MoRoCCo: PeRMaTa iSLaM Di uFuK BaRaT (BHG IX)

>> Thursday, August 20, 2009



Selepas melihat-lihat kompleks istana Darul Makhzan dari luar, aku pun meneruskan perjalanan aku ke Sunna Mosque yang terletak tidak jauh dari situ. Masjid ini dibina pada kurun ke-18 oleh sultan yang memerintah pada waktu itu, iaitu Sidi Muhammad ibn Abdullah. Ianya adalah salah sebuah masjid yang terpenting di kota Rabat. Selepas bergambar di hadapan Sunna Mosque, aku meneruskan langkah ke Andalusian Wall, tembok pertahanan yang agak panjang jaraknya, iaitu sejauh 1,500 meter, dari Bab Ahad hinggalah ke Small Fort of Sidi Makhlouf. Tembok ini dibina oleh pelarian-pelarian Islam dari Andalusia selepas mereka dihalau oleh Raja & Permaisuri Sepanyol sewaktu era Inquisicion. Bab Ahad yang terletak di penghujung Andalusian Wall adalah salah satu senibina Almohad yang mengagumkan. Ianya adalah antara pintu masuk utama ke medina. Pintu gerbang ini dibina pada tahun 1814 sewaktu era pemerintahan Moulay Sliman.


Sunna Mosque, Rabat, Morocco


Andalusian Wall, Rabat, Morocco


Andalusian Wall, Rabat, Morocco


Berhampiran Bab Ahad, Rabat, Morocco


Bab Ahad, Rabat, Morocco


Bab Ahad, Rabat, Morocco


Berhampiran Bab Ahad, Rabat, Morocco

Aku seterusnya masuk ke dalam kawasan medina yang merupakan sebuah kota lama di mana terdapat banyak kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barangan. Untuk berjalan di dalam medina ini, aku memerlukan kepakaran membaca peta. Jikalau tidak, pasti sesat. Dengan berpandukan peta di dalam buku panduan, aku berjaya merentasi medina ini untuk ke tempat yang seterusnya, iaitu Oudaia Kasbah, sebuah kawasan kecil yang dikelilingi oleh City Walls. City Walls yang terletak di muara Sungai Bou Regreg ini adalah tembok pertahanan yang dibina oleh kerajaan Dinasti Almohad pada kurun ke-12 & telah diperbaiki semula pada kurun ke-17 & ke-18 oleh pelarian-pelarian dari Andalusia & seterusnya oleh kerajaan Dinasti Alaowiyah. Pintu masuk ke Oudaia Kasbah ini adalah sebuah pintu gerbang yang bernama Bab Oudaia yang merupakan satu lagi senibina terulung Dinasti Almohad. Ianya dibina sewaktu pemerintahan Yakub al-Mansur. Pada masa kini, pintu gerbang ini berfungsi sebagai muzium pameran. Di dalam Oudaia Kasbah ini terdapat pelbagai tarikan seperti Andalusian Garden & Al-Atika Mosque.


Medina, Rabat, Morocco


Medina, Rabat, Morocco


City Walls, Rabat, Morocco


Bab Oudaia, Rabat, Morocco

Selepas puas bergambar di kawasan Oudaia Kasbah, aku meneruskan pengembaraan aku ke sebuah kompleks di mana terdapatnya Makam Muhammad V & Hassan Tower. Kompleks ini agak jauh dari Oudaia Kasbah. Hampir 30 minit berjalan kaki. Pada waktu ini waktu Zuhur sudah pun masuk & hari ini adalah hari Jumaat. Disebabkan aku adalah musafir, aku mengambil keputusan untuk menjamakkan sahaja solat Zuhur & Asar. Setibanya aku di kompleks tersebut, para jemaah solat Jumaat sudah pun beredar dari masjid yang terdapat di dalam kompleks itu. Aku lalu masuk ke dalam masjid itu untuk menunaikan solat jamak. Kemudian, baru aku keluar untuk menikmati khazanah yang terdapat di kompleks ini.

Hassan Tower adalah sebuah menara azan kepada masjid yang tidak siap dibina. Menara azan itu sendiri tidak siap dibina sebenarnya. Pembinaan masjid ini dimulakan pada tahun 1195 sewaktu pemerintahan Yakub al-Mansur. Baginda bercadang ingin membina masjid yang terbesar di Hemisfera Barat bagi mengalahkan Masjid di Cordoba yang pada waktu itu adalah masjid yang terbesar di Hemisfera Barat. Baginda juga ingin membina menara azan yang tertinggi di dunia, mengalahkan menara azan Giralda di Seville yang pada waktu itu adalah menara azan yang tertinggi di dunia. Malangnya, baginda mangkat pada tahun 1199. Ini menyebabkan operasi pembinaan masjid & menara azan ini terhenti. Menara azan yang sepatutnya dibina dengan ketinggian 86 meter, hanya berjaya dibina setinggi 44 meter sahaja.

Bahagian lain masjid juga hanya berjaya disiapkan sedikit sahaja, iaitu hanya 200 batang tiang berjaya didirikan. Kejadian gempa bumi yang berlaku di sini pada tahun 1755 mengakibatkan kerosakan yang agak teruk. Hassan Tower adalah antara simbol terpenting bagi bandar Rabat. Di kawasan inilah Solat Jumaat pertama diadakan selepas kemerdekaan Morocco daripada Perancis dengan berimamkan Sultan Morocco sendiri, iaitu Muhammad V. Kawasan ini kini merupakan salah satu daripada ‘UNESCO World Heritage Sites’.


Hassan Tower, Rabat, Morocco


Hassan Tower, Rabat, Morocco


Hassan Tower, Rabat, Morocco


Hassan Tower, Rabat, Morocco

Selain Hassan Tower & runtuhan masjid yang tidak siap sepenuhnya itu, terdapat juga Mausoleum Muhammad V di dalam kompleks ini. Selain makam Muhammad V, Bapa Kemerdekaan Morocco, terdapat juga makam anak-anaknya di dalam mausoleum ini, iaitu Hassan II & Abdullah. Bangunan mausoleum ini adalah antara senibina Alaowiyah yang termasyhur yang siap sepenuhnya pada tahun 1971 sewaktu era pemerintahan Hassan II. Bersebelahan dengan mausoleum ini terletak masjid di mana aku menunaikan solat tadi. Selepas puas bergambar di dalam kompleks ini, aku pun kembali semula ke hostel untuk berehat-rehat. Aku tidak ke mana-mana malam ini kerana kepenatan.


Mausoleum Muhammad V, Rabat, Morocco


Mausoleum Muhammad V & masjid, Rabat, Morocco


Mausoleum Muhammad V, Rabat, Morocco


Ruang dalaman Mausoleum Muhammad V, Rabat, Morocco


Ruang dalaman Mausoleum Muhammad V, Rabat, Morocco

Bersambung...

p/s: Aku sekarang ni tgh seronok menonton 2 buah drama bersiri baru yg ditayangkan kat Astro Oasis sempena bulan Ramadhan, iaitu QAMAR BANI HASHIM & CINTA SEMPURNA. QAMAR BANI HASHIM yg disiarkan setiap hari Isnin-Jumaat pada pukul 6.00-7.00 ptg & 2.00-3.00 ptg (ulangan) adalah drama bersiri Bahasa Arab & bersarikata Bahasa Melayu yg menceritakan ttg kisah sejarah Rasulullah SAW. CINTA SEMPURNA yg disiarkan setiap hari Isnin-Jumaat pada pukul 3.00-3.30 ptg & 10.00-10.30 mlm (ulangan) pulak adalah drama bersiri Melayu yg menceritakan ttg usaha sepasang suami isteri yg cuba utk mengembalikan anak lelaki & anak perempuan mereka yg tinggal bertahun2 di London ke jalan Islam yg benar. Cerita asal drama bersiri CINTA SEMPURNA ini adalah hasil nukilan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. So, selamat menonton.. :)

2 buah komen:

ekin Friday, August 21, 2009 at 10:26:00 AM GMT+8  

wow amazing travel...rasa cam nk g morocco skrg jgak
selamat berpuasa en jhazkitaro!

HAKCIPTA TERPELIHARA © 2004-2011: Aku Sebutir Pasir

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP