WiNTeR iN FReNCH RiVieRa (BHG VII) - MaRSeiLLeS II

>> Thursday, September 17, 2009



Selepas bergambar di kawasan Old Port, aku, Thani, Asrih & Muaz mengambil keputusan untuk menaiki bot untuk ke Pulau If, iaitu antara pulau-pulau di kepulauan Frioul yang terletak tidak jauh dari kota Marseilles. Pulau If adalah pulau terkecil antara keempat-empat buah pulau di kepulauan tersebut. Walau bagaimanapun, ianya adalah pulau yang paling terkenal antara keempat-empatnya. Ini kerana di sinilah letaknya Chateau d’If, kubu lama yang kemudiannya berfungsi sebagai penjara.

Selepas membeli tiket, kami berempat pun menaiki bot untuk menuju ke pulau tersebut. Bot itu agak penuh dengan pelancong-pelancong yang ingin menjejakkan kaki ke pulau yang terkenal itu. Perjalanan menaiki bot ke Pulau If sememangnya adalah sebuah pengalaman yang menarik bagi aku & ketiga-tiga junior aku. Ini adalah pengalaman pertama mereka menaiki bot di benua Eropah. Mereka kelihatan agak teruja. Aku pun tidak kurang terujanya. Hahaha. Keindahan kota Marseilles & kepulauan Frioul dapat dinikmati dari atas bot tersebut.


Bersama Asrih & Thani di atas bot menuju ke Pulau If, Perancis


Bersama Asrih & Thani di atas bot menuju ke Pulau If, Perancis


Di atas bot menuju ke Pulau If, Perancis


Pulau If, Perancis


Pulau If, Perancis

Selepas hampir 20 minit perjalanan, kami semua pun tiba di Pulau If. Setibanya kami di pulau tersebut, kami terus menuju ke Chateau d’If yang terletak agak berdekatan dengan terminal bot. Pulau ini kecil sahaja. Keluasannya hanya 30,000 meter persegi. Satu-satunya tarikan yang ada di sini adalah kubu tersebut yang memenuhi hampir keseluruhan pulau ini. Chateau d’If ini merupakan bangunan 3 tingkat berbentuk segiempat sama dengan kepanjangan 28 meter di setiap bahagiannya. Ia juga turut mempunyai 3 buah menara.


Bersama Thani di jeti Pulau If, Perancis


Chateau d'If, Pulau If, Perancis


Chateau d'If, Pulau If, Perancis


Chateau d'If, Pulau If, Perancis


Chateau d'If, Pulau If, Perancis


Chateau d'If, Pulau If, Perancis

Chateau d’If dibina antara tahun 1524-1531 atas arahan Raja Perancis yang bernama Francois I untuk berlindung daripada serangan musuh dari laut. Pembinaan kubu ini sebenarnya menimbulkan kontroversi kerana sejak kota Marseilles menjadi sebahagian daripada Perancis pada tahun 1481, sistem pertahanannya masih lagi di bawah hal ehwal peribadi kota tersebut & tidak boleh dicampur tangan oleh kerajaan Perancis. Sejak ia dibina, kubu ini tidak pernah langsung menjadi medan pertempuran untuk melawan mana-mana musuh. Maharaja Holy Rom yang bernama Charles V pernah bercadang untuk menyerang Marseilles pada tahun 1531. Namun, baginda akhirnya membatalkan rancangan tersebut. Ini mungkin kerana baginda bimbang akan kekuatan kubu Cheateau d’If.

Disebabkan kedudukannya yang agak terpencil, Chateau d’If ini akhirnya ditukar fungsinya menjadi penjara. Ia digunakan untuk memenjarakan pesalah-pesalah politik & agama. Chateau d’If ini kemudiannya menjadi terkenal di seluruh dunia mulai tahun 1844 apabila ia digunakan sebagai lokasi penjara dalam novel ‘The Count Of Monte Cristo’, hasil karya penulis novel berbangsa Perancis yang ternama, iaitu Alexandre Dumas yang turut terkenal dengan novel The Three Musketeers. Di dalam novel tersebut, watak utamanya, iaitu Edmond Dantes telah dipenjarakan di Chateau d’If untuk jangka masa 14 tahun atas kesalahan yang tidak dilakukannya akibat perbuatan khianat kawannya sendiri. Dia akhirnya berjaya melarikan diri dari penjara tersebut & berjaya menjumpai harta karun. Dengan kekayaan yang baru dimilikinya, dia menyamar dengan menggunakan nama Count of Monte Cristo untuk membalas dendam ke atas kawannya yang telah mengkhianatinya. Novel 'The Count of Monte Cristo' ini adalah antara novel-novel yang terkenal di seluruh dunia. Ia juga pernah difilemkan sebanyak berbelas-belas kali. Filem yang terbaru dikeluarkan pada tahun 2002.


Penjara di dalam Chateau d'If, Pulau If, Perancis


Novel 'The Count of Monte Cristo'


Filem 'The Count of Monte Cristo' keluaran tahun 2002

Chateau d’If ini telah dibuka kepada orang awam pada tahun 1890 selepas peranannya sebagai penjara dihentikan. Kami berempat menghabiskan masa lebih kurang sejam di Pulau If ini untuk bergambar & menikmati panorama yang cantik. Dari sini, kami dapat melihat kota Marseilles dari jauh. Indah sekali. Apabila sudah puas, kami pun kembali ke jeti untuk kembali semula ke Old Port di Marseilles.


Pemandangan kota Marseilles dari Chateau d'If, Pulau If, Perancis


Pemandangan kota Marseilles dari Chateau d'If, Pulau If, Perancis


Pemandangan kota Marseilles dari Chateau d'If, Pulau If, Perancis

Setibanya kami di Old Port, kami berjalan kaki menuju ke destinasi kami yang seterusnya, iaitu Cathedral of Sainte-Marie-Majeure, sebuah lagi gereja yang terpenting & terbesar di kota Marseilles yang mempunyai senibina seakan-akan sama seperti Notre-Dame de la Garde. Cathedral of Sainte-Marie-Majeure ini diasaskan pada kurun ke-4, diperbesarkan pada kurun ke-11 & dibina semula pada kurun ke-19. Ianya adalah antara gereja-gereja yang tercantik di bumi Perancis ini.


Cathedral of Sainte-Marie-Majeure, Marseilles, Perancis


Bersama Thani di Cathedral of Sainte-Marie-Majeure, Marseilles, Perancis

Selepas bergambar di luar gereja tersebut, kami berjalan pula ke La Vieille Charite, sebuah bekas rumah kebajikan yang menempatkan peminta-peminta sedekah yang kini berfungsi sebagai sebuah muzium & pusat kebudayaan. Bangunan ini dibina antara tahun 1671 & 1749. Kami berempat hanya bergambar di bahagian luarnya sahaja memandang ianya sudah pun ditutup sewaktu kami tiba di situ.


Bersama Muaz & Asrih di La Vieille Charite, Marseilles, Perancis

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan pulang ke hostel. Pengembaraan kami di kota Marseilles sudah pun tamat. Dalam perjalanan ke hostel, kami tergerak hati untuk membeli tiket keretapi untuk pulang ke Nice. Mujurlah kami membeli tiket seawal pukul 4.30 petang, kerana keretapi terakhir ke Nice pada hari ini akan bertolak sejam dari sekarang. Akan tetapi, di dalam jadual perjalanan keretapi yang aku rujuk di internet beberapa hari lalu, keretapi terakhir ke Nice pada hari ini sepatutnya bertolak pada pukul 9.00 malam nanti. Mungkin ada kesilapan pada jadual itu. Kami berempat benar-benar bersyukur kerana digerakkan hati untuk membeli tiket seawal itu. Jikalau tidak, kami terpaksa menaiki keretapi pagi esok & sudah pastinya kami tidak akan sempat untuk mengejar kapal terbang pulang ke Dublin yang akan berlepas awal pagi esok juga dari Nice. Syukur Alhamdulillah.

Selepas selesai membeli tiket, kami pun pulang semula ke hostel. Selepas berkemas-kemas, kami kembali ke stesen keretapi. Keretapi ke Nice sudah ada di situ sewaktu kami tiba & kami pun lantas masuk ke dalamnya. Beberapa minit kemudian, ianya pun bergerak meninggalkan Marseilles. Perjalanan ke Nice mengambil masa lebih kurang 2 jam lamanya.

Setelah tiba di stesen keretapi Nice Ville, kami berempat terus bergerak menuju ke hostel yang kami tumpangi 2 malam yang lepas. Kami menghadapi sedikit masalah sewaktu kami hendak mendaftar masuk. Kami menyatakan kepada orang yang menjaga di kaunter pendaftaran hostel itu bahawa kami telah pun menjelaskan wang penginapan untuk malam ini sewaktu kami tiba di hostel ini 3 hari lepas. Namun, penjaga kaunter tersebut berkata yang dia tidak menjumpai apa-apa rekod pembayaran untuk malam ini. Kami berempat menjadi bengang.

Aku akhirnya menyuruh orang tersebut menelefon pengurus hostel. Dia pun menurut kata aku. Selepas mereka bercakap-cakap di telefon, akhirnya orang tersebut meminta maaf kepada kami berempat kerana telah melakukan kesilapan. Dia kemudian menyerahkan kunci bilik kepada kami. Aku dengan muka marah mengambil kunci tersebut. Kami berempat kemudian bergerak menuju ke bilik kami. Selepas mandi & solat, kami berempat keluar untuk makan malam. Selepas makan, kami pun kembali ke hostel untuk berehat-rehat.

Bersambung...

2 buah komen:

Anonymous Thursday, September 17, 2009 at 8:56:00 AM GMT+8  

Salam,

Permandangan yang sangat menarik.
Keep up writing.

rosebali.

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP