SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXX) - BeiRuT I & JeiTa GRoTTo

>> Friday, September 03, 2010



Beirut adalah ibu negara Lubnan. Ia juga merupakan bandar yang terbesar & bandar pelabuhan yang utama di negara ini. Bandar ini terletak di pinggiran Laut Mediterranean. Penduduknya berjumlah 1.25 juta orang. Menurut sejarah, Beirut pada mulanya berada di bawah pemerintahan Parsi, Greek, Armenia, Assyria, Rom & seterusnya Byzantine sehinggalah ia akhirnya jatuh ke tangan orang-orang Islam pada tahun 635. Beirut kemudiannya dirampas oleh kerajaan tentera Salib pada tahun 1110 yang kekal memerintah di sini sehingga tahun 1291. Beirut seterusnya ditadbir pula oleh Empayar Turki Uthmaniyah sehingga kejatuhan empayar tersebut pada awal kurun ke-20. Sewaktu berada di bawah pemerintahan empayar itu, Beirut telah dijadikan ibu kota wilayah Syria pada tahun 1888. Pada waktu itu, kota ini sudah pun membangun & mempunyai hubungan perdagangan yang rapat dengan negara-negara Eropah & Amerika Syarikat.

Selepas tamatnya riwayat Empayar Turki Uthmaniyah, Beirut bersama-sama dengan bumi Lubnan jatuh ke bawah pentadbiran Perancis sehinggalah negara Lubnan mencapai kemerdekaannya pada tahun 1943. Beirut kemudiannya dijadikan ibu kota negara yang baru dibentuk itu. Ia seterusnya menjadi pusat intelektual yang utama dalam dunia Arab. Bandar ini juga merupakan pusat kewangan, komersil & pelancongan utama di rantau tersebut sehinggalah tercetusnya Perang Saudara di Lubnan pada tahun 1975. Sewaktu Perang Saudara yang berlangsung sehingga tahun 1990, bandar Beirut seolah-olah terbahagi kepada dua. Penduduk Islam berkumpul di sebelah barat & penduduk Kristian berkumpul di sebelah timur. Di tengah-tengah bandar pula yang sebelum itu merupakan pusat komersil & aktiviti yang sibuk dibiarkan lengang tidak berpenghuni.

Selepas tamatnya Perang Saudara pada tahun 1990, barulah Beirut dibangunkan semula. Perang antara tentera Hezbollah Lubnan & Israel pada tahun 2006 sekali lagi membawa kehancuran kepada kota Beirut. Mujurlah perang tersebut hanya berlangsung selama sebulan sahaja. Selepas itu, Beirut mulai aman & kembali menjadi pusat pelancongan, kebudayaan, intelektual, perniagaan, fesyen & media yang utama di rantau Arab.


Peta kedudukan Beirut dalam negara Lubnan

Selepas sahaja aku keluar dari hostel tersebut, aku terus menahan teksi di tepi jalan raya. Aku hendak menuju ke sebuah kawasan tarikan pelancong yang bernama Jeita Grotto. Aku bertanyakan harga tambang kepada pemandu teksi itu. Pemandu teksi itu malangnya kurang fasih berbahasa Inggeris. Oleh itu, kami terpaksa meminta pertolongan 2 orang penumpang di tempat duduk belakang teksi itu untuk menjadi perantara. Daripada apa yang penumpang itu katakan, harga tambangnya agak murah. Cuma 200.00 Pound yang bersamaan dengan 3.00 Euro. Aku lantas terus masuk ke dalam teksi itu & duduk di kerusi bersebelahan pemandu. 2 orang penumpang di belakang turun keluar beberapa minit kemudian. Tinggallah aku berdua dengan pemandu teksi itu.

Setibanya kami di Jeita Grotto yang mengambil masa setengah jam perjalanan dari pusat bandar Beirut, aku pun mengeluarkan wang dari dompet aku untuk diberikan kepada pemandu teksi itu. Akan tetapi, rupa-rupanya telah berlaku salah faham. 2 orang penumpang tadi berkata yang pemandu teksi itu meletakkan harga 200.00 Pound, yang bersamaan dengan 3.00 Euro. Akan tetapi, pemandu teksi itu berkata yang dia telah meletakkan harga 20.00 Euro (bersamaan dengan 1,200.00 Pound) & bukannya 200.00 Pound. Aku sendiri menjadi keliru. Aku rasa mungkin pemandu itu sengaja hendak mengenakan aku. Aku sudah masak dengan perangai orang-orang Arab. Kebanyakannya sama sahaja. Kaki penipu.

Aku akhirnya berkata kepadanya yang aku hanya akan membayar 20.00 Euro sekiranya dia sanggup menunggu aku di situ sehingga aku habis melawat & membawa aku pulang semula ke pusat bandar Beirut. Tetapi, dia tidak faham apa yang aku cuba katakan. Dia lalu memanggil salah seorang lelaki yang sedang berlalu di situ untuk menjadi perantara. Setelah penat berbincang, pemandu itu berkata yang dia tidak mahu menunggu aku & dia tetap mendesak aku untuk membayarnya 20.00 Euro. Aku betul-betul berasa bengang. Akhirnya, aku menyerah kalah. Aku membalingkan wang 20.00 Euro aku ke mukanya & terus keluar dari teksi itu. Aku haramkan wang 20.00 Euro itu sekiranya dia menipu aku. Allah SWT menjadi saksi aku.

Dalam keadaan yang masih marah, aku berjalan menuju ke kaunter tiket untuk membeli tiket masuk ke Jeita Grotto. Setelah membeli tiket, aku menaiki kereta kabel untuk ke tempat itu. Jeita Grotto adalah sebuah kompleks gua batu kapur yang terletak di Lembah Nahr al-Kalb. Ianya adalah antara tempat pelancongan yang utama di negara Lubnan. Kompleks gua tersebut terbahagi kepada 2 bahagian gua yang berasingan, iaitu gua bahagian atas & gua bahagian bawah.


Jeita Grotto, Lubnan


Kereta kabel di Jeita Grotto, Lubnan


Kereta kabel di Jeita Grotto, Lubnan


Jeita Grotto, Lubnan

Gua bahagian atas dijumpai pada tahun 1958 & terletak 60 meter di atas gua bahagian bawah. Gua bahagian atas ini boleh dilawati dengan melalui laluan yang telah disediakan di dalamnya. Panjangnya ialah 2.1 km. Namun, hanya 0.75 km sahaja yang dibenarkan untuk dilalui oleh pelancong. Terdapat beberapa ruang di dalam gua bahagian atas ini. Ruang yang terbesar adalah setinggi 120 meter. Di dalamnya juga terdapat stalaktit yang terbesar di dunia.


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian atas di Jeita Grotto, Lubnan

Gua bahagian bawah dipercayai pernah didiami oleh manusia sewaktu zaman pra-sejarah. Ianya dijumpai oleh Reverand William Thompson pada tahun 1836. Gua bahagian bawah ini hanya boleh dilawati dengan menaiki kemudahan bot yang disediakan kerana ia dipenuhi dengan air sungai bawah tanah. Sungai tersebut merupakan antara sumber air utama penduduk Beirut pada masa kini. Panjang gua bahagian bawah ini adalah sejauh 6.2 km. Di bahagian luar gua bahagian bawah, terdapat sebuah monumen aneh yang diberi nama The Guardian of Time.


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Monumen The Guardian of Time di Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan


Gua bahagian bawah di Jeita Grotto, Lubnan

Kompleks Jeita Grotto kini terpilih sebagai salah satu daripada 28 finalis untuk mendapat pengiktirafan sebagai ‘New 7 Wonders of Nature’. Keputusan akhir hanya akan diketahui pada tahun 2011 nanti. Kecantikan & keajaiban yang terdapat dalam kedua-dua gua tersebut benar-benar membuatkan aku insaf. Begitu besar sekali kuasa Allah SWT sehingga boleh mencipta gua yang sebegitu indah. Aku berasa seperti hendak terus berada di dalam gua-gua tersebut.

Pelancong-pelancong tidak dibenarkan membawa kamera masuk ke dalam gua. Kamera-kamera perlu ditinggalkan di dalam loker-loker yang disediakan di bahagian luar. Ini kerana ditakuti cahaya dari kamera boleh meruntuhkan stalaktit-stalaktit yang terdapat pada bumbung gua-gua tersebut. Selain kereta kabel, para pelancong juga turut boleh menggunakan keretapi kecil yang menghubungkan kawasan kaunter tiket, gua bahagian bawah & gua bahagian atas. Pelancong juga sebenarnya boleh berjalan kaki melalui jalan yang disediakan.


Keretapi kecil di Jeita Grotto, Lubnan

Selepas puas menyaksikan keindahan kedua-dua gua tersebut, aku pun kembali ke kawasan bawah. Aku tercari-cari teksi yang kosong. Namun, semuanya berpenumpang. Aku akhirnya meminta pertolongan pekerja yang berkerja di pejabat pelancong untuk menelefon syarikat teksi untuk menghantar sebuah teksi ke situ. Tidak berapa lama kemudian, teksi yang dimaksudkan pun tiba. Aku lantas terus masuk ke dalamnya. Aku memintanya menghantar aku kembali ke hostel aku. Bayaran yang dikenakan ialah 30,000 Pound. Agak mahal. Namun, lebih murah daripada teksi yang aku naiki untuk ke Jeita Grotto sebelum itu. Sesampainya aku di hostel aku, aku terus membawa beg aku masuk ke dalam bilik yang sudah boleh dimasuki. Aku berkongsi bilik dengan 2 lagi orang. Namun, kedua-dua mereka tiada di dalam bilik pada waktu itu. Setelah meletakkan beg-beg aku di situ, aku berehat-rehat sebentar menghilangkan lelah.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


1 buah komen:

Melihat Kesunyataan Sunday, September 5, 2010 at 12:26:00 PM GMT+8  

Salam,
Bagus cara informasi disampaikan. Trevelog begini cukup menarik.
Salam Aidilfitri.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP