SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXVIII) - BoSRa II

>> Wednesday, September 01, 2010



Selepas melawat Buheira Cathedral yang pernah dijejaki oleh Rasulullah SAW itu, kami kemudiannya berjalan keluar dari kawasan Bosra Citadel. Kami seterusnya singgah di restoran yang berhampiran dengannya untuk makan tengah hari. Bekalan makanan tengah hari telah pun disediakan oleh Syazwan & ketiga-tiga pelajar UIA itu. Disebabkan pemilik kedai pada mulanya enggan menerima kedatangan kami yang membawa bekalan sendiri, akhirnya, kami terpaksa membayar upah kepadanya. Kami juga terpaksa memesan air teh sekadar untuk menjaga hatinya.

Selesai sahaja makan, kami ke destinasi kami yang seterusnya dengan menaiki van. Destinasi seterusnya ialah Makam Nabi Ayub a.s yang terletak di dalam sebuah masjid. Nabi Ayub a.s adalah antara nama-nama Nabi yang disebut di dalam Al-Quran. Oleh itu, baginda juga adalah antara 25 orang Nabi yang wajib diketahui oleh setiap umat Islam. Nabi Ayub a.s pada mulanya hidup dalam keadaan yang penuh kesenangan dengan kekayaannya & dengan jumlah anaknya yang ramai. Namun, baginda kemudiannya diuji oleh Allah SWT dengan penyakit yang pelik, dengan kegagalan perniagaannya & dengan kematian anak-anaknya selama beberapa tahun. Walau diuji dengan hebat oleh Allah SWT, baginda tetap bersabar & tidak pernah mengeluh. Allah SWT akhirnya mengembalikan kesihatannya & juga kekayaannya berkat daripada kesabarannya menerima ujian Allah dengan tenang & tidak pernah berhenti mengingati Allah SWT.


Makam Nabi Ayub, Bosra, Syria


Makam Nabi Ayub, Bosra, Syria

Kami menunaikan solat di masjid tersebut sebelum bergerak menuju ke tempat yang seterusnya, iaitu telaga Nabi Ayub. Di telaga inilah Nabi Ayub dikatakan menyapu kepalanya untuk menyembuhkan penyakitnya. Wallahu ‘alam. Kami semua pada mulanya bercadang untuk mengambil air telaga tersebut untuk dibuat minuman. Mana tahu, mungkin air telaga itu berkhasiat. Tetapi, setibanya kami di telaga itu, kelihatan kanak-kanak tempatan sedang bermandi-manda dengan rakus sekali. Air yang terkandung dalam telaga itu pun agak kotor. Kawasan di sekitarnya juga agak terbiar & tidak terjaga. Sedih kami melihatnya. Kami serta-merta terpaksa membatalkan niat kami untuk mengambil air telaga tersebut. Kanak-kanak yang ada di situ agak ramai. Kami menjadi tumpuan mereka kerana mungkin tidak ramai pengunjung luar datang menziarahi telaga tersebut. Kanak-kanak itu mengikut kami sehingga ke van. Agak nakal juga mereka ini. Mujurlah mereka tidak melakukan apa-apa yang boleh mencederakan kami.


Telaga Nabi Ayub, Bosra, Syria


Telaga Nabi Ayub, Bosra, Syria


Bersama Asyraf di Telaga Nabi Ayub, Bosra, Syria

Kami seterusnya menuju ke sebuah bandar kecil yang bernama Nawa. Di sini, terdapat sebuah masjid di mana terdapatnya Makam Imam Nawawi. Imam Nawawi adalah antara perawi hadis yang terkenal. Dia juga adalah antara skolar yang penting dalam Mazhab Syafi’e. Dia dilahirkan pada tahun 1234 di Nawa & meninggal dunia pada tahun 1278 di tempat yang sama ketika usianya 44 tahun. Sepanjang hidupnya, dia telah banyak menulis buku berkenaan dengan ajaran Islam yang kebanyakannya menjadi sumber utama pelajar-pelajar pengajian Islam di seluruh dunia. Di kawasan makamnya terdapat sepohon pokok yang dikatakan satu-satunya spesis yang ada di muka bumi ini. Wallahu ‘alam.


Makam Imam Nawawi, Bosra, Syria


Makam Imam Nawawi, Bosra, Syria


Makam Imam Nawawi, Bosra, Syria

Selepas selesai sahaja menziarahi Makam Imam Nawawi, kami semua pun menuju jalan pulang semula ke Damsyik. Lebih kurang 1½ jam kemudian, kami pun tiba semula di hadapan Abu Nour University. Pasangan suami isteri & 3 orang anaknya itu mengucapkan selamat tinggal kepada kami & pulang semula ke rumah mereka. Aku, Syazwan, Ridhuan, Asyraf & Shahrul kemudiannya menaiki teksi untuk pulang ke rumah. Mereka berempat meninggalkan aku berhampiran kawasan rumah Ikhwan. Aku mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana sudi membawa & menemani aku ke Bosra. InsyaAllah jika tiada apa-apa halangan, esok aku akan mengikut trip Syazwan ke Aleppo pula. Dia akan menghubungi Ikhwan malam ini untuk memberitahu perkembangan tentang trip tersebut.

Selepas itu, aku pun berjalan pulang ke rumah Ikhwan. Ikhwan pada waktu itu tiada di rumah. Mujurlah seorang rakan serumahnya ada untuk membuka pintu rumah. Dan mujurlah biliknya tidak berkunci. Aku lalu masuk ke dalam biliknya untuk tidur sementara menunggu waktu Maghrib. Penat sungguh rasanya. Beberapa jam selepas aku tidur, tiba-tiba ada seseorang mengetuk pintu bilik Ikhwan. Dia lalu membuka pintu & bertanyakan tentang Ikhwan. Aku pun lalu memberitahunya yang Ikhwan tiada di bilik & aku tidak tahu dia di mana. Orang itu lalu masuk ke dalam bilik & mula mengajak aku berbual-bual. Dia memang seorang yang peramah. Namanya Burhanuddin. Aku dalam keadaan yang masih mamai terpaksa juga melayannya. Heheh.

Dia menceritakan tentang masalah yang sedang dialaminya, iaitu tentang pengajiannya di bumi Damsyik. Terlalu banyak masalah yang timbul akibat tekanan daripada kerajaan Syria yang banyak menghalang aktiviti-aktiviti & pengajian-pengajian agama. Ini memaksa dia untuk memikirkan akan kemungkinan untuk bertukar ke Jordan pula yang lebih bersifat terbuka. Sedih pula aku mendengar ceritanya. Bumi Damsyik sememangnya amat terkenal sebagai pusat pengajian ilmu Islam sejak berkurun-kurun lamanya. Namun, kerajaan Syria & pemimpinnya yang bersifat sekular telah banyak membawa kerosakan. Diharapkan suatu hari nanti akan lahir kerajaan & pemimpin yang lebih adil & mampu membangkitkan semula syiar Islam di kota Damsyik ini.

Agak lama juga aku & Burhanuddin berbual sambil menunggu kepulangan Ikhwan. Namun, Ikhwan masih belum pulang-pulang lagi. Dia kemudian akhirnya meminta diri dahulu kerana sudah terlalu lama menunggu. Aku kemudiannya keseorangan semula. Ikhwan pulang ke rumah agak lewat. Kemudian, Syazwan menelefonnya & memberitahu bahawa trip ke Aleppo esok terpaksa dibatalkan. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk ke Beirut, Lubnan pada keesokan hari.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


1 buah komen:

Chik Na Thursday, September 2, 2010 at 11:53:00 AM GMT+8  

akak pun pergi tempat yg sama Jan ari tuh

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP