WiNTeR iN FReNCH RiVieRa (BHG IV) - MoNaCo II

>> Friday, September 11, 2009



Lebih kurang setengah jam kemudian, aku, Thani, Asrih & Muaz pun tiba di Monte Carlo Casino, yang merupakan salah sebuah tempat tarikan pelancong yang utama di Monaco. Ia menyediakan kemudahan untuk berjudi, teater opera & ballet & juga restoran. Cuma pelancong-pelancong luar sahaja dibenarkan berjudi di sini. Penduduk tempatan Monaco tidak dibenarkan untuk memasuki ke dalam dewan-dewan berjudi yang ada di dalamnya. Monte Carlo Casino ini adalah tuan rumah kepada European Poker Tour Grand Final, acara tahunan pertandingan poker yang paling berpestrij di benua Eropah.

Menurut sejarah, pemerintah Monaco yang bernama Putera Florestan I adalah orang yang bertanggungjawab menghalalkan kegiatan berjudi di Monaco pada tahun 1854. Sebuah casino telah dibina pada tahun 1856, berdekatan dengan Port de Monaco. Anaknya, iaitu Putera Charles III kemudiannya mengarahkan pembinaan sebuah lagi casino yang lebih besar untuk menjadikan Monaco sebagai tempat perjudian yang terkenal di dunia. Dan casino itu dinamakan Monte Carlo Casino, bersempena dengan nama Charles III. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1858 & siap sepenuhnya tidak berapa lama kemudian. Kami berempat cuma bergambar di luar casino itu sahaja. Kami tidak mempunyai keinginan untuk masuk ke dalamnya kerana kami hendak menjauhi kegiatan berjudi yang sememangnya haram di sisi Islam.


Bersama Muaz & Thani di Monte Carlo Casino, Monaco


Bersama Thani, Asrih & Muaz di Monte Carlo Casino, Monaco


Bersama Asrih & Thani di Monte Carlo Casino, Monaco


Monte Carlo Casino, Monaco


Monte Carlo Casino, Monaco

Selepas bergambar di luar Monte Carlo Casino, kami meneruskan perjalanan kami ke Prince's Palace of Monaco yang terletak agak jauh di atas sebuah bukit di wilayah Monaco-Ville. Untuk ke istana itu, kami mengambil masa lebih daripada sejam kerana kami sibuk bergambar di sana-sini sewaktu dalam perjalanan menuju ke sana. Pemandangan yang kami lihat sepanjang perjalanan kami ke istana itu tersangat-sangatlah cantik. Kami melalui semula Port de Monaco untuk ke istana itu. Dalam perjalanan ke sana, kami sempat singgah di sebuah kedai cenderahati untuk membeli beberapa buah cenderahati untuk dibawa pulang.


Port de Monaco, Monaco

Kedudukan Prince’s Palace of Monaco yang terletak di atas bukit menyebabkan kami agak lelah untuk menuju ke puncaknya. Namun, pemandangan indah Monaco yang dapat dinikmati sepanjang pendakian kami sedikit-sebanyak dapat menghilangkan rasa penat. Kami mengambil masa hampir 20 minit untuk ke puncak bukit itu di mana terletaknya istana yang menjadi tempat tujuan kami berempat.


Dalam pendakian ke Prince’s Palace of Monaco, Monaco


Panorama Port de Monaco dari Prince’s Palace of Monaco, Monaco


Panorama Port de Monaco dari Prince’s Palace of Monaco, Monaco

Prince’s Palace of Monaco ini adalah kediaman rasmi Prince of Monaco, iaitu pemerintah kerajaan Monaco. Ia pada mulanya dibina pada tahun 1191 sebagai kubu pertahanan Republik Genoa & seringkali diserangi oleh kuasa luar. Ianya mula menjadi kediaman rasmi keluarga Grimaldi, iaitu keluarga pemerintah Monaco mulai tahun 1297, selepas ianya berjaya ditawan oleh Francois Grimaldi, pemerintah Monaco yang pertama.

Keluarga Grimaldi pada mulanya hanyalah tuan tanah sistem feudalisma. Namun, mulai kurun ke-17, mereka mula mendapat taraf ‘Putera’. Istana ini pernah ditawan oleh Perancis pada kurun ke-18 & keluarga Grimaldi dibuang negeri selama 20 tahun. Walau bagaimanapun, mereka berjaya kembali semula ke Monaco selepas 20 tahun. Tidak seperti kerajaan-kerajaan & empayar-empayar lain di Eropah di mana setiap daripadanya mempunyai jumlah bilangan istana yang lebih daripada satu, istana di Monaco cuma ada satu sahaja. Ini disebabkan masalah keluasan tanahnya yang terhad. Prince's Palace of Monaco adalah antara istana yang paling lama dihuni oleh sesebuah dinasti di benua Eropah. Ianya telah lebih 700 tahun dihuni oleh Dinasti Grimaldi & terus dihuni oleh dinasti tersebut sehingga kini. Istana ini pada masa kini turut dijadikan sebagai muzium yang mempamerkan kisah-kisah sejarah Monaco. Selepas melawat muzium di dalam Prince’s Palace of Monaco, kami berehat-rehat sebentar di luar, menyaksikan keindahan Monaco dari puncak bukit tersebut.


Bersama Thani di Prince’s Palace of Monaco, Monaco


Prince’s Palace of Monaco, Monaco

Selepas hilang penat, kami pun meneruskan perjalanan kami. Destinasi seterusnya ialah Oceanographic Museum yang turut terletak di dalam wilayah Monaco-ville. Muzium ini terletak berhampiran tebing laut sehinggi 85 meter dari paras laut. Ianya mempamerkan koleksi hidupan laut yang boleh dilihat di Laut Mediterranean seperti tapak sulaiman, kuda laut, penyu, obor-obor, ketam, ikan jerung & banyak lagi. Muzium ini mula dibuka pada tahun 1910 selepas mengambil masa selama 11 tahun untuk dibina. Ia dirasmikan oleh Putera Albert I. Kami berempat tidak masuk ke dalam muzium ini kerana masing-masing tidak berminat. Kami cuma berehat-rehat di sebuah taman kecil bersebelahan dengannya. Dari situ, kami dapat melihat panorama laut yang amat cantik.


Oceanographic Museum, Monaco

Destinasi kami yang seterusnya ialah Saint Nicholas Cathedral atau turut dikenali dengan nama Cathedrale de Monaco. Ianya adalah sebuah gereja Roman Katholik & merupakan gereja yang paling penting di Monaco kerana di sinilah letaknya tempat persemadian kebanyakan ahli keluarga Grimaldi, pemerintah Monaco. Gereja ini siap dibina pada tahun 1875. Ia dibina di atas tapak sebuah gereja lama yang dibina pada tahun 1252 yang diruntuhkan untuk pembinaan gereja baru ini. Selepas melawat gereja tersebut, kami berempat berjalan menuju ke pusat bandar untuk bersiar-siar di samping mencari restoran McDonald’s untuk mengisi perut yang sedang lapar. Mujurlah kami berjaya menjumpai restoran tersebut. Seperti biasa, Fillet O’Fish menjadi pilihan kami kerana itu sahaja yang halal untuk dimakan. Selepas makan, kami bersiar-siar sambil melihat kedai-kedai.


Saint Nicholas Cathedral, Monaco

Apabila waktu sudah malam, kami kembali ke Port de Monaco untuk menikmati suasana malam di situ yang sememangnya memukau hati. Kami mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan. Selepas itu, kami kembali semula ke stesen keretapi Monte Carlo, Monaco untuk pulang ke Nice. Keretapi yang kami naiki bertolak pada pukul 8.40 malam. Lebih kurang 20 minit kemudian, kami tiba di stesen keretapi Nice Ville. Setibanya kami di situ, kami terus berjalan pulang ke hostel kami. Selepas mandi, solat & sebagainya, kami berempat pun melelapkan mata kepenatan.


Port de Monaco pada waktu malam, Monaco


Bersama Thani & Asrih di Stesen Keretapi Monte Carlo, Monaco

Bersambung...

5 buah komen:

hanimndroid Friday, September 11, 2009 at 11:18:00 AM GMT+8  

me yg plg xleh blah-bab2 kena daki ni. hallamakkk, gigel tempurung lutut.

eh, tp sgt klassik lah~

JHaZKiTaRo Sunday, September 13, 2009 at 12:18:00 AM GMT+8  

hanimdroid:
hahaha.. mmg penat pun mendaki..

zaidcr7:
belum lagi dik ooi.. jauh sgt tu..

zaidcr7 Sunday, September 13, 2009 at 3:32:00 AM GMT+8  

ouh~okaay...visit ar US~..bez!ade universal studios~

JHaZKiTaRo Sunday, September 13, 2009 at 5:36:00 PM GMT+8  

hahah.. insyaAllah.. one day if ada rezeki.. anyway, i've already been to disneyland n universal studio in paris 3 times.. haha.. eventhough its not as great as the one in LA, but its not so bad..

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP