WiNTeR iN FReNCH RiVieRa (BHG V) - CaNNeS

>> Sunday, September 13, 2009



Hari 3: 18 DISEMBER 2007

Pagi ini, aku, Thani, Asrih & Muaz perlu bersiap-siap awal kerana kami berempat akan menaiki keretapi ke Cannes pada pukul 9.00 pagi. Selepas semuanya siap, kami pun bergerak meninggalkan hostel. Kami akan kembali semula ke hostel tersebut malam esoknya. Sesampainya kami di stesen keretapi Nice Ville, kami terus masuk ke dalam keretapi yang sudah sedia ada di situ. Tepat pukul 9.00 pagi, ianya pun mulai bergerak meninggalkan Nice. Perjalanan ke Cannes mengambil masa lebih kurang 40 minit. Lebih kurang puku 9.40 pagi, kami pun tiba di stesen keretapi Cannes. Sejurus selepas ketibaan kami di stesen itu, kami terus mencari tempat menyimpan barang di dalam stesen itu. Mujurlah ada sebuah bilik loker di situ. Selepas menyimpan barang-barang kami di dalam loker-loker, kami pun memulakan pengembaraan kami di kota Cannes.


Bersama Thani & Asrih di stesen keretapi Cannes, Cannes, Perancis

Cannes adalah sebuah lagi bandar yang terkenal di French Riviera. Keluasannya adalah lebih kurang 19.6 km persegi, dengan jumlah penduduk seramai 70,000 orang. Tempat pertama yang kami jejaki di kota ini adalah Palais des Festivals et des Congrès, antara mercu tanda utama Cannes. Bangunan ini adalah tempat berlangsungnya Cannes Film Festival, salah satu festival filem yang tertua & terkenal di dunia. Festival ini dimulakan pada tahun 1946 & diadakan setiap tahun pada bulan Mei. Anugerah yang paling tertinggi dalam festival filem ini adalah Palme d’Or, yang diberikan kepada filem-filem terbaik setiap tahun. Antara filem-filem yang pernah mendapat anugerah Palme d’Or ialah The Piano, Pulp Fiction, The Pianist & The Wind That Shakes The Barley. Palais des Festivals et des Congrès ini sebenarnya siap dibina pada tahun 1982. Pada tahun-tahun sebelumnya, Cannes Film Festival ini diadakan di bangunan lain.


Peta Kedudukan Cannes di dalam Perancis


Logo Cannes Film Festival


Bersama Muaz, Thani & Asrih di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Bersama Asrih di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Bersama Thani & Asrih di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis (Mr & Mrs Smith)


Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis (Austin Powers & Foxy Cleopatra)

Di bahagian luar bangunan Palais des Festivals et des Congrès ini terdapat satu lorong kecil yang seolah-olah seperti Walk of Fame yang terdapat di Hollywood. Di lorong kecil tersebut, terdapat tapak-tapak tangan pelakon-pelakon popular dari seluruh dunia. Kami berempat cuma mengenali pelakon-pelakon Hollywood & British sahaja. Antara tapak-tapak tangan pelakon Hollywood & British yang kami jumpai adalah Bruce Willis, Ben Kingsley, Sharon Stone, Julie Andrews, Michael Douglas & Whoopi Goldberg. Berhampiran dengan bangunan Palais des Festivals et des Congrès adalah pinggiran pantai Laut Mediterranean. Kami bermain-main sebentar di sini sambil mengambil beberapa keping gambar sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.


Tapak tangan Bruce Willis di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Tapak tangan Ben Kingsley di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Tapak tangan Sharon Stone di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Tapak tangan Julie Andrews di Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Pantai Laut Mediterranean berhampiran Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Bersama Thani & Asrih di Pantai Laut Mediterranean berhampiran Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis


Bersama Thani & Muaz di Pantai Laut Mediterranean berhampiran Palais des Festivals et des Congrès, Cannes, Perancis

Destinasi kami yang seterusnya ialah Boulevard de la Croisette, sebatang jalan raya yang terletak di pinggiran pantai. Ia adalah jalan yang paling utama & paling sibuk di kota Cannes. Terdapat banyak restoran, café & butik di sini. Pemandangannya juga cukup cantik, dihiasi dengan pokok-pokok palma yang tumbuh subur di sepanjang jalan ini. Selepas puas melihat kedai-kedai yang ada di Boulevard de la Croisette, kami meneruskan perjalanan kami ke Musee de la Castre, sebuah muzium yang terletak di atas puncak sebuah bukit yang diberi nama La Suquet. Perjalanan untuk ke puncak bukit tersebut memakan masa lebih kurang setengah jam. Dalam perjalanan ke muzium itu, kami melalui Vieux Port, sebuah pelabuhan di mana terdapat berpuluh-puluh buah kapal layar. Dan sewaktu kami mendaki bukit untuk ke muzium tersebut, kami dapat menikmati panorama kota Cannes yang sangat mengasyikkan. Kami sempat mengambil beberapa keping gambar.


Boulevard de la Croisette, Cannes, Perancis


Bersama Thani & Asrih di Boulevard de la Croisette, Cannes, Perancis


Panorama kota Cannes sewaktu dalam pendakian ke Musee de la Castre, Cannes, Perancis


Panorama kota Cannes sewaktu dalam pendakian ke Musee de la Castre, Cannes, Perancis

Setibanya kami di pintu masuk Musee de la Castre, muzium itu ditutup sementara waktu untuk makan tengah hari. Kami perlu menunggu sejam sebelum ianya dibuka semula. Sudah alang-alang sampai di situ, kami pun mengambil keputusan untuk menunggu. Sementara menunggu, kami menunaikan dahulu solat jamak Zohor & Asar. Selepas solat, kami berehat-rehat di satu kawasan teduh. Tidak berapa lama kemudian, muzium itu pun dibuka semula. Musee de la Castre ini mempamerkan khazanah-khazanah lama dari pelbagai tamadun dari seluruh dunia. Sebagai pelajar, kami diberi masuk secara percuma. Kami menghabiskan masa lebih kurang 1½ jam di dalam muzium itu. Kami sempat ke atas bumbung muzium tersebut yang sememangnya dibuka kepada pelancong. Dari atas bumbung itu, kami dapat menyaksikan pemandangan yang tersangat-sangat cantik. Hampir setengah jam kami berempat menghabiskan masa bergambar di situ.


Panorama kota Cannes dari atas Musee de la Castre, Cannes, Perancis


Panorama kota Cannes dari atas Musee de la Castre, Cannes, Perancis

Selepas puas bergambar, kami turun semula ke kawasan Vieux Port untuk bersiar-siar di kawasan itu. Terdapat banyak gerai-gerai kecil yang menjual beraneka jenis makanan & cenderahati. Kami sempat merasa beberapa jenis makanan & membeli beberapa cenderahati untuk dibawa balik. Selepas itu, kami menuju ke restoran MacDonald’s untuk makan tengah hari. Selesai sahaja makan, kami bergegas kembali semula ke stesen keretapi. Kami ke bilik loker untuk mengambil barang-barang yang kami simpan dahulu sebelum bergerak ke terminal keretapi.

Destinasi kami yang seterusnya adalah Marseilles. Keretapi ke Marseilles akan bergerak pada pukul 6.20 petang & dijangka akan sampai di Marseilles pada pukul 8.30 malam. Lebih kurang 2 jam 10 minit lamanya. Sedang kami menunggu ketibaan keretapi, kami terdengar satu pengumuman yang mengatakan bahawa keretapi ke Marseilles sedang menghadapi masalah. Oleh itu, para penumpang diminta menaiki keretapi lain ke stesen keretapi yang lain & menaiki keretapi ke Marseilles dari stesen itu. Penumpang-penumpang ke Marseilles semua berada dalam keresahan, termasuklah kami berempat. Mujurlah ada beberapa orang pekerja membantu menenangkan kami semua. Setibanya sebuah keretapi di terminal yang kami tunggu, pekerja-pekerja tersebut meminta penumpang-penumpang ke Marseilles untuk masuk ke dalamnya & memberitahu kami supaya turun di stesen keretapi yang telah diumumkan untuk menaiki keretapi ke Marseilles dari situ. Tidak berapa lama kemudian, keretapi yang kami naiki itu pun bergerak meninggalkan Cannes.

Setibanya kami di stesen keretapi yang dimaksudkan, kami pun turun dari keretapi tersebut & menaiki keretapi lain untuk menuju ke Marseilles. Lega rasanya selepas kami sudah masuk ke dalam keretapi tersebut. Pengalaman ini sedikit sebanyak dapat mengajar kami, terutamanya Thani, Asrih & Muaz yang baru pertama kali keluar mengembara bahawa dalam sesuatu pengembaraan, tidak semuanya akan berjalan dengan lancar. Masalah-masalah sebegini kadangkala boleh timbul & kita kena peka dengan keadaan sekeliling. Dalam perjalanan ke Marseilles, kami berempat berbual panjang mengenai banyak perkara. Kebanyakannya adalah kisah-kisah lucu.

Kami tiba di stesen keretapi Marseilles Saint Charles agak lewat daripada waktu yang dijangkakan. Setibanya kami di stesen itu, kami terus berjalan menuju ke hostel yang sudah pun kami tempah melalui internet. Usaha untuk mencari hostel itu aku serahkan kepada Muaz kerana aku kepenatan. Dia menggunakan buku panduan aku untuk mencari lokasi hostel itu. Tidak berapa lama selepas mencari, kami akhirnya tiba di pintu hadapan hostel tersebut. Selepas mendaftar masuk, kami pun dibawa masuk ke dalam bilik kami. Keadaannya tidaklah seselesa hostel di Nice. Namun, asalkan kami ada tempat untuk berteduh & melelapkan mata, itu sudah cukup.

Selepas meletakkan barang-barang di dalam bilik, kami berempat berjalan keluar untuk mencari makanan. Rupa-rupanya di bandar Marseilles ini terdapat banyak restoran halal. Ini kerana terdapat populasi orang Islam yang ramai di sini. Kami berasa lega kerana tidak perlu lagi makan Fillet O'Fish di restoran MacDonald’s. Kami singgah di sebuah restoran kebab untuk membeli kebab untuk dibawa balik ke hostel. Setibanya kami di hostel, kami pun makan dengan lahapnya di ruang makan hostel itu. Kemudian, kami kembali ke bilik untuk mandi & solat. Selepas itu, kami pun terus hanyut dibuai mimpi.

Bersambung...

4 buah komen:

zaidcr7 Sunday, September 13, 2009 at 8:14:00 PM GMT+8  

Cantik ya bang kota cannes.. gmbr panorama sudah menunjukkan kota ini kota yang cantik.. bestlah bang!!! banyak tempat yang best2 abang dah g..Teruskan bang suker baca cite ur journey..

JHaZKiTaRo Sunday, September 13, 2009 at 10:11:00 PM GMT+8  

aaah zaid.. cannes mmg cantik.. hahah.. jgn jemu2 baca my travelogue k.. banyak lagi tempat yg belum diceritakan lagi ni.. sampai thn depan pun tak habis kot..

kalau nak baca my previous travelogues, klik sini: http://jhazkitaro2.blogspot.com

silversarina Tuesday, September 15, 2009 at 8:03:00 AM GMT+8  

gambar me and mr smith tu ingat tersalan tengok... cutenya ..hehehe.

bicara hati secawan kopi Thursday, September 17, 2009 at 4:01:00 PM GMT+8  

tengah2 "khusyuk" tgk gambar, sampai je kat austin power tu, tenung jap...terus gelak!!

blog hopping, btw, nice blog=)

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP