yang kebetulannya baru bangun dari tidur sewaktu kami tiba. Dia baru sahaja hendak menyambung semula mengulangi pelajarannya untuk peperiksaan esok. Hariz, Dziya & Azam berbincang-bincang mengenai pelajaran mereka. Aku turut menyampuk sedikit-sedikit. Namun, apabila mata aku sudah mula layu, aku meminta diri untuk pulang ke apartmen Hariz. Hariz tidak pulang bersama kerana hendak meneruskan perbincangan mereka. Aku pulang seorang diri. Mujurlah Hadi ada di dalam apartmen untuk membuka pintunya. Aku berbual-bual sebentar dengannnya sebelum aku menunaikan solat Isyak & terus tidur.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


1 buah komen:

chekdenoor Thursday, September 9, 2010 at 7:15:00 AM GMT+8  

Selamat Menyambut Hari Lebaran.
Mudah-mudahan, kita semua memperolehi keberkatan.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP