aLHaMDuLiLLaH.. HoSPiTaL TaiPiNG, HeRe I CoMe!!

>> Tuesday, September 21, 2010



Keputusan penempatan hospital utk latihan housemanship/internship baru je dimaklumkan kpd kesemua peserta2 Kursus Induksi & BTN kat Hotel Brisdale, Kuala Lumpur pukul 11.00 malam tadi. Alhamdulillah, aku mendapat pilihan utama aku, iaitu HOSPITAL TAIPING, PERAK. InsyaAllah aku akan mula bertugas sbg doktor pelatih selama 2 tahun di situ mulai Isnin depan (27 Sept 2010). Dapat la aku mengimbau nostalgia 11-12 tahun lepas sewaktu belajar kat MRSM TAIPING. Heheheh.

Ramai juga peserta2 yg tak mendapat pilihan2 utama mereka. Oleh itu, mereka terpaksa menulis surat rayuan & keputusan rayuan mereka hanya akan dimaklumkan pada hari Jumaat nanti. Tolong doakan mereka ye. :)

So far, Kursus Induksi & BTN kat Hostel Brisdale, KL ni not so bad laa. Walaupun aku cuma mengenali 3-4 orang sahaja (pelajar2 perempuan UCD & PMC), aku still enjoy. Kebanyakan peserta2 adalah graduate Ukraine & Russia. Friendly jugak la. I've made a few new friends. My roommate pun graduate Ukraine.

OK la. Doakan semuanya selamat ok. Sekali lagi, aku ingin melahirkan rasa kesyukuran yg tidak terhingga kepada Allah SWT kerana telah memakbulkan doa aku untuk ditempatkan di HOSPITAL TAIPING. Syukur Alhamdulillah...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

KuRSuS iNDuKSi & BTN

>> Sunday, September 19, 2010



Mulai hari esok (20 Sept 2010) hingga Jumaat (24 Sept 2010), aku akan mengikuti KURSUS INDUKSI & KENEGARAAN (BTN) di HOTEL BRISDALE, KUALA LUMPUR. Keputusan Hospital Placement utk aku menjalani latihan sebagai doktor pelatih (Housemenship) mulai 27 Sept 2010 juga akan dimaklumkan sewaktu kursus tersebut. Doa2kan supaya aku ditempatkan di HOSPITAL TAIPING ye. Itu adalah hospital utama pilihan aku. Dekat dengan rumah. :)

Mulai dari hari ini, aku akan kurang aktif dalam dunia blogging kerana aku perlu tumpukan perhatian sepenuhnya dalam alam pekerjaan. Walau bagaimanapun, aku akan cuba meng'update' blog ini sekerap yg mungkin, menceritakan pengalaman2 aku sewaktu bekerja. :) Doa2kan semua selamat ye. :)

p/s: InsyaAllah, buku kedua aku yang berjudul 'TRAVELOG ANDALUSIA: PERMATA ISLAM YANG HILANG' akan diterbitkan tidak lama lagi. Manuskripnya sudah pun dihantar kepada pihak penerbit untuk diedit & dibukukan. Segala perkembangan berkenaan dengan buku tersebut akan aku maklumkan dalam blog ini dan juga di laman Facebook (Jhaz Kitaro FC). Doakan semuanya berjalan lancar ye.. :)




SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXVI / aKHiR) - iNTeRMiSSioN V & ePiLoG

>> Friday, September 10, 2010



Hari 18: 3 JUN 2009

Lebih kurang pukul 12.30 tengah malam, aku pun mula dibenarkan untuk masuk ke dalam terminal. Aku terus ke kaunter pendaftaran untuk mendaftar masuk. Selepas mendaftar masuk, aku terus menunggu di balai perlepasan. Setelah lama menunggu, para penumpang pun dibenarkan masuk ke dalam pesawat. Aku menaiki pesawat Turkish Airlines ke Istanbul terlebih dahulu. Dari Istanbul, barulah aku akan menaiki pesawat seterusnya untuk pulang ke Dublin. Penerbangan aku ke Dublin dari Istanbul dijadualkan berlepas pada pukul 10.45 pagi nanti.

Penerbangan dari Amman ke Istanbul berlepas pada pukul 3.30 pagi waktu tempatan Jordan. Perjalanan ke Istanbul memakan masa lebih kurang 2¼ jam. Lebih kurang pukul 5.45 pagi waktu tempatan Turki, aku pun tiba di Lapangan Terbang Attaturk, Istanbul. Sesampainya sahaja di situ, aku terus mendapatkan pas naik untuk menaiki pesawat yang seterusnya. Memandangkan penerbangan aku ke Dublin dijadualkan akan berlepas pada pukul 10.45 pagi nanti, aku mengisi kelapangan masa yang ada dengan tidur di atas sebuah kerusi di dalam terminal lapangan terbang itu. Aku tidak puas tidur di dalam pesawat tadi.

Lebih kurang pukul 9.30 pagi, aku mulai bangun & berjalan menuju ke balai perlepasan untuk menunggu panggilan masuk. Tidak berapa lama selepas menunggu, para penumpang pun mula dijemput masuk ke dalam pesawat. Penerbangan Turkish Airlines dari Istanbul ke Dublin mula berlepas pada pukul 10.45 waktu tempatan Turki, seperti yang telah dijadualkan. Perjalanan memakan masa selama 4½ jam. Lebih kurang pukul 1.15 tengah hari waktu tempatan Ireland, aku pun selamat tiba di Lapangan Terbang Dublin.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya aku berjaya menjejaki & berkelana di bumi Syam selama lebih kurang 18 hari lamanya. Tercapai juga hasrat aku untuk memijakkan kaki di bumi Anbiya’ itu. Terlalu banyak pengalaman suka duka yang telah aku lalui sepanjang aku berada di sana. Syam sememangnya bumi barakah. Tidak rugi rasanya aku menghabiskan wang, tenaga & masa di sana kerana aku yakin ianya pasti dibalas dengan rahmat daripada Allah SWT. Walau bagaimanapun, aku berasa sedikit kesal dengan sikap sesetengah warga Arab tempatan yang gemar melakukan penipuan terhadap para pelancong walaupun sesama pelancong Islam seperti aku. Mereka mungkin terpaksa berbuat demikian atas faktor desakan hidup. Wallahu ‘alam.

Aku juga bersyukur kerana telah dikurniakan dengan ramai kenalan baru di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di Irbid, Mu’tah & Damsyik yang telah begitu banyak menghulurkan bantuan ikhlas kepada aku. Jasa kalian semua sememangnya tidak dapat aku balas. Buat Hadi, Dziya, Munir, Rozaili, Hazmi, Taufiq, Ikhwan & Syazwan, terima kasih aku ucapkan kerana sudi membawa & menemani aku dalam pengembaraan aku ini. Buat Mursyid, Hidayat, Amni & penghuni-penghuni Bayt Dimasyq, terima kasih kerana sudi menerima kehadiran aku di rumah-rumah kalian. Dan akhir sekali, ucapan terima kasih khas aku tujukan buat Hariz & Zaid. Kalian berdualah yang menjadi tulang belakang kepada misi pengembaraan aku di Syam, bumi Anbiya' ini. Tanpa kalian berdua, amat mustahil untuk aku menjayakan misi ini. Terima kasih sekali lagi aku ucapkan.

TAMAT.


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXV) - iNTeRMiSSioN IV

>> Thursday, September 09, 2010



Hari 17: 2 JUN 2009

Hari ini adalah hari terakhir aku di Irbid. Aku akan meninggalkan bumi Irbid untuk ke Amman pada waktu petang nanti. Hariz & penghuni-penghuni apartmennya yang lain awal-awal pagi lagi sudah ke universiti untuk menduduki peperiksaan mereka. Tinggallah aku keseorangan di dalam apartmennya itu. Aku kemudiannya mendapat SMS daripada Hariz. Dia menyatakan yang dia sudah pun tamat menduduki peperiksaannya & sedang dalam perjalanan pulang. Dia meminta aku berjumpanya di Yarmouk Mall yang terletak tidak jauh dari Syari’ Jami’ah untuk makan tengah hari bersama-sama dengannya & beberapa orang lagi rakan sekelasnya.

Selepas bersiap-siap, aku pun berjalan keluar menuju ke Yarmouk Mall. Tidak lama selepas menunggu di situ, muncullah Hariz bersama-sama dengan Azam, Ibrahim & Malik. Ini adalah pertama kali aku berjumpa dengan Malik. Aku baru tahu yang dia juga sebenarnya tinggal di apartmen yang sama dengan Dziya, Poey & Ibrahim. Hahaha. Pada mulanya aku fikirkan apartmen itu dihuni oleh tiga orang itu sahaja. Mereka berempat membawa aku ke sebuah restoran. Kami makan-makan sambil berbual-bual. Selesai sahaja makan, kami pun pulang ke flat.

Di bilik Hariz, aku mengemas barang-barang aku, bersiap-siap untuk ke Amman. Lebih kurang pukul 5.00 petang, Hariz & Hadi membawa aku ke stesen bas Irbid. Namun, sebelum bertolak, aku menghadiahkan cenderahati-cenderahati dari Ireland kepada setiap penghuni apartmen Hariz, termasuklah Hidayat & Mursyid. Aku juga turut meminta pertolongan Hariz untuk menyampaikan cenderahati aku kepada Munir & Rozaili. Aku, Hariz & Hadi kemudian singgah pula di apartmen Dziya untuk bersalam-salaman dengannnya & juga dengan penghuni-penghuni apartmennya yang lain, iaitu Poey, Ibrahim & Malik. Aku turut menghadiahkan cenderahati sama kepada Dziya. Cenderahati-cenderahati tersebut aku hadiahkan buat kesemua penghuni apartmen Hariz kerana kesudian mereka menerima kedatangan aku untuk menumpang di apartmen mereka & juga buat mereka yang turut menjayakan misi aku mengelilingi bumi Jordan seperti Dziya, Munir & Rozaili. Buat mereka yang tidak mendapat cenderahati dari aku, jangan kecil hati. Kalian tetap akan aku kenang selalu.


Bersama Hariz, Hidayat & Hadi di apartmen mereka di Irbid, Jordan


Bersama Hariz, Hidayat & Murshid di apartmen mereka di Irbid, Jordan

Setelah bersalam-salaman dengan Dziya, Poey, Ibrahim & Malik, kami bertiga terus menaiki teksi menuju ke stesen bas Irbid. Sesampainya di stesen bas tersebut, aku meminta pertolongan Hadi untuk membeli tiket kerana aku tidak fasih berbahasa Arab. Sesudah mendapatkan tiket, aku pun bersalam-salaman & berpeluk-pelukan dengan Hariz & Hadi. Aku mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka berdua, terutamanya Hariz yang telah banyak membantu aku menjayakan misi pengembaraan aku di bumi Syam. Tanpa bantuannya, mungkin amat sukar untuk aku menjelajah di bumi Anbiya’ ini.

Aku kemudiannya dengan perasaan sedih & berat hati terpaksa meninggalkan mereka berdua & masuk ke dalam bas. InsyaAllah kami akan bersua lagi suatu hari nanti. Lebih kurang pukul 6.00 petang, bas yang aku naiki pun mula meninggalkan Irbid menuju ke Amman. Perjalanan dengan bas itu mengambil masa selama lebih kurang 1½ jam. Lebih kurang puku 7.30 petang, aku pun tiba di stesen bas Amman. Dari stesen bas itu, aku menaiki bas lain pula untuk ke Lapangan Terbang Queen Alia. Perjalanan ke lapangan terbang itu memakan masa lebih kurang sejam. Bas yang aku naiki bertolak lebih kurang pukul 8.00 malam & lebih kurang pukul 9.00 malam, aku pun tiba di lapangan terbang tersebut.

Setibanya aku di Lapangan Terbang Queen Alia, aku menjadi agak buntu kerana tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Penerbangan Turkish Airlines aku ke Istanbul dijadualkan berlepas pada pukul 3.30 pagi nanti. Aku cuma dibenarkan masuk ke dalam terminal 3 jam sebelum penerbangan, iaitu lebih kurang pukul 12.30 tengah malam nanti. Itu adalah peraturan yang perlu diikuti di lapangan terbang ini. Disebabkan itu, aku terpaksa menghabiskan sisa baki 3½ jam yang ada di luar kawasan terminal. Bosan betul.

Bersambung...

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI 1431H buat semua pengunjung setia blog AKU SEBUTIR PASIR. Ampun dan maaf dipinta sekiranya saya ada tersalah silap sepanjang hampir 6 tahun saya berkecimpung dalam dunia blogging..




SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXIV) - iNTeRMiSSioN III

>> Wednesday, September 08, 2010



Hari 16: 1 JUN 2009

Hari ini adalah hari terakhir aku di Damsyik, Syria. Aku akan pulang ke Irbid, Jordan waktu tengah hari nanti. Pada waktu pagi, aku hanya berlepak-lepak di rumah Ikhwan sahaja. Ikhwan awal-awal pagi lagi sudah keluar ke kuliahnya. Kemudiannya, sebelum masuk waktu Zohor, dia pun pulang semula. Selepas menunaikan solat, aku pun bersedia untuk meninggalkan rumah Ikhwan. Sebelum keluar dari rumahnya, aku sempat mengambil gambar bersamanya & juga ahli rumahnya, Amni.


Bersama Amni & Ikhwan di rumah mereka di Damsyik, Syria

Selepas itu, Ikhwan membawa aku ke stesen bas. Aku akan menaiki bas mini untuk ke sebuah bandar kecil di dalam Syria yang bernama Dar’a yang terletak di sempadan Syria-Jordan. Kemudian, dari Dar’a barulah aku akan menaiki teksi untuk melintasi sempadan Syria-Jordan untuk ke Irbid. Cara itu adalah lebih murah daripada terus mengambil teksi dari Damsyik ke Irbid. Sebelum menaiki bas mini itu, aku bersalam-salaman dahulu dengan Ikhwan. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi menumpangkan aku di rumahnya selama berhari-hari. InsyaAllah kami akan berjumpa lagi suatu hari nanti.

Perjalanan dari Damsyik ke Dar’a dengan bas mini tersebut memakan masa lebih kurang sejam. Apabila tiba di Dar’a, konduktor tiket bas mini itu membawa aku berjumpa pemandu teksi yang akan membawa aku melintasi sempadan Syria-Jordan untuk ke Irbid. Aku seorang sahaja yang hendak ke Irbid. Bas mini yang aku naiki tadi kemudiannya meneruskan perjalanannya ke destinasinya. Pemandu teksi itu membawa aku ke teksinya & kami terus bergerak. Tidak lama kemudian, kami pun tiba di sempadan Syria-Jordan. Aku terpaksa menyelesaikan urusan imigresen & visa. Untuk keluar dari Syria, aku tidak perlu membayar apa-apa. Untuk masuk ke Jordan, aku terpaksa membayar sekali lagi visa masuk. Sewaktu di pusat imigresen Syria, aku berjumpa lagi dengan pakcik & anaknya yang aku jumpa di Umayyad Mosque tempoh hari. Hahaha. Tak sangka kami akan bertemu lagi. Pakcik itu rupa-rupanya adalah ketua satu rombongan dari Malaysia yang menjelajah bumi Jordan & Syria.

Selepas selesai semua urusan imigresen & visa, aku & pemandu teksi itu akhirnya memasuki negara Jordan. Lega rasanya kerana aku berjaya kembali semula ke Jordan tanpa apa-apa masalah sewaktu di sempadan. Walau bagaimanapun, beberapa minit kemudian, pemandu teksi itu menurunkan aku di suatu tempat yang aku tidak ketahui. Menurutnya, aku sudah tiba di Irbid. Aku dengan rasa bingung terus keluar dari teksinya & membayar tambang. Aku sebenarnya amat yakin yang aku belum lagi tiba di Irbid. Pemandu teksi tadi terus memecut teksinya meninggalkan aku dalam kebingungan.

Dalam keadaan terdesak, aku bertanya kepada seorang pemandu teksi di situ, sama ada aku sedang berada di Irbid. Pemandu teksi itu menjawab yang Irbid terletak lebih kurang 30 minit dari tempat tersebut. Aku dengan rasa marahnya menyumpah-nyumpah pemandu teksi yang membawa aku dari Dar’a tadi. Sekali lagi aku telah ditipu oleh pemandu teksi. Beginilah rencah hidup pemandu-pemandu teksi di negara-negara Arab yang mundur, terutamanya Syria. Sanggup menipu untuk wang. Aku sebenarnya berasa lega apabila aku tiba di Jordan kerana menurut pelajar-pelajar Malaysia di sini, pemandu-pemandu teksi di Jordan kebanyakannya bukan kaki penipu.

Aku seterusnya meminta pemandu teksi itu membawa aku ke Irbid. Aku terus masuk ke dalam teksinya & kemudiannya dia terus membawa aku ke destinasi tujuan aku. Setibanya aku di Irbid, aku memintanya menurunkan aku di Syari’ Jami'ah yang terletak berdekatan dengan flat Hariz. Selepas membayar tambang yang agak murah, aku pun terus berjalan menuju ke flat tersebut. Dalam masa lebih kurang 20 minit sahaja, aku sudah tiba di hadapan pintu apartmen Hariz. Aku lantas terus memberi salam & mengetuk pintu apartmennya itu dengan harapan salah seorang daripada penghuninya ada di dalam. Alhamdulillah. Yang menjawab salam & membuka pintu adalah Hariz sendiri. Dia pada waktu itu sedang mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan esok hari. Penghuni-penghuni yang lain masih belum pulang dari universiti. Hariz agak terkejut melihat aku yang berjaya pulang ke rumahnya tanpa pertolongan sesiapa. Hahaha. Aku kan pengembara hebat. Hehehe.


Peta perjalanan Damsyik-Dar'a-Irbid

Sambil berehat-rehat di dalam biliknya, aku bercerita tentang semua pengalaman aku di Syria, di Lubnan & perjalanan aku dari Damsyik ke Irbid. Dia begitu tekun mendengar sambil mengulangkaji pelajarannya. Apabila sudah puas bercerita, aku melelapkan mata buat seketika kerana terlalu penat & hendak memberi peluang kepada Hariz untuk mengulangkaji pelajarannya untuk peperiksaan esok.

Apabila sudah hampir tiba waktu Maghrib, Hariz mengejut aku untuk ke masjid di Yarmouk University. Sebelum ke masjid, aku mandi membersihkan diri dulu. Kemudian, barulah kami berdua bergerak bersama-sama menuju ke masjid tersebut. Di masjid itu, aku bertemu semula dengan mereka-mereka yang sudah berkenalan dengan aku sepanjang aku berada di bumi Irbid dahulu. Antaranya ialah Azam, rakan sekelas Hariz. Selepas solat Maghrib, mereka berdua membawa aku ke sebuah restoran untuk makan malam. Mereka membelanja aku makan. Hahaha. Terharu sungguh. Kami menghabiskan masa yang agak lama di situ, berbual-bual mengenai banyak perkara. Malam ini sebenarnya adalah malam terakhir aku di Irbid. Aku akan ke Amman esok harinya untuk menaiki pesawat pulang ke Dublin.

Setelah puas berbual-bual, kami bertiga kembali semula ke flat Hariz. Sebelum masuk ke dalam apartmennya, kami singgah dahulu di apartmen Dziya & penghuni-penghuninya yang lain, iaitu Poey & Ibrahim. Lagipun, Hariz terlupa membawa kunci apartmennya & pada waktu itu tiada sesiapa di dalamnya. Kami bertiga lepak-lepak di dalam bilik Dziya yang kebetulannya baru bangun dari tidur sewaktu kami tiba. Dia baru sahaja hendak menyambung semula mengulangi pelajarannya untuk peperiksaan esok. Hariz, Dziya & Azam berbincang-bincang mengenai pelajaran mereka. Aku turut menyampuk sedikit-sedikit. Namun, apabila mata aku sudah mula layu, aku meminta diri untuk pulang ke apartmen Hariz. Hariz tidak pulang bersama kerana hendak meneruskan perbincangan mereka. Aku pulang seorang diri. Mujurlah Hadi ada di dalam apartmen untuk membuka pintunya. Aku berbual-bual sebentar dengannnya sebelum aku menunaikan solat Isyak & terus tidur.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXIII) - iNTeRMiSSioN II

>> Tuesday, September 07, 2010



Selepas menjejakkan kaki di Hamra Street, aku pun berjalan pulang kembali ke hostel. Perjalanan ke hostel juga turut memakan masa selama lebih kurang sejam. Setelah penat berjalan, aku akhirnya tiba juga di hostel. Selepas mendapatkan kembali beg yang aku letak di tepi kaunter, aku terus berjalan menuju ke stesen bas untuk mendapatkan bas ke Damsyik, Syria. Namun, nasib aku agak malang. Pada waktu itu, iaitu lebih kurang pukul 4.00 petang, bas ke Damsyik sudah tiada. Bas terakhir bertolak pada waktu tengah hari tadi. Aku mula menjadi panik. Aku sudah tiada jalan lain melainkan menaiki teksi.

Mujurlah ada seorang pemandu teksi datang menghampiri aku bertanyakan destinasi aku. Bahasa Inggerisnya agak baik, sama seperti penduduk-penduduk Lubnan yang lain. Aku lantas memberitahunya yang aku hendak ke Damsyik. Dia kemudian menyatakan yang dia perlu menunggu 2-3 orang lagi penumpang ke Damsyik sebelum dia boleh bertolak supaya tambang ke sana boleh dikurangkan setelah dibahagikan sama rata. Aku mengangguk tanda bersetuju. Dia kemudian memasukkan beg aku ke dalam boot keretanya. Setelah agak lama menunggu, masih belum ada penumpang yang mahu ke Damsyik dengan teksi kepunyaan pemandu itu.

Akhirnya, pemandu teksi itu bertanya kepada aku sama ada aku hendak terus bertolak sahaja ke Damsyik seorang diri. Harga tambang agak mahal, namun aku masih mampu. Aku lantas terus meminta pemandu teksi itu untuk terus sahaja bertolak ke Damsyik tanpa perlu menunggu penumpang lain. Pemandu teksi itu mengikut sahaja permintaan aku & terus menggerakkan teksinya. Walau bagaimanapun, di suatu tempat, terdapat seorang lelaki menahan teksi itu. Kebetulan dia juga mahu ke Damsyik. Alhamdulillah. Lelaki itu kemudiannya masuk & duduk di sebelah aku. Kami tidak berbual apa-apa kerana dia tidak tahu berbahasa Inggeris. Perjalanan ke Damsyik dengan teksi itu memakan masa lebih daripada 2 jam.

Apabila tiba di sempadan Lubnan-Syria, aku terpaksa menguruskan hal imigresen & visa pula. Aku tidak perlu membayar apa-apa untuk keluar dari Lubnan & untuk masuk semula ke Syria. Namun, sewaktu di pusat imigresen Syria, aku perlu mengisi borang perakuan kesihatan kerana pada waktu itu, wabak H1N1 sedang hangat melanda dunia. Aku perlu meminta pengesahan daripada seorang doktor yang bertugas di situ. Bilangan orang yang hendak meminta pengesahan berpuluh-puluh jumlahnya. Namun, doktor yang bertugas cuma seorang sahaja. Sangatlah tidak bersistem. Aku terpaksa berebut-rebut dengan mereka yang ada di situ kerana mereka tidak tahu beratur. Huhuhuh. Setelah bersungguh-sungguh berebut, aku akhirnya berjaya mendapatkan pengesahan daripada doktor itu & aku lantas terus menyerahkan borang tersebut kepada pegawai imigresen yang bertugas. Setelah itu, pemandu teksi yang turut membantu aku berebut-rebut tadi membawa aku semula ke teksinya untuk meneruskan perjalanan ke Damsyik.


Peta perjalanan dari Beirut ke Damsyik

Di suatu tempat yang tidak diketahui lokasinya, yang terletak di pinggir sebatang lebuhraya, pemandu teksi itu menurunkan aku & penumpang lelaki tadi. Penumpang lelaki itu kemudiannya memarahi pemandu teksi itu. Aku sendiri tidak tahu apa sebabnya. Kemudian, aku bertanya kepada pemandu teksi itu mengapa dia menurunkan kami di situ. Dia menjawab yang dia hanya dapat menurunkan aku di pinggir kota Damsyik sahaja. Dia tidak dapat membawa aku masuk ke dalam kota itu. Dia meminta aku menahan teksi lain untuk masuk ke sana. Aku menjadi bingung & marah. Aku lalu mendesaknya supaya membawa juga aku ke dalam kota Damsyik. Dia akhirnya bersetuju dengan syarat aku perlu membayar tambang lebih sedikit. Aku tanpa berfikir panjang bersetuju sahaja. Aku lebih rela membayar lebih daripada ditinggalkan terkontang-kanting di pinggir lebuhraya. Beginilah perangai kebanyakan orang Arab yang aku temui. Kalau cakap, bukan main pandai putar belit. Awal-awal tadi, dia seolah-olah begitu yakin akan membawa aku terus ke destinasi tujuan aku di Damsyik. Alih-alih, bila sudah tiba di pinggir kota itu, dia hendak tinggalkan aku begitu sahaja di pinggir sebatang lebuhraya. Aku berasa sangat-sangat bengang.

Apabila sudah tiba di dalam kota Damsyik, aku memintanya menurunkan aku di Masjid Zaid bin Thabit yang terletak berdekatan dengan rumah Ikhwan. Itu sahaja landmark terdekat yang aku tahu. Aku pun terus dibawanya ke lokasi berhampiran dengan masjid tersebut. Selepas membayar tambang, aku keluar dari teksi itu & terus berjalan menuju ke rumah Ikhwan. Ikhwan pada waktu itu sedang mengulangkaji pelajarannya. Mujurlah dia ada di rumah. Selepas mandi & solat Maghrib & Isyak, aku berbual-bual dengan Ikhwan. Ini adalah malam terakhir aku menumpang di rumahnya. Aku akan pulang semula ke Irbid, Jordan tengah hari esok. Aku bercerita tentang pengalaman aku di Beirut. Dia tekun mendengar. Apabila sudah mengantuk, kami berdua pun terus melelapkan mata.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXII) - BeiRuT III

>> Monday, September 06, 2010



Hari 15: 31 MEI 2009

Hari ini adalah hari kedua aku di Beirut, Lubnan. Lebih kurang pukul 8.00 pagi, aku bangun untuk mandi membersihkan diri. Kemudian, aku berbual-bual sebentar dengan kedua-dua orang yang menumpang di bilik hostel yang sama. Seorang dari Korea Selatan & seorang lagi pula dari Belanda. Ramah juga mereka berdua. Mereka sempat menceritakan kepada aku pengalaman-pengalaman mereka di Beirut. Selepas berbual-bual dengan mereka, aku meminta diri untuk mendaftar keluar. Aku kemudiannya meletakkan beg aku di tepi kaunter untuk dijaga oleh pemilik hostel. Selepas itu, barulah aku memulakan pengembaraan aku di hari kedua kota Beirut ini.

Lokasi pertama aku pada hari ini adalah restoran Starbucks yang terletak di Nejmeh Square. Aku bersarapan pagi di sini. Ini sahajalah restoran yang aku mampu. Yang lain semuanya mahal. Sedang aku menikmati sarapan pagi aku di meja luar restoran ini, aku terlihat 3 orang yang mempunyai rupa paras orang Melayu sedang sakan bergambar di Nejmeh Square. Apabila mereka lalu bersebelahan aku, aku menegur mereka dengan memberi salam & kemudian bertanyakan sama ada mereka berasal dari Malaysia. Mereka terus menjawab salam & mengangguk sambil bersalam-salaman dengan aku. Hahaha. Tak sangka aku dapat berjumpa dengan orang-orang Malaysia di Beirut. Menurut mereka, mereka adalah pelajar Perubatan Tahun Akhir di Universiti Islam Antarabangsa. Mereka ke sini untuk melakukan elektif mereka di kem pelarian Palestin. Wah. Murni sungguh kerja mereka itu. Terharu aku. Selepas berbual-bual untuk beberapa minit, mereka meminta diri untuk menyambung perjalanan mereka.


Bersama pelajar-pelajar UIA di Beirut, Lubnan


Bersama pelajar-pelajar UIA di Beirut, Lubnan

Setelah selesai bersarapan pagi, aku pun memulakan pengembaraan aku. Aku berjalan menuju ke kawasan Hamra & Ras Beirut yang terletak agak jauh dari kawasan Solidere. Hampir sejam lamanya aku berjalan kaki di bawah terik cahaya matahari untuk menuju ke kawasan tersebut. Setelah penat berjalan, akhirnya aku tiba juga ke destinasi tujuan aku. Aku cuba bergambar dengan sebuah bangunan yang menerima kesan daripada Perang Lubnan-Israel 2006. Namun, aku dilarang berbuat demikian oleh seorang polis yang lalu di situ. Dia juga melarang aku daripada mengambil apa-apa gambar di sekeliling kawasan tersebut. Huhuhu. Seram pula rasanya aku. Aku mengangguk tanda patuh & kemudian, aku berjalan menyambung perjalanan aku.

Aku seterusnya menuju ke sebatang jalan raya yang terletak di pinggiran pantai yang menghadap Laut Mediterranean. Nama jalan tersebut ialah Avenue de Paris. Kawasan di sekeliling ini dinamakan Corniche Beirut. Panorama di kawasan ini tersangatlah menakjubkan dengan keindahan pantainya & juga pohon-pohon palma yang terdapat di sepanjang jalan tersebut. Aku tidak menyangkakan bahawa Beirut rupa-rupanya adalah sebuah kota yang amat cantik di sebalik stigma buruk yang diberi oleh masyarakat dunia akibat peperangan yang sering tercetus di sini. Kagum benar aku. Kawasan pinggiran pantai berbatu ini menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk berjogging, bermandi-manda & juga memancing ikan. Air lautnya benar-benar jernih.


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan


Corniche Beirut, Beirut, Lubnan

Sedang aku leka mengambil gambar di kawasan pinggiran pantai itu, aku secara tidak sengaja terambil gambar sekumpulan remaja lelaki tempatan yang sedang bermandi-manda di situ. Mereka lalu menjerit-jerit kepada aku & terus datang menyerbu aku. Aku cuba melarikan diri, namun mereka sempat mengepung aku & aku tidak dapat lari ke mana-mana. Mereka lalu memarahi & memaki-maki aku dalam Bahasa Arab & menunjuk-nunjukkan isyarat mengarahkan aku supaya membuang gambar-gambar mereka yang aku ambil. Aku tiada pilihan lain terpaksa membuang gambar-gambar tersebut di hadapan mereka. Selepas itu barulah mereka melepaskan aku. Sempat juga salah seorang daripada mereka menghentak belakang aku dengan tangan. Sial betul. Mujurlah mereka ramai. Dalam hati, aku menyumpah-nyumpah mereka semua.

Aku sudah tiada mood lagi untuk mengambil gambar selepas kejadian yang berlaku tadi. Terasa trauma pula. Aku lantas terus ke restoran MacDonald’s berhampiran untuk makan tengah hari. Agak lama juga aku berlepak-lepak di dalam restoran itu sambil terkenang kembali kejadian tadi. Hahaha.

Selepas hampir sejam aku di dalam restoran tersebut, aku berjalan menuju ke destinasi terakhir aku sebelum aku pulang semula ke hostel. Destinasi terakhir aku ialah Hamra Street. Jalan ini merupakan antara jalan-jalan yang terpenting di kota Beirut kerana peranannya sebagai antara hab ekonomi & politik di kota ini. Ketika era 1960-an & 1970-an, sebelum berlakunya perang saudara di Lubnan, jalan ini merupakan pusat aktiviti intelektual yang paling utama di Beirut kerana terdapatnya banyak kafe & teater di sepanjang jalan ini. Namun, setelah tamat perang, popularitinya kian menurun selepas terdapatnya banyak jalan-jalan lain yang lebih hidup.


Hamra Street, Beirut, Lubnan

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...

SYaM: BuMi aNBiYa' (BHG XXXI) - BeiRuT II

>> Sunday, September 05, 2010



Setelah hilang lelah, aku pun keluar untuk menghabiskan sisa hari yang ada dengan berjalan-jalan di sekitar kota Beirut. Lokasi pertama yang aku tujui ialah Martyr’s Square. Di tengah-tengah kawasan dataran ini terdapat sebuah monumen patung yang diberi nama Monument of the Martyrs. Monumen tersebut dibina sempena memperingati nasionalis-nasionalis Lubnan yang telah digantung mati oleh tentera Turki Uthmaniyah di sini pada tarikh 6 Mei 1916 sewaktu kehangatan Perang Dunia Pertama. Para nasionalis tersebut berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada empayar itu. Kesan-kesan peluru & kecacatan yang terdapat pada monumen tersebut pada masa kini adalah kesan daripada Perang Saudara di Lubnan yang berlaku antara tahun 1975 hingga 1990.


Martyr’s Square, Beirut, Lubnan

Berhampiran dengan Martyr’s Square, terletak sebuah masjid yang merupakan masjid yang paling utama di kota Beirut. Nama masjid tersebut ialah Mohammad Al-Amin Mosque. Masjid ini dibina antara tahun 2002 hingga 2007 oleh bekas Perdana Menteri Lubnan yang bernama Rafik Hariri. Walau bagaimanapun, beliau meninggal dunia sebelum masjid ini sempat disiapkan. Jenazah beliau dikebumikan di sebelah masjid ini. Mohammad Al-Amin Mosque yang mempunyai cirri-ciri senibina Turki Uthmaniyah ini telah dirasmikan pada bulan Oktober 2008 oleh anak kepada Rafik Hariri, iaitu Saad Hariri. Kubahnya yang berwarna biru laut sangat-sangat mengagumkan. Aku menunaikan solat jamak Asar & Zohor di dalam masjid tersebut.


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Ruang dalam Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan

Selesai sahaja solat & berehat-rehat di dalam Mohammad Al-Amin Mosque tadi, aku menyambung perjalanan aku ke destinasi seterusnya, iaitu Nejmeh Square atau nama lainnya Place d’Etoile yang terletak di dalam kawasan tengah-tengah bandar yang diberi nama Solidere. Kawasan ini merupakan tumpuan utama penduduk-penduduk tempatan & juga pelancong-pelancong luar. Sewaktu Perang Saudara Lubnan, kawasan ini merupakan pusat kepada perang tersebut. Ia kemudiannya dibangunkan semula selepas tamat sahaja perang. Aku bersiar-siar sambil mengambil beberapa keping gambar di Nejmeh Square. Di tengah-tengah dataran ini terdapat sebuah menara jam yang agak unik bentuknya kerana ianya mempunyai ciri-ciri senibina Perancis.


Nejmeh Square, Beirut, Lubnan


Nejmeh Square, Beirut, Lubnan


Nejmeh Square, Beirut, Lubnan


Bersama seorang kanak-kanak tempatan di Nejmeh Square, Beirut, Lubnan

Berhampiran dengan Nejmeh Square tadi, terdapat juga sebuah lagi masjid yang agak penting di kota Lubnan. Nama masjid tersebut ialah Al-Omari Mosque. Bangunan masjid ini pada mulanya merupakan sebuah gereja bernama Church of John the Baptist of the Knights Hospitaler yang dibina pada kurun ke-12 sewaktu Beirut berada di bawah pemerintahan Tentera Salib. Fungsinya hanya ditukar menjadi masjid pada tahun 1291 selepas kota ini ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyah. Selain Al-Omari Mosque, terdapat sebuah lagi monumen penting di kawasan sekitar Nejmeh Square, iaitu Roman Baths & Cardo Maximus yang dibina sewaktu era pemerintahan Empayar Rom. Yang tinggal kini hanyalah runtuhan-runtuhannya sahaja.


Al-Omari Mosque, Beirut, Lubnan


Roman Baths & Cardo Maximus, Beirut, Lubnan

Tidak jauh dari Nejmeh Square, terletak gereja yang merupakan gereja yang paling utama di Beirut, iaitu St George’s Orthodox Cathedral. Ia dibina sekitar tahun 1715 & mengalami kerosakan yang teruk sewaktu kejadian gempa bumi pada tahun 1759. Ia kemudian diperbaiki semula. Sewaktu berlakunya perang saudara di Lubnan, gereja ini turut menerima kesannya. Gereja ini terletak betul-betul bersebelahan dengan Mohammad Al-Amin Mosque yang aku ziarah mula-mula tadi. Kedudukan kedua-dua rumah ibadat ini secara bersebelahan melambangkan kedamaian yang terpupuk antara penduduk-penduduk beragama Kristian & penduduk-penduduk beragama Islam di kota Beirut secara khasnya & di seluruh Lubnan secara amnya. Kagum benar aku melihatnya.


St George’s Orthodox Cathedral bersebelahan Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


St George’s Orthodox Cathedral, Beirut, Lubnan

Aku kemudiannya berjalan-jalan di sekitar kawasan Solidere yang sememangnya agak luas. Sedang aku berjalan-jalan, aku ditahan oleh 2 orang polis yang sedang meronda-ronda di kawasan tersebut. Mereka meminta aku membuka beg aku untuk melihat isi di dalamnya. Aku menurut sahaja arahan mereka. Setelah beg aku digeledah, mereka mengucapkan terima kasih. Sebenarnya, sewaktu aku berada di Beirut, seluruh kota itu sedang dikawal oleh polis. Mungkin kerana kota ini sering menjadi serangan pengganas, ditambah lagi selepas berlakunya Perang Hezbollah Lubnan-Israel pada tahun 2006. Di mana-mana sahaja ada polis. Aku yang berjalan berseorangan sambil membawa tripod yang besar sentiasa menjadi perhatian mereka, takut-takut jikalau aku membawa senjata atau bom. Hahaha. Bukan sekali dua aku ditahan oleh mereka, malah berkali-kali sehingga aku berasa meluat & tidak sabar untuk meninggalkan kota ini.

Sesudah penat mengelilingi kawasan Solidere, aku kembali semula ke hostel untuk berehat-rehat sementara menunggu masuknya waktu Maghrib. Kedua-dua orang yang menginap di bilik sama dengan aku masih belum pulang. Apabila keadaan di luar sudah hampir senja, aku berjalan menuju ke Mohammad Al-Amin Mosque untuk solat Maghrib berjemaah bersama-sama dengan jemaah tempatan & seterusnya aku menyambung solat Isyak dijamakkan sekali dengan solat Maghrib tadi. Selesai solat, aku mengambil gambar bersama-sama dengan masjid ini dalam suasana malam pula. Setelah itu, aku ke sebuah kedai untuk membeli sesuatu untuk dijadikan makan malam. Tidak ada restoran murah yang aku jumpai di sini. Semuanya restoran-restoran mewah.


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan


Mohammad Al-Amin Mosque, Beirut, Lubnan

Setelah itu, aku pun pulang semula ke hostel. Aku mandi membersihkan diri & kemudiannya terus melelapkan mata. Aku menyedari kepulangan kedua-dua orang yang menumpang bilik tersebut, namun aku terlalu penat untuk berbual-bual dengan mereka. Mungkin esok sahaja.

Bersambung...


SILA KLIK BANNER INI UNTUK KE HALAMAN 'JHaZKiTaRo's Travelogue' UNTUK MEMBACA KESEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE


Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP