WiNTeR iN FReNCH RiVieRa (BHG III) - MoNaCo I

>> Wednesday, September 09, 2009



Hari 2: 17 DISEMBER 2007

Pada pagi hari ini, aku, Thani, Asrih & Muaz akan menaiki keretapi ke Monaco pada pukul 9.10 pagi. Oleh itu, selepas mandi & bersiap, kami berempat terus mengatur langkah menuju ke stesen keretapi Nice Ville. Selepas membeli tiket pergi & balik, kami menunggu ketibaan keretapi di dalam stesen tersebut. Tidak berapa lama kemudian, keretapi yang dinantikan pun tiba & kami terus masuk ke dalamnya. Seperti yang dijadualkan, tepat pada pukul 9.10 pagi, keretapi itu pun bergerak meninggalkan Nice menuju ke Monaco. Kami akan kembali semula ke Nice pada waktu petang nanti. Perjalanan dari Nice ke Monaco memakan masa cuma 20 minit sahaja. Lebih kurang pukul 9.30 pagi, kami pun tiba di stesen keretapi Monte Carlo, Monaco. Sesampainya sahaja di situ, kami pun terus memulakan penjelajahan kami di negara kecil Monaco ini.

Monaco adalah sebuah negara kecil yang terletak di kawasan French Riviera, di pinggiran Laut Mediterranean. Dengan keluasan 1.95 km persegi, negara ini adalah negara kedua terkecil di dunia selepas Vatican City. Seseorang hanya memerlukan masa lebih kurang 56 minit sahaja untuk berjalan kaki merentasi diameter negara ini. Ibu negaranya adalah negara itu sendiri. Disebabkan itu, ianya digelar ‘negara bandar’. Jumlah penduduk Monaco adalah seramai 32,500 orang, menjadikannya sebagai negara yang paling padat penduduk di dunia dengan kepadatan penduduk 16,800 orang per km persegi. Penduduk di negara ini tidak perlu membayar cukai pendapatan, sama seperti penduduk di negara United Arab Emirates. Itu yang seronoknya jikalau kita bekerja di Monaco. 84% daripada penduduk Monaco sebenarnya berasal dari negara-negara lain & kebanyakannya adalah dari golongan hartawan.


Peta Kedudukan Monaco

Monaco mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan yang diketuai oleh Putera Albert II yang berasal dari keluarga Grimaldi. Keluarga Grimaldi ini telah menjadi pemerintah Monaco sejak tahun 1297 lagi. Pengasas kerajaan ini adalah Francesco Grimaldi yang berasal dari Genoa, Italy. Pemerintahan diraja dibantu oleh seorang Menteri, selaku ketua pentadbiran. Negara Monaco ini terbahagi kepada 3 wilayah iaitu Monaco-Ville, Monte Carlo & La Condamine. Bahasa rasmi di negara ini adalah Bahasa Perancis. Walau bagaimanapun, kebanyakan penduduknya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan fasih kerana kebanyakan daripada mereka bukanlah berasal dari sini. Matawang yang digunakan adalah Euro, sama seperti Perancis.


Peta Monaco


Bendera Monaco

Menurut sejarah, pada tahun 1793, sewaktu kehangatan Revolusi Perancis, Monaco telah ditawan oleh Perancis & berada di bawah pemerintahan Perancis hingga tahun 1814. Mulai tahun 1814, ianya bebas daripada Perancis, tetapi berada di bawah kerajaan Sardinia pula. Pada tahun 1860, Sardinia pula jatuh ke tangan Perancis & ini menyebabkan Monaco pun turut serta jatuh ke tangan Perancis. Beberapa rusuhan anti-Perancis di Monaco kemudiannya berlaku sehinggalah termeterainya Perjanjian Franco-Monegasque pada tahun 1861 yang mengiktiraf semula kedaulatan Monaco.

Dari tahun 1861 sehingga tahun 1919, negara Monaco bebas sepenuhnya daripada kekuasaan Perancis. Walau bagaimanapun, selepas Perang Dunia Pertama, urusan politik, pertahanan & ekonomi Monaco diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan Perancis. Ini terkandung dalam Perjanjian Versailles yang ditandatangani dalam tahun 1919. Kemudiannya, pada tahun 1943, sewaktu Perang Dunia Kedua sedang berlangsung, Itali telah mencerobohi Monaco & menubuhkan kerajaan Fascist. Tidak berapa lama kemudian, selepas kejatuhan Bennito Mussolini, Monaco diambil alih pula oleh Nazi Jerman. Selepas Perang Dunia, Monaco mulai menjadi aman.

Monte Carlo adalah salah satu daripada 3 wilayah kecil yang membahagikan Monaco. Ia diasaskan pada tahun 1866. Nama Monte Carlo membawa maksud ‘Bukit Charles’ dalam Bahasa Itali. Ianya dinamakan bersempena dengan nama Putera Charles III, pemerintah Monaco pada kurun ke-19. Jumlah penduduk di wilayah ini adalah seramai 3,000 orang. Monte Carlo amat terkenal di seluruh dunia sebagai syurga bagi orang-orang kaya. Ia sememangnya terkenal dengan kasino, aktiviti perjudian, glamor, kapal-kapal layar yang mewah & juga tempat pertemuan ahli-ahli perniagaan & orang-orang ternama. Ia juga sinonim dengan sukan lumba kereta Formula One & seringkali dijadikan lokasi penggambaran filem-filem Barat, contohnya 2 buah filem James Bond, iaitu Never Say Never Again & Goldeneye.

Tempat pertama yang aku, Thani, Asrih & Muaz jejaki di Monaco ialah Port de Monaco, sebuah pelabuhan kecil di mana terdapatnya banyak bot-bot persendirian yang dilabuhkan di sini. Port de Monaco terletak di dalam wilayah La Condamine. Pemandangan di sini tersangat-sangatlah menakjubkan, dengan jumlah bot yang tidak terkira banyaknya & berlatarbelakangkan bangunan-bangunan yang tinggi mencakar langit. Kami menikmati sarapan pagi kami di sini kerana tidak sempat bersarapan pagi di Nice tadi.


Port de Monaco, Monaco


Bersama Thani & Asrih di Port de Monaco, Monaco


Port de Monaco, Monaco

Selepas selesai bersarapan & mengambil gambar di Port de Monaco, kami meneruskan perjalanan kami ke Monte Carlo Casino yang terletak di dalam wilayah Monte Carlo. Untuk ke casino tersebut, kami melalui laluan trek Formula One yang diberi nama Circuit de Monaco. Ianya adalah antara laluan trek Formula One yang terkenal di seluruh dunia. Laluan ini digunakan sewaktu acara Formula One Monaco Grand Prix yang dimulakan pada tahun 1929. Acara tersebut diadakan pada satu hujung minggu di bulan Mei setiap tahun. Antara seksyen yang popular di trek ini adalah 3 selekoh tajamnya & terowongnya yang terletak di bawah Fairmont Hotel. Pada hari-hari lain, laluan ini hanyalah jalan raya biasa. Di sepanjang laluan trek Formula One ini, kami dapat menikmati pemandangan Port de Monaco yang sangat cantik. Kami mengambil masa yang agak lama untuk tiba di Monte Carlo Casino kerana sibuk bergambar di sepanjang laluan trek itu.


Circuit de Monaco, Monaco


Bersama Thani & Asrih di Circuit de Monaco, Monaco


Pemandangan Port de Monaco dari Circuit de Monaco, Monaco


Pemandangan Port de Monaco dari Circuit de Monaco, Monaco


Pemandangan Port de Monaco dari Circuit de Monaco, Monaco


Selekoh tajam di Circuit de Monaco, Monaco


Bersama Thani & Muaz di Selekoh tajam di Circuit de Monaco, Monaco


Terowong di bawah Fairmont Hotel di Circuit de Monaco, Monaco


Terowong di bawah Fairmont Hotel di Circuit de Monaco, Monaco


Terowong di bawah Fairmont Hotel di Circuit de Monaco, Monaco


Pemandangan pantai yang indah dari Circuit de Monaco, Monaco

Bersambung...

4 buah komen:

anjut Wednesday, September 9, 2009 at 4:34:00 PM GMT+8  

monaco mmg, melampau2 gahnya...kalau aku kaya, nak jer aku beli negara tu.hahahaha!

silversarina Thursday, September 10, 2009 at 8:40:00 AM GMT+8  

Teringinnya nak kaya , dapat jejak kaki kat Monaco , bestnya !!

Baby Yaya Thursday, September 10, 2009 at 12:20:00 PM GMT+8  

salam abang,
cantiknya pemandangan di Monaco..insya Allah nak juga ajak mama dan abah g melawat kat tempat tu..

JHaZKiTaRo Friday, September 11, 2009 at 8:50:00 AM GMT+8  

anjut:
hahaha.. mmg melampau pun.. ko simpan laa duit banyak2 dulu, pastuh baru beli.. hih

silversarina:
hahaha.. tak kaya pun boleh jejak jugak.. :P

Baby yaya:
wsalam.. aa.. mmg cantik.. haha.. jgn lupa ajak mama n abah pegi sane ye.. :)

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP