BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG IX) - MoSTaR II

>> Monday, October 19, 2009



Selepas puas menikmati panorama yang indah di atas puncak menara azan Koski Mehmet Pasha Mosque, aku pun menuruni tangga menara tersebut untuk kembali semula ke ruang dalaman masjid itu. Aku kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada penjaga masjid itu kerana memberi kebenaran kepada aku untuk ke puncak menara azan masjid tersebut. Aku memuji keindahan pemandangan kota Mostar yang dapat dilihat dari atasnya. Selepas itu, aku mengatur langkah ke lokasi seterusnya, iaitu Stari Most, jambatan yang amat terkenal di bumi Mostar yang telah menjadi mercu tanda utama bandar ini sejak era pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah lagi.

Stari Most yang bermaksud ‘Old Bridge’ adalah sebuah jambatan yang dibina merentangi Sungai Neretva yang menghubungkan bahagian timur & bahagian barat bandar Mostar. Jambatan yang dilihat pada hari ini sebenarnya adalah jambatan yang dibina semula selepas jambatan yang asal telah dirobohkan dalam Perang Bosnia. Jambatan yang keempat terbesar di Bosnia & Herzegovina ini mempunyai kelebaran 4 meter, kepanjangan 30 meter & berjarak 24 meter dari paras air Sungai Neretva. Di kedua-dua penghujungya masing-masing terdapat sebuah menara, iaitu Helebija Tower di sebelah timur & Tara Tower di sebelah barat.

Pembinaan Stari Most yang asal telah diarahkan pada tahun 1557 oleh Sultan Empayar Turki Uthmaniyah yang bernama Suleyman atau turut dikenali dengan gelaran Suleyman the Magnificient. Ianya bagi menggantikan jambatan kayu yang telah usang. Kerja-kerja pembinaan jambatan ini mengambil masa selama 9 tahun. Ia siap sepenuhnya pada tahun 1566. Arkitek yang bertanggungjawab merekabentuk jambatan ini adalah Mimar Hayruddin yang merupakan anak murid kepada arkitek agung Empayar Turki Uthmaniyah, iaitu Mimar Sinan. Pembinaan jambatan ini merupakan pencapaian teknologi senibina yang terhebat di seluruh dunia pada waktu tersebut. Tiada tamadun lain di dunia yang mampu menandingi kehebatan senibina jambatan ini ketika itu.


Stari Most yang asal sebelum dirobohkan dalam Perang Bosnia, Mostar, Bosnia & Herzegovina

Setelah 427 tahun Stari Most berdiri megah di bumi Mostar, jambatan yang menjadi simbol kebanggaan penduduk Mostar ini akhirnya dirobohkan oleh tentera Republik Herzeg-Bosnia yang dianggotai oleh penduduk kaum etnik Croat pada tarikh 9 November 1993 sewaktu kehangatan Perang Bosnia. Perobohan jambatan ini telah diarahkan oleh komander tentera Republik Herzeg-Bosnia yang bernama Slobodan Praljak yang akhirnya dibawa ke muka pengadilan kerana telah meruntuhkan sebuah khazanah dunia yang berharga. Dia juga turut didakwa atas kesalahan jenayah kemanusiaan terhadap penduduk kaum etnik Muslim Bosniak di Bosnia & Herzegovina.


Peristiwa perobohan Stari Most dalam Perang Bosnia, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Keadaan selepas Stari Most dirobohkan dalam Perang Bosnia, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Slobodan Praljak

Selepas tamatnya Perang Bosnia pada tahun 1995, satu perancangan untuk membina semula Stari Most mengikut senibina asalnya telah dilaksanakan. Ianya adalah sebagai simbol pendamaian antara kaum etnik Croat & Bosniak di bumi Mostar. Pelbagai badan dunia seperti World Bank, UNESCO, World Monuments Fund & beberapa lagi badan terkemuka telah memberi sumbangan besar dalam usaha pembinaan semula jambatan tersebut. Sumbangan tambahan kemudiannya disalurkan oleh negara Itali, Netherlands & Croatia.

Kerja-kerja pembinaan semula Stari Most telah bermula pada bulan Jun 2001. Ia siap sepenuhnya & dirasmikan pembukaannya pada tarikh 23 Julai 2004. Selepas perasmiannya pada tahun tersebut, Stari Most mula menjadi tarikan utama pelancong ke bumi Bosnia & Herzegovina. Tidak lengkap ekspedisi seseorang pelancong ke negara ini sekiranya tidak berkunjung ke jambatan yang bersejarah ini. Pada masa kini, para pelancong dapat menyaksikan penerjun-penerjun lelaki berdiri di atas jambatan ini & membuat percubaan untuk menerjun ke dalam Sungai Neretva. Aktiviti ini sebenarnya sudah menjadi tradisi penduduk-penduduk tempatan di Mostar sejak zaman dahulu lagi.


Kerja-kerja pembinaan semula Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most selepas dibina semula, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Aktiviti penerjunan di Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina

Stari Most adalah mercu tanda utama Mostar pada masa kini & sememangnya sebuah jambatan yang amat cantik senibinanya. Belum pernah lagi aku melihat bentuk jambatan yang sebegitu rupa. Telah lama sebenarnya aku berhajat untuk melihat keindahan senibina jambatan ini dengan anak mata sendiri. Sebelum ini aku hanya dapat melihat gambar-gambarnya di internet sahaja. Memandangkan hajat aku telah tercapai, aku pun menghabiskan masa sepuas-puasnya berjalan di sekitar kawasan jambatan tersebut yang telah pun tersenarai sebagai salah sebuah ‘UNESCO World Heritage Sites’. Berpuluh-puluh keping gambar aku ambil untuk disimpan sebagai kenangan.


Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Pemandangan dari Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most dari jauh, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most dari jauh, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most dari jauh, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most dari jauh, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most dari jauh, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Penerjun lelaki di Stari Most, Mostar, Bosnia & Herzegovina

Setelah puas mengambil gambar bersama Stari Most, aku berjalan-jalan pula di sekitar bandar Mostar. Aku melalui sebuah madrasah di mana terdapat ramai pelajar-pelajar Muslim sedang berkumpul di luarnya. Mungkin kuliah mereka baru sahaja selesai. Kemudian, aku melalui Catholic Cathedral, gereja utama milik penduduk kaum etnik Croat yang menganut ajaran Kristian Katholik di bandar ini. Gereja yang masih berfungsi ini telah dibina pada tahun 1881.


Sebuah madrasah, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Catholic Cathedral, Mostar, Bosnia & Herzegovina

Selepas penat berjalan-jalan di sekitar bandar Mostar, aku pun kembali semula ke hostel. Aku bersiap-siap & mengemas barang-barang kerana aku akan ke destinasi yang seterusnya dalam negara Bosnia & Herzegovina, iaitu Sarajevo. Aku akan ke sana dengan menaiki bas. Selesai sahaja mengemas, aku membawa kesemua barang aku & berjumpa dengan pemilik hostel tersebut. Aku mengetuk pintu rumahnya. Yang membuka pintu tersebut adalah ibu kepada pemilik hostel itu. Makcik tersebut cuba memberitahu aku bahawa anaknya keluar sebentar & akan pulang dalam masa beberapa minit. Bahasa Inggeris makcik tersebut agak tunggang-langgang, namun aku masih boleh memahaminya.

Selepas lebih kurang 5 minit menunggu, akhirnya pemilik hostel itu pun pulang. Dia pulang bersama-sama dengan 2 orang anaknya yang sangat comel. Aku mengucapkan terima kasih sambil menghulurkan wang sewa penginapan kepadanya. Selepas itu, aku meminta izin untuk bergambar dengannya satu keluarga. Selepas bergambar, aku mengucapkan selamat tinggal kepada mereka semua & mengorak langkah ke stesen bas Mostar.


Bersama pemilik hostel & anak-anaknya, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Ibu kepada pemilik hostel, Mostar, Bosnia & Herzegovina

Setibanya aku di stesen bas yang dimaksudkan, aku pun menunggu ketibaan bas untuk ke Sarajevo. Lebih kurang pukul 5.50 petang, bas yang dinantikan pun tiba. Aku lantas terus masuk ke dalamnya. 10 minit kemudian, ianya pun bertolak meninggalkan Mostar menuju ke Sarajevo. Perjalanan menaiki bas dari Mostar ke Sarajevo mengambil masa lebih kurang 2½ jam lamanya. Lebih kurang pukul 8.30 malam, aku pun tiba di stesen bas Sarajevo. Setibanya sahaja aku di stesen bas tersebut, aku dihampiri oleh seorang lelaki tempatan yang menawarkan hostelnya. Aku bersetuju sahaja dengan tawaran yang diberikannya memandangkan harga bilik yang ditawarkan agak murah. Lagipun, hari sudah malam & aku amat keletihan. Aku kemudiannya dibawa oleh lelaki itu ke hostel yang dimaksudkan dengan menaiki sebuah van.

Sesampainya aku di hostel tersebut, aku pun terus mendaftar masuk. Pemilik hostel tersebut adalah seorang wanita berusia 40-an yang dibantu oleh anak lelakinya. Lelaki yang menjemput aku di stesen bas tadi mungkin adik atau pekerjanya. Wanita tersebut agak peramah orangnya walaupun Bahasa Inggerisnya tidak begitu lancar. Dia banyak bercerita tentang orang-orang Malaysia yang ramai menetap & membuka perniagaan di Sarajevo. Tidak tahu pula aku bahawa terdapat ramai orang Malaysia yang menetap di sini. Aku kemudiannya dibawa ke sebuah bilik yang merupakan bilik dorm 4 katil. Boleh tahan selesanya.

Selepas mandi & solat, aku keluar mencari makanan. Berdekatan dengan hostel tersebut terdapat sebuah gerai kebab halal. Aku pun terus sahaja meluru ke situ kerana rasa lapar yang tidak dapat dibendung. Selepas selesai makan, aku kembali semula ke hostel untuk melayari internet. Mujurlah ada kemudahan internet di hostel itu walaupun ianya tidak percuma. Dapat juga aku melepaskan rindu kepada alam cyber. Hehehe. Selepas puas melayari internet, aku kembali ke bilik dorm aku. Kebetulan, terdapat seorang lagi penumpang di bilik tersebut yang berasal dari Perancis. Kami berbual sebentar sebelum kedua-dua kami nyenyak dibuai mimpi.

Bersambung...

p/s: Memandangkan exam penulis blog ini akan bermula tidak lama lagi, iaitu 2 November 2009, blog Aku Sebutir Pasir ini terpaksa direhatkan buat seketika supaya penulis blog dapat memberi 100% tumpuan kepada examnya. InsyaAllah travelogue di bumi Balkan akan disambung semula dengan cerita2 di Sarajevo, Zagreb, Ljubljana & banyak lagi selepas tamatnya exam, iaitu 18 November 2009. Kesemua travelogue sebenarnya telah lama disiapkan oleh penulis blog. Cuma tunggu masa untuk di'publish' dalam blog ini sahaja. Harap bersabar ye. Dan diharapkan kalian semua yang menjadi pengunjung setia blog ini sudi mendoakan kejayaan penulis blog ini dalam examnya. :) Jumpa lagi pada tarikh 18 November 2009 nanti!! SAMBIL-SAMBIL TU, SILA LA BERKUNJUNG KE 'JHaZKiTaRo'S TRaVeLoGue' YANG MENYIMPAN SEMUA KOLEKSI TRAVELOGUE-TRAVELOGUE YG SUDAH DI'PUBLISH' DI 'AKU SEBUTIR PASIR'

Untuk menambah informasi tentang perang di Bosnia & Herzegovina, sila lihat video-video di bawah:


The Defense of Bosnia



Unfinished Business War In Mostar (Part 1 of 5)



Stari Most (Part 1 of 2)



Stari Most (Part 2 of 2)


Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG VIII) - MoSTaR I

>> Saturday, October 17, 2009



Mostar adalah bandar yang terbesar & terpenting di dalam wilayah Herzegovina. Ia juga adalah bandar kelima terbesar di negara Bosnia & Herzegovina. Bandar ini terletak di pinggiran Sungai Neretva, sungai yang terkenal dengan airnya yang jernih & berwarna hijau. Penduduk Mostar berjumlah 128,000 orang. 35% daripadanya adalah dari kaum etnik Bosniak yang beragama Islam. 34% adalah dari kaum etnik Croat yang beragama Kristian Katholik. Sementara 19% pula adalah dari kaum etnik Serb yang beragama Kristian Orthodox. Yang selebihnya adalah dari kaum-kaum etnik minoriti yang lain.


Peta kedudukan Mostar dalam Bosnia & Herzegovina

Disebabkan bandar ini mempunyai peratusan penduduk kaum etnik Bosniak & Croat yang sama banyak & majoriti, maka kuasa politik di bandar ini dibahagikan sama rata antara kedua-duanya agak tidak timbul lagi perbalahan. Walau bagaimanapun, oleh kerana sentimen perkauman masih lagi wujud di sini, kota ini dibahagikan kepada dua bahagian yang dipisahkan oleh Sungai Neretva. Bahagian timur didiami oleh penduduk kaum etnik Bosniak, sementara bahagian barat pula didiami oleh penduduk kaum etnik Croat. Perbezaan kedua-dua bahagian ini dapat dilihat dengan jelas, terutamanya dari segi rumah-rumah ibadat. Bahagian timur Sungai Neretva dipenuhi dengan masjid-masjid, sementara bahagian baratnya pula dipenuhi dengan gereja-gereja Katolik.

Sejarah Mostar agak kabur sebelum kedatangan kuasa Empayar Turki Uthmaniyah di kota ini. Selepas kedatangan empayar tersebut di sini pada tahun 1468, nama Mostar mula menjadi sebutan. Pelbagai bentuk pembangunan telah dilakukan oleh pemerintah empayar tersebut di kota ini. Jumlah penduduknya juga semakin bertambah dari sehari ke sehari. Ia juga turut menjadi pusat perdagangan yang masyhur di rantau Balkan. Mulai akhir kurun ke-16, Mostar dijadikan pusat pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah di wilayah Herzegovina.

Walau bagaimanapun, Mostar akhirnya jatuh ke tangan kuasa Empayar Austria-Hungary pada tahun 1878. Selepas tamatnya Perang Dunia Pertama, ia menjadi sebahagian daripada kerajaan Yugoslavia. Ia kemudian berada di bawah naungan Republik Yugoslavia yang berfahaman sosialis selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Dan akhirnya pada tahun 1991 sewaktu kemerdekaan Bosnia & Herzegovina, Mostar diletakkan di bawah pentadbiran negara baru itu. Akan tetapi, beberapa bulan selepas pengisytiharan kemerdekaan Bosnia & Herzegovina, bandar Mostar telah mengalami serangan bertubi-tubi selama 18 bulan, iaitu antara tahun 1992 & 1993, sewaktu kehangatan Perang Bosnia.

Mostar telah dibom buat pertama kali oleh tentera Yugoslavia yang dianggotai oleh kaum etnik Serb pada bulan April tahun 1992. Hampir keseluruhan bandar ini berjaya ditawan oleh tentera tersebut seminggu selepas ianya dibom. Kemudiannya, tentera Republik Herzeg-Bosnia yang dianggotai oleh penduduk kaum etnik Croat di Bosnia & Herzegovina telah bersatu tenaga dengan tentera Republik Bosnia & Herzegovina yang dianggotai oleh penduduk kaum etnik Bosniak untuk menghalau tentera Yugoslavia keluar dari Mostar pada bulan Jun tahun yang sama. Tentera Yugoslavia akhirnya meninggalkan Mostar. Walau bagaimanapun, sebelum meninggalkan kota tersebut, tentera itu telah memusnahkan beberapa buah bangunan yang bersejarah & penting di sini seperti Franciscan Monastery, Catholic Cathedral, Bishop’s Palace, perpustakaan bersama-sama dengan 50,000 buah buku, Karadzozbegova Mosque & 13 buah lagi masjid di bandar ini.

Sebagai membalas dendam, tentera Republik Herzeg-Bosnia kemudiannya telah memusnahkan Zitomislic Monastery & Saborna Cathedral, gereja-gereja milik penganut ajaran Kristian Serbian Orthodox. Dan selepas itu, gereja-gereja penganut ajaran tersebut yang lain yang terdapat di Mostar seperti Serb Orthodox Cathedral of the Holy Trinity & Church of the Birth of the Most Holy Virgin juga turut dimusnahkan oleh mereka.

Selepas berjaya menghalau tentera Yugoslavia yang dianggotai oleh kaum etnik Serb dari bumi Mostar, tentera Republik Herzeg-Bosnia yang dianggotai oleh kaum etnik Croat ini kemudiannya telah berpaling tadah & menyerang kaum etnik Bosniak pula yang sebelum ini menjadi sekutu mereka. Matlamat mereka adalah untuk menawan keseluruhan bandar Mostar ini & menjadikannya sebagai salah sebuah bandar utama dalam kerajaan Republik Herzeg-Bosnia mereka itu. Mereka dipimpin oleh Mate Boban, Dario Kordic & Jadranko Prlic. Tindakan tentera Republik Herzeg-Bosnia ini disokong oleh kerajaan negara Croatia yang pada waktu itu diperintah oleh presidennya yang bernama Franjo Tudman.

Mostar pada waktu itu dibahagikan kepada 2 bahagian, yang disempadani oleh Sungai Neretva. Bahagian barat sungai ini didominasi oleh tentera Republik Herzeg-Bosnia yang dianggotai oleh kaum etnik Croat, sementara bahagian timur sungai ini pula didominasi oleh tentera Republik Bosnia & Herzegovina yang dianggotai oleh kaum etnik Bosniak yang dipimpin oleh Alija Izetbegovic. Serangan pertama tentera Republik Herzeg-Bosnia dilakukan pada awal pagi 9 Mei 1993 dengan menggunakan pelbagai jenis senjata. Jalanraya-jalanraya ke Mostar juga ditutup oleh mereka bagi menghalang laluan organisasi pengaman antarabangsa. Radio Mostar kemudiannya membuat pengumuman mewajibkan kesemua penduduk kaum etnik Bosniak menggantungkan bendera putih di tingkap rumah masing-masing. Serangan tentera Herzeg-Bosnia ini telah dirancang dengan begitu teliti sekali.

Selepas tentera Republik Herzeg-Bosnia berjaya menawan keseluruhan bahagian barat Sungai Neretva, beribu-ribu penduduk kaum etnik Bosniak yang menetap di bahagian barat sungai tersebut telah dihalau ke bahagian timur. Tidak kurang juga yang dibunuh & diperkosa. Selepas kesemua penduduk kaum etnik Bosniak telah dihalau, dibunuh atau diperkosa, tentera Republik Herzeg-Bosnia kemudiannya melakukan serangan bertubi-tubi ke bahagian timur Sungai Neretva yang dipenuhi dengan penduduk kaum etnik Bosniak. Dalam pada masa yang sama, Stari Most, iaitu jambatan yang bersejarah yang menjadi simbol kebanggaan penduduk di bumi Mostar juga telah dirobohkan oleh mereka. Ianya adalah satu-satunya jambatan yang menghubungkan bahagian barat & bahagian timur Sungai Neretva yang masih tinggal selepas jambatan-jambatan lain dirobohkan oleh tentera Yugoslavia.


Stari Most sebelum dirobohkan dalam Perang Bosnia, Mostar, Bosnia & Herzegovina

Selepas tamatnya Perang Bosnia pada tahun 1995, kesemua pemimpin tentera Republik Herzeg-Bosnia telah dibawa ke muka pengadilan atas kekejaman kemanusiaan yang telah dilakukan & juga atas kesalahan merobohkan Stari Most, jambatan yang menjadi warisan penduduk Mostar. Begitulah hebatnya kekejaman yang dilakukan oleh kaum kafir Croat terhadap umat Islam Bosniak. Semoga mereka semua mendapat balasan yang setimpal dengan kekejaman yang mereka lakukan.

Lokasi pertama di Mostar yang aku lawati ialah Karadzozbegova Mosque, sebuah masjid yang dibina mengikut senibina Turki Uthmaniyah. Masjid ini adalah masjid yang tercantik & terbesar di wilayah Herzegovina & siap dibina pada tahun 1557. Senibinanya direkabentuk oleh arkitek Empayar Turki Uthmaniyah yang paling masyhur, iaitu Mimar Sinan. Masjid ini telah mengalami kerosakan yang teruk sewaktu Perang Dunia Kedua. Sewaktu Perang Bosnia pula, ia hampir runtuh sepenuhnya. Mujurlah terdapat usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan Bosnia & Herzegovina untuk membaiki semula struktur masjid ini yang menjadi kebanggaan penduduk Islam di Mostar.

Karadzozbegova Mosque ini sememangnya mempunyai senibina yang cantik & sama seperti masjid-masjid di bumi Istanbul, Turki. Aku sempat menjejakkan kaki ke dalam masjid ini. Ruangan dalamannya juga sama seperti ruangan dalaman masjid-masjid di Istanbul. Sejuk mata melihatnya. Bersebelahan dengan masjid ini, terdapat sebuah kawasan perkuburan para syahidin Perang Bosnia yang terkorban sewaktu serangan tentera Republik Herzeg-Bosnia. Aku mengambil kesempatan yang ada untuk menyedekahkan Al-Fatihah kepada mereka. Semoga roh-roh para syahidin tersebut sentiasa dalam keberkatan Allah SWT. Sedih pula rasanya apabila aku memikirkan tentang nasib mereka, terutamanya kanak-kanak yang tidak berdosa yang terkorban dalam peperangan yang hanya mengejar nama & kuasa.


Karadzozbegova Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Ruang dalaman Karadzozbegova Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Ruang dalaman Karadzozbegova Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Perkuburan para syahidin Perang Bosnia bersebelahan Karadzozbegova Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina

Destinasi aku yang seterusnya ialah sebuah lagi masjid terpenting yang terdapat di bandar Mostar ini, iaitu Koski Mehmet Pasha Mosque. Sama seperti Karadzozbegova Mosque, binaan Koski Mehmet Pasha Mosque ini juga turut berlandaskan senibina Turki Uthmaniyah. Ianya terletak di pinggiran Sungai Neretva. Masjid yang dibina pada tahun 1617 ini turut mengalami nasib yang sama seperti bangunan-bangunan lain di Mostar ketika berlakunya Perang Bosnia. Hanya pada tahun 1997 sahaja usaha pembaikan masjid ini mula dilakukan dengan bantuan kewangan daripada negara Turki. Pada tahun 2001, masjid bersejarah ini mula dibuka semula untuk pada jemaah & pelancong.

Sewaktu aku sedang asyik menikmati kecantikan ruang dalaman Koski Mehmet Pasha Mosque, aku diberitahu oleh penjaga masjid tersebut bahawa para pelancong boleh menaiki tangga untuk ke puncak menara azan masjid itu. Disebabkan aku orang Islam, aku tidak dikenakan apa-apa bayaran. Aku mengucapkan terima kasih kepada penjaga masjid itu. Lalu, aku pun mengatur langkah untuk ke puncak menara azan masjid tersebut. Dari atasnya, aku dapat melihat panorama yang paling indah yang pernah aku saksikan seumur hidup aku. Dengan pemandangan berlatar belakangkan gunung-ganang & dengan Sungai Neretva yang jernih kehijauan yang mengalir menyusuri bandar ini, aku seolah-olah berada di syurga. Subhanallah. Indah sungguh ciptaan Allah SWT di bumi Mostar ini. Sememangnya, Mostar adalah antara tempat yang paling cantik yang pernah aku jejaki.


Koski Mehmet Pasha Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Ruang dalaman Koski Mehmet Pasha Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Ruang dalaman Koski Mehmet Pasha Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Panorama kota Mostar dari atas puncak menara azan Koski Mehmet Pasha Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Panorama kota Mostar dari atas puncak menara azan Koski Mehmet Pasha Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Panorama kota Mostar dari atas puncak menara azan Koski Mehmet Pasha Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Panorama kota Mostar dari atas puncak menara azan Koski Mehmet Pasha Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Panorama kota Mostar dari atas puncak menara azan Koski Mehmet Pasha Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Panorama kota Mostar dari atas puncak menara azan Koski Mehmet Pasha Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina


Panorama kota Mostar dari atas puncak menara azan Koski Mehmet Pasha Mosque, Mostar, Bosnia & Herzegovina

Bersambung...

Read more...

BaLKaN: JaMBaTaN aNTaRa iSLaM & eRoPaH (BHG VII) - BoSNia & HeRZeGoViNa II

>> Thursday, October 15, 2009



Bosnia & Herzegovina kemudiannya berada pula di bawah jajahan Empayar Austria-Hungary, sebuah empayar yang mengamalkan ajaran Kristian mazhab Roman Katolik. Fahaman nasionalisma kemudiannya mulai meresap masuk ke dalam jiwa penduduk-penduduk kaum etnik Croat & Serb di Bosnia & Herzegovina. Mereka mulai ingin mendapatkan kemerdekaan daripada Empayar Austria-Hungary & menubuhkan negara-negara mereka sendiri mengikut kaum etnik masing-masing. Tekanan politik ini akhirnya mencetuskan Perang Dunia Pertama apabila pewaris takhta Empayar Austria-Hungary, iaitu Franz Ferdinand telah dibunuh oleh seorang nasionalis Serb yang bernama Gavrilo Princip pada akhir bulan Jun tahun 1914 di Sarajevo.


Peta Empayar Austria-Hungary

Selepas tamatnya Perang Dunia Pertama yang menyaksikan kekalahan Empayar Austria-Hungary, penduduk-penduduk kaum etnik Serb, Croat & Slovene membentuk sebuah kerajaan baru yang diberi nama Yugoslavia. Bosnia & Herzegovina turut dimasukkan dalam kerajaan tersebut. Sewaktu berada di dalam kerajaan Yugoslavia, kewujudan Bosnia & Herzegovina telah dinafikan oleh penduduk-penduduk kaum etnik Serb & Croat yang merupakan kaum etnik majoriti dalam kerajaan tersebut. Mereka membahagi-bahagikan tanah Bosnia & Herzegovina sesama mereka sesuka hati tanpa mempedulikan hak-hak kaum etnik Bosniak yang beragama Islam. Kerajaan Yugoslavia ini akhirnya dicerobohi oleh tentera Nazi Jerman pada tahun 1941 sewaktu permulaan Perang Dunia Kedua.

Sewaktu di bawah pemerintahan tentera Nazi Jerman, seluruh kawasan Bosnia & Herzegovina diserahkan kepada pentadbiran boneka penduduk kaum etnik Croat. Penduduk kaum etnik Croat ini kemudiannya melancarkan operasi pemusnahan kaum etnik Yahudi, Serb, Roma & Bosniak. Seramai 360,000 nyawa mereka yang tidak berdosa telah melayang akibat kebencian penduduk kaum etnik Croat terhadap kaum-kaum etnik yang lain ini. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, kerajaan Republik Sosialis Yugoslavia telah dibentuk. Dalam kerajaan inilah Bosnia & Herzegovina baru diberi hak yang sama seperti Serbia, Croatia, Macedonia, Slovenia & Montenegro yang membentuk republik baru itu.


Peta negara-negara yang membentuk kerajaan Republik Sosialis Yugoslavia

Pilihanraya Yugoslavia pada tahun 1990 akhirnya berakhir dengan usaha untuk mengakhiri pengaruh kuasa komunis di negara itu. Croatia & Slovenia mengisytiharkan kemerdekaan mereka daripada Yugoslavia pada tahun tersebut. Begitu juga dengan Bosnia & Herzegovina yang melakukan perkara yang sama pada tahun 1991. Walau bagaimanapun, kemerdekaan Bosnia & Herzegovina tidak disenangi oleh penduduk kaum etnik Serb yang menetap di negara tersebut. Begitu juga dengan penduduk kaum etnik Croat. Penduduk kaum etnik Serb di negara Bosnia & Herzegovina ini akhirnya menubuhkan entiti kerajaan mereka sendiri di dalam negara itu yang diberi nama Republik Srpska, yang diiktiraf & masih kekal sehingga ke hari ini. Sementara itu, penduduk kaum etnik Croat juga turut melakukan perkara yang sama dengan menubuhkan entiti kerajaan Herzeg-Bosnia. Walau bagaimanapun, entiti kerajaan tersebut tidak mendapat pengiktirafan.


Peta entiti kerajaan Republik Srpska dalam negara Bosnia & Herzegovina

Kemudian, pada tahun yang sama, satu perjumpaan rahsia telah dilakukan antara Presiden negara Croatia pada waktu itu, iaitu Franjo Tudman & Slobodan Milosevic yang merupakan Presiden negara Serbia pada waktu itu. Hasil daripada perbincangan mereka, kedua-duanya bersetuju untuk melancarkan perang ke atas Bosnia & Herzegovina. Perang tersebut dinamakan Perang Bosnia. Kedua-dua negara Croatia & Serbia ini sebenarnya ingin membahagi-bahagikan tanah Bosnia & Herzegovina antara kedua-duanya. Penduduk Bosnia & Herzegovina yang dari kaum etnik Croat sudah tentunya menyokong negara Croatia. Begitu juga dengan penduduk dari kaum etnik Serb yang tinggal di Bosnia & Herzegovina. Semestinya mereka berpihak kepada negara Serbia.

Maka, yang tinggal ialah penduduk kaum etnik Muslim Bosniak yang merupakan satu-satunya kaum etnik yang setia kepada negara Bosnia & Herzegovina. Merekalah yang menjadi mangsa utama dalam Perang Bosnia ini. Rumah-rumah mereka diruntuhkan & dibakar. Ada yang dipukul dengan teruk. Dan tak kurang juga yang dibunuh. Suami-isteri dipisahkan. Anak-anak dipisahkan daripada ibu-bapa mereka. Wanita-wanita pula ramai yang diperkosa berulangkali. Semua ini dilakukan atas nama operasi penghapusan kaum etnik Muslim Bosniak supaya kedua-dua negara Serbia & Croatia dapat membahagi-bahagikan tanah Bosnia & Herzegovina sesama mereka tanpa sebarang penentangan.


Franjo Tudman


Slobodan Milosevic

Walau bagaimanapun, pada tahun 1994, satu perjanjian damai telah ditandatangani antara pemimpin kaum etnik Croat & Bosniak yang kemudiannya membentuk kerajaan Persekutuan Bosnia & Herzegovina. Pada masa yang sama, wujud kerajaan Republik Srpska yang ditadbir oleh penduduk kaum etnik Serb di negara tersebut.

Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1995, peristiwa hitam yang paling pahit dalam sejarah Bosnia & Herzegovina telah berlaku, iaitu pembunuhan beramai-ramai penduduk kaum etnik Muslim Bosniak di sebuah bandar yang bernama Srebrenica yang terletak di dalam Republik Srpska. Ia merupakan pembunuhan beramai-ramai yang kedua terbesar dalam sejarah Eropah selepas pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi oleh tentera Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Operasi pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica ini adalah atas arahan Ratko Mladic, ketua angkatan tentera Republik Srpska. Republik tersebut pada waktu itu diperintah oleh presidennya, iaitu Radovan Karadzic. Seramai lebih daripada 8,000 orang lelaki dewasa & kanak-kanak Bosniak yang tidak berdosa telah dibunuh dengan kejamnya.


Peta kedudukan Srebrenica dalam Republik Srpska


Ratko Mladic


Radovan Karadzic


Pencarian mayat-mayat para syahidin pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica


Para syahidin pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica


Para syahidin pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica


Perkuburan para syahidin pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica


Batu bersurat di perkuburan para syahidin pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica


Nama-nama para syahidin pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica

Sejurus selepas kejadian hitam itu, tentera NATO telah menjalankan kempen pengeboman di kawasan Republik Srpska. Akhirnya, satu perjanjian damai telah ditandatangani antara Alija Izetbegovic, Franjo Tudman & Slobodan Milosevic selaku Presiden Bosnia & Herzegovina, Presiden Croatia & Presiden Serbia pada bulan Disember 1995 di Dayton, Amerika Syarikat. Sejak itu, hubungan antara ketiga-tiga negara ini berada dalam keadaan baik walaupun kadangkala timbul sedikit salah faham. Namun, ianya tidak menimbulkan apa-apa peperangan.


Alija Izetbegovic

Sementara itu, kes pembunuhan beramai-ramai di Sebrenica telah dibawa ke Mahkamah Antarabangsa di The Hague, Netherlands untuk dibicarakan. Radovan Karadzic, selaku bekas Presiden Republik Srpska masih lagi ditahan untuk perbicaraan, sementara Ratko Mladic yang merupakan bekas ketua angkatan tentera republik tersebut pula masih lagi belum dijumpai selepas dia berjaya melarikan & menyembunyikan diri. Sepanjang peristiwa Perang Bosnia yang berlaku dari tahun 1991 hingga 1995, seramai 200,000 orang Bosniak telah syahid. Satu kezaliman yang dahsyat terhadap umat Islam di negara ini.

Bersambung...

Read more...
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP